Isi Kandungan
ToggleTip hias ruang belajar anak, lebih kondusif dan efektif. Bagi memastikan anak-anak anda dapat mengulang kaji pelajaran dengan tenang di rumah, suasana ruang belajar yang kondusif perlu dititik beratkan. Jika tiada ruang belajar yang kondusif, ini akan menimbulkan banyak masalah kepada anak anda.
Jika mood study ke laut atau suasana belajar suram, ini juga akan menjejaskan prestasi anak-anak anda. Dengan itu, IMPIANA kongsikan beberapa tip yang perlu diambil kira untuk mewujudkan ruang belajar di rumah.
1. Pilih Ruang yang Tepat
Pilih kawasan dalam bilik yang sunyi dan mempunyai gangguan yang minimum. Pastikan terdapat cahaya semula jadi yang mencukupi atau tambahkan pencahayaan yang cukup terang. Pencahayaan yang tidak mencukupi boleh menyebabkan keletihan mata.
2. Meja dan Kerusi Selesa
Pastikan meja dan kerusi yang anda pilih adalah ergonomik dan sesuai untuk ketinggian anda atau anak anda. Kerusi yang selesa dan menyokong postur badan boleh meningkatkan keselesaan ketika belajar.
3. Penyimpanan Tersusun
Sediakan ruang storan untuk buku, alat tulis dan alat belajar yang lain. Almari atau rak buku yang kemas akan membantu memastikan bilik bersih dan memudahkan akses bahan belajar. Pastikan meja belajar disusun dengan baik, termasuk menguruskan kabel elektronik seperti pengecas atau lampu meja supaya ia tidak menjadi kucar-kacir.
4. Papan tulis atau Papan Putih
Jika boleh, tambahkan papan tulis atau papan putih berhampiran meja untuk mencatat nota, menulis idea, atau menyelesaikan masalah.
5. Hiasan Berinspirasi
Hiaskan dinding dengan gambar-gambar inspirasi, petikan motivasi atau peta dunia untuk merangsang kreativiti dan motivasi. Anda boleh hias ruang belajar mengikut kreativiti dan minat anda supaya lebih bersemangat.
Moga bermanfaat!
IMPIANA: Dengan menggunakan tip ini, anda boleh mewujudkan ruang belajar yang efektif di dalam bilik anda, untuk anak-anak anda dan untuk diri anda sendiri.
Mesti Baca: PKP- Sediakan Ruang Belajar Sebaiknya Untuk Anak- Anak
Baca Lagi Di Sini: Ciri-ciri Ruang Belajar Yang Boleh Tingkatkan Fokus Anak-anak
Artikel Menarik: Ingin Wujudkan Suasana Seronok Ruang Bekerja Di Rumah? Ini Idea Inspirasi Rekaan Hiasan Dalaman Buat Anda
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Rumah Kecil Atau Besar Bukan Penentu BAHAGIA, Deko Ikut Kemampuan Asalkan Kemas & Tenang
Ada benarnya keluasan rumah kecil atau besar bukanlah penentu kebahagiaan. Dekorasi rumah ikutlah kemampuan yang ada asalkan selalu kemas dan dapat membuatkan kita rasa tenang apabila berada di rumah sendiri. Ada beberapa perkara yang perlu diambil berat apabila ingin menghias rumah sendiri.
Perkongsian daripada Nurlia Mohd Nor ini boleh dijadikan panduan.
Ada yang pm saya bertanyakan pendapat mengenai tip nak deko dan mengemas rumah.
Secara jujurnya saya bukanlah orang yang layak nak bercakap hal ini. Cumanya kalau setakat berkongsi pengalaman tu boleh la.
Ada 2 perkara penting yang kena ambil kira sebelum nak mendeko rumah:-
1) BAJET/ kemampuan kita. Jangan ikut ‘selera’, tapi ikutlah kemampuan supaya tak pening kemudian hari.
2) Apa yang kita SUKA, bukan apa yang orang suka. (warna, tema dan sebagainya). Kita yang nak tinggal dalam rumah tu so kita sendiri decide.
Dua ni saja cukup, kita dah pun boleh mula mendeko dan mengemas rumah dengan tenang.
Saya mengimbau kembali waktu beli rumah ni dulu. Kami sign agreement pembelian rumah ni pada tahun 2014. Dari duit simpanan bisnes yang ada pada waktu itu saya spend untuk beli barang elektrik dan perabot. Kami suami isteri memang dah plan dari awal. Ada barang dari rumah lama kami bawa, ada juga barang yang kami jual dan tinggal saja di sana untuk penyewa guna.
Kebetulan awal tahun 2015 ada satu kedai elektrik/ perabot ni buat sales. Saya beli jugak walaupun rumah belum siap. Hahaha. Saya minta kedai tu simpan barang- barang yang kami beli sehingga rumah siap. Syukurlah boleh kawtim . Dalam setahun lebih juga dia simpan.
Waktu tu kami beli:-
– Mesin basuh ruang atas
– Peti sejuk
– Hood dapur
– Dapur memasak
– Rice cooker
– Katil
– Sofa
– Meja makan
– Oven
– Microwave
Dan adalah beberapa barang lain.
Setel 1 bab..
April 2016 barulah dapat kunci rumah. Benda pertama yang kami buat adalah pasang grill, lampu, kipas, ceiling plaster dan kabinet dapur. Ni bagi saya penting. Kalau yang berhajatkan ceiling plaster ada di rumah memang kena buat yang ni dulu memandangkan habuknya tersangatlah azab nak cuci. Kalau dah masuk barang baru nak buat memang letihla. Mau berhari- hari nak hadap kerja mencuci. Silap silap boleh demam sebab habuk dia lain macam.
Tapi kalau taknak buat, abaikan.
Kalau ikutkan keinginan kabinet dapur siapa taknak yang cantik kan. Tanyalah mana- mana wanita mesti ada impian nak memiliki dapur idaman. Saya survey harga untuk solid wood (nyatoh), 3G/4G glass door dan bermacam- macam lagilah. Kalau ikut selera memang nak nyatoh. Masa tu dalam kepala nyatoh kelabu/ dark blue. Hahaha.
Tapi…
Kalau dibanding rm7k dengan rm20-30k ternyata jauh sangat beza. Boleh guna duit tu untuk buat benda lain pada waktu itu. So kami pilih yang mampu milik. Alhamdulillah dah 6 tahun pun tinggal di rumah ni. Boleh kata hari- hari masak, kabinet dapur masih elok macam dulu. Yang penting mahal ke murah penjagaan kena ada. Kalau mahal tapi tak jaga akan jahanam juga kan..
Selepas 3 tahun tinggal di sini barulah pelan pelan upgrade. Tak semua buat sekaligus. Pasang awning di porch, di balkoni, buat loteng di hall atas dan sebagainya. Awning pun yang biasa saja. Dua awning atas bawah tak sampai rm5k tak silap.
Bab deko dalam rumah pula ikutlah apa yang kita suka. Nak cat warna kuning, silakan. Nak cat warna hijau, silakan. Nak cat warna hitam pun silakan. Yang nak tinggal lama dalam rumah tu kita. So buatlah ikut apa yang kita suka. Cuma yang penting kebersihan dan kekemasan dalam rumah kenalah jaga supaya sedap mata memandang. Yang ni kenalah konsisten. Jangan masuk rumah baru sebulan dua je ok, kemudian dah tunggang langgang.
Habit/ rutin mengemas tu kena jadikan aktiviti harian barulah semua akan ok sampai bila- bila.
Kalau nak ikut pendapat orang ada orang suka tema scandinavian, ada orang suka tema farmhouse, ada orang suka tema moden dan sebagainya. Citarasa orang tak sama. So dalam mendeko ni takde istilah siapa betul, siapa salah. Masing- masing punya citarasa, so ikutlah.
Saya perasan juga sejak usia dah menjejaki 44 tahun kalau boleh semua nak tenang tenang saja. Deko rumah pun nak yang lapang, taknak serabut dah, guest friendly dan paling penting nak suasana yang menenangkan saja.
Rumah kecil atau besar bukanlah jadi penentu sesebuah kebahagiaan. Yang penting rumah bersih, kemas dan suasana dalam rumah tenang inshaAllah semua orang dalam rumah happy.
IMPIANA: Setuju dengan apa yang dikongsikan ini. Rumah saiz kecil atau besar bukan penentu bahagia. Dekolah rumah dengan cara kita sendiri, apa yang kita suka. Paling penting keadaan rumah bersih dan kemas, baru lah tenang di rumah sendiri.
Mesti Baca:Wanita Ini Deko Rumah Konsep Scandinavian Tanpa Perlu Perabot Atau Perhiasan Mahal
Baca Lagi Di Sini:Tak Jemu Mata Memandang, Dekorasi Rumah Flat Tampak Elegan, Cantik & Kemas
Artikel Menarik:Rumah Baru NUBHAN Siap Sepenuhnya, Dekorasi Minimalis Tetapi Tetap Elegan!
Sumber: Nurlia Mohd Nor
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Ini Cara Yang Betul Untuk Cat Dinding Luar Rumah Kekal Lebih Lama
Cat dinding pada bahagian luar rumah ternyata lebih cepat mengalami kerosakkan. Ianya seperti warna menjadi pudar dan rekahan cat terkupas kerana terdedah dengan panas matahari dan air hujan. Malah, perubahan iklim yang tidak menentu juga menyebabkan dinding luar rumah anda ditumbuhi oleh kulat kerana suhu yang basah dan lembab.
Oleh kerana itu, dinding luar rumah anda perlu dirawat dan di cat mengunakan cara yang betul.
1. Bersihkan Dinding yang Hendak Dicat
Sebelum memulakan proses mengecat, anda perlu pastikan dinding dalam keadaan bersih dan tidak ada kotoran atau debu tebal yang melekat. Jika tidak dibersihkan, kotoran yang terdapat pada dinding dapat membuat cat mengelupas dan tertanggal apabila ia kering.
Jika dinding anda dipenuhi dengan lumut, anda tembak sahaja air paip dengan semburan yang maksima sehingga lumut-lumut itu tertanggal.
2. Pilih Cat Khas Untuk Outdoor
Cat khas untuk outdoor biasanya sudah diformulasikan untuk mengecat dinding bahagian luar sehingga lebih kuat dan tahan lama untuk melindungi dinding dari perubahan iklim. Salah satu ciri cat dinding luar rumah biasanya mencantumkan keunggulannya seperti weather proof atau weather resistance.
Selain itu, kandungan cat ini juga boleh mencegah timbulnya lumut dan kulat akibat rembesan air hujan. Cat dinding yang baik biasanya akan bertahan tanpa kerosakan dan mengelupas selama hampir empat tahun.
3. Sesuaikan Cat dengan Jenis Dinding
Cat yang biasa digunakan untuk dinding tembok biasa tentu akan berbeza dengan cat yang dipakai untuk dinding kayu atau batu alam. Cat tembok biasanya memiliki tekstur lebih tebal dibandingkan cat dinding batu atau kayu agar lapisan simen di bawahnya tidak terlihat.
4. Pilih Warna Cerah
Pemilihan warna juga penting. Warna cerah disarankan kerana memiliki pigmen lebih sedikit dibandingkan cat warna gelap sehingga risiko untuk pudar lebih sedikit dibandingkan bila anda menggunakan warna pekat. Beberapa warna yang disarankan adalah kuning, hijau muda atau warna putih.
5. Mengecat Dinding di Saat Cuaca Cerah
Pemilihan waktu pengecatan juga penting. Mengecat rumah di saat cuaca cerah pastinya dapat membantu proses pengeringan cat. Bila mengecat di saat musim hujan maka lapisannya akan mudah rosak kerana terbawa air.
Perhatikan juga kondisi dinding rumah sebelum mulai dicat. Dinding yang memiliki permukaan lembab atau basah boleh membuat cat tidak terserap dengan sempurna.
6. Gunakan Teknik Pegecatan yang Tepat
Teknik pengecatan pun harus diperhatikan kerana bila salah akan membuat permukaan tembok tidak halus. Oleh itu, sebaiknya mula sapu dahulu bahagian yang sukar seperti sudut dinding dan bahagian yang dekat dengan atap.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Nak Jimat Bil Elektrik Dan Air, Selalu Selengara Perkakas Di Rumah
Kembali Di Rumah? Teknik Jimat Tenaga Dan Penggunaan Air. Bagaimana anda boleh menjimat dengan memahami peralatan rumah anda dengan lebih baik untuk mengurangkan bil air dan elektrik sambil meningkatkan kualiti hidup! Lebih jimat dan harmoni.
Dengan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini, majoriti rakyat Malaysia telah kembali bekerja dari rumah atau belajar dari rumah sebagai langkah pencegahan untuk (sekali lagi!) mengekang penularan virus. Dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan, ramai yang telah menjadikan rumah bukan sahaja sebagai tempat untuk bersama dengan orang tersayang, tetapi juga sebagai tempat kerja dan bilik darjah bagi mereka yang bekerja dan belajar dari rumah atau hanya menuju ke pejabat dan sekolah mengikut jadual.
Terdapat banyak kelebihan bekerja atau belajar dari rumah termasuk pengurangan masa perjalanan ulang-alik yang langsung dapat menambahkan masa untuk menikmati detik-detik bermakna bersama keluarga. Walau bagaimanapun, salah satu kekurangan apabila berada di rumah untuk tempoh masa yang lama adalah masalah bil air dan elektrik yang lebih tinggi akibat peningkatan penggunaan peralatan elektrik. Menurut Tenaga Nasional Berhad, peralatan elektrik dengan sistem penyejukan seperti peti sejuk, penghawa dingin dan penapis air adalah antara punca peningkatan bil elektrik, manakala penggunaan air turut meningkat untuk menjalankan rutin harian seperti membersih dan memasak waktu berada di rumah.
Memandangkan keadaan semasa yang memaksa kita bekerja atau belajar dari rumah selagi jumlah kes tidak berkurangan, sudah tiba masanya untuk kita memeriksa peralatan rumah yang menyebabkan penggunaan air dan tenaga yang banyak lalu mengambil beberapa langkah mudah untuk mengurangkan perbelanjaan bil setiap bulan sambil meningkatkan kualiti persekitaran rumah kita!
1. Periksa peralatan rumah yang mempunyai fungsi penyejukan dan pertimbangkan peralihan kepada pilihan yang menjimatkan tenaga!
Peralatan lama memerlukan lebih banyak tenaga untuk berfungsi berbanding yang baru, terutamanya peralatan dengan sistem penyejukan seperti penghawa dingin dan peti sejuk yang menggunakan kuasa paling banyak. Sememangnya, ini menyumbang kepada bil elektrik yang lebih tinggi. Anda boleh mempertimbangkan untuk menggantikan peralatan penyejuk lama anda dengan peralatan yang diperakui Energy Star. Perakuan oleh Suruhanjaya Tenaga ini adalah khas untuk pengeluar peralatan elektrik yang mematuhi piawaian ujian prestasi tenaga. Menggantikan peralatan lama mungkin mahal pada mulanya, tetapi ia akan memberi banyak manfaat jangka masa panjang dengan mengurangkan penggunaan elektrik dan jejak karbon daripada penjanaan elektrik. Jika anda sudah menggunakan peralatan yang diperakui Energy Star (atau lebih suka untuk mengguna peralatan lama), anda disyorkan untuk membersihkan peralatan dengan kerap untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan memanjangkan jangka hayat produk kerana penapis yang kotor dalam penghawa dingin atau peti sejuk yang terlalu padat akan menghalang aliran udara dan membebankan peralatan untuk mengekalkan suhu.
