
Hartanah kawasan didominasi warga asing susut nilai, jejaskan harga pasaran. Persepsi serta sentimen negatif pembeli terhadap kawasan kediaman yang dikuasai oleh warga asing dilihat menjadi antara faktor utama penyusutan harga hartanah di lokasi terbabit.
Hartanah Kawasan Didominasi Warga Asing Susut Nilai, Jejaskan Harga Pasaran
Menurut Pakar Perunding Hartanah, Maria Md Yusup, ketidakselesaan penduduk tempatan terhadap kehadiran komuniti asing dalam jumlah besar sering memberi kesan terhadap permintaan hartanah di kawasan berkenaan, yang akhirnya menjejaskan harga pasaran.
“Situasi ini biasa berlaku apabila warga asing membentuk koloni besar dan mendominasi sesebuah kawasan perumahan.
Bukan isu siapa tinggal, tetapi lebih kepada bagaimana ia dilihat oleh pasaran tempatan,” katanya.
Maria menjelaskan bahawa antara punca utama penurunan nilai hartanah termasuk persepsi kawasan tersebut tidak selamat, wujud perbezaan budaya yang ketara, stigma sosial serta laporan media negatif yang mempengaruhi pandangan pembeli.
“Apabila permintaan dari pembeli tempatan menurun, pasaran jadi terhad. Harga rumah boleh jatuh atau tidak menunjukkan peningkatan seperti kawasan lain.
Ada beberapa kes membabitkan pangsapuri kos sederhana dan rendah di Puchong, Nilai, Klang serta Seri Kembangan yang mengalami kejatuhan harga susulan penyewaan meluas oleh warga asing.
Kebanyakan unit ini hanya bergantung kepada penyewa warga asing kerana pembeli tempatan tidak berminat. Akhirnya, harga jualan jadi tidak kompetitif,” ujarnya.
Tambah beliau, golongan pembeli rumah pertama dan keluarga muda lazimnya lebih berhati-hati memilih lokasi kediaman, dan cenderung mengelakkan kawasan yang majoritinya dihuni komuniti asing, kecuali untuk tujuan pelaburan sewaan.
“Ada juga pembeli yang tidak kisah, terutamanya jika mereka bekerja dalam komuniti antarabangsa atau membeli semata-mata untuk disewakan,” katanya.
Namun begitu, Maria turut menekankan bahawa sekiranya sesebuah kawasan yang dihuni ramai warga asing masih mengekalkan aspek kemudahan, suasana yang kondusif dan sistem pengurusan yang baik, impak terhadap nilai hartanah mungkin tidak begitu ketara.
“Tetapi hartanah bukan semata-mata tentang lokasi dan binaan. Faktor persekitaran dan komuniti memainkan peranan besar. Kalau 80 peratus unit disewa warga asing, pembeli tempatan biasanya akan kurang berminat,” jelasnya lagi.
Antara kawasan yang sering disebut dalam forum-forum hartanah kerana penyewaan tinggi kepada warga asing termasuklah Kota Warisan, Balakong, Setapak, Kajang dan Cyberjaya, yang mana pembeli ‘end-user’ lebih cenderung menghindari kawasan berkenaan.
Dalam usaha mengekalkan nilai hartanah, Maria menyarankan pemilik kediaman untuk mengambil pendekatan lebih aktif seperti memastikan keadaan unit sentiasa terjaga, mengenal pasti kumpulan pembeli sasaran serta bekerjasama dengan pengurusan strata dalam mengawal kadar penyewaan.
“Pemilik boleh fokus kepada kelebihan lain seperti lokasi strategik, pulangan pelaburan (ROI) sewaan atau akses pengangkutan termasuk penjenamaan semula hartanah boleh membantu mengekalkan nilainya,” katanya.
Menyentuh isu kawalan penempatan warga asing di kawasan kediaman, Maria menjelaskan bahawa tiada undang-undang khusus yang mengehadkan kehadiran warga asing di kawasan perumahan persendirian, namun terdapat beberapa garis panduan yang boleh digunakan sebagai rujukan.
“Pemantauan dan tindakan perlu dilakukan secara kolektif oleh pihak berkuasa, pengurusan bangunan dan penduduk demi mengekalkan keseimbangan komuniti serta nilai hartanah di kawasan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, laporan muka depan Harian Metro hari ini mendedahkan ratusan unit kediaman di Pangsapuri Putra Permai Selesa, Seri Kembangan dijadikan tempat tinggal warga asing. Malah, tiga unit di situ dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti judi dalam talian.
Pangsapuri tersebut dipercayai menjadi lokasi tumpuan warga asing, khususnya dari etnik Rohingya, yang baru-baru ini diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Nabil Ahmad Labur RM500k Tukar Rumah Pusaka Jadi Madrasah, Realisasikan Impian Ibu
Tip Wireman Kepada Tuan Rumah Sebelum Buat Wiring
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI