Bayangkan hari-hari tua yang damai dalam rumah yang tenang, selamat dan selesa, inilah impian setiap insan yang bakal bersara. Namun, keselesaan itu bukan datang sendiri. Ia perlu dirancang dari awal, terutama dalam memastikan rumah yang didiami mesra warga emas.
Dengan perubahan kecil tapi bermakna seperti lantai anti-gelincir, laluan mesra kerusi roda dan tandas duduk yang mudah diakses, sebuah rumah boleh menjadi tempat perlindungan terbaik untuk hari tua dan bebas risiko.
Berikut ialah ciri-ciri penting rumah untuk warga emas:
Rumah Satu Tingkat
Elakkan tangga. Rumah tanpa aras memudahkan pergerakan dan mengurangkan risiko jatuh.
Laluan dan Pintu Lebar
Direka luas supaya kerusi roda boleh masuk dan keluar dengan mudah. Tiada halangan di laluan.
Permukaan Anti-Gelincir
Terutama di bilik air dan dapur, lantai perlu tidak licin.
Ads
Bar Sokongan (Grab Bar)
Perlu dipasang di tempat strategik seperti bilik air, tepi katil dan tempat duduk untuk membantu bangun atau duduk.
Perabot Mesra Warga Emas
Elakkan perabot yang terlalu rendah atau tinggi kerana menyukarkan pergerakan.
Tandas Duduk & Mandi Tanpa Tab
Tandas duduk lebih selesa dan selamat. Ruang mandi tanpa tab membolehkan akses mudah dan mengelakkan risiko tersandung.
Ads
Sistem Keselamatan
Pasang CCTV, interkom atau aplikasi pemantauan supaya ahli keluarga dapat pantau keadaan dari jauh.
Landskap Ringkas & Mudah Jaga
Elakkan terlalu banyak pokok hiasan atau taman yang memerlukan penjagaan rapi. Pilih tumbuhan yang mudah dijaga.
Kesimpulan:
Ads
Kesimpulannya, merancang rumah mesra warga emas bukan sekadar soal keselesaan, tetapi juga soal keselamatan di usia emas. Dengan ciri-ciri yang praktikal dan mesra pengguna seperti lantai tidak licin, laluan luas, tandas duduk serta sokongan keselamatan moden, warga emas dapat terus hidup berdikari, selesa dan tenang di rumah sendiri.
Rumah yang sesuai bukan sahaja memudahkan rutin harian, malah memberi ketenangan fikiran kepada ahli keluarga. Inilah pelaburan terbaik untuk masa depan yang lebih bermakna.
Rumah Harga Bawah RM200k ‘Entry Price’ Untuk Beli Hartanah Pertama. Nak beli hartanah perlu ada ilmu. Belajar daripada nasihat dan orang yang berpengalaman. Ada sebabnya bagi yang ingin memulakan membeli hartanah, sebaiknya beli rumah pada harga bawah RM200,000 sebagai rumah permulaan.
Dulu aku ingat rumah bawah RM200k orang tak nak.
Tapi makin lama dalam bidang hartanah… aku jumpa ramai buyer yang bermula beli hartanah pertama range harga macam ni.
Ada rumah flat harga RM120k, sewakan dekat orang RM700 sebulan. Loan? Baru dalam RM500+-.
Cashflow positif anggaran RM200+- setiap bulan.
Kalau hold 5 tahun, dah untung lebih RM10k.
Belum campur kalau rumah tu naik harga.
Yang penting, rumah bawah RM200k ni adalah entry price untuk bermula beli hartanah, Bukan rumah impian, tapi rumah permulaan.
Ramai stuck sebab fikir “nanti aku beli rumah besar terus”. Endingnya sampai ke sudah tak beli.
Start dulu dengan rumah murah
Bila gaji makin naik, dah ada track record, baru upgrade rumah lagi mahal.
Beli, hold, sewa, upgrade.
Semoga Bermanfaat!
IMPIANA: Jadi bagi yang nak beli hartanah, pertimbangkan saranan ini, cari rumah yang berharga bawah RM200,000 dahulu sebagai rumah permulaan. Usaha kukuhkan kewangan sebelum mampu beli rumah impian pula nanti.
Won Bin antara pelabur hartanah paling berjaya dalam kalangan selebriti Korea. Pelakon terkenal Korea, Won Bin, yang menyambut ulang tahun ke-28 dalam industri hiburan tahun ini, terus menjadi bualan meskipun sudah lama menghilang dari dunia lakonan.
Sejak membintangi filem The Man from Nowhere pada tahun 2010, Won Bin belum lagi kembali ke layar perak atau drama. Sepanjang 28 tahun kariernya, dia hanya muncul dalam 6 filem dan 8 drama, menjadikan jumlah keseluruhan karya lakonannya terhenti pada 14 buah sahaja.
Sebaliknya, rakan pelakonnya dalam filem The Man from Nowhere, mendiang Kim Saeron, telah membintangi 31 karya dalam tempoh 15 tahun sebelum pemergiannya pada Februari 2025. Perbandingan ini nyata mencuri perhatian ramai.
Pelakon veteran Park Geunhyung, yang dikatakan berjaya mencungkil bakat lakonan Won Bin menerusi drama KBS2 The Man from Nowhere, pernah meluahkan rasa kecewa terhadap Won Bin. Katanya, “Saya melatih dia bersungguh-sungguh dan menjadikannya seorang pelakon, tapi akhirnya dia hanya muncul dalam iklan.” Pelakon senior Lee Soonjae turut pernah mengkritik, “Pelakon yang hanya tahu buat iklan saja, berlakonlah dulu.”
Ramai peminat dan masyarakat turut berkongsi kekecewaan apabila Won Bin lebih kerap muncul dalam iklan dan CF (commercial film) berbanding karya lakonan. Malah, ada khabar angin mendakwa dia mungkin sudah bersara secara senyap, namun Won Bin sendiri tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi, menyebabkan pelbagai spekulasi timbul. Ada juga yang mengkritiknya kononnya lebih memilih iklan kerana tidak memerlukan komitmen besar, selain mengutamakan keuntungan jangka pendek.
Bagaimanapun, ramai masih berharap agar Won Bin kembali aktif dalam dunia hiburan. Baru-baru ini, namanya kembali menjadi perhatian apabila berita mengenai kejayaan pelaburan hartanahnya tersebar.
Pada 16 Jun 2025, dilaporkan bahawa bangunan yang dibeli oleh Won Bin dan isterinya, pelakon Lee Nayoung, di Cheongdam-dong, Gangnam, Seoul pada tahun 2018 telah melonjak nilainya sebanyak 28.7 bilion won (RM97.5 juta) dalam masa tujuh tahun. Kini, bangunan tersebut dianggarkan bernilai 43.2 bilion won (RM146.8 juta).
Bangunan itu yang dibina pada tahun 1992 setinggi lima tingkat dengan dua tingkat bawah tanah, terletak hanya enam minit berjalan kaki dari Stesen Apgujeong Rodeo, kawasan elit di Seoul. Menariknya, bangunan itu turut menempatkan restoran mewah bertaraf tiga bintang Michelin.
Menurut ejen hartanah Building Road Real Estate Brokerage, nilai bangunan tersebut tidak pernah melebihi 30 bilion won (RM102 juta) sehingga tahun 2023, namun dalam tempoh hanya dua tahun, nilainya meningkat mendadak sebanyak 13.2 bilion won (RM44.8 juta). Kejayaan ini menjadikan Won Bin dan Lee Nayoung antara pelabur hartanah paling berjaya dalam kalangan selebriti Korea.
Selain itu, Won Bin juga memiliki dua lagi bangunan:
Di Samseong-dong, Gangnam dengan nilai terkini 6.9 bilion won (RM23.5 juta)
Di Seongsu-dong, Seongdong dengan nilai terkini 9.5 bilion won (RM32.3 juta)
Kedua-dua bangunan ini dibeli pada tahun 2014 dengan harga 2 bilion won (RM6.8 juta) setiap satu, dan kini nilai hartanah tersebut telah meningkat tiga hingga empat kali ganda.
