Pelan rumah memanjang yang menyambungkan sekali ruang tamu dengan ruang makan pastinya boleh buat kita pening hendak memikirkan susun atur dan deko yang sesuai dan menjamin keselesaan. Oleh itu ruang seperti ini haruslah dirancang dengan berhati hati dan teliti agar tidak tersilap langkah, menjadikan ruang tidak nyaman didiami. Rugi nanti.
Jadi disini kami ingin kongsikan idea dekorasi daripada Puan Hasfarina Aziz yang telah berjaya menghias rumah beliau sehingga kelihatan lebih luas dan menarik. Kediaman yang terletak di Bandar Putra, Segamat, Johor ini merupakan rumah jenis teres satu tingkat telah diubah suai dalam masa sebulan berpandukan konsep minimal moden yang juga menerapkan sedikit gaya ala hotel yang menjanjikan eksklusiviti dan sudah tentunya keselesaan.
Dengan bermodalkan RM15k, gabungan barangan dari Kaison, IKEA dan Lazada telah menjadi pilihan tuan rumah. Ruang dengan ukuran 35 kaki x 10 kaki ini dicat warna cream disertakan wainscoting pada bahagian bawah menonjolkan lagi aura mewah rumah ini. Pada bahagian menonton televisyen dan dining area juga ada dipasang pembahagi ruang yang tampak ringkas tapi tetap menarik. Agar ruang tamu memanjang kelihatan luas, pemilik meletakkan tiang sebagai pembahagi di antara ruang makan dan juga ruang menonton tv. Ilusi ini berjaya membuatkan kediaman pemilik kelihatan luas dan lapang.
Mari IMPIANA bawakan pembaca lihat transformasi kediaman Puan Hasfarina sebagai inspirasi. Selamat menghias!
SEBELUM
SELEPAS
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Hiasan Dinding Ini Masih Jadi Pujaan, Hebatkannya Dengan Hiasan Wainscoating
Sudah banyak kita lihat idea pemasangan wainscoating di dalam dekorasi rumah. Ianya tidak terhad dalam apa jenis rumah, asalkan ianya menepati kesesuaian warna dan konsep kerana ada tema dekor yang tidak sesuai untuk dipadankan dengan wainscoating.
Oleh itu, IMPIANA ingin memberi pencerahan secara lebih mendalam bagaimana anda boleh tatarias dinding utama di rumah anda dengan wainscoating tetapi adalah lebih molek untuk kita ketahui serba sedikit apa itu wainscoating dari mana ianya datang dan mengapa teknik ini tidak lapuk ditelan zaman dan tidak lekang dek masa.
Sejarah ringkas
Secara amnya, wainscoating sudah lama digunakan dalam hiasan dalaman rumah sejak dari Kurun Ke 18 lagi. Ianya banyak diaplikasikan di negara Eropah seperti England, German, Perancis dan beberapa lagi negara di Eropah. Penataan seperti ini boleh didapati di istana pemerintah, rumah pentadbiran kerajaan dan sukar untuk ditemui di rumah golongan pertengahan pada masa itu. Pada hari ini, teknik panel dinding ini banyak digunakan di mana sahaja, tidak kira rumah mewah atau rumah golongan berpendapatan sederhana kerana konsepnya sentiasa hijau dan tidak nampak lapuk.
Lokasi strategik Wainscoat
Selalunya pemilik rumah dan pereka dalaman akan meletakkan panel dinding ini di dinding utama kediaman yang mana ianya berfungsi sebagai fokal point dan menaikkan seri ruang terutamanya di ruang tamu, laluan menuju ke bilik dan juga di bilik air (menggunakan jubin, bukan kayu).
Selain daripada mencantikkan dinding ianya juga turut berperanan sebagai pelindung kepada warna cat setelah anda menyusun sofa ataupun meja yang boleh merosakkan warna cat asal. Ini kerana selalunya wainscoat akan diletakkan separuh daripada ketinggian badan manusia iaitu dari bahagian pinggang ke bawah, tetapi ini tidak bermakna tiada pemasangan dibuat pada keseluruhan dinding cuma ianya jarang dilakukan.
Kesesuaian tema
Idea pemasangan wainscoating tidak berapa sesuai jika anda memilih tema kediaman scandinavia, ini kerana ianya menggunakan material serta perabot yang terhad dan menjimatkan penggunaan ruang. Tonanya pula lebih kepada warna yang menjemput kehadiran cahaya semulajadi secara maksima. Idea ini memerlukan anda untuk menambah beberapa hiasan di dinding seperti frame gambar untuk menaikkan serinya dan beberapa lagi aksesori tambahan dan Ya, konsep skandinavia kurang sesuai untuk wainscoating kerana skandinavia lebih bersifat minimalis.
Tetapi jika anda gemarkan konsep modern english, pemasangan wainscoating amat ideal, ini kerana dari sudut sejarahnya sudah menunjukkan walaupun tradisional, di zaman moden juga sesuai untuk dipadankan dengan dinding sama ada berona gelap atau terang. Cadangan kombinasi warna yang sesuai adalah hitam putih, biru putih, coklat gelap dan kuning terang.
Akhir sekali, walaupun teknik ini sudah lama digunakan, tetapi ianya tidak pernah lapuk atau obsolete kerana ia berupaya untuk membuatkan dinding yang rata dan biasa nampak lebih elegan berbanding yang asal dan polos, dan penulis yakin, 30 tahun akan datang pun ianya masih lagi sesuai untuk digunakan.
Berikut adalah beberapa cadangan idea pemasangan wainscoating yang anda boleh suaipadankan dengan hiasan di rumah anda, selamat mencuba!!
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Rumah Kayu Pusaka Terapkan Konsep Moden, Tengok lah Hasilnya
Tema moden klasik amat sesuai untuk ditatarias dengan kediaman yang mempunyai struktur kayu. Walaupun ianya lama, itu tidak bermaksud tidak sesuai, tetapi untuk konsep deko kita boleh menambah sedikit suntikan elemen moden hiasan dalaman.
“Saya sangat menyukai konsep hiasan yang ringkas, menarik serta menjimatkan ruang, tetapi masa yang sama kami mengekalkan senibina asal berasaskan kayu serta binaan tradisional Negeri Terengganu”, ujar pemilik kediaman Pn Eliey Zakaria.
Kediaman yang berkeluasan 1250 Sqft terletak di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu ini adalah rumah pusaka yang dibina oleh Allahyarham bapa mertua pemilik yang juga merupakan penjawat awam yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Jumlah kos dekorasi kediaman ini adalah sebanyak RM12K. IA melibatkan pembelian barangan serta aksesori daripada kedai perabot dan hiasan terkenal serta ada juga yang diimport daripada Bandung, Indonesia. Keseluruhan dekorasi mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan”, jelas ibu kepada 4 orang anak ini.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa segala hasil deko ini merupakan cetusan idea yang diilhamkan bersama pasangan ini. Walaupun mempunyai 4 orang cahaya mata yang masih kecil, mereka akan sentiasa memastikan anak-anaknya untuk sentiasa menyimpan kembali set permainan masing-masing dan tidak membiarkan ianya bersepah. Malahan menjadi rutin pasangan ini setiap 2 minggu sekalinuntuk melakukan tugas mengemas secara mejor.
Berikut adalah antara paparan gambar cetusan idea Pn Eliey Zakaria untuk tatapan pembaca Majalah IMPIANA agar ianya bermanfaat kepada anda semua, Selamat Mendeko!!
Luaran
Dalaman
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Transformasi Garaj Kereta Jadi Studio House Berkonsepkan Moden + Scandi
Sebelum ini Impiana ada kongsi mengenai usaha gigih seorang ayah membina sendiri banglo idamannya yang menjadi syurga buat seisi keluarga. Kali ini kita sambung pula mengenai pengorbanan si bapa demi menjamin keselesaan anaknya. Sekali lagi coreten Hajar Yahya menyentuh perasaan. Nak tahu apa ceritanya pula kali ni, Jom baca.
Artikel ini aku dedikasikan khas buat abah aku, Pakya. Walaupun dia tiada FB, kalau dia terbaca ni, aku harap dia tahu aku bangga punya ayah macam dia.
Bulan puasa tahun lepas pemula segalanya. Aku yang berniaga online sering mengeluh sebab tak punya ruang pejabat sendiri.
Habis satu rumah bersepah dengan barang perniagaan aku. Depan TV tempat aku tulis pesanan, di dapur kering tempat aku bungkus barang, di ruang tamu tempat aku buat sepah dan macam-macam lagi.
