Seronok apabila rajin berbudi pada tanah dan ia mengeluarkan hasil. Ruang laman yang sempit pun boleh bercucuk tanam, asalkan tahu jenis tanaman yang sesuai ditanam. Ubi keledek jepun antara tanaman yang sesuai ditanam di kawasan yang memiliki ruang tanah yang terhad.
Bukan apa, jika beli Keledek Jepun ni, boleh tahan juga harganya. Lebih jimat, berbaloi dan puas hati bila tanam sendiri Keledek Jepun ni. Lebih selamat sebab menggunakan baja organik dan paling penting bebas racun perosak.
Terdapat pelbagai cara boleh digunakan untuk tanam pokok ubi keledek jepun ini. Boleh sahaja tanam di dalam guni, pasu, tayar,polibeg dan polisterin pun boleh mengeluarkan hasil.
Antara Jenis Ubi Jepun yang sesuai ditanam dengan cara begini ialah
(Ubi Keledek Jepun Haruka Beni isi kuning) (Ubi Keledek Jepun isi oren Original ) (Ubi keledek Cameron Isi Purple)
Cara Tanam Ubi Jepun Dalam Polibeg
Perkongsian daripada Aqella Ayda yang berjaya menanam ubi keledek di tepi pagar laman rumahnya dengan hanya menggunakan polibeg boleh dijadikan panduan. Malah pokok keledek tersebut mengeluarkan hasil cukup memuaskan hanya dalam tempoh 3 bulan lebih.
“Siapa kata tanam ubi keledek Jepun kena tempat yang lapang luas. Tanam dekat rumah taman pun boleh. Saya guna polibeg size 16×16 je. Selain ubi, pucuknya juga boleh dipetik seusia dua bulan. Rasanya cukup manis apabila dimasak,”
“Alhamdulillah dapat rezeki hasil tanam pakai keratan ubi keledek Jepun manis. Berat jugak hasilnya. Sebelum ni saya tanam pakai ubi tetapi tidak menjadi.
“Sehinggalah saya beli benih keratan dengan Mohd Ijat. Alhamdulillah menjadi. Lepas tanam dapat tuai hasil dalam masa empat bulan,” dedahnya lagi.
Ads
Tip Tanam Pokok Ubi Keledek (Guna Keratan Batang)
1. Tanam menggunakan keratan yang menjalar.
2. Tanam dalam polybeg yang besar. Masukkan 3 keratan paling maksimum.
3. Guna tanah biasa kemudian buat campuran baja tahi ayam proses dengan tanah organik.
4. Tak perlu siram kerap. Jika betul-betul panas baru siram.
5. Apabila pokok mula menjalar, potong bahagian tersebut namun pastikan tidak terlalu pendek. Selepas itu letak baja siraman.
6 . Apabila usia pokok ubi keledek Jepun dua bulan, boleh petik pucuk untuk dimasak sementara menunggu buah matang.
7. Tempoh matang pokok atau hasilnya boleh dituai sekurang-kurangnya setelah 3 bulan 15 hari.
Tip Tanam Pokok Ubi Keledek (Guna Ubi)
1. Guna ubi keledek yang agak kecil dan rendam dalam sedikit air. Boleh letakkan ubi secara tegak atau baring.
2. Boleh juga simpan dalam bekas yang kedap udara, letak tempat redup, seperti tepi sinki. Untuk kekalkan kelembapan dan cepat keluar tunas. Semua biji benih perlu simpan dalam bekas bertutup.
3. Selepas beberapa hari, akar halus akan mula keluar dari ubi. Pastikan air di dalam bekas tidak kering. Tak perlu tukar air setiap hari. Cuma tukar air kalau bertukar jadi keruh atau berbau. Sekiranya ubi tu jadi busuk pada peringkat ni, maknanya tak menjadi lah. Kena cari ubi yang lain. Sebaiknya buat 2-3 ubi serentak. Kalau satu tak menjadi, ada yang lain lagi.
Ads
4.Selepas seminggu lebih, akan ada tunas yang muncul pada ubi. Pastikan air tidak kering & tunggu saja tunas-tunas jadi besar & berdaun.
5. Bila tunas dah ada sepasang daun, cabut bahagian pangkalnya. Cabut ya, jangan patahkan pulak. Bila kita tarik perlahan-lahan dia akan tertanggal dari ubi tu. Inilah sulur yang kita akan tanam nanti. Kalau takut dia patah, boleh potong sekeliling tu guna pisau.
6. Rendam sulur yang dicabut beberapa hari sampai keluar akar yang agak panjang/banyak.
7. Pindahkan sulur ke media tanaman yang sesuai. Boleh gunakan tanah atau cocopeat.
Ads
8. Pastikan medium tanah kena peroi. Tanah tak boleh padat. Kalau padat nanti tak ada ubinya. Kalau nak tanam dalam pasu medianya kena 2:1. 2 bahagian cocopeat campur dengan 1 bahagian tanah hitam atau tanah gambut.
9. Letakkan di tempat redup beberapa hari untuk beri masa akar tumbuh di dalam media. Selepas anak pokok dah stabil, boleh diubah ke tempat yang dapat lebih banyak cahaya matahari.
Semoga Bermanfaat!
IMPIANA: Jadi bagi yang ingin cuba belajar tanam pokok ubi keledek sendiri di laman rumah, boleh cuba tip yang dikongsikan ini. Memang menjadi hasilnya, tak perlu kawasan yang luas pun.
Bila cuaca panas rumah kita mula terasa bahang, bukan saja waktu siang, malam pun sama. Memang serba tak kena dibuatnya.
Jadi apa kata kita cuba cara altenatif menanam tumbuhan ‘indoor’ ini. Tumbuhan-tumbuhan ini membersihkan udara dalam rumah secara semula jadi sekaligus menyejukan rumah.
Bagi yang tiada air freshner setidak-tidaknya pokok ini mampu memberi udara yang lebih bersih dalam kediaman.
Ini yang diviralkan tapi sebenarnya ada lagi beberapa jenis pokok yang boleh kita tanam dan letakkan dalam rumah untuk fungsi yang sama. Malah ada antara pokok ini mampu menyerap racun dalam udara dalam kadar yang tinggi.
Pokok-pokok ini juga hijau dan cantik untuk menyerikan kediaman, jadi daripada tanam pokok bunga yang kita tak tahu manfaatnya lagi elok tanam yang ini.
1. Pokok sirih gading
Pokok yang dikenali juga sebagai Devil’s Ivy ini kalau diperhatikan selalu ditanam dalam pejabat. Sangat cantu kalau diletakkan dalam pasu kecil. Ia menyerap fomaldehyde dan toksin berbahaya yang lain.
2. Aloe Vera
Selalu kita tanam pokok ini di luar rumah. Kegunaanya yang kita tahu untuk kecantikan kulit saja. Tapi ada lagi kebaikan pokok aloe vera ini. Kalau diletakkan dalam rumah ia mampu membunuh bahan kimia berbahaya di udara seperti benzena. Daripada terbiar di halaman bawa masuk dalam rumah ya.
3. Monstera deliciosa
Daun pokok ini memang cantik. Sangat bermanfaat jika diletak dalam rumah kerana mampu memperbaiki kualiti udara dengan menyerap karbon dioksida dan menghasilkan oksigen pada waktu malam. Ia juga mampu menyerap formaldehyde dalam udara.
4. Dracaena
Spesies dracaena (sanderiana dan marginata) menjadi penapis kepada udara yang berkuap. Bagi anda yang tidak berpeluang membuka tingkap dengan kerap, memiliki dracaena di dalam rumah boleh membantu menyegarkan udara dalam rumah.
5. Spider plant
Kelebihan meletakkan spider plant dalam rumah ialah ia memiliki daya serap yang sangat tinggi terhadap racun-racun di udara. Dalam masa dua hari, tanaman ini mampu menyerap racun di udara sehingga 90%.
Dalam pada itu kehadiran pokok-pokok hijau ini di dalam rumah bukan saja membersihkan udara tapi juga menyejukkan pandangan dan suasana dalam rumah.
Pegaga merupakan salah satu ulam tradisional yang sangat digemari di Malaysia. Bukan sahaja enak dijadikan ulam, tetapi ia juga boleh dijadikan hiasan di laman.
Pegaga sebenarnya boleh ditanam secara gantung selain di atas tanah. Bila ditanam secara gantung lebih mudah untuk dipetik. Paling seronok bila tengok pokoknya tumbuh subur dan rimbun.
Bagi yang suka makan ulam pegaga ini, boleh tanam sendiri ikut kaedah gantung. Caranya boleh ikut panduan yang Izam Ijam ini.
KAEDAH TANAM PEGAGA GANTUNG:
Bahan-bahan yang diperlukan:
Medium cocopeat 100%
Baja fertigasi AB 1.5 ec atau 50ml A 50ml B 20 liter air
Racun serangga brogard + garlic oil
Polibeg tanpa lubang bawah
Pokok pegaga
Cara penanaman:
1. Isi cocopeat dalam polibeg basahkan. Pastikan polibeg tiada lubang bawah.
2. Ambil pokok pegaga, boleh beli di pasar dan pastikan ada akar atau cabut kat belakang rumah (kalau ada).
3. Potong daunnya dan tanam dalam polibeg sekurang kurangnya 5 pokok untuk satu polibeg. Kemudian siramkan permukaan polibeg tadi dengan air baja AB sebanyak 240ml atau satu cawan sehari.
4. Letakkan polibeg di tempat yang tidak terkena hujan dan seeloknya kena panas pagi.
5. Selepas seminggu gantung polibeg boleh letakkan di tempat yang panas dari pukul 8-12 tengah hari. Panas sampai petang pun tak mengapa.
6. Siram polibeg 2 kali sehari pagi dan petang atau siram polibeg sehingga berat purata 2kg. Jangan lebih nanti akar lemas dan busuk.
7. Sembur racun serangga seminggu sekali, seeloknya guna racun organik. Petik dan boleh terus dimakan.
8. Kalau malas nak siram gunalah sistem fertigasi. Pastikan air siraman sudah dicampurkan baja AB.
9. Usia 1 bulan boleh tuai. Jangka hayat pegaga ini boleh sampai setahun jika rajin prunning daun.
Baking Soda bukan sekadar bahan agen penaik ketika membuat kek, roti atau pastri. Namun, bahan ini juga berguna di laman tanaman.
Untuk info, Baking soda ini boleh menjadi menjadi racun serangga yang selamat untuk merawat tanaman yang diserang serangga perosak.
Berikut adalah cara menggunakannya:
1. Elak serangan siput
Siput selalunya menyerang tanaman pada waktu malam. Menjelang senja taburkan baking soda keliling tanaman. Otot siput akan hancur jika terkena soda. Tapi pastikan baking soda tak kena pangkal tanaman hanya keliling tanaman.
2. Hapuskan bena putih
Serangan bena putih ini memang selalu berlaku pada pokok sayur. Bena putih ini akan memenuhi daun. Salah satu cara untuk merawat masalah serangga perosak ini adalah dengan membuat campuran menggunakan baking soda seperti di bawah;
-1 sudu baking soda,
-1 sudu minyak
-1 sudu sabun pencuci pinggan cair dan
-4 liter air.
Tuangkan campuran ini ke dalam botol semburan dan semburkan pada tanaman setiap minggu sampai keputihan hilang. Dalam pada itu perhatikan juga kalau ada tanda-tanda melecur kerana beberapa jenis tanaman mungkin sensitif dengan bahan ini.
3. Maniskan tomato
Jika tanam pokok tomato dan mahu hasil buah tomato yang manis, boleh gunakan baking soda. Caranya, cuma taburkan sedikit baking soda pada tanah di sekeliling pokok tomato.
Baking soda yang bersifat alkali, jadi ia boleh merendahkan kadar asid dalam tanah hingga menjadikan tomato lebih manis.
4. Hilangkan masalah kulat hitam/ fungus
Kalau nampak tanaman biasanya pokok kari atau cili mengalami masalah kulat hitam pada daun-daunnya boleh bancuh semburan ini untuk menghilangnya.
Campurkan 1 sudu teh baking soda dan 1 liter air. Masukkan dalam botol dan sembur di bahagian pokok yang terkena jangkitan kulat.
5. Semut hurung tanaman
Masalah semut juga selalu menyebabkan tanam rosak. Semut ini bukan saja ada di pangkal pokok tapi juga menghurung batang dan daun pokok. Bagi mengelakkan serangan semut pada tanaman gunakan cara berikut;
Ambil sedikit gula halus lalu campurkan bersama sedikit baking soda. Semut ini akan mati bila termakan campuran ini. Atau boleh juga buat air semburan seperti langkah no.2.
6. Elak rumput tumbuh celah bata
Bagi mengelakkan rumput tumbuh pada celah atau rekahan bata pada lantai cuma taburkan baking soda pada bahagian tersebut. Ia akan mematikan rumput dan mengelakkan benih rumput tumbuh. Lakukan beberapa bulan sekali.
Jadi banyakkan kegunaan baking soda ini di laman anda. Yang penting selamat tanpa bahan kimia. Selamat mencuba!
Sokong Anak Minat Bisnes 'Baking', Aeril Hadiahkan Hayla Peti Sejuk 'Chiller'. Setiap mak ayah pastinya ingin memberikan yang terbaik buat anak dan menyokong apa juga minat baik mereka ingin lakukan. Malah jika berkemampuan turut memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk.