Sebagai pembeli rumah, pastinya kita mengharapkan segala proses berjalan lancar bermula dari fasa kita membayar deposit, membuat pinjaman bank sehinggalah apabila rumah tersebut siap dan pemaju membuat serahan kunci milikan kosong (VP) kepada kita.

Namun bagaimana jika rumah tersebut apabila kita telah selesai mendapat kunci, masih tidak mempunyai bekalan air dan elektrik? Siapa yang harus dipertanggungjawabkan, pembeli atau pemaju?

Seorang Peguam Hartanah, Tuan Salkukhairi Abd Sukor memberi pencerahan tentang  masalah sambungan air dan elektrik ke dalam rumah. Ini kerana, ramai yang keliru, adakah pemaju kena pastikan bekalan air dan elektrik telah disambungkan ke rumah sebelum mereka boleh serah milikan kosong (kunci) rumah kepada pembeli.

Sekiranya pemaju serah kunci (milikan kosong) kepada pembeli tanpa bekalan air dan elektrik, adakah pembeli boleh menuntut ganti rugi terhadap pemaju?

Kalau merujuk kepada perjanjian jual beli yang menggunapakai Jadual G atau Jadual H Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan), jelas menyatakan bahawa Pemaju hendaklah membenarkan pembeli mengambil milikan kosong rumah setelah perakuan siap dan pematuhan (CCC) dikeluarkan dan bekalan air dan elektrik sedia untuk disambungkan ke bangunan tersebut.

IKLAN

Perkataan “bekalan air dan elektrik sedia untuk disambungkan tersebut” mengundang banyak kekeliruan.

Sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan perkataan bekalan air dan elektrik sedia untuk disambungkan itu BUKAN BERMAKSUD bekalan air dan elektrik telah disambungkan ke rumah tersebut. Tetapi hanya membawa maksud pemaju telah MENYEDIAKAN SALURAN UTAMA untuk membolehkan air dan elektrik dimasukkan/disambungkan ke rumah tersebut.

IKLAN

Contohnya pemaju telah sediakan tempat untuk dipasangkan meter elektrik di rumah tersebut atau telah pasang saluran paip utama untuk membolehkan meter air dipasang di rumah tersebut.

Tanggungjawab untuk menguruskan penyambungan bekalan air dan elektrik ke rumah tersebut adalah menjadi tanggungjawab pembeli itu sendiri.

Pembeli perlu pergi ke TNB atau Syarikat Bekalan Air (SBA) untuk membuat  pembayaran deposit penyambungan bekalan air dan elektrik dan menyerahkan segala dokumen yang perlu sebagaimana yang dikehendaki oleh syarikat pembekal elektrik dan air tersebut.

IKLAN

Selepas itu barulah TNB dan SBA akan memasang meter air dan elektrik di rumah anda dan bekalan air serta elektrik akan disambungkan ke rumah anda. Pembeli juga tidak boleh menuntut ganti rugi terhadap pemaju kerana gagal memasukkan bekalan air dan elektrik kerana ianya bukanlah tanggungjawab pemaju.

Serahan milikan kosong yang dibuat tanpa bekalan air dan elektrik yang telah disambungkan ke rumah adalah dianggap sebagai serahan milikan kosong yang sah dan sempurna.

IMPIANA berharap agar tulisan yang dikongsikan ini dapat merungkai kekeliruan kebanyakan orang berkenaan dengan isu tersebut.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI