Chandelier kalau letak di ruang makan terus nampak wow. Ruang makan selalunya menjadi tumpuan kedua selepas ruang tamu. Biar pun hanya dihias dengan set meja makan dan kerusi, tetapi itu bukan penyudah untuk kita menata hias ruang ini agar lebih megah dan nampak berseri.
Kredit foto: Pexels
Dengan pencahayaan sempurna seumpama inilah yang menjadikan ruang makan nampak menyenangkan lagi hebat dipandang. Jika dahulu lampu gantung merupakan lampu wajib ada di ruang ini.
Ruang makan nampak lebih menarik, fokus dan makanan juga nampak cukup menyelerakan dengan biasan cahaya warm dan elegan. Namun kini pereka menukar reka bentuk lampu tersebut kepada chandelier agar tampil lebih dramatik dan mewah.
Cuma bila disebut chandalier, pelbagai rekaan yang lebih kemas dan moden boleh disuai padan. Selaras dengan rekaan ruang makan tersebut. Bulat, empat segi atau tampil klasik mahu pun pengaruh budaya antarabangsa. Semua boleh dihubung kait dengan pemilihan lampu chandalier anda. Tidak perlu terlalu berjurai panjang. Cukup dengan bentuk yang melengkapkan tata hias di ruang ini.
Cara yang betul cat dinding luar rumah, barulah cat tahan lebih lama. Cat dinding pada bahagian luar rumah ternyata lebih cepat mengalami kerosakkan. Selalunya cat menjadi pudar dan rekahan cat terkupas kerana terdedah dengan panas matahari dan air hujan.
Perubahan iklim yang tidak menentu juga menyebabkan dindingluar rumah anda ditumbuhi oleh kulat kerana suhu yang basah dan lembap. Oleh kerana itu, dinding luar rumah anda perlu dirawat dan di cat mengunakan cara yang betul.
1. Bersihkan Dinding yang Hendak Dicat
Sebelum memulakan proses mengecat, anda perlu pastikan dinding dalam keadaan bersih dan tidak ada kotoran atau debu tebal yang melekat. Jika tidak dibersihkan, kotoran yang terdapat pada dinding dapat membuat cat mengelupas dan tertanggal apabila ia kering.
Jika dinding anda dipenuhi dengan lumut, anda tembak sahaja air paip dengan semburan yang maksima sehingga lumut-lumut itu tertanggal.
2. Pilih Cat Khas Untuk Outdoor
Cat khas untuk outdoor biasanya sudah diformulasikan untuk mengecat dinding bahagian luar sehingga lebih kuat dan tahan lama untuk melindungi dinding dari perubahan iklim. Salah satu ciri cat dinding luar rumah biasanya mencantumkan keunggulannya seperti weather proof atau weather resistance.
Selain itu, kandungan cat ini juga boleh mencegah timbulnya lumut dan kulat akibat rembesan air hujan. Cat dinding yang baik biasanya akan bertahan tanpa kerosakan dan mengelupas selama hampir empat tahun.
3. Sesuaikan Cat dengan Jenis Dinding
Cat yang biasa digunakan untuk dinding tembok biasa tentu akan berbeza dengan cat yang dipakai untuk dinding kayu atau batu alam. Cat tembok biasanya memiliki tekstur lebih tebal dibandingkan cat dinding batu atau kayu agar lapisan simen di bawahnya tidak terlihat.
4. Pilih Warna Cerah
Pemilihan warna juga penting. Warna cerah disarankan kerana memiliki pigmen lebih sedikit dibandingkan cat warna gelap sehingga risiko untuk pudar lebih sedikit dibandingkan bila anda menggunakan warna pekat. Beberapa warna yang disarankan adalah kuning, hijau muda atau warna putih.
5. Mengecat Dinding di Saat Cuaca Cerah
Pemilihan waktu pengecatan juga penting. Mengecat rumah di saat cuaca cerah pastinya dapat membantu proses pengeringan cat. Bila mengecat di saat musim hujan maka lapisannya akan mudah rosak kerana terbawa air.
Perhatikan juga kondisi dinding rumah sebelum mulai dicat. Dinding yang memiliki permukaan lembab atau basah boleh membuat cat tidak terserap dengan sempurna.
6. Gunakan Teknik Pegecatan yang Tepat
Teknik pengecatan pun harus diperhatikan kerana bila salah akan membuat permukaan tembok tidak halus. Oleh itu, sebaiknya mula sapu dahulu bahagian yang sukar seperti sudut dinding dan bahagian yang dekat dengan atap.
‘Kaunter Pulau’ mudahkan kerja, ketahui perkara perlu dipertimbangkan sebelum pilih reka bentuk. Dapur merupakan jantung pada sesebuah kediaman. Sebelum memasang pulau dapur, amat penting untuk anda memikirkan beberapa faktor agar pulau dapur dapat berfungsi dengan baik bagi melancarkan aktiviti harian anda ketika di dapur.
Dapur memerlukan ruang basah untuk kerja -kerja penyediaan asas makanan seperti menyiang ikan,udang, daging, kambing, ayam. Begitu juga memotong sayur-sayuran dan lain-lain. Selalunya kerja-kerja ini agak renyah dan basah. Pastikan pergerakan anda bebas di sekeliling dapur. Bayangkan jika dapurnya kecil seperti sebuah kapal terbang tentu tidak selesa.
Tidakkah pening kepala dibuatnya terutama mereka yang masih kurang cekap ke dapur. Kini, kita bernasib baik kerana kini bahan masakan sudah pun siap di siang dan dipotong bagi mengurangkan masa orang dapur melakukan proses tersebut. Jadi dapur kita jauh lebih bersih dan terjaga.
Pun begitu salah satu unit dapur yang dilihat kini wajib ada, ialah unit pulau yang banyak membantu melancarkan pekerjaan dan aktiviti di dapur dari semua arah. Ia juga boleh dikatakan membantu menyelesaikan pelbagai tata kerja di dapur termasuk penstoran.
Tidak hairan ia dipanggil unit pulau kerana lokasinya mesti di tengah dapur. Bukan sahaja memudahkan kita menempatkan apa sahaja bahan masakan, jika memasak bersama juga mudah berkerjasama. Itu dapur besar. Bagaimana pula dengan dapur kecil?. Perlu atau tidak?
Ramai yang kata tidak perlu. Mungkin sudah mahir dan biasa dengan tata kerja di ruang sedia ada. Pun begitu tidak salah juga jika kita mempunyai unit pulau. Pereka menyarankan ia tidak perlu besar.
Cukup dengan saiz kecil dan tidak mengganggu lalu lintas. Unit pulau kecil ini juga sesuai ditambahkan roda agar mudah dialih jika tidak perlu. Barulah memudahkan untuk anda beraksi di hadapan dapur menyediakan sesuatu yang enak dengan sistematik.
Unit dapur tidak semestikan perlukan saiz yang besar. Kini ia boleh anda jumpa dalam saiz yang begitu kecil tetapi membantu menyelesaikan banyak tata kerja kita. Adakalanya di sinilah kita letakkan segala bahan perasa dan perisa.
Di sinilah juga sesuai kita muatkan segala spatula untuk memasak. Jadi di mana sahaja lokasi memasak kita, di ketuhar, di sinki, di tungku dapur semuanya boleh dicapai dengan mudah dan cepat.
Berbeza unit pulau yang besar. Ia bukan sahaja boleh menempatkan segala keperluan memasak, dijadikan tempat bersarapan, memasak juga boleh, dijadikan tempat mencuci pinggan pun sesuai. Jadi kerja lebih lancar tidaklah seperti berperang kita di dapur. Kepada yang sudah mempunyai unit pulau pasti berbangga dengan rekaan dapur anda yang cantik lagi sempurna.
Rak tv untuk bilik sempit, rumah pangsapuri, modal hanya RM2000. Tinggal di pangsapuri dengan keluasan terhad tidak seharusnya menjadi halangan untuk menghias kediaman mengikut cita rasa anda. Asalkan ada kemahuan dan sedikit kreativiti, keluasan kediaman yang terhad boleh tampak luas serta selesa untuk didiami.
Keseimbangan dan keharmonian amat penting dalam menghias pangsapuri. Perabot, kemasan, dan aksesori hiasan harus seiring dengan skema dekorasi yang anda pilih. Oleh kerana keluasan yang terhad, pilih konsep dekorasi yang tidak memerlukan banyak perabot.
Melalui satu hantaran dilaman Facebook, Azma Affandi telah berkongsi tip menghias kediaman pangsapuri miliknya. Dengan keluasan 850 kaki persegi, beliau perlu bijak memilih perabot dan susun atur yang sesuai agar keluasan rumah yang terhad tidak kelihatan terlalu padat.
Fokus utama dekorasi Azma ialah di bahagian ruang bilik tidur utama. Dengan keluasan bilik 10 𝚡 12 kaki persegi, beliau perlu bijak memilih perabot yang sesuai serta menyesuaikan dengan bajet yang beliau ada.
“Saya berhajat untuk membeli rak televisyen yang sudah siap untuk bilik tidur utama. Masalah timbul apabila lebar bahagian dalam cabinet semuanya melebihi satu kaki. Jika saya tetap juga memilih rak tersebut maka ruang bilik akan bertambah sempit,” jelasnya.
Menurut Azma, puas juga beliau memikirkan bagaimana untuk mencantikkan bilik tidurnya. Beliau tetap juga mahukan rak televisyen ada di dalam bilik. Tidak terburu-buru membuat keputusan, beliau mencari info terlebih dahulu sebelum membuat pilihan.
“Saya berusaha untuk mendapatkan rak televisyen yang sesuai untuk bilik tidur utama. Saya lakar, ukur dan tempah sendiri rak televsiyen mengikut keluasan dan kesesuaian bilik yang sempit,” kata wanita ini lagi.
Bagi merealisasikan impian untuk memiliki rak televisyen di bahagian ruang bilik utama, Azma telah menempah rak tersebut dengan seorang tukang kayu. Mujur juga tukang kayu tersebut faham dengan hasil lakaran yang dibuat oleh Azma.
“Alhamdulillah selepas memberitahu dan menunjukkan hasil lakaran yang saya buat kepada tukang kayu, beliau sanggup membuatkan rak televisyen tersebut mengikut keluasan terhad bilik.
“Dengan kos lebih RM2000 termasuk kos tambang lori kerana lokasi yang jauh, akhirnya saya dapat memiliki rak televisyen seperti yang diinginkan. Memang menjadikan kebiasaan perabot yang ditempah harganya lebih mahal berbanding perabot yang sudah siap,” katanya.
Walaupun terpaksa mengeluarkan kos yang sedikit tinggi untuk mendapatkan rak televisyen impian di bilik tidur utamanya, Azma tidak kisah. Beliau amat berpuas hati dengan hasil reka ciptanya sendiri.
Ada banyak cara untuk kita menghias deko rumah yang kecil tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak. pilihannya terletak di tangan anda. Paling penting, biar sedap mata memandang setiap kali pulang selepas penat bekerja. Apabila rumah tersusun cantik, hati kita pun tenang dan senang.
Tugas mendekorasi rumah memang mencabar, apatah lagi jika ruang kediaman terhad. Pada masa sama, kita pula teringin letak pelbagai jenis perabot dan perhiasan idaman.
Bagaimana caranya supaya rumah yang sempit nampak luas?
Berikut dikongsikan tip menghias kediaman yang terhad keluasannya:
*Suai padan perabot yang anda ada. Elak menambah perabot.
*Perabot, kemasan, dan aksesori hiasan harus seimbang dan harmoni.
*Pilih warna putih atau krim untuk memberikan kesan ruang yang lebih luas.
*Pilih perabot yang tahan lama dan berpatutan harganya. Banyak barang atau perhiasan murah tetapi kelihatan mahal dan mewah.
*Gunakan cermin hiasan pada dinding untuk memberikan kesan ruang yang nampak lebih luas.
Trend bilik mandi berwarna semakin mendapat perhatian apabila pemilik kediaman mula menjadikan ruang ini sebagai sebahagian daripada ekspresi gaya hidup dan identiti rumah.