Siapa kata kita perlukan bajet besar untuk merubah wajah ruang sedia ada? Jangan gusar tentang perbelanjaan kerana kita boleh merubahnya hanya dengan sedikit sentuhan magis bagi memperbaiki penampilan gaya hias ruang pilihan.

 

Tanaman berpasu ideal

Letakkan tanaman hiasan berpasu di penjuru ruang bagi menyuntik kesegaran. Ia juga mampu berfungsi memberi ilusi pertambahan dimensi ruang (depth of field). Untuk menutup cela pasu tanaman, kita boleh letakkannya dalam raga yang cantik atau pasu hiasan. Pilih tanaman hiasan teduhan kerana ia sesuai diletakkan dalam rumah. Hasilnya tidak mengecewakan.

 

Kemas sekarang!

Simpan atau buang barang yang jarang atau tidak digunakan langsung. Barang yang bersepah di atas para atau dalam laci menjejaskan usaha kita mengemas ruang itu, letak hanya yang perlu dan sesuai sahaja.

 

IKLAN

Hasilkan kesan drama

Penulis mencadangkan agar anda cuba menggantikan terendak lampu yang ada kepada warna hitam. Dan bagi menjadikan ruang bertambah glamor, anda boleh lilitkan terendak tersebut menggunakan pita warna emas atau gangsa. Tetamu akan terpukau dengan ruang anda nanti.


Susun atur perabot

Langkah ini sepatutnya boleh dilakukan kerap sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. Ia bukan sahaja mudah malah tiada kos diperlukan. Ubah kedudukan sofa dengan kerusi berlengan dan juga meja sisi. Cara ini memang menjimatkan tapi hasilnya adalah terbaik!

 

Sandarkan lukisan

Letakkan lukisan yang sesuai dengan konsep. Tidak perlu bersusah payah hendak memaku atau menggantungkannya. Cukup sekadar menyandarkannya ke dinding begitu sahaja. Cuba letakkan lukisan di meja konsol dan karya seni itu akan memainkan peranannya.

 

IKLAN

Wow! Tombol baharu

Ramai yang terkejut apabila dengan hanya menukar tombol kabinet dapur, ia akan merubah penampilan sistem kabinet dan ruang dapur secara keseluruhan. Biarpun sistem kabinet kita berbentuk ringkas, namun apabila tombol lama ditukar baharu, anda akan dapat saksikan visual ruang yang menarik.

Naik taraf langsir

Jika dahulu kedudukan rod langsir terlalu hampir dengan bingkai pintu gelangsar atau tingkap, cuba alihkannya ke atas lagi. Usaha ini cukup pantas memberi ilusi ruang luas dan tinggi. Reka bentuk langsir juga boleh diubah kepada imej baharu.

 

Kabinet pamer kembali berseri

Anda memiliki rak atau kabinet pamer yang kelihatan membosankan? Usah risau. Dengan sedikit bekalan semangat rajin dan modal, cuba anda segarkan penampilan kabinet tersebut dengan menampal kertas dinding pada bahagian dinding kabinet. Cara ini sangat mudah dan anda boleh memilih corak kertas dinding yang sesuai dengan konsep pilihan.

IKLAN

 

Suasana berubah segera

Kesegaran dan perubahan suasana ruang sangat mudah dizahir kan hanya dengan merubah penataan cahaya ruang (perancangan awal diperlukan untuk memasang lampu yang boleh dilaraskan pencahayaan). Atau lebih mudah, letakkan jambangan bunga segar di ruang-ruang pilihan.

Fokus pada perincian

Kita selalu abaikan perincian yang ada di ruang kediaman. Cuba anda fokus kan usaha dengan mengecat perincian tertentu di ruang pilihan dengan warna gelap.

Jika sebelum ini ia seakan tenggelam, namun setelah dicat, ia akan tampil menyengat. Contoh: Cuba cat dengan warna perang tua, kelabu atau hitam pada bingkai gril. Ia seperti mengenakan solekan celak pada alis mata.

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI