Konsep kediaman Scandinavian sememangnya sudah lama mendapat tempat dihati masyarakat tempatan yang gemarkan gaya ringkas yang tampak nyaman dan kemas.
Kali ini IMPIANA ingin membawakan intrepretasi seorang 3D Visualiser yang berasal dari Kuching, Sarawak tentang dekorasi yang bertemakan minimalis skandinavia.
En Hamini Madini merupakan pemilik rumah teres dua tingkat yang berkeluasan 760 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air telah memilih tema warna hitam dan putih sebagai warna utama untuk kediaman mereka.
“Kediaman ini berjaya disiapkan dalam masa dua bulan dan saya mula pindah masuk semasa bulan Ramadhan yang lepas dan segala susun atur di kediaman ini kami merujuk kepada laman perkongsian gambar atas talian iaitu pinterest“,katanya.
Selain itu, segala kelengkapan di rumah ini ada yang ditempah khas, dari Ikea, SSF dan kedai perabot yang berdekatan dengan rumahnya.
Lantainya ditatarias dengan Lush Vinyl Interlock Plank manakala dinding utama ditatah dengan White Artificial Brick. Walaupun memilih warna monokrom, tetapi beliau berjaya mencuri pandangan tetamu dengan meletakkan kerusi sandar berwarna kuning serta memasang two seater minibar sebagai partition di antara ruang makan dan dapur.
Berikut adalah idea yang dikongsikan oleh En Hamini Madini serta isterinya yang berkonsepkan minimalist skandinavia. Selamat mendeko!
Sebelum (Dapur)
Selepas (Dapur)
Sebelum (Ruang Tamu)
Selepas (Ruang Tamu)
Sebelum
Selepas
Sebelum (Koridor Tangga)
Selepas (Koridor tangga)
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Sebelum DIY Gazebo Cantik Macam Beli Di Kedai, Ini Perkara Yang Perlu Anda Tahu
Sekiranya anda membuat keputusan untuk menghasilkan sendiri, berikut merupakan langkah-langkah asas membina sebuah gazebo. Apa yang penting sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan, pastikan jumlah bahan-bahan yang diperlukan adalah mencukupi bagi mengelakkan anda berulang-alik ke kedai bahan binaan. Di samping itu, pastikan juga semua peralatan berkeadaan baik dan tajam. Perlu diingatkan bahawa sesebuah gazebo mempunyai komponen asas seperti tiang, lantai dan bumbung. Walaupun pada mulanya ia dianggap sukar, seseorang perlu mengambil pendekatan berhemah langkah demi langkah dan bekerja dengan penuh minat serta berupaya membuat anggaran
1. Menyediakan Ukuran di Lokasi
Langkah pertama adalah menyediakan reka bentuk gazebo yang diingini. Setelah mengenal pasti lokasi dan tanahnya rata, anda perlu menandakan kedudukan rangka gazebo, sebagai contoh, berbentuk segi empat sama, menggunakan kepingan kayu dan tali.
Ukur pepenjuru dan ubah kedudukan kepingan kayu tersebut sehingga sama. Pastikan setiap penjuru bersudut tepat.
2. Menyedia Lubang untuk Tiang
Ada beberapa teknik untuk memastikan tiang-tiang kayu tegap dipasang di tempatnya, sama ada menanamnya ke dalam konkrit ataupun menggunakan besi. Sekiranya anda memilih menggunakan konkrit, anda perlu menggali lubang sedalam 2-3 kaki. Padatkan lubang tersebut dengan 2 inci lapisan batu kerikil dan curahkan 4 inci lapisan konkrit. Selepas itu masukkan tiang-tiang tersebut ke dalam lubang itu dan isi bahagian lubang yang terdedah dengan konkrit sehingga penuh dan ratakan ke aras tanah.
Guna penyukat timbang cecair bagi memastikan keempat-empat tiang tadi betul-betul di dalam garisan selari dan rata. Biarkan konkrit membeku sekurang-kurang bagi tempoh 48 jam sebelum memasang tiang 4 x 4 inci.
Setelah lubang tersebut diisi dengan konkrit, pastikan tiang-tiang tadi diletakkan penyokong di kedua arah bagi mengelakkan ianya bergerak dari kedudukan asal.
