Ads

RIMOWA x Faber-Castell Gabung Dunia Kembara & Seni Dalam Artist Case Edisi Terhad

CVR_4622-32 001

Apa berlaku apabila dua jenama Jerman yang terkenal dengan ketelitian pertukangan bertemu dalam satu projek? Hasilnya bukan bagasi biasa atau sekadar set pensel mewah, tetapi sebuah Artist Case yang direka untuk membawa seluruh proses kreatif ke mana sahaja inspirasi datang.

RIMOWA bekerjasama dengan Faber-Castell memperkenalkan RIMOWA x Faber-Castell Artist Case, koleksi edisi terhad yang menggabungkan identiti aluminium ikonik RIMOWA dengan kepakaran Faber-Castell menghasilkan peralatan menulis dan melukis.

Kerjasama itu membawa bersama dua nama yang mempunyai sejarah panjang dalam dunia pertukangan Jerman. RIMOWA sudah lebih seabad membina produk yang mengiringi perjalanan, sementara Faber-Castell yang diasaskan pada 1761 meraikan ulang tahun ke-265 pada 2026 dan kini dikendalikan oleh generasi kesembilan keluarga pengasasnya.

RIMOWA x Faber-Castell Gabung Dunia Kembara & Seni Dalam Artist Case Edisi Terhad

Bukan Sekadar Bekas Untuk Pensel

Artist Case hadir dalam kemasan Silver dan dihasilkan di kilang bersejarah RIMOWA di Cologne menggunakan aluminium anodised premium yang menjadi antara identiti utama jenama tersebut.

Namun tarikannya sebenar berada di bahagian dalam.

Kes ini dilengkapi satu set lengkap peralatan melukis buatan Jerman yang disusun untuk menyokong proses kreatif daripada lakaran pertama sehinggalah kerja pewarnaan akhir.

Antara kandungannya ialah pensel grafit 2B yang direka bersama dengan permukaan beralur, mengambil inspirasi terus daripada rekaan bergaris ikonik RIMOWA.

RIMOWA x Faber-Castell Gabung Dunia Kembara & Seni Dalam Artist Case Edisi Terhad

Ads

Lebih menonjol ialah set 120 batang pensel warna Polychromos, antara rangkaian terkenal Faber-Castell yang menggunakan teras berasaskan minyak dengan kepekatan pigmen tinggi. Menurut kenyataan syarikat, formulasi itu membantu menghasilkan sapuan lebih sekata serta warna yang kekal terang dan stabil.

Set tersebut turut dilengkapi pengasah berkemasan platinum dengan penjenamaan RIMOWA serta pemadam.

Rekaan Dalaman Dua Tingkat

Daripada sekadar meletakkan peralatan seni di dalam kotak, RIMOWA dan Faber-Castell membangunkan sistem dulang dua tingkat khas.

Apabila dibuka, keseluruhan set dipamerkan dalam susunan tersendiri supaya setiap alat mudah dicapai dan pada masa sama kelihatan seperti sebahagian daripada sebuah objek koleksi.

Pendekatan itu menjadikan Artist Case sesuatu yang boleh berfungsi sama baik di studio mahupun ketika dibawa mengembara.

Ads

Dari luar, rekaannya mengambil bahasa visual daripada koleksi RIMOWA Classic, termasuk pemegang kulit dan binaan aluminium anodised.

Menariknya, RIMOWA melihat sifat aluminium yang berubah dan membentuk patina dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada daya tarikannya. Calar dan kesan penggunaan tidak semestinya dianggap kecacatan, tetapi rekod perjalanan pemiliknya.

Dalam konteks Artist Case, idea itu terasa cukup sesuai. Semakin kerap ia digunakan, semakin jelas kesan perjalanan dan proses kreatif yang dilalui bersamanya.

Bila Barangan Mewah Bertemu Alat Kreatif

Kerjasama ini menarik kerana ia tidak sekadar meletakkan logo dua jenama pada satu produk.

RIMOWA membawa kepakaran menghasilkan objek perjalanan tahan lama dan berstruktur, manakala Faber-Castell mengisi ruang tersebut dengan alat yang memang dibangunkan untuk proses menghasilkan karya.

Anda mungkin berminat dengan

Ads

Hasilnya menyasarkan bukan sahaja artis profesional, tetapi juga penggemar seni dan individu kreatif yang mahukan peralatan mereka disimpan dalam bentuk yang lebih teratur serta mempunyai nilai reka bentuk tersendiri.

RIMOWA x Faber-Castell Gabung Dunia Kembara & Seni Dalam Artist Case Edisi Terhad

RIMOWA x Faber-Castell Gabung Dunia Kembara & Seni Dalam Artist Case Edisi Terhad
CVR_4618-2 001

Ia juga memperlihatkan bagaimana produk gaya hidup mewah hari ini semakin bergerak melangkaui fungsi tradisional. Sebuah beg perjalanan tidak lagi hanya membawa pakaian, sementara alat melukis juga boleh hadir sebagai sebahagian daripada objek reka bentuk yang mahu dipamerkan.

Ditawarkan Secara Terhad

RIMOWA x Faber-Castell Artist Case ditawarkan pada harga runcit €2,400 dan disertakan jaminan selama dua tahun.

Koleksi itu mula dijual pada 17 September 2026 menerusi butik RIMOWA di seluruh dunia dan laman rasmi jenama berkenaan.

Ia turut tersedia di kedai Faber-Castell di Jerman serta kedai dalam talian jenama tersebut di Austria, Perancis, Jerman dan Itali.

Untuk sesetengah orang, ia mungkin kelihatan seperti set alat melukis yang sangat mewah. Tetapi bagi mereka yang melihat perjalanan dan kreativiti sebagai dua perkara yang saling berkait, Artist Case ini membawa idea yang lebih menarik — inspirasi tidak semestinya menunggu anda kembali ke studio.

Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda. Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di

KLIK DI SEENI
Dapatkan tip dekorasi, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
Ads

Inspirasi Lain

Dari Memori Ke Kanvas, ‘Fragments Of A Season’ Raikan Seni Kontemporari...

Seni bukan sekadar elemen yang mengisi ruang kosong pada dinding. Dalam sesebuah kediaman, karya seni mampu mencetuskan gelora emosi, menghidupkan suasana dan menjadi sebahagian...