“Abah, boleh tak nak guna bilik jadikan ofis? Buat macam ofis betul.” Aku harap dia jawab ya.Sebaliknya dia jawab,
“Tak boleh. Nanti abah buatkan ofis untuk awak.”
Speechless…
Tak lama lepas tu, lepas raya seingat aku. Abah aku mula mengemas garaj kereta dia. Dia bersihkan lantai garaj dan buka atap. Selepas itu, bahan-bahan binaan pula sampai. Batu blok, pasir, simen selambak di depan rumah.Tak banyak cakap, abah aku pun mula kerja buruh kasar dia. Naik batu blok satu persatu.
Usai solat Subuh, aku tengok abah dah siap salin “uniform” kerja. Garaj yang dulu kosong tanpa dinding, sudah ada dinding.Tak mengeluh, tak mengadu. Semuanya dia buat sendiri.
Aku yang sayu. Ya Allah bergenang air mata aku tengok dia usung kereta sorong penuh dengan pasir dan simen pukul 1 tengahari.“Abah, makan dulu. Dah tengahari ni.”
“Nantilah. Abah nak siapkan ni sikit je lagi.” Dia balas ringkas.
Ya. Itulah abah aku. Orang kata “action speaks louder than words”.
Ha macam itulah abah. Tak banyak cakap, dia buat je kerja. Dia buat semuanya dengan seikhlas hati. Dan kalau tengah kerja, dia mesti buat sampai habis.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Dah berbaldi peluh keringat dia kalau aku boleh kutip dari mula dia buat kerja. Aku bayangkan pejabat aku tu nanti comel je. Sebab saiz garaj hanya boleh muat sebuah kereta.
Sekali siap jadi dua tingkat.
Ada tingkat bawah dan atas. Masa tu perasaan aku punyalah wowww tak terkata. Impress gila dengan abah aku. Garaj kereta sepatutnya bertukar menjadi pejabat kecil. Yang tersergam indah depan aku adalah sebuah rumah kecil. Lengkap segalanya. Ada ruang tamu, ada ruang dapur siap kabinet, ada bilik tidur, ada ruang rehat, ada tandas semualah. Bergenang air mata aku sekali lagi dengan abah. Betapa besar pengorbanan dia pada aku. Terpancar kasih sayang ayah pada anak. Dan aku sedar, latarbelakang pendidikan bukan segalanya. Yang penting semangat dan usaha tanpa putus asa.
Abah bukan arkitek apatah lagi engineer. Dari sekolah rendah, kalau cikgu tanya ayah awak kerja apa, aku jawab aku anak tukang kayu. Bertukang dah sebati dalam darah yang mengalir dalam diri dia. Ada sesekali aku terdengar perbualan tetamu yang datang ke rumah dengan abah.
“Mana pakcik dapat idea buat rumah ni?”
“Semuanya dah ada dalam kepala ni. Automatik siap dengan kiraan kos dan bahan-bahan.” Dia balas selamba.
Wallahualam. Mungkin itu anugerah Allah pada abah.
Jujurnya rumah kecil ini banyak yang custom made. Tingkap labuh ni semuanya abah tempah ikut saiz yang dia nak.
Kabinet dapur pun abah buat ikut selera sendiri.
Hiasan dan dekorasi pun semuanya kami cari sendiri. Tinjau sana sini baru beli. Dan mesti kena ikut tema dan citarasa abah.
Jemputlah tengok gambar hasil tangan abah dan aku (sikit je hias-hias). Untuk barang dalam rumah, kebanyakannya dari Ikea dan Mr DIY. Ringkas tetapi sedap mata memandang pada kami.
Akhir kata sebagai penutup, cinta ayah itu kadang kala memang tak terlihat. Tak nampak. Tapi kita pasti merasakannya. Ayah yang tak banyak bicara terkesan tak peduli, tetapi sesungguhnya yang ada dalam hatinya adalah kita. Abah, pinjamkan aku hatimu agar aku belajar bagaimana menghadapi masalah tanpa mengeluh sedikit pun.
Di setiap keringatmu, di setiap lelah nafasmu, penuh dengan kasih sayangmu. Terima kasih abah.
Kredit: Hajar Yahya dan www.thevocket.com
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI