Plug extension rosak? Ini cara baiki sendiri tanpa perlu beli baru. Ramai antara kita pasti memiliki plug extension di rumah untuk sambungan peralatan elektrik harian. Namun, alatan ini juga tak lari daripada mengalami kerosakan. Kadangkala terus ‘mati’ satu set hingga tak boleh digunakan langsung.
Plug Extension Rosak? Ini Cara Baiki Sendiri Tanpa Perlu Beli Baru
Bila berlaku perkara begini, ramai yang akan terus ambil jalan mudah, beli saja yang baharu. Tapi tahukah anda, plug extension yang rosak sebenarnya masih boleh dibaiki sendiri asalkan tahu puncanya?
Perkongsian oleh saudara Muhammad Faris Abdullah ini sangat berguna buat anda yang ingin berjimat serta tidak mahu membazir untuk kerosakan kecil. Beliau menunjukkan langkah mudah membaiki plug extension yang rosak agar boleh digunakan semula dengan selamat.
Cara Baiki Plug Extension Yang Rosak
Baru-baru ini, beliau menemui sebuah plug extension di rumah ibunya yang sudah tidak berfungsi. Hendak beli baru terasa membazir pula kerana harga satu set sekarang boleh mencecah RM20 hingga RM30. Jadi, beliau memilih untuk memeriksanya terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan membeli baharu.
Hasil pemeriksaan awal, beliau mendapati wayar pada bahagian kepala plug sudah longgar. Bila dibuka kepala plug, jelas kelihatan dua wayar utama iaitu Neutral (N) dan Live (L) telah tertanggal. Ini dipercayai berpunca daripada wire clip yang tercabut, kemungkinan besar akibat terlalu kerap digunakan atau banyak tangan yang mengusik.
Sebagai seorang suami, beliau akui mampu saja membeli extension baharu, namun soal maruah dan kemahiran asas sebagai ketua keluarga membuatkan beliau memilih untuk membaikinya sendiri terlebih dahulu. Lagipun, kerosakan sebegini sebenarnya tidak sukar pun untuk dibaiki.
Ads
Langkah-Langkah Baiki:
Periksa dahulu bahagian luar plug. Jika kelihatan wayar longgar atau terkeluar, kemungkinan besar sambungan dalaman juga bermasalah.
2. Buka kepala plug. Kenalpasti sambungan wayar Neutral, Live dan Earth. Dalam kes ini, wayar N dan L sudah tercabut dan wire clip hilang. Pasangkan semula pada pin masing-masing mengikut kedudukan betul – Neutral, Live dan Earth.
3. Sebagai ganti kepada wire clip, gunakan pita penebat (insulation tape). Lilitkan sedikit tebal pada bahagian yang perlu untuk memberikan grip yang lebih kuat dan kemas.
Ads
4. Pasang semula kepala plug dan uji. Alhamdulillah, hasil kerja tangan sendiri, plug extension itu kembali berfungsi seperti biasa.
Perlu diingat, plug extension jenis ini lebih sesuai digunakan untuk peralatan elektrik yang ringan seperti pengecas telefon, kipas kecil atau lampu meja. Elakkan guna untuk peralatan yang menggunakan tenaga tinggi seperti water heater kerana ia boleh membahayakan dan mempercepatkan kerosakan.
Ads
Kesimpulannya, tidak semua barang rosak perlu diganti terus. Jika kerosakan kecil dan boleh diperbaiki sendiri, ia bukan saja menjimatkan kos, malah memberikan rasa puas hati kerana dapat menyelesaikan masalah sendiri. Cuma pastikan keselamatan diutamakan, dan jika tidak yakin dengan sambungan elektrik, dapatkan bantuan mereka yang lebih arif.
Cicak mungkin kelihatan kecil dan tidak berbahaya, tetapi kehadirannya di dalam rumah boleh menjadi gangguan yang tidak menyenangkan.
Cicak sering kali meninggalkan kotoran di dinding, lantai, dan perabot, selain itu, mereka juga boleh mengganggu suasana rumah yang bersih dan kemas. Dengan sedikit kreativiti, anda boleh membuat perangkap cicak DIY yang murah dan mudah menggunakan bahan-bahan yang mungkin sudah ada di rumah anda.
Semalam jadi tukang tangkap cicak. Boring-boring lockdown, kita DIY perangkap cicak daripada kotak & double sided tape.
Bahan & alatan: Keratan kotak & double sided tape saiz lebar, gunting
Umpan: nasi & cebisan ikan bilis (ada cadangan umpan yang lebih efektif untuk cicak?)
Kos: Lebih kurang RM2
1. Potong kotak ikut saiz yang sesuai dan mudah nak letak di lokasi.
2. Double sided tape lagi lebar lagi bagus. Beli kat Mr diy murah, RM2 lebih.
3. Dapat siapkan 8 set.
4. Umpan nasi dan ikan bilis. Lepas ni nak try ikan masin pulak.
5. Letak umpan kat tengah-tengah perangkap.
6. Letak perangkap di lokasi yang biasa jadi tempat cicak berkeliaran.Antara lokasi yang biasa cicak dijumpai.
Hasil tangkapan malam pertama
Selamat Mencuba!
IMPIANA : Jadi jika ada masalah cicak berkeliaran dekat rumah tu, boleh cuba tip yang dikongsikan ini. Mudah dan jimat kos.
Tip bajet buat renovasi ruang dapur, barulah hasilnya macam diidam-idamkan. Bila bercakap soal persiapan menjelang bulan mulia, dapur antara lokasi di dalam kediaman yang sangat penting. Malah banyak masa kita juga akan tertumpu di dapur.
Inilah ruang untuk menyediakan juadah sahur, berbuka puasa malah hari raya. Namun bagi yang berhajat untuk membina semula dapur baru atau memiliki sebuah dapur baru, terdapat beberapa perkara yang perlu di ambil kira. Jangan sesekali lepas tangan dalam memilih komponen dapur, kelak menyesal menggigit jari.
Berikut 10 perkara asas untuk anda beri tumpuan semasa membina dapur.
Pastikan pelan lantai anda cukup untuk ruang kabinetyang dirancang. Adakala kita terlalu bercita-cita tinggi sehingga, angan-angan melebihi realiti. Senaraikan apa yang anda perlu dari sebuah dapur. Bukan yang anda mahu. Ini termasuklah ruang untuk dapur basah dan dapur kering.
Di sesetengah pelan lantai, ruang mencuci juga sebahagian daripada dapur basah. Jadi saliran air masuk dan keluar perlu anda tahu. Begitu juga jika membuat pengubah suaian. Jangan alpa mengenai aliran udara masuk dan keluar kerana ia merupakan faktor keselamatan yang sangat penting. Malah anda yang kidal juga perlu memberi tahu pereka agar lokasi memasak anda tidak menjadikan anda kekok di dapur.
Benar bila bercakap soal dapur, siapa yang tidak mahu sebuah dapur yang mewah dan cantik. Di bina dengan material paling unggul. Namun kita perlu berpijak di bumi nyata. Tidak salah kita memilih material yang kurang mahal tetapi nampak cantik dan serasi pula dengan konsep kediaman. Cuma, jangan malas bertanya kepada kontraktor anda kelebihan dan kelemahan material yang anda pilih.
Jadi dengan ini memudahkan anda untuk menjaga material tersebut sebaik mungkin. Malah jika bijak menjaga ia bukan sahaja tahan lama malah kekal cantik. Biar pun anda memiliki kemasan atau material dapur yang bagus, namun itu tidak bermakna anda bebas mengabaikan dapur anda. Jika permukaan dapur anda sudah kusam, tidak mengapa jika anda menghabiskan masa sekitar dua hari hanya untuk mencanai permukaannya agar kembali bersinar.
Bila mereka bentuk sebuah kabinet , kita boleh merancang rekaan kabinet yang kita mahu. Apakah perkakas dapur yang banyak dalam koleksi. Adakah periuk besar atau koleksi set teh mahu pun spatula yang banyak. Jadi anda boleh menempatkan segala perkakas ini dengan kemas dan tersusun rapi.
Ada kabinet dapur yang direka sehingga aras 7’ tinggi sahaja , tetapi ada juga tuan rumah yang mahu kabinetnya tinggi sampai mencecah aras siling. Jadi ia lebih kemas menutupi keseluruhan dinding. Malah kini pereka juga berkongsi idea dengan rekaan dapur terselindung terutama di kediaman ruang terhad. Dapur dilengkapkan dengan pintu berpangsi dan boleh ditutup jika tidak digunakan. Jadi ruang yang sempit ini nampak cantik, kemas dan tidak mengganggu aktiviti lain.
4. Fungsi dan Fantasi
Kita acap kali mengimpikan sebuah dapur yang sempurna, sama seperti di dalam iklan. Namun realitinya kita terpaksa berhadapan dengan ruang yang ada di kediaman sendiri dan fitrah diri kita sendiri. Ragam kita apabila di sebuah dapur. Gerak kerja kita dan bagaimana boleh kita memanipulasi sebuah dapur.
Ada di antara kita lebih senang memasak sahaja di dapur dan mempunyai kamar membasuh sendiri atau pun ruang membasuh. Ada juga yang suka menggabung semua aktiviti yang memasak, menggosok baju dan membasuh baju di ruang dapur. Jadi anda perlu tahu bagaimana susunan semua peralatan ini agar memudahkan kerja anda di dapur dengan fitrah diri anda terutama jika anda seorang kidal atau kurang upaya.
5. Pilihan Kemasan Yang Sesuai
Sesebuah rekaan dapur. Ini merupakan antara langkah yang penting. Anda perlu tahu kemasan yang paling sesuai dengan dapur anda. Baik dari segi harga mahu pun gaya hidup anda. Adakah anda suka memasak atau tidak. Begitu juga adakah anda jenis yang agak comot bekerja atau seorang yang cermat.
Kemasan memainkan peranan yang sangat penting dalam memberi nilai estetika kepada sesebuah konsep dapur. Sama ada legap, high gloss, matte, berkaca kabut dan lain-lain, kemasan ini membentuk karakter yang tersendiri. Ada di antara kemasan ini mudah dibersihkan atau juga yang akan meninggalkan kesan jika tidak dicuci berkali-kali. Anda malas atau rajin, tepuk dada tanya selera.
6. Pemilihan Penyendal
Ia bagaikan aksesori kepada rekaan dapur. Malah ia juga membentuk sesebuah karakter dapur. Daripada klasik ke moden, ia memberi nilai estetika yang berbeza dan harganya juga berbeza. Jadi fahamkan dengan betul apakah konsep dapur anda dan keserasiannya dengan tombol pintu kabinet anda. Ada juga pintu yang tidak memerlukan tombol dan direka begitu sofistikated dengan menggunakan tekanan jari.
Jadi jangan terlalu taksub hanya dengan melihat rekaan tombol yang pelbagai. Fikirkan juga rekaan pintu kabinet anda juga adakah ia dapat dijodohkan dengan baik dan cantik. Ia hanya sekadar pelengkap rekaan pintu kabinet dapur anda bukannya material utama yang perlu dilihat setiap masa.
7. Pencahayaan
Fahami pelan lantai dapur anda. Adakah ia gelap atau terang? Adakah anda memerlukan langsir nipis atau langsir senteng atau lebih sesuai bidai? Adakah anda memerlukan pencahayaan di bawah kabinet atas ? Adakah anda memerlukan pencahayaan lebih kerana warna kabinetnya gelap? Adakah kabinet anda juga memerlukan pencahayaan struktur yang ditempatkan di dalam kerana menggunakan kaca kabut?
