Bagi yang ada bercucuk tanam di laman rumah, boleh cuba buat sendiri baja organik atau ‘hormon’ penggalak tanaman menggunakan bahan-bahan yang ada di dapur sahaja. Lebih selamat, jimat kos dan tanaman pun jadi lebih subur.
Antara bahan dapur yang boleh digunakan untuk membuat baja organik seperti kulit bawang merah, kulit telur, ajinomoto, telur, yakult, roti tamat tempoh dan sebagainya.
IMPIANA kongsikan cara membuat baja organik ini sebagai panduan.
1. MOL Bawang Merah
Ada caranya supaya pokok sihat, subur menghijau tanpa menggunakan baja yang mengandungi bahan kimia dan bebas racun. Iaitu dengan membuat sendiri baja semulajadi a.k.a MOL (Mikro Organisma Lokal) yang menggunakan bahan organik untuk pokok yang ditanam sendiri. MOL Bawang Merah ini sangat bermanfaat untuk menggalakkan pertumbuhan akar pokok.
Ads
2. Baja MSG Ajinomoto
Kalau dah cuba macam-macam cara dan baja, tanaman tetap payah nak subur boleh cuba siram baja air ajinomoto ini. Tak perlu siram selalu, sekali seminggu sahaja. Mudah nak buat dan kos pun murah.
Monosodium glutamate (MSG) mampu menyuburkan pokok yang susah mahu berbunga dan berbuah. Dedaun sayur pula akan membesar dua tiga kali ganda saiznya, pertumbuhan tanaman lebih cepat, pokok bunga akan cepat berbunga dan pokok buah akan cepat berbuah. Memang berkesan dan puas hati hasilnya.
Ads
3. Baja Roti, Air Basuhan Beras, Perut Ikan, Kulit Telur
Buat sendiri baja organik daripada sisa bahan makanan yang ada di dapur, jimat kos dan tanaman jadi lebih subur menghijau.
4. Yakult & Telur ‘Booster’
Boleh cuba buat sendiri bahan penggalak tumbesaran semulajadi tanaman di rumah guna telur dan yakult je.Sangat berkesan dalam menyuburkan tanaman, menggalakkan pertumbuhan bunga dan pokok berbuah lebat.Hasil siraman dalam masa seminggu, daun lebar menghijau, tumbuh pucuk baru, buah dan bunga makin meriah.
Ads
IMPIANA: Semoga perkongsian ini bermanfaat.Bagi ada bercucuk tanam di rumah, boleh cuba buat sendiri baja organik di rumah menggunakan bahan-bahan dapur je. Lebih jimat, selamat dan paling penting bebas baja kimia. Ikut tip dan panduan yang dikongsikan ini barulah tanaman sihat, malah hidup subur merimbun nanti.
Soda penaik, atau lebih dikenali sebagai baking soda, merupakan bahan yang sering digunakan di dapur. Namun, tahukah anda bahawa soda penaik juga mempunyai manfaat yang luar biasa dalam berkebun?
1. Racun kulat semula jadi
Caranya adalah dengan mencampurkan soda penaik dengan air dan sabun cecair. Semburkan cecair ini di tumbuhan untuk melawan penyakit seperti kulat serbuk.
2. Matikan rumput
Seterusnya, anda boleh gunakan soda penaik untuk mematikan rumput tanpa merosakkan tumbuhan sekeliling yang lain.
3. Penghalang serangga perosak
Sekiranya anda mempunyai masalah serangga perosak, boleh campurkan soda penaik dan sedikit tepung. Cacing kubis dan kutu daun boleh hilang apabila sapu bancuhan ini.
4. Pindaan tanah
Soda penaik boleh digunakan untuk membuang tanah yang terlalu berasid dan memperbaiki persekitaran pertumbuhan.
5. Pemanis buah tomato
Sekiranya buah tomato yang ditanam tidak manis, boleh taburkan sedikit soda penaik di sekeliling pokok tomato untuk mengurangkan keasidan tanah. Hasilnya tomato pasti lebih manis!
6. Penggalak kompos
Bagi mempercepatkan proses pengkomposan dengan menjadikan persekitaran lebih elok, anda boleh menggunakan soda penaik.
7. Penyerapan bau
Meneutralkan bau di kawasan seperti sampah, boleh taburkan sedikit soda penaik di sekitar tersebut.
8. Pembersih alatan kebun
Bersihkan alatan berkebun dengan menggosoknya menggunnkan pes baking soda. Dengan cara ini, ia mampu menghilangkan kotoran dan karat.
