Peroleh pendapatan bersih lebih RM20k sebulan, lima rakan karib usahakan tanaman MMT. Lima sahabat baik berjaya memperoleh pendapatan bersih sekitar RM20,000 hasil tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) yang mereka usahakan sejak Mei lalu.
Peroleh Pendapatan Lebih RM20k Sebulan, 5 Rakan Karib Usahakan Tanaman MMT
Salah seorang daripada mereka, Noor Hafizah Jusoh, 34, dari Kampung Nibong berkata, statusnya sebagai suri rumah sepenuh masa tidak menghalangnya bersama empat lagi rakan, termasuk seorang jiran lelaki, untuk mengusahakan tanaman MMT di atas tanah seluas 0.56 hektar.
“Kami hanya meluangkan masa sekitar dua jam setiap pagi, dari jam 7 hingga 9 pagi selepas hantar anak ke sekolah untuk siram pokok dan buat kerja-kerja penjagaan.
“Petang pula, kami ke kebun selama sejam dari 6 hingga 7 malam, antaranya untuk semburan racun bagi kawalan serangan ulat,” katanya.
Selain Noor Hafizah, tiga lagi rakannya ialah Nor Azizah Jusoh, 57; Norhalina Zanggi, 28; Nurhamizah Badrul, 29, dan Mohd Hamidi Hassan, 43. Mereka merupakan peserta program Sejati Madani.
Menurut Noor Hafizah, Mohd Hamidi bertanggungjawab melakukan kerja-kerja penyemburan racun, manakala dia dan tiga rakan wanita yang lain menguruskan penyiraman, membersihkan kawasan tanaman daripada rumput liar dan ulat.
Sementara itu, Nurhamizah berkata, mereka berpuas hati dengan pulangan yang diperoleh selepas berjaya mengutip hasil kira-kira RM20,000 dalam masa dua bulan.
“Kami biasanya ke kebun selepas urusan menghantar anak ke sekolah untuk cabut rumput dan jalankan penyelenggaraan tanaman dalam tempoh dua jam setiap pagi.
Ads
“Melalui program Sejati Madani, kami menerima peruntukan RM100,000 untuk kegunaan seperti membeli benih, peralatan berkebun dan pembinaan dua Rumah Pelindung Hujan (RPH),” jelasnya.
Tambah Nurhamizah, hasil tanaman MMT mereka dipasarkan melalui koperasi.
“Syukur, kami berjaya mengeluarkan hasil sebanyak empat metrik tan dengan nilai jualan keseluruhan RM20,000 untuk pusingan pertama.
“Kami sepakat menggunakan RM10,000 daripada keuntungan itu untuk membeli benih bagi penanaman pusingan kedua,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Komuniti Kemas Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, program Sejati Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan membantu rakyat meningkatkan pendapatan.
Menurutnya, pelbagai projek akan diteruskan di bawah inisiatif tersebut, termasuk projek ternakan ikan, dengan kerjasama agensi seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan bagi membantu meringankan beban komuniti setempat.
Oprah Winfrey buka laluan persendirian, nafi tuduhan enggan bantu penduduk Hawaii ketika amaran tsunami. Pengacara dan usahawan terkenal, Oprah Winfrey tampil menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial kononnya beliau enggan membuka laluan peribadinya ketika penduduk Hawaii berpindah ke kawasan lebih tinggi susulan ancaman tsunami baru-baru ini.
Menurut kenyataan jurucakapnya kepada Newsweek, sebaik sahaja amaran tsunami diterima, pihak Winfrey terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) bagi memastikan laluan tersebut dapat digunakan oleh orang ramai.
“Sebarang dakwaan yang mengatakan sebaliknya adalah tidak benar,” katanya.
Sebelum itu, satu gempa bumi bawah laut berukuran 8.8 pada skala Richter telah melanda pesisir timur Rusia, menyebabkan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, China dan Filipina mengeluarkan amaran tsunami.
Hawaii antara kawasan yang terkesan dengan gelombang pertama tsunami yang dilaporkan mula melanda beberapa pulau termasuk Kepulauan Kuril dan Hokkaido di Jepun. Ketika ini, semua lapan pulau utama di Hawaii berada dalam status berjaga-jaga.
Winfrey, yang telah menetap di Hawaii selama lebih 15 tahun, memiliki ladang seluas lebih 2,000 ekar di Pulau Maui. Kawasan tersebut turut merangkumi jalan peribadi yang pernah dibuka kepada orang ramai dalam keadaan kecemasan seperti insiden kebakaran hutan pada tahun 2019 dan 2023.
Namun demikian, tular beberapa hantaran dalam media sosial yang mendakwa laluan tersebut tidak dibuka kepada penduduk tempatan ketika mereka berpindah untuk menyelamatkan diri daripada ancaman tsunami.
Jurucakap Winfrey sekali lagi tampil menepis dakwaan itu dan menjelaskan bahawa jalan tersebut kini telah dibuka dan dikawal oleh pihak berkuasa bagi memastikan pergerakan lancar dan selamat.
🚨 #NEW: Amid the massive 8.8 Pacific earthquake, Oprah Winfrey is REFUSING to open her private road in Hawaii.
Residents of Maui are struggling to get to higher ground.@Oprah: OPEN THE ROAD!
“Pihak berkuasa tempatan berada di lokasi dan sedang membantu melancarkan pergerakan kenderaan, dengan had 50 buah pada satu-satu masa demi keselamatan semua. Jalan itu akan terus dibuka selagi diperlukan,” jelasnya lagi.
Perkembangan ini sekali gus menepis spekulasi tidak berasas dan memperlihatkan komitmen Winfrey dalam membantu masyarakat setempat ketika waktu genting.
Perkongsian penyanyi dan usahawan, Ahmad Nubhan Ahamad, 40, mencuri perhatian ramai apabila beliau berjaya membangunkan sebuah ladang seluas empat ekar khas bagi mengusahakan produk sambal tempoyak daun kayu.
Menerusi video yang dikongsi di akaun TikTok miliknya, Nubhan turut membuat kejutan istimewa kepada ibunya, Mak Jenny, dengan menunjukkan hasil usaha mereka selama hampir dua tahun.
“Akhirnya Mak Jenny ada ladang sendiri untuk buat Sambal Tempoyak Daun Kayu,” katanya.
Selain di TikTok, Nubhan turut berkongsi kejayaannya menghadiahkan ladang kepada Mak Jenny di dalam Instagramnya.
Menurut Nubhan, proses menubuhkan ladang ini bukan sesuatu yang mudah, malah memerlukan kesabaran tinggi dan pengetahuan dalam bidang penanaman.
“Sebenarnya, untuk buka ladang ini bukan satu kerja yang mudah. Nak kena tahu tanam pokok, pokok mati, dan pokok kena virus,” ujarnya.
Tambah beliau, kekangan untuk mendapatkan bahan mentah seperti daun-daun ulam menyebabkan beliau mengambil inisiatif untuk menanam sendiri di atas tanah milik mereka.
“Saya buat ladang ini sebab kita susah nak dapat daun-daun ini. Jadi kita tanam,” katanya lagi.
Selepas melalui pelbagai cabaran dalam tempoh hampir dua tahun, Nubhan bersyukur kerana kini mereka sudah bersedia untuk mengeluarkan produk sambal tersebut dengan bahan-bahan yang mencukupi dan segar dari ladang sendiri.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji semangat dan kegigihan Nubhan dalam menceburi dunia perniagaan berasaskan makanan. Ramai juga yang menyamakan dedikasi Nubhan dengan pempengaruh popular, Khairul Aming, yang dikenali kerana komitmennya dalam dunia keusahawanan makanan.
Usaha Nubhan bukan sahaja menjadi inspirasi, malah turut membuka mata masyarakat tentang potensi besar dalam sektor pertanian dan makanan tempatan.
Jimat elektrik guna solar berbanding buat kubah mahal. Ramai yang memasang impian untuk menghias rumah ibadat atau surau dengan kubah yang besar dan mewah. Namun, tahukah kita bahawa membina kubah bukan sahaja menelan kos yang tinggi, bahkan boleh meningkatkan penggunaan elektrik secara tidak langsung?
Jika tidak dikaji secara teliti, kita bukan sahaja membazir duit sumbangan, malah menanggung bil elektrik yang melambung setiap bulan. Sebuah kubah boleh menelan kos ratusan ribu ringgit, apatah lagi jika ia menggunakan bahan logam berkilat, struktur besi tahan karat, dan sistem pencahayaan khas.
Malangnya, ada masjid atau surau yang memasang lampu dalam kubah dan membiarkannya menyala 24 jam, kononnya untuk nampak indah di waktu malam. Hakikatnya, ia menyumbang kepada pembaziran tenaga yang besar.
Lebih menyedihkan, ada tempat yang terpaksa mengurangkan aktiviti kemasyarakatan kerana bil elektrik terlalu tinggi. Maka, di sinilah pentingnya keutamaan, lebih baik wang digunakan untuk faedah jemaah seperti penyelenggaraan penghawa dingin, pemasangan kipas industri, atau program ilmu yang lebih memberi manfaat.
Ramai arkitek Islamik moden mengesyorkan rekaan masjid tanpa kubah atau dengan bentuk siling tinggi yang ringkas. Ini bukan sahaja menjimatkan kos pembinaan, malah menggalakkan pengudaraan semula jadi. Bumbung tinggi dan bukaan udara yang luas boleh menyejukkan ruang tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada penghawa dingin atau kipas elektrik.
Antara cara lain untuk berjimat elektrik ialah menggunakan pencahayaan LED, sistem tenaga solar dan suis automatik yang memadam lampu selepas waktu tertentu. Wang sumbangan juga boleh dimanfaatkan untuk sistem PA yang berkualiti, karpet tebal yang selesa atau menyediakan kemudahan mesra OKU, lebih memberi kesan langsung kepada jemaah.
1. Dalam binaan masjid, kubah bukannya menjadi rukun dalam sesebuah rekabentuk masjid.
2. Bila kecoh kutipan dana hingga RM500k untuk bina kubah sahaja. Maka izinkan saya beri pandangan sebagai penulis buku Masjid Budaya dan Senibina.
3. Sejarah pembinaan kubah bukannya berasal dari zaman kerajaan Islam, ia ada sejak zaman Byzantine dan Early Christian lagi. Gereja geraja awal memang berkubah.
4. Zaman kegemilangan Islam barulah kubah ini popular, itupun jika kita rujuk Hagia Sophia juga asalnya dari sebuah gereja yang kemudiannya menjadi masjid.
5. Islam bukannya agama simbol, Islam lebih mulia dan besar dari itu. Maka mengagungkan kubah sebagai syarat wajib sebuah masjid adalah kurang baik.
6. Jika kita rasakan masjid tanpa kubah tidak lengkap ‘imannya’ apakah masjid masjid di China dan Afrika yang dibina tanpa kubah kurang pahalanya jika solat di sana.
7. Senibina terbentuk dari hasil faktor iklim dan budaya setempat. Masjid Kg Laut, Kelantan, Kg Hulu, Melaka dan Masjid Agung Demak telah beri teladan senibina yang baik buat Alam Melayu oleh tukang terdahulu.
8. Bila kita mula pandai merantau sikit, balik haji, faktor kolonisasi British. Kita mula melihat apa yang ada di Jazirah Arab dan India sebagai rujukan masjid buat kita.
Masjid wajib ada kubah baru tambah keimanan didada.
9. Rekabentuk kubah sangat tidak ekonomi pada iklim khatulistiwa seperti kita. Tanya mana mana Ajk masjid dan surau berkubah. Waktu hujan mesti ada tempat yang bocor. Air gagal ‘dilarikan’ dengan baik untuk keluar dari bangunan.
10. Masjid daerah di Batu Gajah yang indah, waktu hujan jawatan kuasa terpaksa sediakan baldi baldi warna warni untuk letakkan ditengah laman sembahyang sebab banyak kebocoran berlaku.
11. Ustaz ini tidak harus disalahkan, yang harus disalahkan adalah AJK dan pengamal senibina yang taksub sangat dengan bentuk kubah sebagai simbol agama.
Pengamal senibina harus didik masyarakat tentang keburukan berkubah dalam iklim negara kita hingga tidak ekonomikal
12. Selama 2 tahun tinggal di bandung mengkaji senibina masjid di Jawa, hampir semua masjid modern disana tidak dihadirkan dengan kubah tetapi sangat jimat tenaga, mudah selenggara dan jimat kos binaan.
13. Masjid seharusnya menjadi pusat komuniti masyarakat bukan hanya dibina berdasarkan simbol simbol kubah yang besar dan akhirnya ditutup dari aktiviti masyarakt sebab mahal membuatnya.
14. Membuat kutipan dana awam hingga setengah juta hanya untuk bina kubah sangatlah tidak manusiawi. Setelah siap nanti, kos menjaga kubah setengah juta ini juga bukan alang alang duit sebenarnya.
15. Falsafah kubah dahulu untuk mendapatkan ruang legar yang luas, agar saf tidak putus jika dibina. Hari ini dengan teknologi binaan yang hebat, tanpa kubah kita tetap akan dapat ruang solat yang luas malah lebih luas. Hanya jemaah sahaja malas nak datang masjid sekarang.
Teknologi sound sistem yang kita ada adalah lebih baik dari eko yang ingin dihasilkan oleh kubah zaman ini.
16. Jika kita kata kubah ini ikut zaman nabi. Tidak, zaman nabi masjid dibina dengan sangat sederhana untuk aktiviti masyarakat bukan sebagai simbol pemerintahan beragama.
Sudah masanya pengamal senibina, pendidikan, jawatankuasa masjid masuk satu era baru dalam pemikiran pembinaan masjid.
Masjid zaman ini harus mesra alam, jimat tenaga, tempat perlindungan, pusat bencana banjir, sustainable, tempat main kanak kanak, pusat pendidikan online, wifi terpantas dan bukannya hanya habiskan duit bina kubah yang mahalnya setengah juta, bocor bila hujan sebelum buka puasa.
Teladani apa yang dilakukan oleh Ustaz Mohammad Yaakub Yusra dalam membina MADAD untuk kesejahteraan ummat.
Kesimpulannya membina masjid dan surau bukan sekadar simbol fizikal keindahan Islam, tetapi tanggungjawab amanah kepada masyarakat. Elakkan pembaziran pada perkara yang kurang penting.
Pilih binaan yang menjimatkan dan praktikal. Lebih baik jimat elektrik daripada buat kubah mahal, kerana setiap sen yang diselamatkan boleh diguna untuk manfaat ummah yang lebih besar.
Sumber: Azizul Azli Ahmad, Penulis Masjid Budaya dan Senibina, Pengajar Sejarah Senibina Islam, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, UiTM Seri Iskandar
Cara bersihkan tandas tanpa bahan kimia keras yang dikongsi Afiafifah ini turut mendedahkan teknik mop 4 kali sehari yang buat lantai rumah lebih berkilat, bersih dan tidak melekit.