
Ramai yang beranggapan jika ingin menanam pokok mawar atau ros, elakkan daripada memilih jenis memanjat kerana sukar dijaga dan memerlukan kawasan yang luas. Walaupun pandangan ini ada benarnya, sebenarnya masalah tersebut boleh diatasi dengan mudah melalui kaedah yang dinamakan self-pegging ros.
Teknik self-pegging ros bukan sekadar membantu membentuk rimbunan ros yang kelihatan lebih menarik dan kemas, malah ia turut mempercepatkan proses penghasilan bunga. Biasanya bunga ros hanya mekar di hujung ranting, tetapi dengan teknik ini, bunga dapat tumbuh di sepanjang ranting dan menjadikan pokok lebih lebat serta menyerlah.

Bilakah Masa Sesuai Lakukan Self-Pegging Ros?
Self-pegging sesuai dilakukan semasa kerja penyelenggaraan menyeluruh selepas musim berbunga. Ini kerana proses ini melibatkan rombakan besar terhadap rumpun ros yang menjalar. Hanya batang yang sederhana matang sahaja sesuai untuk dilentur bagi mengelakkan ranting patah.

Langkah 1: Pilih Ranting Yang Sesuai
Pertama, kenal pasti ranting yang tidak terlalu tua tetapi sihat dan mempunyai banyak bunga. Cantas dan buang semua ranting yang telah rosak, tua atau tidak produktif. Untuk memudahkan proses self-pegging ros, buang kira-kira 70% daun dan hanya tinggalkan daun muda.
Selepas mencantas, pilih 4 hingga 6 ranting utama yang baik dari pangkal hingga ke pucuk pokok. Sebagai tambahan, biarkan beberapa ranting lain yang mempunyai separuh daripada ketinggian self-pegging bagi menambah kepadatan dan keindahan rumpun ros.
Ranting utama bagi membentuk self-pegging ros hendaklah mempunyai ketinggian antara 8 hingga 10 kaki. Jika tiada ranting sepanjang ini, itu bermakna pokok belum bersedia untuk proses ini. Ranting tambahan pula memadai dengan ketinggian antara 3 hingga 4 kaki.

Tip Tambahan:
Bagi memastikan keselamatan dan hasil yang kemas, minta bantuan pasangan atau rakan ketika melentur ranting. Sementara anda melentur, mereka boleh membantu memegang atau mengikat ranting yang telah siap. Ini memudahkan kerja dan mengurangkan risiko ranting patah.
Langkah 2: Melentur & Ikat Pada Pangkal
Mulakan lenturan daripada ranting yang paling tinggi. Lenturkan perlahan-lahan bahagian pucuk ke arah pangkal dan gunakan sokongan seperti buluh atau paip PVC untuk mengikat ranting yang telah dilentur. Sokongan ini penting bagi mengekalkan bentuk self-pegging ros agar stabil.
Gunakan pita pertanian (plant tie) yang tidak terlalu ketat supaya ranting tidak cedera. Pastikan jarak antara setiap ikatan lebih kurang 2-3 inci pada sokongan yang disediakan. Apabila ros mula merimbun, batang sokongan tersebut tidak akan kelihatan lagi.


Langkah 3: Penyelenggaraan Self-Pegging Ros
Selepas selesai musim berbunga, lakukan semula proses self-pegging ros pada ranting baharu. Gantikan ranting lama dengan yang baru bagi menggalakkan pertumbuhan ranting segar yang lebih produktif dan berupaya menghasilkan bunga dengan lebih banyak.
Selain itu, pastikan penyiraman dan pembajaan dilakukan secara berkala untuk membantu pemulihan pokok selepas proses lenturan. Rumpun ros yang dijaga dengan baik bukan sahaja tampil subur, malah akan menghasilkan bunga yang banyak dan tahan lama.

Sumber: Fine Gardening
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di




