Cara hilangkan minyak pada bekas plastik, tak perlu sental kuat. Bekas plastik, atau lebih mesra dikenali sebagai ‘tupperware’, memang jadi pilihan ramai untuk simpan makanan, terutamanya bila nak bawa bekal ke pejabat.
Cara Hilangkan Minyak Pada Bekas Plastik, Tak Perlu Sental Kuat
Masalah biasa yang kita semua hadapi, kesan minyak degil, terutamanya dari lauk sambal atau makanan berminyak lain, yang susah nak hilang walaupun dah cuci banyak kali.
Seorang pengguna Twitter, @ajezzzzzzz, ada berkongsi satu trik mudah dan kreatif untuk bersihkan kesan minyak ni tanpa perlu sental sampai penat. Teknik yang dikongsi ni ringkas tapi sangat berkesan. Ini langkah-langkahnya:
Tuang Sabun Pencuci Pinggan
Masukkan sabun dalam jumlah yang sesuai mengikut saiz bekas plastik.
Isi Air Secukupnya
Tambahkan air dalam bekas tu, jangan terlalu penuh tapi cukup untuk bantu proses pencucian.
Ads
Masukkan Sekeping Tisu Dapur
Letakkan sekeping tisu dapur ke dalam campuran sabun dan air tadi. Tisu ni akan bertindak macam ‘sponge’ yang bantu serap minyak dan kotoran.
Tutup Bekas dan Goncang Sebaik Mungkin
Pastikan bekas ditutup rapat, kemudian goncangkan dengan kuat selama beberapa saat. Proses ni akan bantu tanggalkan sisa minyak yang melekat.
Ads
Buang Tisu dan Bilas Dengan Air Bersih
Selepas goncang, buang tisu dan campuran tadi, dan bilas bekas dengan air biasa. Hasilnya, bekas akan nampak bersih dan berkilat seolah-olah baru beli.
Dengan cara ini, anda tak perlu buang bekas plastik hanya sebab kesan minyak degil. Bukan saja jimat, tapi bekas pun boleh diguna semula dalam keadaan yang bersih dan selamat. Senang, cepat dan hasilnya memuaskan!
Tingkap kaca rumah di Jerman besar-besar, reka bentuk unik, praktikal dan bijak. Jerman sememangnya terkenal dengan seni bina yang kemas, praktikal dan bertumpu kepada kecekapan tenaga. Dalam kalangan pengunjung luar, salah satu ciri menarik yang sering mencuri perhatian ialah saiz tingkap rumah-rumah di sana.
Tidak seperti rumah tipikal di kebanyakan negara lain, rumah di Jerman cenderung untuk memiliki tingkap kaca yang amat besar, malah kadang kala hampir memenuhi keseluruhan dinding.
Sesuatu yang unik di Jerman, rumah-rumah di sini mempunyai tingkap kaca yang sangat besar ukurannya. Ianya bagi memastikan cahaya matahari menembusi ruang dalaman rumah dan panas yang mencukupi ketika ketibaan musim sejuk.
Contoh nyata ruang tamu di dalam rumah aku sahaja mempunyai 80% permukaan kaca tingkap. Kaca tingkap pula 5-6 cm ketebalannya.
Selain itu, ramai orang yang pertama kali tiba Jerman menganggap tingkap Jerman lain dari yang lain kerana rekabentuknya yang unik.
Apa yang uniknya? Uniknya adalah tingkapnya boleh dibuka luas dari sisi tepi (swing) atau dari atas (tilt). Ianya sebenarnya rekabentuk yang sangat praktikal dan bijak. Reka bentuk ini dipanggil ‘tilt and turn window’.
Lihat foto di bawah. Ianya adalah tingkap kaca ruang tamu dan uniknya ianya boleh dibuka dari semua arah! (Dari condong atas atau dari sisi tepi).
Buka ke dalam dari sisi tepi (turn mode): Untuk pengudaraan maksimum atau cucian.
Condong dari atas (tilt mode): Untuk pengudaraan ringan tanpa bahaya keselamatan (contohnya di bangunan tinggi atau jika ada anak kecil).
Jika condong dari atas (tilt mode), tingkap masih tertutup dari luar dan susah untuk penceroboh masuk. Sesuai untuk rumah yang mahu udara segar tapi kekal selamat.
Bila dibuka sepenuhnya dari sisi tepi (turn mode), ia menghadap ke dalam jadi senang nak cuci bahagian luar dari dalam rumah. Tak perlu panjat atau buka jeriji.
‘Tilt mode’ benarkan udara masuk dari atas tanpa hembusan terus bagus waktu musim sejuk, supaya tak terlalu sejuk dalam rumah tapi masih dapat udara segar.
Bingkai tingkap jenis ini biasanya sangat rapat dan kukuh, jadi ia menahan bunyi dan menjaga suhu dalam rumah sesuai dengan standard tenaga yang tinggi di Jerman.
Aku teringat lama dahulu semasa mula-mula membuka tingkap ruang tamu ini untuk membenarkan angin luar masuk dalam rumah, aku menyangka aku telah mematahkan struktur ensel atau rekabentuk tingkap yang unik ini! Rupa-rupanya memang rekaannya sebegitu!
Dinding rumah-rumah di sini pula sangat tebal binaannya dan dilapisi pula dengan penebat haba bagi mengelakkan haba dalam rumah dari menyusupi keluar.
Tambahan pula, negeri-negeri di Eropah sangat kurang menerima cahaya matahari di musim sejuk.
Satu lagi majoriti rumah-rumah di Jerman memang tidak ada yang memasang jeriji besi (grill) di semua bahagian rumah disebabkan kadar jenayah yang amat rendah sekali walaupun rumah mereka terletak di tingkat bawah sekali.
Keselamatan penduduk-penduduk yang menetap di Jerman amat terjamin. Betul-betul ‘peace of mind’ tanpa khuatir sebarang kegiatan jenayah.
Ketika musim panas, dengan waktu siang yang panjang menyebabkan matahari terbit sekitar jam 4 pagi dan terbenam sekitar jam 10 malam. Jadi malam yang sangat singkat kurang membantu mengurangkan suhu persekitaran.
Akan tetapi jika cuaca terlalu panas atau ‘heatwave’ melanda, sekolah dan pejabat mesti ditutup demi keselamatan orang ramai.
Pejabat atau sekolah ditutup di Jerman hanya kerana cuaca panas yang luar biasa (heatwave) di panggil ‘hitzfrei’.
Konsep lama yang digunapakai hingga kini setiap kali kali cuaca mencecah suhu yang luar biasa ini wujud semenjak tahun 1892!
Sebenarnya tiada peraturan bertulis khusus bila pejabat atau sekolah harus ditutup apabila suhu cuaca mencecah tinggi. Terpulang kepada kehendak atau bergantungnya keperluan di tempat kerja.
Yang pasti, syarikat mesti memastikan keselesaan ruang kerja atau sekolah dengan memastikan suhu bilik tidak melebihi daripada 26 darjah Celsius.
Jika suhu cuaca melebihi 30 darjah, majikan harus mengambil tindakan segera bagi melindungi para pekerja mereka. Ini tidak hanya berlaku untuk pejabat dan sekolah akan tetapi juga kedai, gudang, bengkel, atau tempat kerja lain.
Para pekerja juga boleh memilih tempat kerja yang lebih selesa. Jika mereka bekerja di luar dan terdedah kepada cahaya matahari, majikan harus memastikan ada tempat untuk pekerja berteduh dan air minuman yang mencukupi.
Ada juga sebilangan para pekerja dibenarkan mengubah waktu kerja mereka bagi mengelakkan cuaca yang panas lagi melampau. Sementara itu, untuk pelajar sekolah, mereka masih bersekolah tetapi dibenarkan pulang awal apabila suhu dalam kelas mencecah 30 darjah walaupun jam menunjukkan 10 pagi.
Secara keseluruhannya, tingkap besar dalam rumah-rumah Jerman mencerminkan keutamaan masyarakatnya terhadap keselesaan, kelestarian dan rekaan pintar yang sesuai dengan perubahan musim. Ia menjadi bukti bahawa elemen seni bina boleh berfungsi lebih daripada sekadar hiasan. Ia juga menyumbang kepada kesejahteraan hidup harian.
Kepentingan Mengasingkan Dapur Basah dan Dapur Kering dalam Isi Rumah. Dapur adalah ruang yang sangat penting dalam sesebuah rumah, tempat di mana makanan disediakan dan aktiviti memasak dijalankan setiap hari. Untuk mengekalkan kebersihan, keselamatan dan keselesaan di dapur, adalah penting untuk memisahkan dapur basah dan dapur kering.
Dalam artikel ini, kami akan mendedahkan mengapa pemisahan ini sangat penting dan apakah faedahnya untuk kehidupan seharian.
Salah satu sebab utama untuk mengasingkan dapur basah dan dapur kering adalah untuk mengekalkan kebersihan dan sanitasi yang optimum. Dapur basah biasanya merangkumi kawasan seperti singki, kawasan basuh dan kawasan penyediaan makanan yang melibatkan penggunaan air dan cecair lain. Mengasingkan kawasan ini daripada pantri kering, yang biasanya terdiri daripada tempat penyimpanan makanan kering dan kawasan penyediaan makanan kering, membantu mengelakkan pencemaran silang yang tidak diingini.
Sebagai contoh, apabila memotong daging mentah di kawasan penyediaan makanan basah, kemungkinan cecair atau titisan mungkin berlaku. Jika kawasan ini tidak diasingkan daripada tempat penyimpanan makanan kering seperti tepung atau beras, terdapat risiko bahan makanan kering itu boleh tercemar dan menyebabkan masalah kesihatan.
Mengasingkan dapur basah dan dapur kering juga penting untuk mengekalkan keselamatan makanan. Bahan makanan mentah yang belum dimasak seperti daging, ikan, atau produk tenusu hendaklah disimpan berasingan daripada bahan makanan kering seperti beras, tepung atau bijirin. Ini membantu mengurangkan risiko pencemaran dan pembiakan bakteria yang tidak diingini dalam bahan makanan.
Dengan mengasingkan dapur basah dan dapur kering, anda boleh memastikan makanan yang disimpan dan disediakan di dapur anda kekal selamat untuk dimakan oleh seisi keluarga.
Dapur basah selalunya menghasilkan sisa organik seperti sisa makanan, kulit sayuran dan bahan organik lain. Dengan mengasingkan dapur basah daripada dapur kering, adalah lebih mudah untuk mengurus dan memproses sisa ini. Sebagai contoh, sisa organik boleh diproses menjadi kompos untuk digunakan semula sebagai baja tumbuhan, manakala sisa bukan organik seperti pembungkus plastik atau kadbod boleh diasingkan untuk dikitar semula atau dilupuskan mengikut peraturan yang dikenakan.
Selain manfaat kebersihan dan keselamatan makanan, mengasingkan dapur basah dan dapur kering juga meningkatkan keselesaan dan kefungsian keseluruhan ruang dapur. Dengan menyusun ruang dapur mengikut setiap fungsi, anda boleh menyusun ruang penyimpanan, meja kerja dan peralatan memasak dengan lebih cekap. Ini memudahkan anda menyediakan makanan harian anda tanpa perlu risau tentang kemungkinan pencemaran atau kekacauan yang tidak perlu.
Semoga bermanfaat!
IMPIANA: Dengan menggunakan konsep ini, anda bukan sahaja mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat, tetapi juga menjadikan dapur tempat yang lebih selesa untuk keluarga anda memasak dan menikmati hidangan bersama.
Bahan peluntur boleh jadi gas beracun, elak campur dengan bahan pencuci lain. Peluntur merupakan antara bahan pembersih yang kerap digunakan ketika mencuci rumah, terutamanya bagi menghilangkan kotoran degil. Walaupun keberkesanannya tidak dinafikan, penggunaannya perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati.
Kesilapan paling biasa dan berbahaya adalah apabila peluntur dicampurkan dengan bahan pencuci lain. Campuran ini boleh menyebabkan tindak balas kimia yang membebaskan gas toksik, membahayakan kesihatan dan boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini seperti sesak nafas, pengsan malah pengaruh yang lebih serius.
Satu insiden yang pernah dikongsikan oleh Public Health Malaysia baru-baru ini membuktikan betapa bahayanya campuran peluntur dengan bahan lain. Seorang wanita bersama anak kecilnya mengalami gejala sesak nafas di kediaman mereka selepas ibu tersebut membersih bilik air menggunakan gabungan peluntur dan bahan pencuci penanggal kotoran (stain remover).
Akibatnya, wanita itu rebah di hadapan pintu bilik air manakala anaknya pula mengalami batuk berterusan. Mereka berdua segera dikejarkan ke unit kecemasan dan bernasib baik kerana menerima rawatan tepat pada waktunya.
Berikut adalah kombinasi peluntur dengan bahan lain yang perlu dielakkan sama sekali:
❌ Peluntur + Ammonia = Gas Kloramin
Pendedahan kepada gas ini boleh menyebabkan iritasi pada saluran pernafasan, batuk dan kesukaran bernafas. Dalam kes yang teruk, ia boleh mengakibatkan keradangan paru-paru.
❌ Peluntur + Cuka = Gas Klorin
Gas klorin sangat berbahaya — ia boleh mencetuskan sakit dada, muntah-muntah dan dalam situasi ekstrem, boleh menyebabkan kematian.
❌ Peluntur + Alkohol = Gas Kloroform
Menghidu wap kloroform boleh menyebabkan keletihan melampau, pening kepala, dan hilang kesedaran.
Bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan atau kejadian tidak diingini, jangan sesekali campurkan peluntur dengan sebarang bahan pembersih lain. Baca label dengan teliti, ikut arahan penggunaan dan pastikan ruang berventilasi baik ketika menggunakan bahan kimia di rumah.
Keselamatan dan kesejahteraan keluarga bermula dengan langkah berjaga-jaga. Sedikit kecuaian boleh membawa padah. Jadilah pengguna yang bijak dan berpengetahuan!
Trend bilik mandi berwarna semakin mendapat perhatian apabila pemilik kediaman mula menjadikan ruang ini sebagai sebahagian daripada ekspresi gaya hidup dan identiti rumah.