Untuk rekod, Won Bin berkahwin dengan Lee Nayoung pada 30 Mei 2015 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 10 tahun. Diketahui juga Won Bin kini lebih banyak menghabiskan masa dengan menanam bijan dan buah aronia, malah beliau sendiri menghasilkan minyak bijan serta jus aronia untuk dihadiahkan kepada kenalan rapat.
Kemunculan awam Won Bin yang pertama selepas sekian lama adalah ketika beliau hadir ke majlis pengebumian mendiang Kim Saeron pada 17 Februari lalu.
Won Bin sebelum ini dikenali sebagai duta iklan kopi Dongsuh Food TOP sejak 2008, namun kontrak tersebut tamat pada Januari 2024. Ramai menjangka beliau tidak lagi akan muncul dalam iklan, namun penampilannya dalam kempen iklan terbaru jenama Ajungdang yang disiarkan sejak 28 Mei lalu sekali lagi mencuri tumpuan. Penampilan Won Bin yang masih kelihatan muda dan segak membuat ramai tidak percaya beliau kini sudah berusia 47 tahun.
Jimat elektrik guna solar berbanding buat kubah mahal. Ramai yang memasang impian untuk menghias rumah ibadat atau surau dengan kubah yang besar dan mewah. Namun, tahukah kita bahawa membina kubah bukan sahaja menelan kos yang tinggi, bahkan boleh meningkatkan penggunaan elektrik secara tidak langsung?
Jika tidak dikaji secara teliti, kita bukan sahaja membazir duit sumbangan, malah menanggung bil elektrik yang melambung setiap bulan. Sebuah kubah boleh menelan kos ratusan ribu ringgit, apatah lagi jika ia menggunakan bahan logam berkilat, struktur besi tahan karat, dan sistem pencahayaan khas.
Malangnya, ada masjid atau surau yang memasang lampu dalam kubah dan membiarkannya menyala 24 jam, kononnya untuk nampak indah di waktu malam. Hakikatnya, ia menyumbang kepada pembaziran tenaga yang besar.
Lebih menyedihkan, ada tempat yang terpaksa mengurangkan aktiviti kemasyarakatan kerana bil elektrik terlalu tinggi. Maka, di sinilah pentingnya keutamaan, lebih baik wang digunakan untuk faedah jemaah seperti penyelenggaraan penghawa dingin, pemasangan kipas industri, atau program ilmu yang lebih memberi manfaat.
Ramai arkitek Islamik moden mengesyorkan rekaan masjid tanpa kubah atau dengan bentuk siling tinggi yang ringkas. Ini bukan sahaja menjimatkan kos pembinaan, malah menggalakkan pengudaraan semula jadi. Bumbung tinggi dan bukaan udara yang luas boleh menyejukkan ruang tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada penghawa dingin atau kipas elektrik.
Antara cara lain untuk berjimat elektrik ialah menggunakan pencahayaan LED, sistem tenaga solar dan suis automatik yang memadam lampu selepas waktu tertentu. Wang sumbangan juga boleh dimanfaatkan untuk sistem PA yang berkualiti, karpet tebal yang selesa atau menyediakan kemudahan mesra OKU, lebih memberi kesan langsung kepada jemaah.
1. Dalam binaan masjid, kubah bukannya menjadi rukun dalam sesebuah rekabentuk masjid.
2. Bila kecoh kutipan dana hingga RM500k untuk bina kubah sahaja. Maka izinkan saya beri pandangan sebagai penulis buku Masjid Budaya dan Senibina.
3. Sejarah pembinaan kubah bukannya berasal dari zaman kerajaan Islam, ia ada sejak zaman Byzantine dan Early Christian lagi. Gereja geraja awal memang berkubah.
4. Zaman kegemilangan Islam barulah kubah ini popular, itupun jika kita rujuk Hagia Sophia juga asalnya dari sebuah gereja yang kemudiannya menjadi masjid.
5. Islam bukannya agama simbol, Islam lebih mulia dan besar dari itu. Maka mengagungkan kubah sebagai syarat wajib sebuah masjid adalah kurang baik.
6. Jika kita rasakan masjid tanpa kubah tidak lengkap ‘imannya’ apakah masjid masjid di China dan Afrika yang dibina tanpa kubah kurang pahalanya jika solat di sana.
7. Senibina terbentuk dari hasil faktor iklim dan budaya setempat. Masjid Kg Laut, Kelantan, Kg Hulu, Melaka dan Masjid Agung Demak telah beri teladan senibina yang baik buat Alam Melayu oleh tukang terdahulu.
8. Bila kita mula pandai merantau sikit, balik haji, faktor kolonisasi British. Kita mula melihat apa yang ada di Jazirah Arab dan India sebagai rujukan masjid buat kita.
Masjid wajib ada kubah baru tambah keimanan didada.
9. Rekabentuk kubah sangat tidak ekonomi pada iklim khatulistiwa seperti kita. Tanya mana mana Ajk masjid dan surau berkubah. Waktu hujan mesti ada tempat yang bocor. Air gagal ‘dilarikan’ dengan baik untuk keluar dari bangunan.
10. Masjid daerah di Batu Gajah yang indah, waktu hujan jawatan kuasa terpaksa sediakan baldi baldi warna warni untuk letakkan ditengah laman sembahyang sebab banyak kebocoran berlaku.
11. Ustaz ini tidak harus disalahkan, yang harus disalahkan adalah AJK dan pengamal senibina yang taksub sangat dengan bentuk kubah sebagai simbol agama.
Pengamal senibina harus didik masyarakat tentang keburukan berkubah dalam iklim negara kita hingga tidak ekonomikal
12. Selama 2 tahun tinggal di bandung mengkaji senibina masjid di Jawa, hampir semua masjid modern disana tidak dihadirkan dengan kubah tetapi sangat jimat tenaga, mudah selenggara dan jimat kos binaan.
13. Masjid seharusnya menjadi pusat komuniti masyarakat bukan hanya dibina berdasarkan simbol simbol kubah yang besar dan akhirnya ditutup dari aktiviti masyarakt sebab mahal membuatnya.
14. Membuat kutipan dana awam hingga setengah juta hanya untuk bina kubah sangatlah tidak manusiawi. Setelah siap nanti, kos menjaga kubah setengah juta ini juga bukan alang alang duit sebenarnya.
15. Falsafah kubah dahulu untuk mendapatkan ruang legar yang luas, agar saf tidak putus jika dibina. Hari ini dengan teknologi binaan yang hebat, tanpa kubah kita tetap akan dapat ruang solat yang luas malah lebih luas. Hanya jemaah sahaja malas nak datang masjid sekarang.
Teknologi sound sistem yang kita ada adalah lebih baik dari eko yang ingin dihasilkan oleh kubah zaman ini.
16. Jika kita kata kubah ini ikut zaman nabi. Tidak, zaman nabi masjid dibina dengan sangat sederhana untuk aktiviti masyarakat bukan sebagai simbol pemerintahan beragama.
Sudah masanya pengamal senibina, pendidikan, jawatankuasa masjid masuk satu era baru dalam pemikiran pembinaan masjid.
Masjid zaman ini harus mesra alam, jimat tenaga, tempat perlindungan, pusat bencana banjir, sustainable, tempat main kanak kanak, pusat pendidikan online, wifi terpantas dan bukannya hanya habiskan duit bina kubah yang mahalnya setengah juta, bocor bila hujan sebelum buka puasa.
Teladani apa yang dilakukan oleh Ustaz Mohammad Yaakub Yusra dalam membina MADAD untuk kesejahteraan ummat.
Kesimpulannya membina masjid dan surau bukan sekadar simbol fizikal keindahan Islam, tetapi tanggungjawab amanah kepada masyarakat. Elakkan pembaziran pada perkara yang kurang penting.
Pilih binaan yang menjimatkan dan praktikal. Lebih baik jimat elektrik daripada buat kubah mahal, kerana setiap sen yang diselamatkan boleh diguna untuk manfaat ummah yang lebih besar.
Sumber: Azizul Azli Ahmad, Penulis Masjid Budaya dan Senibina, Pengajar Sejarah Senibina Islam, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, UiTM Seri Iskandar
Ketahui langkah penting dan rutin kebersihan rumah bagi pencegahan influenza. Lindungi keluarga anda dengan amalan harian mudah yang mencegah jangkitan virus di rumah!