2. Periksa kecekapan penapis air lama dan pertimbangkan untuk memasang penapis titik masuk utama untuk kediaman anda
Apabila bercakap tentang penapis air untuk rumah, ramai yang mengaitkannya dengan penapis air atas meja atau bawah sinki yang menapis kekotoran untuk air minuman yang lebih bersih. Selain daripada dua jenis penapis air ini, penapis air jimat tenaga titik masuk utama (POE) boleh juga dipasangkan di saluran paip utama yang membekalkan air ke rumah anda. Jika anda sudah mempunyai penapis air di rumah, adalah digalakkan untuk menjalankan pemeriksaan berkala dengan pembekal perkhidmatan anda untuk memastikan penapis tersebut berfungsi dengan baik dan gantikan model penapis air yang lama dengan model jimat tenaga yang baru apabila sudah tiba masanya. Menurut Encik Koo Zao Cheong, Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia (syarikat penyedia penyelesaian sehenti yang terkemuka untuk persekitaran air yang selamat dan sihat), memasang penapis air POE akan membawa banyak faedah untuk kediaman anda dan merupakan salah satu penyelesaian terbaik kepada pembaziran air dan penggunaan tenaga yang tinggi.
“Kotoran, habuk, pasir dan bahan cemar lain daripada air yang tidak ditapis akan menghasilkan sedimen yang boleh merosakkan peralatan seperti mesin basuh, pemanas air dan mesin basuh pinggan mangkuk. Apabila air tidak ditapis dengan betul sebelum mengalir ke dalam peralatan ini, sedimen akan meningkatkan penggunaan tenaga untuk peralatan kerana lebih banyak kuasa diperlukan untuk peralatan untuk berfungsi secara optimum. Dengan penapis air POE, ia boleh menghalang pembentukan sedimen sekaligus memanjangkan jangka hayat dan memelihara kecekapan tenaga peralatan rumah,” jelas Encik Koo.
3. Jangan lupa lekapan bilik mandi dan dapur anda!
Anda mungkin perasan titisan air dari paip bilik mandi dan dapur anda. Dengan membetulkan kebocoran ini, anda boleh menjimatkan air yang banyak setiap hari! Selain membetulkan paip air yang menitis, anda juga boleh memeriksa sama ada paip dan kepala pancuran mandian anda dilengkapi dengan lekapan jimat air. Berbanding dengan lekapan lama, lekapan bilik mandi yang lebih baru seperti tandas, kepala pancuran mandian dan paip dengan ciri aliran rendah direka untuk kecekapan air berbanding model lama dan boleh menjimatkan ratusan gelen sebulan. Pertimbangkanlah untuk memasang kepala pancuran mandian aliran rendah dan tambahkan pengudaraan pada paip jika lekapan anda adalah model lama untuk memastikan tekanan air yang baik sambil mengurangkan pembaziran air.
4. Menggantikan mentol lampu lama dengan mentol lampu LED
Apabila kita berada di rumah buat waktu yang lama, sudah pastu lampu akan selalu dipasang. Mentol lampu yang anda gunakan boleh menjadi penyumbang utama kepada bil elektrik anda. Salah satu cara untuk menjimat tenaga adalah dengan menggantikan mentol pijar kepada mentol LED kerana mentol LED
menggunakan 25-80% kurang elektrik berbanding dengan mentol pijar. Jika anda masih menggunakan mentol pijar, pertimbangkan untuk bertukar kepada mentol LED untuk penjimatan tenaga dan jangka hayat yang lebih lama.
Sama ada anda memilih untuk membaiki peralatan lama atau menggantikannya dengan produk yang lebih canggih dengan ciri cekap tenaga, ianya penting untuk kerap memeriksa peralatan anda demi pengurusan penggunaan air dan elektrik yang lebih efisien sambil memanjangkan jangka hayat peralatan. Ini bukan sahaja bermanfaat untuk kediaman dan kualiti hidup kita, ia juga dapat menghasilkan impak positif untuk alam sekitar kita.
Jangan lupa Follow, Like & Share : Facebook IMPIANA, Instagram IMPIANAMY, Youtube IMPIANA TV, Tiktok IMPIANAMY
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI