Semut adalah serangga kecil yang seringkali ditemui di rumah. Walaupun saiz mereka kecil, mereka boleh menyebabkan masalah besar, terutama apabila mereka mula membuat ‘rumah’ di tempat yang tidak sesuai seperti soket elektrik. Bukan sahaja menjengkelkan tetapi juga berbahaya.
Ikuti penjelasan lanjut dari seorang pakar kawalan serangga perosak, Khairun Naim Abu Bakar beserta kaedah menghapuskan semut tanpa menyebabkan kerosakan pada soket ataupun sistem pendawaian.
Semut Buat ‘Rumah’ Di Soket Elektrik, Ini Sebab & Cara Atasi!
Menurut Naim, tempat perlindungan dan mencari sumber makanan adalah dua sebab mengapa semut suka berumah di soket.
“Kenapa semut suka buat laluan dalam soket, suis atau plug point dekat rumah kita?
“Semut ada dekat rumah kita kerana dua sebab. Pertama, nak cari tempat perlindungan dan sebab kedua, mencari sumber makanan.
“Dalam rumah kita, laluan yang selamat untuk semut guna adalah dekat plug point lah. Sebabnya, ia masuk dekat satu plug point, ia boleh keluar dekat seluruh rumah kita.
“Sebab plug point ini bercantum. Masuk dekat satu suis, ia boleh keluar dekat bilik tidur, bilik air, dapur dan seluruh rumah. Mudahlah ia nak nak cari perlindungan dan sumber makanan,” jelas Naim di akaun Tiktoknya @khairunnaim4 .
Ditambah lagi, laluan soket di dalam rumah berkongsi di dalam dinding dan tidak boleh dilihat. Maka, terciptalah terowong sebagai laluan untuk semut.
Ads
Cara hapus semut tanpa merosakkan soket atau sistem pendawaian
Justeru itu, Naim turut berkongsi kaedah yang selamat bagaimana boleh menghapuskan semut tanpa menyebabkan kerosakan pada soket ataupun sistem pendawaian.
“Pertama, kita kena ingat jangan menggunakan racun yang bersifat water base atau air. Kalau kita sembur racun bersifat water base dekat pendawaian atau soket rumah, mungkin boleh short. Kalau dah short, dah kena buat wiring satu rumah.
“Oleh itu, kita disarankan untuk menggunakan racun jenis gel. Bila kita titis di satu dua tempat, semut akan tertarik kepada gel tersebut, ia akan makan dan bawa ke sarangnya.
“Dengan cara ini, kita dapat singkirkan seluruhan koloni semut yang ada di dalam soket atau plug point,” kongsinya.
IMPIANA : Masalah semut yang membuat sarang di soket elektrik bukan sahaja menjengkelkan tetapi juga berbahaya.
Cara Menata Barang Antik dalam Dekorasi Moden Anda. Dalam dunia dekorasi, barang antik menawarkan daya tarik dan keunikan yang sukar ditandingi. Walaupun zaman moden menekankan reka bentuk bersih dan fungsional, menggabungkan barang antik ke dalam dekorasi moden dapat mencipta kontra yang menarik dan menambah kedalaman serta karakter pada ruang anda.
Artikel ini akan membincangkan bagaimana anda boleh memanfaatkan pesona barang antik dan menggabungkannya dengan elemen moden untuk mencipta ruang yang elegan dan unik:
Langkah pertama dalam penataan barang antik adalah memilih item yang sesuai dengan gaya dan tema ruang anda. Pertimbangkan jenis barang antik yang sesuai dengan ruang moden anda, seperti:
Perabot: Pilih perabot antik yang mempunyai reka bentuk yang menarik tetapi tidak terlalu berat atau berlebihan. Contohnya, meja kopi bergaya Victorian atau kerusi antik dengan ukiran halus boleh menjadi aksen menarik dalam ruang tamu moden.
Hiasan Dinding: Lukisan, cermin berbingkai antik, atau bingkai gambar lama boleh menjadi elemen yang memikat perhatian pada dinding kosong dan menambah rasa sejarah.
Aksesori Kecil: Jam meja antik, lampu minyak, atau patung kecil boleh digunakan untuk menambah sentuhan antik tanpa mengubah keseluruhan reka bentuk ruang.
Pilih barang antik yang mempunyai sejarah atau cerita unik, kerana ini boleh menjadi titik perbualan yang menarik bagi tetamu anda.
Mengintegrasikan barang antik dalam ruang moden memerlukan keseimbangan dan perancangan yang baik. Berikut adalah beberapa cara untuk mencampurkan elemen antik dengan reka bentuk moden:
Kontras dan Keseimbangan: Gabungkan barang antik dengan perabot moden untuk mencipta kontras yang menarik. Sebagai contoh, letakkan kerusi antik di sebelah meja makan moden atau gunakan cermin antik sebagai titik fokus di dinding dengan latar belakang warna neutral.
Perhiasan Minimalis: Untuk mengelakkan ruang anda daripada kelihatan terlalu berlebihan, pilih beberapa barang antik sahaja dan letakkan di kawasan yang strategik. Ini akan membolehkan barang antik tersebut menjadi fokus tanpa mengganggu keseluruhan reka bentuk.
Campuran Material: Gabungkan bahan moden seperti kaca dan logam dengan perabot antik yang diperbuat daripada kayu atau kulit. Gabungan material yang berbeza ini mencipta tekstur dan kedalaman visual yang menarik.
Penggunaan Warna: Pilih palet warna moden yang neutral atau lembut untuk latar belakang, dan gunakan barang antik untuk menambah warna dan tekstur. Sebagai contoh, jika anda mempunyai dinding putih, sebuah sofa antik dengan corak berwarna-warni akan menonjol dengan baik.
Aksesori adalah cara yang berkesan untuk mengintegrasikan barang antik dalam ruang moden tanpa perlu melakukan perubahan besar. Beberapa idea termasuk:
Lampu dan Lilin: Gunakan lampu atau lilin antik dalam bingkai moden atau tempat lilin. Ini memberikan keseimbangan antara elemen lama dan baru dan menambah suasana yang nyaman.
Tekstil dan Kain: Pilih tekstil moden untuk langsir, bantal, atau karpet dan campurkan dengan aksesori antik. Kain seperti linen atau kapas dengan reka bentuk yang bersih boleh melengkapkan perabot antik dengan baik.
Perhiasan Kecil: Barang seperti bingkai gambar antik atau jam meja boleh diletakkan di atas meja sisi moden atau rak buku untuk menambah sentuhan klasik tanpa mengubah keseluruhan tema.
Barang antik memerlukan penjagaan dan pemeliharaan yang sesuai untuk memastikan ia kekal dalam keadaan baik. Beberapa tip untuk menjaga barang antik termasuk:
Bersihkan dengan Teliti: Gunakan pembersih yang sesuai untuk bahan antik dan elakkan menggunakan bahan kimia yang keras. Sentiasa bersihkan dengan lembut dan ikut arahan penjagaan yang disyorkan.
Jaga Kelembapan dan Suhu: Pastikan barang antik tidak terdedah kepada kelembapan tinggi atau suhu yang melampau. Simpan barang dalam keadaan yang stabil untuk mengelakkan kerosakan.
Penstabilan Struktur: Untuk perabot antik, pastikan ia stabil dan tidak goyang. Sekiranya perlu, bawa kepada pakar untuk pembaikan atau pengukuhan.
Barang antik boleh berfungsi sebagai titik fokus dalam ruang moden anda. Beberapa cara untuk melakukannya termasuk:
Gantung Lukisan Antik: Gantungkan lukisan antik di dinding utama ruang tamu atau bilik tidur. Pastikan ia diletakkan pada ketinggian yang sesuai untuk menarik perhatian.
Gunakan Cermin Antik: Letakkan cermin antik di lokasi strategik seperti atas mantel perapian atau di dinding kosong. Cermin ini bukan sahaja menambah kecantikan tetapi juga membantu memperluaskan ruang visual.
Pamerkan Koleksi: Jika anda mempunyai koleksi barang antik, pamerkannya dalam kabinet kaca atau rak buku. Ini membolehkan anda menonjolkan barang-barang tersebut dengan cara yang menarik dan teratur.
Semoga bermanfaat!
IMPIANA: Keseimbangan antara gaya klasik dan moden bukan sahaja menjadikan ruang anda lebih menarik tetapi juga memberikan sentuhan peribadi yang membezakan rumah anda daripada yang lain.
Kenal Pasti 3 Jenis Golongan Kontraktor & Pemilik Rumah Yang Dianggap Menipu. Kerja-kerja renovasi rumah yang berjaya memerlukan kerjasama baik daripada kedua belah pihak iaitu kontraktor dan pemilik rumah. Sebelum merancang untuk membina atau ubah suai rumah, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira bagi mengelakkan kerugian masa dan wang ringgit buat kedua-dua belah pihak.
Harus lebih berhati-hati dan paling penting perlu kenal pasti tiga jenis golongan kontraktor dan pemilik rumah yang dianggap menipu. Ia bagi mengelakkan renovasi rumah terbengkalai mahupun berdepan dengan pelbagai masalah kelak.
Baca perkongsian daripada Puan Mahanom Mohammad, yang pernah memenangi Anugerah Kontraktor Terbaik tahun 2016 ini sebagai panduan.
(Yang ini memang dia nak menipu. Selalunya dia akan position dirinya sebagai pemaju rumah Fisabilillah).
Modus operandinya senang sangat dikesan – iaitu menawarkan harga tak masuk akal.
Oleh kerana memang dia nak menipu, awal-awal lagi dia dah sediakan dokumentasi tip top. Supaya bila tertangkap, dia mudah terlepas.
Dalam fb ni iklannya memang sentiasa lalu lalang. Kadang iklannya tip top siap drama production. Ejen jualannya memang dia hantar training kaw kaw. Mokcik Pokcik memang sasaran mangsa mereka.
Buat due delligence. Berapa banyak projek dia dah buat. Tanya home owner sendiri. Takut-takut entah rumah mana yang dia bawa sebagai rujukan.
Bawa kontrak dia dan tanya pendapat lawyer lain. Pastikan kontrak yang disediakan itu melindungi hak anda.
(Yang ini jenis masa baru-baru nak jadi kontraktor, memang impian besar nak close jualan.)
Diberinya harga yang dia tak tahu pun harga tu berdasarkan apa.
Kontraktor lain beri harga RM120.00, dia pun beri harga RM120.00.
Kontraktor lain beri harga RM120 untuk struktur sahaja, dia beri harga RM120 siap semua sekali, tiles satu rumah sampai dinding, siap pakej umrah dan kereta MyV.
Risiko harga naik, pelanggan VO beratus kali, dapat tukang tak cekap, banjir, hujan, panas, lori rosak – semua dia tak fikir.
Bila baru 30% kerja naik, baru dia perasan harga yang diberikan tak boleh pergi.
Takut kena marah dengan pelanggan, dia pun terus cabut lari.
Sentiasa check harga pasaran. Jangan percaya pada harga murah lebih dari 10% dari harga pasaran. Kawal bayaran jangan lebih dari progres kerja.
(Yang ini selalunya dia bukan tahupun pasal binaan. Bisnes modelnya sama ada hari ni dia buat dapur esok terus dia rasa dia boleh buat satu rumah. Atau dia akan serah 100% kerja pada tukang sahaja. Tukang menipu kerja pun dia tak tahu)
Yang ini – pemilik rumah hanya sedar kena tipu bila lihat hasil kerja yang teruk. Jika pemilik rumah tanya soalan kenapa konkrit pecah, tiang senget, dinding retak, kenapa tingkap tiada lintel, rumah tiada apron, tak tahu, tahu esok dia dah tak datang.
Sentiasa datang site untuk check kerja kontraktor. Sekiranya tidak mampu, lantik seorang wakil untuk lihat progress kerja.
Kadang walau pemilik rumah sudah cuba sedaya upaya memilih kontraktor yang boleh dipercayai, ada juga yang akhirnya rugi kerana hasil yang didapati dirasakan tidak berbaloi dengan wang yang dibayar. Ada juga hiccups yang berlaku yang menyebabkan kontraktor ambil jalan untuk menamatkan kerja.
Cuma apa yang saya nak katakan, sekiranya boleh,hati-hati dalam memilih kontraktor, kerana apabila rumah terbengkalai, pemilik rumah bukan sahaja rugi wang ringgit tapi akan rasa sakit hati kerana akan rasa tertipu atau diperbodohkan begitu sahaja.
Saya dah jumpa ramai pemilik rumah yang merana apabila rumah tidak siap dibina. Hati-hatilah dalam memilih kontraktor.
Dalam sektor perumahan, ada 3 juga jenis golongan pemilik rumah yang boleh juga dianggap menipu.
