Pemilik rumah dalam penjara, dia boleh jual ke rumah? Pemilik rumah yang sedang menjalani hukuman penjara masih boleh menjual hartanah miliknya, selagi urusan tersebut memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang.
Pemilik Rumah Dalam Penjara, Dia Boleh Jual Ke Rumah?
Syarat utama bagi urusan jual beli ini adalah dokumen yang lengkap seperti geran tanah asal, salinan kad pengenalan pemilik, serta bukti persetujuan pemilik terhadap urusan jual beli tersebut. Walaupun individu itu sedang berada dalam penjara, hak milik hartanah masih sah dan tidak terlucut secara automatik.
Ads
Sekiranya pemilik tidak dapat hadir untuk menandatangani dokumen jual beli, beliau boleh melantik seorang wakil melalui surat kuasa wakil (power of attorney). Pelantikan ini perlu dilakukan mengikut prosedur undang-undang, dan biasanya melibatkan khidmat peguam serta pengesahan daripada pihak berkuasa penjara.
Bagi kes di mana pemilik telah meninggal dunia, proses penjualan hanya boleh dilakukan selepas memperoleh sijil kematian dan dokumen pengesahan pusaka yang sah. Waris perlu mendapatkan surat kuasa mentadbir atau surat kuasa pesaka kecil terlebih dahulu sebelum sebarang urusan jual beli dijalankan. Tambahan pula, semua waris yang berhak perlu memberikan persetujuan terhadap penjualan tersebut.
Kesimpulannya, penjualan hartanah tetap boleh dilakukan walaupun pemilik sedang dipenjarakan atau telah meninggal dunia, asalkan segala dokumen lengkap dan semua prosedur dipatuhi. Yang penting, urusan dilakukan secara sah, telus dan mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan.
Pilih tandas yang selamat untuk kanak-Kanak, elak insiden penutup flush tandas terjatuh. Tip pemilihan tandas yang sesuai dan selamat untuk kanak-kanak sangat penting bagi memastikan mereka dapat membiasakan diri dengan proses ke tandas tanpa rasa takut atau berisiko terjatuh.
Ramai ibu bapa mungkin menganggap tandas hanyalah kemudahan biasa, namun pemilihan jenis tandas yang betul dapat membantu membentuk kebiasaan baik dan melatih kemahiran kendiri anak sejak kecil.
Bagi kanak-kanak, penggunaan tandas tidak hanya melibatkan faktor kebersihan, tetapi juga keselamatan, keselesaan dan keyakinan diri. Tandas yang terlalu tinggi, licin, atau sukar digunakan boleh menyebabkan mereka rasa tidak selesa malah berbahaya.
Juru solek terkenal, MUA Bellaz, berkongsi di media sosial tentang kejadian yang menimpa anaknya, Eica, apabila penutup flush tandas jenis berat terjatuh menimpa kaki hingga menyebabkan tulang jari kaki kelima patah.
Menurut MUA Bellaz, kejadian berlaku sejurus selepas beliau selesai membuat siaran langsung, dan doktor memaklumkan nasib baik kecederaan tidak terlalu teruk sehingga memerlukan pembedahan.
Kes ini menjadi peringatan penting bahawa tandas, walaupun kelihatan selamat, boleh menjadi tempat berisiko tinggi kepada kanak-kanak.
Oleh itu, ibu bapa perlu peka terhadap ciri-ciri tandas yang mesra kanak-kanak agar pengalaman ke tandas menjadi lebih mudah dan menyeronokkan.
Bagi anak kecil, pilih tandas yang rendah atau gunakan kerusi pelapik khas (potty seat) yang boleh diletakkan di atas tandas dewasa. Lengkapkan dengan bangku kecil supaya mereka dapat memanjat dengan selamat dan duduk dengan stabil.
Gunakan alas kaki anti-gelincir di sekitar tandas atau bilik air. Lantai licin sangat berisiko, terutama jika anak masih belajar mengimbangkan badan.
Pilih pelapik tandas yang lembut, mempunyai pemegang di sisi, atau bentuk ergonomik yang sesuai dengan tubuh anak. Ini membantu mereka rasa lebih selesa dan yakin.
Tuas atau butang siraman hendaklah mudah dicapai dan tidak memerlukan tenaga berlebihan. Ia melatih anak untuk menjaga kebersihan selepas digunakan.
Pilih tandas yang mudah dibersihkan dan sentiasa pastikan permukaan kering. Kebersihan yang terjaga akan mengurangkan risiko jangkitan kuman.
Gunakan penutup tandas jenis soft-close yang menutup perlahan-lahan untuk mengurangkan risiko hentakan. Pasang pelindung penutup tandas (toilet lid lock) bagi mengawal pergerakan penutup, dan periksa skru engsel secara berkala agar tidak longgar.
Anda juga boleh menambah pelapik getah penahan hentakan di bawah penutup untuk melambatkan jatuhan, selain melatih anak menutup penutup dengan memegangnya sehingga rapat.
Kesimpulannya, pemilihan tandas yang sesuai untuk kanak-kanak bukan sekadar soal bentuk atau harga, tetapi melibatkan keselamatan, keselesaan dan kebersihan. Dengan ciri yang mesra kanak-kanak, mereka akan lebih berani, berdikari dan selamat setiap kali menggunakan tandas.
Tip beli perabot untuk pasangan baru berkahwin. Bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, membeli perabot untuk menghias rumah bersama tentu satu pengalaman yang mengujakan.
Proses memilih perabot bersama bukan sekadar aktiviti membeli-belah, malah akan menjadi kenangan manis yang dikongsi berdua. Pada awal perkahwinan, semestinya pasangan mahu melakukan hampir semua perkara bersama-sama, termasuklah menghias rumah.
Namun, kerana masih berada di fasa awal membina kehidupan baru, tidak jarang berlaku kesilapan dalam memilih perabot. Sama ada dari segi fungsi, saiz, model atau warna, kadangkala apa yang dibeli pada awalnya akhirnya terasa tidak praktikal apabila masa berlalu.
Pengalaman ini mengajar kita bahawa citarasa dan keperluan dalam menata rumah akan berubah mengikut waktu. Justeru, berikut dikongsikan beberapa panduan “do & don’t” untuk pasangan yang ingin membeli perabot bagi rumah baru mereka.
Lokasi kediaman wajar dipertimbangkan sebelum membeli perabot, memandangkan kebanyakannya bersaiz besar. Jika tinggal di kawasan yang akses ke kedai perabot agak jauh, pembelian secara dalam talian boleh menjadi pilihan praktikal. Pesanan boleh dibuat terus melalui telefon pintar, tanpa perlu keluar rumah, malah pilihan juga lebih pelbagai.
Namun jika kedai perabot mudah diakses, membeli secara terus juga menyeronokkan. Selain dapat meneliti kualiti barangan dengan lebih dekat, ada kemungkinan anda mendapat tawaran harga yang lebih baik daripada pemilik kedai. Untuk memudahkan proses, pasangan boleh membuat tinjauan harga di laman web tertentu, menyenaraikan keperluan, dan kemudian terus ke kedai dengan senarai belian yang jelas.
Sama ada rumah milik sendiri, apartmen atau rumah sewa, saiz ruang sangat penting dalam menentukan pilihan perabot. Elakkan membeli perabot yang terlalu besar hingga menjadikan rumah sempit. Untuk apartmen, pastikan perabot mudah dibawa masuk. Pilihan terbaik ialah perabot jenis knockdown yang boleh dibuka pasang semula. Tetapi pastikan dibeli daripada penjual yang pakar supaya kualitinya baik dan mudah dipasang semula.
Kini, dekorasi rumah lebih terancang berbanding dahulu. Ramai yang memilih konsep tertentu seperti minimalis, moden, skandinavia, kontemporari, industri, rustic, atau vintage. Pilih konsep yang sesuai dengan citarasa pasangan. Misalnya konsep skandinavia yang popular, menampilkan perabot putih dipadankan dengan warna semula jadi, memberi suasana bersih, hangat dan elegan.
Menetapkan bajet adalah perkara paling utama. Buat senarai mengikut keutamaan—barang asas dahulu, selebihnya boleh ditambah mengikut kemampuan. Manfaatkan promosi untuk menjimatkan kos dan gunakan lebihan bajet bagi keperluan lain atau ditabung. Elakkan membeli secara terburu-buru kerana ia boleh menyebabkan penyesalan apabila menemui pilihan lebih baik selepas itu.
Bagi rumah yang terhad ruangnya, perabot multifungsi adalah pilihan terbaik. Contohnya sofa bed yang boleh dijadikan tempat tidur tambahan untuk tetamu. Perabot seperti ini membantu menjimatkan ruang sambil memberi lebih banyak kegunaan.
Jangan sia-siakan hadiah perkahwinan yang diterima. Gunakan sebaik mungkin untuk melengkapkan kediaman. Jika ada tetamu yang bertanya, nyatakan dengan jujur jenis hadiah yang diperlukan supaya pemberian itu lebih bermanfaat. Selain itu, perabot yang dimiliki sebelum berkahwin juga boleh digunakan semula. Ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah bentuk amalan lestari kerana memanjangkan tempoh guna barangan.
Pilih perabot berkonsep kompak supaya ruang lebih kemas dan tersusun. Contohnya katil dengan laci penyimpanan di bawah atau set meja makan yang boleh disusun rapi apabila tidak digunakan.
Jika tidak mempunyai warna kegemaran tertentu, sebaiknya pilih warna neutral seperti putih, kelabu atau kayu semula jadi kerana mudah dipadankan dengan pelbagai konsep dekorasi. Dalam masa yang sama, utamakan kualiti. Perabot yang baik bukan sahaja tahan lama, malah lebih selesa digunakan dan mudah dijaga.
Membeli perabot untuk rumah baru adalah pengalaman yang penuh keterujaan bagi pasangan baru berkahwin. Namun, perancangan yang teliti dari segi lokasi, saiz, konsep, bajet, serta fungsi akan membantu mengelakkan pembaziran.
Dengan memilih perabot yang praktikal, berkualiti dan sesuai konsep, rumah baru bukan sahaja selesa didiami, tetapi juga mencerminkan identiti dan keserasian pasangan.
Gas memasak seperti LPG (liquefied petroleum gas) adalah satu keperluan utama dalam kebanyakan rumah. Tapi ramai tak sedar, ia juga boleh menjadi sangat merbahaya bila berlaku kebocoran. Satu percikan api kecil pun boleh menyebabkan letupan besar yang meragut nyawa dan memusnahkan harta benda.
– JANGAN buka sebarang suis elektrik atau hidupkan api.
– Buka semua tingkap dan pintu untuk pengudaraan segera.
– Tutup kepala gas jika mampu berbuat dengan selamat.
– Keluar dari rumah dan hubungi bomba.
– Guna kepala gas dan hos berkualiti & ikut standard SIRIM.
– Jangan guna kepala gas lama atau berkarat.
– Periksa hos sekurang-kurangnya 6 bulan sekali.
– Jangan simpan silinder gas berhampiran tempat panas atau berapi.
– Elak dari biarkan dapur gas menyala tanpa pengawasan.
Kes gas bocor bukan isu kecil. Ia tak beri amaran banyak kali. Sedikit cuai, padahnya boleh jadi nyawa melayang. Jadikan keselamatan sebagai keutamaan di dapur. Bila ada tanda gas bocor, bertindak segera. Lebih baik panik sekejap, daripada menyesal seumur hidup.
Membeli rumah subsale perlukan ketelitian yang tinggi. Jangan terpedaya dengan cat baru, pastikan anda memeriksa 10 perkara kritikal ini sebelum menurunkan tanda tangan pembelian.