9. Tingkatkan percambahan benih
Tingkatkan percambahan benih dengan merendam benih dalam larutan soda penaik sebelum menanam.
10. Halau semut
Buang semut dengan taburkan sedikit soda penaik di sekeliling tumbuhan atau laluan semut.
IMPIANA : Dengan menggunakan soda penaik, anda dapat memastikan tanaman di kebun kekal sihat dan produktif tanpa perlu bergantung kepada bahan kimia yang berbahaya.
Begini cara betul tanam terung dalam pasu. Lagi-lagi bagi yang tinggal di rumah taman dan miliki ruang tanah yang terhad. Kaedah penanaman pokok terung dalam pasu merupakan pilihan terbaik.
Bolehlah tanam di tepi-tepi rumah. Jika mempraktikkan kaedah penanaman berpasu yang tepat, terung akan menghasilkan buah yang lebat dan elok hasilnya. Mohd Amri berkongsi cara dan kaedah penanaman pokok terung dalam pasu tepi rumah.
Siapa tak suka kalau pokok terung menjadi seperti ini kan? Saya suka untuk berkongsi dengan tuan/puan berkaitan dengan penanaman terung di dalam pasu. Saya tanam terung ini sekitar empat hingga lima pasu sahaja. Kenapa pasu? Kerana saya tinggal di rumah taman. Tak cukup tanah. Hihi.
Jadi saya kongsikan serba sedikit pengalaman dan caranya.
Saya hanya menggunakan pasu yang dibeli di kedai eco. Manakala medium yang saya gunakan ialah tanah campuran yang terdiri daripada tanah hitam sawit, tanah merah bakar, sekam mentah dan bakar dengan nisbah 2:1:1. Sambil itu saya akan gaulkan dengan dua sudu makan baja organik seperti mana yang saya gunakan iaitu baja nlegrow.
Gaulkan dan siramkan setiap hari sehingga tiba hari pemindahan anak pokok. Kaedah ini saya anggap sebagai baja lapik bertujuan untuk “menghidupkan tanah” melalui mikrob yang ada pada baja.
Setelah anak pokok yang disemai sudah cukup tiga minggu, saya pindahkan ke dalam pasu. Gaulkan tanah dan terus pindahkan anak pokok. Pada peringkat ini saya belum beri sebarang baja kerana sudah ada baja lapik seperti mana point pertama.
Setelah dua minggu selepas tanam atau dalam bahasa pertanian, (HST), saya berikan lagi baja sebanyak dua sudu makan. Dan begitulah setiap dua minggu sekali aktiviti pembajaan saya. Saya tidak gunakan baja kimia kerana, saya lebih suka menggunakan baja organik. Selamat.
Setiap tiga hari sekali, saya akan membuat semburan organik seperti mana yang telah diajar di dalam group ini. Selain itu, penggunaan cuka kayu juga dilakukan secara berselang-seli.
Booster yang paling kerap saya gunakan ialah, booster yang dibuat secara mudah iaitu menggunakan yakult dan telur ayam. Cuma berbeza dengan orang lain, saya tambah sedikit molasess untuk menjadikan baunya lebih harum dan manis sedikit. Kurang bau hanyir.
Saya kerap melakukan pemangkasan “ringan” untuk membuang daun-daun yang lebar supaya cabang baru dan putik bunga cepat keluar. Sesetengah orang berpendapat, kalau dibiarkan sahaja daun lebau tu, jadinya mabuk daun.
Ada juga kes terung yang terkena serangan lalat buah. Simptomnya ialah, buah terung berlubang dek serangan lalat buah. Jadi saya kawal melalui penggunaan perangkap lalat buah. Alhamdulillahh, berkesan. Sebaik-baik elakkan penggunaan semburan kimia.
Saya akan menyiram dua kali sehari iaitu setiap pgi dan petang. Kalau kebetulan hari hujan, memang tak siram lagi kecuali medium nampak kering. Yang penting, pastikan medium selalu lembab. Kalau tak, daun akan layu. Kalau ada modal yang lebih, boleh gunakan sistem siraman automatik.
Pastikan daun yang dipangkas atau ada daun yang gugur ambil dan buang jauh-jauh. Kerana kalau dibiarkan akan menyebabkan pokok mudah terkena penyakit. Kalau sekitar pasu dah bersih, mata pun sedap memandang.
So, itulah sahaja perkongsian ringkas dari saya tentang tanaman terung di tepi rumah. Selamat mencuba ya.
5 Jenis Pokok Hiasan Dijadikan Penyeri Laman Harga ‘Kayangan’ Boleh Cecah Ribuan Ringgit. Terdapat pelbagai sebab pokok hiasan ini cukup bernilai harganya. Mungkin kerana unik, sukar dijumpai dan faktor penjagaan yang rumit, sebilangan besar pokok di bawah ini dijual di pasaran Malaysia pada harga mencecah ribuan malah ratusan ribu ringgit.
Walaupun harganya mahal melebihi seutas rantai emas atau mungkin seolah tidak masuk akal, ‘Pokok Kayangan’ ini terus menjadi buruan dan rebutan penghobi dunia hijau.
Lebih mengejutkan, harga pokok melonjak lebih tinggi mengikut jenis, corak, saiz dan bilangan daun. Jika berada dalam kategori pokok ‘rare’, keratan batang dengan sehelai daun sahaja sudah beribu harganya.
Malah ramai peminat laman yang sanggup menghabiskan duit mencecah ribuan ringgit untuk mengumpul pelbagai spesies pokok-pokok ini untuk dijadikan koleksi penyeri laman dan ruang kediaman.
Pokok orkid atau nama saintifiknya Orchidaceae mempunyai pelbagai spesies, aneka warna, bentuk, harum, tahan lama, unik dan pesona keindahannya menjadi penyeri laman serta ruang kediaman
Siapa sangka pokok orkid yang asalnya tumbuh liar di hutan mampu mencecah hampir RM1 juta sepokok untuk spesies tertentu. Ketika ini, terdapat sebanyak 25,000 hingga 35,000 spesies orkid dengan kira-kira 1,000 ‘genera’ di seluruh dunia.
Kebanyakan spesies orkid liar dan hibrid menjadi produk pertanian dan holtikultur yang berharga tinggi. Antara orkid bernilai tinggi adalah dari spesies Orkid Gold of Kinabalu atau nama saintifiknya Paphiopedilum Rothchildianum, menduduki tempat kelima dalam senarai orkid termahal dunia, iaitu berharga RM27,270 sepokok.
Ia mahal kerana mengambil masa selama 15 tahun untuk mekar berbunga dan dipercayai tergolong dalam spesies di ambang kepupusan.
Spesies orkid Shenzhen Nongke yang hanya ada di China pula dilaporkan dijual dengan harga £160,000 (RM912,484) sepokok yang mengambil masa lapan tahun penyelidikan oleh saintis di negara itu bagi mencipta bunganya yang cantik dan elegan.
Orkid dari genus Cymbidium itu dipercayai paling mahal di dunia, hanya mekar setiap empat hingga lima tahun sekali, selain ia melambangkan sosiobudaya negara China dan aroma yang wangi.
Bonsai adalah seni membantutkan pokok dalam pasu supaya membawa penampilan kerdil daripada pohon besar berusia puluhan atau ratusan tahun. Lazimnya, saiz terkecil bonsai atau ‘mame’ bonsai hanya sebesar syiling 50 sen dan yang terbesar seelok-eloknya tidak lebih daripada satu meter tinggi.
Terdapat pelbagai spesies pokok yang boleh dijadikan bonsai. Antara spesies bonsai tunggal yang menarik terdapat dalam negara ini adalah spesies bonsai tempatan ‘cucur atap’, yang hanya boleh didapati di Kelantan dan Terengganu.
Gubahan pokok ini kebiasaannya dijual pada harga RM100 hingga RM200, namun ia mampu menjangkau sehingga puluhan ribu mengikut keunikan gubahan dan usianya. Pokok harga ‘kayangan’ ini apabila mampu mencecah RM25,000 sebatang jika dikategorikan sebagai bonsai kelas pertama.
Selain itu, beberapa jenis pokok yang sesuai dijadikan bonsai seperti pokok bunga kertas, kesinai, asam jawa, kemuning, ara dan melati. Semakin unik hasil gubahan Bonsai dan semakin matang umurnya, semakin tinggi jugalah nilainya.
Antara Bonsai termahal seperti spesies Wrightia Religiosa berusia 40 tahun dengan anggaran harga sekitar RM80,000 hingga RM90,000.
Minat terhadap pokok bonsai mendorong segelintir pemilik premis kediaman sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.
Jadi tidak hairanlah bonsai juga menjadi lambang ‘status’ bagi pemilik kediaman kerana harganya yang mahal, tak semua pemilik laman mampu jadikan pokok ini sebagai penyeri rumah.
