
Bermula hanya dengan minat dan impian, Noraida membuktikan bahawa sesiapa pun boleh memiliki kediaman yang indah dan selesa walau tanpa khidmat pereka dalaman. Dengan bajet sederhana dan inspirasi dari Pinterest, beliau menyusun setiap inci ruang rumahnya mengikut citarasa, penuh ketelitian dan sentuhan peribadi. Hasilnya? Sebuah rumah ala Modern English Cottage yang bukan sahaja cantik dipandang, tapi cukup menenangkan untuk didiami. Ini bukan sekadar rumah, tapi lambang usaha, sabar dan cinta dalam setiap perincian.
Setiap Sudut Ada Cerita

Apa yang membuatkan Noraida jatuh cinta dengan rumah ini ialah reka bentuk dan susun atur rumah ini sangat praktikal. “Rumah ini direka dengan susun atur yang terbuka, memastikan setiap ruang berhubung secara harmoni dan selesa untuk kegunaan harian,” katanya. Gaya Modern English Cottage yang dipilih bukan sahaja menyerlahkan keunikan rumah, tetapi juga memberikan suasana yang hangat dan menenangkan, menjadikan setiap sudut kediaman ini istimewa.
Rumah ini dilengkapi dengan empat bilik tidur, tiga bilik air, dapur, ruang tamu, ruang keluarga, ruang makan, ruang dobi dan stor, semuanya disusun untuk memaksimumkan keselesaan dan fungsi.
Inspirasi dan Proses Dekorasi
Inspirasi Noraida datang dari minatnya terhadap gaya rumah Inggeris yang ringkas namun menawan. “Saya banyak merujuk dari Pinterest dan Instagram untuk mendapatkan idea,” kongsinya. Noraida memilih untuk menguruskan sendiri proses dekorasi, dari pemilihan warna dinding hingga susunan perabot dan aksesori hiasan. “Saya juga mendapat pandangan dan nasihat suami untuk memastikan setiap keputusan seimbang,” tambahnya.
Proses dekorasi ini mengambil masa lebih setahun dan dilakukan secara berperingkat mengikut bajet. “Kami tidak tergesa-gesa. Setiap peringkat dirancang dengan teliti untuk memastikan hasilnya memuaskan,” ujar Noraida.
Ruang Tamu Jadi Ruang Kegemaran

Salah satu ruang kegemaran Noraida ialah ruang tamu berhampiran pintu besar dan balkoni yang dipenuhi pokok bunga. “Di sini, saya dan keluarga dapat berehat dengan tenang dan selesa. Pemandangan hijau dari balkoni memberikan rasa damai yang sukar digambarkan,” katanya. Ruang ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat berkumpul keluarga, tetapi juga menjadi titik tumpu untuk menikmati keindahan reka bentuk dalaman yang serasi dengan alam.

Tambah pemilik, dia lebih suka membeli aksesori hiasan yang sudah siap, tetapi untuk perabot, dia memilih untuk custom-made. “Perabot custom-made membolehkan saya menyesuaikan reka bentuk dengan konsep Modern English Cottage yang saya inginkan,” jelasnya. Pendekatan ini memastikan setiap elemen dalam rumah selari dengan visinya, dari tekstur hingga warna.
Pengalaman Jadi Pengajaran
Seperti kebanyakan peminat dekorasi, Noraida juga pernah melakukan kesilapan. “Saya terlalu teruja sehingga membeli barang tanpa perancangan teliti. Akhirnya, ada barang yang terasa tidak sesuai dan saya terpaksa menggantikannya,” ceritanya. Pengalaman ini mengajarnya untuk lebih berhati-hati. Kini, Noraida lebih banyak merujuk contoh dekorasi dan membuat perancangan terperinci sebelum membeli apa-apa. “Ini membantu mengelakkan pembaziran dan memastikan setiap item benar-benar sesuai dengan ruang,” tambahnya.
Tip Makeover Bajet Terhad
Bagi mereka yang ingin mengubah suai rumah dengan bajet terhad, Noraida berkongsi beberapa nasihat praktikal:
- Fokus pada cat dan pencahayaan. Warna dinding dan lampu yang sesuai boleh mengubah mood keseluruhan rumah tanpa memerlukan kos yang besar.
- Beli mengikut keperluan. Elakkan membeli semua barang serentak. Kenal pasti kesesuaian setiap item sebelum membuat keputusan.
- Rancang dengan teliti. Luangkan masa untuk merujuk inspirasi dari platform seperti Pinterest atau Instagram untuk memastikan setiap pembelian adalah pelaburan yang berbaloi.
Rumah Impian yang Hidup

Dengan dedikasi dan visi yang jelas, Noraida telah berjaya mencipta sebuah kediaman yang bukan sahaja cantik tetapi juga praktikal untuk kehidupan seharian. Gaya Modern English Cottage yang dipilihnya menggabungkan keanggunan klasik dengan keselesaan moden, menjadikan rumah ini sebagai tempat yang sempurna untuknya dan keluarga.
INFO PEMILIK:
Nama Pemilik: Noraida Mat Yusof
Usia Kediaman: 1 tahun setengah
Konsep Hiasan Dalaman: Modern English Cottage
Keluasan Kediaman: 2500 kaki persegi
Anggaran Kos Rumah: RM550,000 (anggaran keseluruhan termasuk dekorasi)
Jenis Kediaman: Banglo
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.