(Dia minta sebutharga dan macam-macam brosur dan katalog dari kontraktor. Beri harapan bulan bintang pada kontraktor. Siap beritahu dah solat istikarah dan dapat petunjuk nak lantik kita. Tahu-tahu dia lantik kontraktor lain.)
Yang ini masa minta sebut harga nak buat rumah besar istana. Bila dapat harga istana, terus potong banyak benda supaya sesuai dengan bajet sendiri.
Tapiiii, masa tengah kerja, masa tulah dia suruh buatkan ni sikit dengan alasan sikitttttt je, berilah free.Tahu-tahu dalam tambah sini sikit, tambah sana sikit, kita dah buatkan dia istana seperti yang dia kehendaki awal-awal lagi. Tapi dalam kos yang kontraktor perlu tanggung.
Yang ini selalunya dia bukan tahupun pasal binaan. Tapi dia punya berlagak kalahkan residence engineer.
Kerja dia asyik nak potong claim kontraktor. Ada saja yang tak kena. Masa handing over dia akui semuanya sempurna. Tiba-tiba esok dia kata pintu tercabutlah, lampu terbakarlah, macam -macam lagi.
Saya taknaklah cerita bagaimana nak elak pemilik rumah jenis penipu ni. Kalau kita dah lama jadi kontraktor, perjumpaan pertama kita dah boleh agak sama ada pemilik rumah ni jenis jujur atau sebaliknya.
Cuma apa yang saya nak katakan, sekiranya ada rakan kontraktor yang terkena dengan pemilik rumah sebegini – usahlah risau. Saya dah jumpa ramai pemilik rumah apabila menipu kontraktor, rumah yang dia tinggal pun akan ada banyak masalah jua.
IMPIANA: Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam mengenal pasti ciri-ciri kontraktor dan pemilik rumah yang boleh dianggap menipu. Lebih berhati-hati dalam membuat pilihan bagi mengelakkan renovasi rumah terbengkalai mahupun berdepan dengan pelbagai masalah kelak.
PENTING Pilih Warna LAMPU Sesuai, Berdasarkan Aktiviti Ruang Kediaman. Memilih lampu untuk kediaman bukan sahaja melihat rekabentuknya yang cantik, namun pencahayaan lampu yang sesuai dan tepat juga memainkan peranan penting dalam menyerlahkan lagi suasana dan memaksimumkan fungsi ruang tersebut.
Jika mahu pilih lampu untuk rumah, office dan sebagainya pilih warna berdasarkan aktiviti kawasan. Warna lampu atau ‘light temperature’ dikategorikan dari warm – kekuningan kepada cold- putih kebiruan menggunakan unit K (Kelvin).
Bila kita nak tentukan cahaya lampu yang sesuai, rujuk ni.
Dari carta K itu, biasanya 3 cahaya lampu yang dipilih adalah: – Warm white, 3000k – Daylight (white), 5000k – Cool white, 6500k
Warm white sesuai untuk ruang yang perlukan cahaya selesa untuk rehat diri seperti bilik tidur, ruang tamu. Ada juga pilih cahaya yang lebih kuning, warm,2700k.
Semasa tentukan cahaya ruang, boleh juga sediakan option cahaya lebih warm kepada feature lamp atau kepada lampu katil, lampu lantai yang dipasang apabila semua cahaya lampu lain ditutup.
Option cahaya lampu ini mudahkan penglihatan malam dan juga tidak ganggu orang yang sedang tidur.
Manakala white atau disebut daylight sebab seakan mirip kepada cahaya matahari siang, sesuai bagi kawasan luar seperti koridor, foyer atau yard.
Cool white pula banyak digunakan bagi tempat kerja, bilik belajar,’home office’ yang perlu cahaya putih sedikit kebiruan untuk lebih fokus dan mudah membaca. Atau di dapur bagi memudahkan pelbagai kerja-kerja di dapur.
IMPIANA: Jadi selain memilih rekaan bentuk bentuk lampu yang cantik, pastikan juga pilih warna lampu yang tepat berdasarkan aktiviti yang dilakukan pada ruang tersebut. Ia bagi memaksimumkan pencahayaan mengikut fungsi pada ruang tersebut.
Membeli rumah subsale perlukan ketelitian yang tinggi. Jangan terpedaya dengan cat baru, pastikan anda memeriksa 10 perkara kritikal ini sebelum menurunkan tanda tangan pembelian.