Bromeliad sejenis tanaman hiasan eksotik yang tergolong dalam famili Bromeliaceae. Secara semula jadi, pokok bromeliad mudah dijumpai tumbuh dan hidup di atas pokok sebagai pokok tumpangan (epifit), di atas tanah, di celahan batu dan di tepi tebing gunung.
Terdapat lebih 3,700 spesies pokok bromeliad dengan pelbagai bentuk daun dan variasi warna yang menarik. Namun, kebanyakannya bromeliad berwarna terang dan apabila kembang, ia akan bertahan sehingga beberapa bulan.
Keunikan kombinasi warna dan daunnya menjadikan bromeliad kini antara tumbuhan hiasan untuk menyerikan halaman kediaman. Malah mudah dijaga, tidak memerlukan siraman setiap hari serta penjagaan yang rapi.
Namun bukan calang-calang harganya pokok yang berasal dari Amerika Selatan ini, ia juga mampu dijual pada harga ribuan ringgit.
Pokok Keladi ialah sekelompok tumbuhan dalam keluarga Araceae yang ditanam sebagai tanaman hiasan. Antara jenisnya seperti Aglaonema, Anthurium, Dieffenbachia, Epipremnum, Philodendron, Spathiphyllum dan Syngonium; dan juga Alocasia, Caladium dan Colocasia.
Pernah viral seketika dahulu, tanaman keladi eksotik antara pokok hiasan berharga bagi peminat laman. Ia mampu mencecah harga RM10,000 hingga RM35,000 sepokok bergantung pada jenis spesies dan keunikannya.
Sebagai contoh pokok keladi jenis colocasia midnight berharga RM24,000 sepokok, manakala jenis ‘Topeng Firaun’ harga pasaran antara RM10,000 hingga RM20,000 sepokok bagi pokok matang dan anak pokok dijual pada harga RM5,000 hingga RM8,000 sepokok.
Keladi jenis ‘Black Stan Variegated’ pula boleh dijual pada harga RM24,000 dan pokok matang pada harga RM38,000 sepokok.
Semakin sukar spesies keladi eksotik ini diperolehi, semakin mahal harganya di pasaran.
Pokok Monstera (Monstera deliciosa) adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga Araceae yang sering dijadikan tanaman hiasan yang mempunyai rupa bentuk yang unik dan cantik.
Keunikan tumbuhan ini adalah dimana bentuk daunnya yang berwarna hijau serta berlubang dan saiz daunnya juga besar. Pokok ini menjadi pilihan ramai kerana ia sesuai ditanam sebagai tanaman dalam rumah (indoor plants) atau dijadikan tamanan hiasan dalam pasu.
Pokok ini juga lebih dikenali sebagai pokok ‘Keladi Monstera’ atau ‘Cheese plant’ disebabkan bentuk lubang-lubang pada dunnya seakan lubang pada cheese. Ini juga berkait dengan daun pokok ini pada tumbuhan yang matang boleh menjadi sangat besar, berkilat, berwarna hijau gelap, daun terbelah-belah dan berlubang-lubang bergantung kepada spesis dan cara penjagaannya.
Pokok montera yang termasuk didalam keluarga memanjat (climbing plants) ini mempunyai 50 spesis dimana mampu tumbuh sehingga ketinggian 20 meter.
Pokok Monstera yang mempunyai daun berciri unik seperti ada tompokan berwarna cerah dan bermotif marmar dijual dengan harga yang mahal kerana sukar untuk didapati. Varian harga seperti Monstera Albo dijual pada harga USD100 (RM441) hanya bagi keratan batangnya sahaja kerana keunikannya dan juga faktor ada permintaan yang tinggi di kalangan pencinta Monstera . Hasil tinjauan, sepohon pokok Monstera albo dan bagi jenis Monstera Thai Constellation dijual pada harga RM1500-RM2500.
Monstera Albo Marble, Monstera Aurea Marble dan Monstera Albo Halfmoon antara yang mempunyai nilai pasaran tinggi.Nilaian harga pokok-pokok ini bertambah tinggi bergantung kepada kematangan dan saiz daun, kesihatan akar, saiz batang dan keadaan fizikal daun yang tiada cacat cela. Malah mampu dijual sehingga puluhan ribu ringgit.
IMPIANA: Jika berkemampuan apa salahnya untuk mengumpul koleksi pokok kayangan ini. Malah jika bijak percaturan, hobi tersebut boleh dijadikan pendapatan sampingan dengan menjual anak-anak pokok yang ada.
Ketahui langkah penting dan rutin kebersihan rumah bagi pencegahan influenza. Lindungi keluarga anda dengan amalan harian mudah yang mencegah jangkitan virus di rumah!