Jika anda mahu melaram dapur kering anda, mungkin boleh ditambah down light atau halogen . Jadi rekaan istimewa dapur kering anda lebih menarik dan menyerlahkan ruang utama kediaman. Namun jika sekadar untuk membuat kerja-kerja dapur, pencahayaan asas sudah memadai.
8. Permukaan kaunter
Permukaan yang dimaksudkan adalah permukaan kaunter dapur anda. Adakah ia diperbuat daripada bahan padu, tahan lasak atau sekadar kayu mampat yang lebih murah. Kini terdapat beberapa permukaan yang lebih tahan lasak, mudah dibersihkan dan menyenangkan apabila disentuh. Ia merupakan satu permainan psikologi pada deria sentuhan kita.
Malah anda sendiri perlu bijak memilih warna material permukaan kaunter dapur anda agar lebih hidup dan menyenangkan. Jangan pula hanya kerana dapur anda hitam , habis sampai permukaan kaunter anda dihias dengan rona hitam. Tidakkah ia bahaya semasa memasak? Padanan seumpama ini juga perlu anda belek berkali-kali dengan kabinet dan kelengkapan lain agar tidak nampak asing dan canggung apabila siap kelak.
9. Aksesori
Tiada lain yang cukup indah pada sebuah dapur selain aksesori yang menarik. Bekas gila, garam, segala rempah ratus. Begitu juga pengisar makanan , ketuhar dan lain-lain lagi. Bukan sekadar pelengkap gaya tetapi menyerikan dapur anda. Pengeluar perkakas dapur juga banyak yang menyediakan rekaan ranggi untuk menghidupkan dapur para pengguna. Malah kebanyakan kelengkapan elektronik dan manual disempurnakan dengan rekaan kreatif pelbagai warna agar serasi dengan pilihan warna dapur idaman anda.
Jadi ada konsep yang memerlukan aksesori yang banyak dan pelbagai ragam. Ada juga yang memerlukan aksesori yang ringkas seragam seperti hitam, jernih mahu pun putih. Malah ada yang memerlukan aksesori yang minimal. Awas, jangan tersalah beli aksesori. Hiasan klasik di tempatkan pada dapur moden?
Bercakap soal kemasan, sekali lagi anda perlu bijak memilih corak dan warna. Kini pereka suka menemukan dua budaya atau dua zaman di dalam sebuah ruang. Bayangkan kabinet moden ringkas bebas corak aksesori kecil, diserlahkan dengan jubin Belanda yang popular di kediaman kolonial.
Belek juga permukaannya. Adakah sesuai dengan diri anda. Berkilau mungkin cantik namun jika anda gemar memasak menggunakan minyak yang banyak, ia mungkin memberi pengaruh kepada kesan lantai dapur anda. Mungkin jubin seperti slate atau granit matte mahu pun terracota sesuai untuk mereka yang cemerkap dan berusia. Apa pun biarlah ia sepadan dengan tema rekaan anda dan mudah dibersihkan.
Ibu tunggal bina rumah idaman dengan Tulang Empat Kerat, Tengok YouTube Saja. Pada saat kebanyakan orang memilih menyerahkan urusan pembinaan rumah kepada kontraktor atau tukang profesional, seorang wanita cekal di Pahang tampil dengan kisah luar biasa apabila membina sendiri rumah impiannya menggunakan kudrat sendiri.
Memetik Sinar Harian, Auni Hazwani Faizun, 33, seorang ibu tunggal membuktikan tiada apa yang mustahil apabila dia sanggup memikul simen, memasang besi dan membina dinding seorang diri demi merealisasikan impiannya untuk memiliki kediaman sendiri.
Berikut video daripada akaun TikToknya @wani Faizun
Menurut Auni, minat terhadap dunia seni sudah sebati dalam dirinya sejak kecil, namun dia tidak pernah menyangka minat itu akhirnya membawa kepada dunia pertukangan dan pembinaan rumah.
“SEBENARNYA DAH LAMA SAYA PASANG IMPIAN NAK ADA RUMAH SENDIRI. TAPI BILA BUAT KIRA-KIRA UNTUK UPAH TUKANG, KOSNYA MEMANG SAYA TAK MAMPU. JADI SAYA NEKAD BUAT SENDIRI, PERLAHAN-LAHAN.
“Dulu saya suka melukis, tapi bila dah besar, minat itu berkembang ke arah buat sendiri atau DIY. Saya terinspirasi lepas tengok rancangan TV pasal tiny house, dari situ saya belajar dan pasang niat satu hari nanti mesti bina rumah sendiri,” katanya.
Auni berkata, walaupun tidak mempunyai asas teknikal dalam bidang pembinaan, dia tetap berusaha belajar semuanya sendiri.
“Tempat saya belajar? Universiti YouTube lah,” katanya berseloroh.
Tambahnya, bahagian paling mencabar adalah di peringkat awal pembinaan yang memerlukan kekuatan fizikal.
“Awal-awal dulu memang susah sebab tak ada alat macam concrete mixer, jadi semua kena buat manual. Bancuh simen, siapkan ground beam, slab lantai, lintel, semua saya buat sendiri. Memang letih, tapi saya kuatkan semangat.
“Tipulah kalau kata tak pernah rasa nak putus asa, ada masanya memang penat sangat. Tapi saya berehat sekejap, tarik nafas, kemudian sambung balik. Bila dah mula, rugilah kalau berhenti separuh jalan,” katanya.
Menurut Auni lagi, dia juga tidak terlepas daripada menerima pandangan skeptikal orang sekeliling yang mempersoalkan kemampuannya.
“Ramai juga yang ragu-ragu, tak yakin saya boleh buat. Tapi saya abaikan semua itu. Kalau saya nak sesuatu, saya akan kejar sampai dapat, tak kisah apa orang nak kata,” ujarnya.
Kini, rumah yang dibina sendiri oleh Auni sudah siap kira-kira 70 peratus, mengambil masa sekitar dua tahun setengah, jauh lebih cepat berbanding sasaran asal selama lima tahun.
Ditanya apa pesanan untuk wanita lain yang ingin mengejar impian, Auni berkongsi kata-kata penuh makna.
“Kalau kita rasa cita-cita kita besar, percayalah ALLAH itu jauh lebih besar. Tak ada yang mustahil bagi-NYA. Kita minta dengan yakin, usaha sungguh-sungguh, Insya-ALLAH, cepat atau lambat, DIA akan bantu,” katanya.
Kisah Auni yang sanggup membina rumah impian dengan tenaga sendiri mendapat perhatian masyarakat termasuk di media sosial.
Namun katanya, dia tidak ambil hati dengan komen negatif kerana majoriti yang memberikan reaksi adalah positif.
“Memang ramai yang terkejut dan kagum sebab bukan biasa dengar perempuan buat kerja berat macam ini, buruh bina rumah, buat semua seorang diri. Tapi saya dapat sokongan yang sangat baik, yang negatif pun ada tapi sikit sangat, saya tak ambil pusing,” katanya.
Kisah Auni bukan hanya tentang membina sebuah rumah, sebaliknya adalah lambang kekuatan, harapan dan keyakinan terhadap diri sendiri.
Ia menjadi inspirasi buat wanita lain untuk percaya, tiada yang mustahil jika ada usaha dan tekad yang tinggi.
Ketahui langkah penting dan rutin kebersihan rumah bagi pencegahan influenza. Lindungi keluarga anda dengan amalan harian mudah yang mencegah jangkitan virus di rumah!