3. Rangka Lantai Gazebo
Langkah berikutnya, guna 2 x 6 inci kayu untuk membina rangka lantai gazebo. Adalah mustahak kayu rangka dipasang dengan jarak 16 inci antara mereka. Ini bertujuan untuk memberi sokongan kepada beban yang terhasil daripada kepingan lantai kayu dan untuk menghasilkan struktur yang kukuh.
4. Memasang Perabung lantai
Bagi memasang perabung lantai kepada rangka kayu, anda mempunyai dua pilihan. Sama ada menggunakan skru berukuran 4-5 inci dan ditebuk terus ke perabung, atau menggunakan besi sokongan perabung.
Adalah disarankan supaya pemasangan perabung menggunakan besi sokongan kerana lebih mudah dilakukan.
Seterusnya, anda perlu memasang kesemua 4 x 4 inci tiang yang akan menjadi penyokong bahagian atas dan binaan bumbung. Sekiranya anda sebuah gazebo yang kukuh, anda disarankan supaya memasang tiang-tiang tersebut ke perabung lantai dengan menggunakan paku-paku bersaiz 6 inci.
Tumpukan perhatian semasa melakukan tugas ini dan pastikan tiang-tiang tegak sebelum memasang paku. Sebagai tambahan, guna pita pengukur bagi memastikan tiang tersebut berkeadaan simetri.
5. Memasang Lantai Gazebo
Selepas kerja-kerja menyiapkan rangka untuk lantai dan memasang tiang-tiang, anda perlu memasang lantai sama ada mengguna kepingan kayu berukuran 2×4 inci atau pun 2×6 inci. Anda disarankan supaya mendapatkan kepingan lantai khusus untuk kegunaan luar rumah. Ini bertujuan untuk mengelakkan lantai tersebut dari dirosakkan oleh titisan air.
Semasa kerja-kerja memasang lantai, anda dinasihatkan supaya meletakkan sebatang paku di antara kepingan lantai bagi mendapatkan jarak konsisten di antara satu sama lain.
Untuk kerja memasang lantai menggunakan paku. Seelok-eloknya sediakan lubang terlebih dahulu sebelum memasukkan paku. Sekiranya anda memilih untuk menggunakan skru, anda boleh terus memasang skru tanpa menyediakan lubang terlebih dahulu, tetapi saiz skru hendaklah bersesuaian.
Anda disarankan menggunakan 2 batang skru di setiap hujung kepingan lantai bagi memastikan struktur betul-betul kemas.
6. Memasang Perabung Bumbung Gazebo
Memasang bumbung gazebo boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Teknik pemasangan kali ini memerlukan hanya sedikit sahaja bahan binaan tetapi gazebo masih kelihatan kukuh. Langkah pertama adalah memasang perabung di bahagian atas kesemua tiang-tiang kayu 4 x 4 inci tadi.
Guna perabung berukuran 4 x 4 inci dan pasangkan secara profesional. Dapatkan bantuan untuk memegang hujung perabung di kedudukan sepatutnya semasa anda memasang skru.
Anda dinasihatkan supaya menggunakan teknik yang betul semasa menyambung perabung di bahagian atas tiang. Potong hujung perabung ke bentuk L dan gabungkan kesemuanya di bahagian atas tiang tadi. Setelah kerja tersebut selesai, ketatkan sambungan ini menggunakan skru.
Anda disarankan supaya memasang kesemua perabung kerana ini akan meningkatkan tahap kekuatan pembinaan.
7. Memasang Rangka Bumbung Gazebo
Seterusnya pasang 2 x 4 inci perabung sokongan untuk dijadikan rangka utama bumbung. Langkahnya senang sekiranya anda menggunakan teknik pemasangan dan perkakas yang betul. Pertama, potong 6 x 6 inci tiang utama (4 inci tinggi) dan pasangkannya dengan menyambung 2 perabung sokongan yang bertentangan dengan 4 inci skru (memastikan perabung sokongan tersebut dilekatkan kepada tiang utama).
Semasa proses pemasangan, anda dinasihatkan menggunakan tangga. Pastikan tangga tersebut diletakkan di atas permukaan yang kukuh.
Kemudian, pasang kesemua 2 x 4 inci perabung tambahan. Lakukan dengan teliti dan pastikan perabung tambahan ini dipasang secara simetri. Sambungkan ke perabung atas dan ke tiang utama dengan beberapa biji skru berukuran 4 inci.
Sekiranya anda tidak suka reka kepada bentuk rangka tersebut, anda berpeluang melaraskan saiz dan ketinggian bumbung bagi memenuhi kehendak dan cita rasa anda.
8. Memasang Bumbung Gazebo
Banyak kaedah memasang bumbung. Anda boleh menggunakan 2 x 4 inci kepingan kayu, kepingan-kepingan plywood atau kertas bumbung. Sebarang kaedah yang digunakan, anda disarankan supaya menggunakan skru yang sesuai dan dipasang dengan jarak 10 inci di sepanjang perabung.
Selepas memasang kepingan kayu atau kepingan-kepingan plywood, anda boleh memilih untuk menggunakan shingles, kepingan konkrit atau zink sebagai bumbung.
Pilihan bahan juga bergantung kepada keperluan dan cita rasa anda sepenuhnya. Berhati-hati semasa kerja-kerja memasang dan pastikan paku tidak menembusi atap bumbung (sila guna paku bersaiz ½ inci sahaja).
Akhirnya, tampal setiap lubang atau rekahan menggunakan penyumbat kayu dan biarkan ia beku. Gosok permukaan gazebo kayu anda dengan kertas pasir sederhana halus dan lindungi struktur binaan ini dari dimusnahkan oleh air dengan menyapu lapisan varnish.
Sentuhan Terakhir – Mengecat Struktur Gazebo
Anda boleh menyapu cat kepada semua struktur kayu mengikut pilihan warna yang anda suka. Sama ada untuk kelihatan sedondon dengan kediaman anda atau warnakannya dengan rona terang bagi memperlihatkan dominasi ruang. Walau apa tujuan sekali pun pastikan anda menggunakan cat yang sesuai untuk kegunaan luar. Lapisan cat membantu melindungi kayu, seterusnya memanjangkan hayat struktur tersebut.
Membina sebuah gazebo yang sempurna adalah sesuatu yang subjektif. Untuk itu anda disarankan supaya memilih reka bentuk dan saiz sebelum memulakan urusan pembinaan, mengikut keperluan dan cita rasa anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Selain Kaedah Penanaman Yang Salah, Ini Mungkin Penyebab Rumput Di Laman Anda Tidak Menjadi
Ramai pemilik kediaman yang bercita-cita menanam rumput memenuhi laman tetapi ada kalanya tidak cukup pengetahuan tentang bagaimana untuk menjaga dengan baik agar rumput tumbuh sihat dan subur. IMPIANA ingin sertakan perkongsian daripada kontraktor rumput iaitu saudara Azlisham tentang kesilapan lazim yang sering dilakukan ramai tanpa kita sedari.
17 Kesilapan Semasa Tanam Rumput
- Tidak meracun rumput liar dengan sempurna (rumpai atau tanaman asing liar) yang meliputi halaman.
Saranan: Lakukan semburan secara sistematik bukan secara rambang
- Tidak faham jenis racun yang sesuai digunakan(racun saraf atau sistemik dan racun sentuh); menentukan tindak balas cepat atau lambat.
Saranan:
- Racun sentuh : Contoh Paraquat bertindak balas dalam masa 2 jam selepas semburan
- Racun saraf : Contoh Roundup kesan kelihatan selepas tiga-lima hari semburan
- Meracun tanpa fikirkan kesesuaian masa.
Saranan: Masa terbaik meracun ialah pada jam 10 pagi – 2 petang.
- Gagal patuhi arahan pada label botol racun.
Saranan: Sila ikut jadual sukatan mengikut jenis rumpai.
- Tidak membuat ulangan semburan racun walaupun tahu semburan pertama tidak mendatangkan hasil diharapkan.
Saranan: Lakukanlah semburan kedua atau ketiga (jika perlu) andai semburan pertama gagal.
- Tidak membersihkan dan membuang sisa-sisa rumpai, tunggul, batu-batu konkrit pembinaan dan sampah sarap lain.
Saranan: Lakukan kerja pembersihan secepat mungkin.
- Tidak meratakan tanah bagi tujuan kesamarataan ketinggian tanah (leveling). Kegagalan ini akan mendatangkan masalah saliran air keluar dan masuk dan menyebabkan tanah bertakung.
Saranan: Ratakan tanah bagi menjamin air tidak bertakung.
- Enggan menggunakan sistem sub-soil dan sistem semburan air automatik (sprinkler) di halaman luas.
- Terlalu berkira apabila disarankan menambah top soit (tanah atas) bagi penyediaan medium tanaman baru dan lebih subur.
- Tidak mahu menggunakan pasir sungai.
Saranan : Pasir sungai sangat perlu sebagai asas leveling dan saliran air baik.
- Tidak memampatkan tanah dengan baik.
Saranan : Tanah perlu dimampatkan untuk kuatkan struktur tanah
- Lupa taburkan serbuk rawatan tanah (CIRP/sulfur/atau kapur pertanian /baja organik)
Saranan : Jangan lupa . Ia sangat mustahak untuk neutralkan tanah berasid atau beralkali.
- Menggunakan kaedah penanaman salah.
Saranan : Gunakan kaedah penanaman close turfing
- Ingin hasil yang terbaik dengan membeli rumput gred rendah (murah)
Saranan : Beli rumput gred A atau berkualiti. Memang sedikit mahal tetapi berbaloi.
- Kurang peka dengan pembajaan rumput.
Saranan : Gunakan baja N:P:K= 15:15:15
- Lupa menyiram tanah sebelum menanam rumput.
Saranan : Siram tanah bagi melembutkan media tanaman
- Tidak memadatkan rumput yang telah ditanam.
Saranan : Padatkan rumput dengan cara manual (memijak) atau menggunakan mesin.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Tukar Bahan Terbuang Menjadi Bahan Kompos Terbaik Untuk Tanaman
Bahan terbuang dari dapur dan taman sering kali dilambakkan sehingga menggunung di tempat pembuangan sampah. Apa kata mulai saat ini anda mulakan tradisi penghasilan bahan kompos kerana ia telah terbukti mengandungi nutrien yang tinggi dan dapat memenuhi keperluan tanaman anda sebagai baja mahupun perapi tanah.
Sisa Makanan
Terdapat pelbagai nutrien berguna di dalam sumber ini. Antaranya pada buah pisang terdapat kalium yang dapat membantu proses pengeluaran buah-buahan dan bunga oleh tanaman. Manakala kulit telur mengandungi banyak nutrien yang dapat meningkatkan kualiti buah-buahan dari taman anda seperti kalsium karbonat, kalium dan zink. Buah-buahan yang telah dimakan juga mengandungi nitrogen untuk tumbesaran tanaman. Seterusnya tulang ayam menggalakkan tumbesaran dan merangsang pembuangan menerusi kehadiran asid fosforus yang terkandung di dalamnya.
Bahan pembungkusan (non-recycleable)
Kertas daripada kotak minuman, pinggan dan kertas pembungkus dan beg teh yang tidak boleh dikitar semula mengandungi karbon yang dapat membantu menyuburkan tanaman anda. Karbon yang terkandung pada kertas ini akan menyeimbangkan nisbah nitrogen di dalam bahan kompos serta menjadi ejen pengkomposan yang baik apabila digabungkan dengan bahan kompos runcit yang lain.
Hasil pemangkasan
Bahan hasil daripada pemangkasan seperti ranting kayu, rumput dan daun hijau boleh dikompos dan kandungan nutrien yang terdapat di dalamannya sangat baik bagi pertumbuhan tanaman. Ia sangat tinggi kandungan mineral seperti nitrogen dan kalsium untuk perkembangan tanaman.
Penggunaan bahan-bahan kompos ini membuatkan tanaman anda tumbuh sihat secara semula jadi. Bagaimanapun, terdapat juga beberapa bahan dalam kediaman yang tidak boleh dikompos antaranya :
Tulang: Sangat lambat untuk dikompos dan boleh menyebabkan kehadiran serangga perosak
Najis kucing/haiwan lain: mengandungi bakteria, virus dan parasit yang berbahaya kepada manusia
Arang: mengandungi sulfur oksida dan bahan kimia tidak sesuai untuk tanah dan tanaman
Makanan yang telah dimasak: mengandungi lemak yang boleh menarik perhatian serangga dan haiwan perosak.
Produk tenusu: menghasilkan bau busuk, mengambil masa yang lama untuk dikompos dan menarik perhatian serangga
Kertas berkilat: mengandungi dakwat yang tidak sesuai untuk bahan kompos.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI