
Isi Kandungan
ToggleKepala & Kulit Udang Jangan Dibuang, Boleh Jadi Baja “POWER” Untuk Tanaman! Kebiasaannya bila siang udang, kulit dan kepala udang kita buang begitu sahaja, ataupun dijadikan ‘stok’ penambah rasa menyedapkan lagi masakan.
Rupanya selain digunakan dalam masakan, kepala dan kulit udang ini juga boleh dijadikan baja organik yang bagus untuk tanaman sebagai antibodi menguatkan pokok dan membantu melawan jangkitan fungus.
Nak tahu caranya bagaimana buat baja dengan kulit dan kepala udang ni, boleh rujuk perkongsiaan daripada Azuan Abdullah ini.
Bila siang udang tu, kepalanya jangan buang ya. Boleh buat baja power tau. Ada 3 cara nak buat baja kepala udang/kulit udang ni.
1. Rebus Kepala Udang
Yang paling mudah, kita rebus kepala udang tu hingga mendidih. Lepas tu biarkan sejuk. Asingkan air dan kepala. Air tu boleh siram terus atau nak simpan pun boleh.
Saya suka simpan dulu sebab ia jadi lagi power. Bau pun boleh tahan. Masa nak siram tu kena buat pencairan dulu ya. Kepala yang direbus tadi nak letak pada pokok terus pun boleh. Syaratnya kena kambus dengan tanah ya.
2. Sangai/ Jemur
Cara yang kedua, kita tak rebus pun kepala udang tu. Kita sangai/jemur terus hingga ia rapuh. Lepas tu tumbuk atau blender. Yang ni lagi power dari cara no 1. Boleh simpan lama buat macam ni.
3. Peram Gula Merah
Nak paling power boleh peram ia dengan gula merah. Kepala udang tadi tak perlu sangai/jemur, memadai tos je hingga air kering. Lepas tu peram dengan gula merah.
Lepas sebulan, tapis ambik airnya sahaja. Air ni memang padu sangat buat sembur kat pokok. Pokok cili kalau kena air ni, dia punya antibodi tu jadi kuat tau.
Nak guna kena tambah air 2-5 ml untuk 1 liter air bergantung pada umur pokok.
Info Ekstra!
- Kulit udang memang bagus sebab mengandungi citosan. Pokok yang sakit cepat pulih.
Semoga Bermanfaat!
Baca Lagi Di Sini: Baja Chitosan Dari Kulit Udang Jadikan Tanaman Immun Serangan Kulat
Mesti Baca: KOMPILASI TIP Buat Sendiri BAJA ORGANIK Mudah Guna Bahan Dapur
Artikel Menarik: KULIT TELUR + CUKA Berkesan Atasi Masalah Bunga/Buah Gugur Sebelum Masanya!
IMPIANA: Menarik juga buat baja organik daripada kulit dan kepala udang ni. Sebelum ni selalu guna kulit telur, kulit bawang, air basuhan beras dan ikan, jadi boleh cuba kulit dan kepala udang pula nanti. Semoga pokok makin sihat dan subur hendaknya.
Sumber: Azuan Abdullah
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Letak Kereta Dalam Pagar Rumah Jiran, Ini Padahnya. Pemilik Rumah Boleh Saman

Jiran letak kereta depan rumah hingga menghalang laluan keluar masuk kereta memang masalah biasa di Kawasan perumahan. Dan ia memang selalu menyebabkan konflik.
Tapi kes yang tular baru-baru ini lebih dari itu, jiran parkir dalam kawasan pagar rumah.
Dalam satu hantaran dibuat seorang wanita, beliau berkongsi situasi apabila kediamannya diceroboh jiran yang sesuka hati meletakkan kenderaan di halamannya.
Wanita tersebut mengetahui perkara itu apabila satu hari pulang ke rumah untuk membuat pemeriksaan.
Letak kereta dalam pagar rumah jiran
“Aku balik nak check rumah, jiran buka pintu pagar rumah aku dan parkir kereta dia kat dalam sesuka hati,” katanya.
Tidak puas hati dengan tindakan jirannya itu wanita itu bertindak mengunci pintu pagar rumahnya.
“Sorry, nak ambil kereta, tunggu aku free. Kalau dipotong kunci tu, aku akan lapor polis,” katanya lagi dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu pemilik kereta yang juga jirannya turut mempersoalkan tindakan wanita terbabit yang tidak memberitahu beliau agar mengalihkan kenderaannya.
Situasi ini turut mendapat perhatian daripada seorang peguam, Nas Rahman yang memberi pandangan beliau dalam hal ini.
“Kalau nak tahu, parking depan rumah jiran tanpa kebenaran ni dikira private nuisance.
“Tahun 2017, ada pasangan suami isteri pernah saman jiran diorang di Mahkamah Tinggi sebab asyik parking kereta depan pintu pagar.
“Tegur banyak kali tak jadi jugak. Keputusannya,
“Mahkamah Tinggi memutuskan yang tindakan jiran diorang terjumlah kepada satu bentuk kacau ganggu atau private nuisance dan menyebabkan ketidakselesaan kepada mereka,” demikian tulis beliau dalam satu hantaran di platform X.
INFO
Private nuisance atau gangguan persendirian merujuk kepada satu bentuk tort (kesalahan sivil) dalam undang-undang di mana seseorang individu mengalami gangguan terhadap penggunaan dan kenikmatan hartanahnya akibat tindakan pihak lain.
Untuk sesuatu gangguan itu dianggap sebagai private nuisance, mahkamah akan menilai beberapa elemen penting, iaitu:
- Gangguan yang menjejaskan penggunaan harta secara munasabah
- Sifat gangguan itu berterusan atau serius
- Kewujudan kerosakan sebenar atau kesan buruk yang boleh dibuktikan
- Pengetahuan atau kecuaian pihak yang menyebabkan gangguan
Sumber: Nas Rahman
Mesti Baca: Renovasi Rumah, Jangan Lebihkan Sempadan Tanah Bukan Kita Punya!
Baca Lagi Di Sini: Ubahsuai Rumah Tanpa Kelulusan PBT, Wajar Atau Tidak Dirobohkan?
Artikel Menarik: Ambil Tahu Perkara Ini Elak Rugi Bila Renovasi Rumah
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

Isi Kandungan
ToggleSebagai pemilik taman, selain gemar menghias laman dengan pelbagai jenis bunga hiasan anda juga boleh menanam pelbagai jenis spesies berbunga wangi, yang mampu membuatkan kediaman tampil harum sepanjang masa. Untuk edisi kali ini, LAMAN membawakan anda 10 spesies pokok berbunga yang boleh ditanam di kediaman serta mampu menyuntik aroma segar buat penghuni.
Kehadiran pokok bunga ini memadai andai diselang-selikan dengan tanaman hiasan yang lain dalam bilangan minor. Ini kerana kekuatan harumannya mampu menyebarkan bauan wangi ke serata laman anda. Sebaiknya pilihlah lokasi yang anda ingini ia berada, contohnya jika gemar menghabiskan masa di kawasan laman belakang maka tanamlah ia di situ. Sama ada sebagai tanaman pagaran atau pun sebagai tanaman memanjat, ia bakal memberikan satu pengalaman terbaik yang tidak akan anda lupakan kewujudannya sampai bila-bila.
Cananga odorata
Cananga odorata atau lebih dikenali dengan nama tempatan sebagai kenanga. Bunga ini telah terbukti menjadi peneman manusia sejak zaman-berzaman. Merupakan bunga tradisional dan amat digemari di Malaysia kerana harumnya semerbak. Baunya lebih tajam di kala senja. Ia adalah sejenis tumbuhan saka dan boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter. Bunga kenanga berwarna hijaun kekuningan, tidak begitu menonjol dan tumbuh berkelompok dengan enam hingga 10 kuntum pada setiap tangkai. Kelompok bunga ini berbentuk pita yang agak terpilin sepanjang 5 cm hingga 10 cm
Bunga kenanga banyak kegunaannya. Minyak ekstrak dari bunga ini diaplikasi dalam perubatan aroma teraputik yang boleh merehatkan jiwa, menghilangkan tekanan, insomia, mengubat tekanan darah tinggi, melancarkan haid bagi kaum wanita dan mengatasi masalah mati pucuk (impoten) untuk lelaki. Dipercayai berkesan untuk demam biasa atau demam malaria, bronkitis dan asma. Minyaknya juga selalu digunakan untuk produk kosmetik bagi mengurangkan garis penuaan iaitu sebagai penggalak kepada pertumbuhan sel-sel baru, merawat jerawat dan berkaitan dengan masalah rambut.
Bunganya sering dipetik dan disimpan dalam lipatan kain bagi mengharumkan pakaian. Di sesetengah tempat, kenanga digunakan dalam ritual dan upacara khusus, misalnya majlis perkahwinan. Sesuai ditanam di halaman rumah dan dipercayai dapat menolak ‘black magic’ seperti terkena buatan orang.
Rosa chinensis – Mawar
Bunga mawar, bunga ros atau nama saintifiknya Rosa chinensis merupakan sejenis tanaman saka dari genus Rosa. Ia telah lama dikenali oleh masyarakat Melayu dan disebutkan dalam Hikayat Bayan Budiman yang ditulis sekitar 1370an. Pada umumnya, mawar memiliki duri, berfungsi sebagai pegangan semasa memanjat. Ketinggiannya boleh mencapai dua hingga lima meter. Terdapat banyak spesies mawar di dunia. Sebahagian besar spesiesnya mempunyai daun yang panjangnya antara 5-15 cm. Bunganya terdiri dari lima kelopak dan berbentuk seperti mahkota. Warna bunga biasanya putih, merah jambu, kuning dan merah, bergantung kepada spesiesnya.
Selain dijadikan sebagai bunga potong, mawar juga memilik banyak manfaat. Antara lain ia digunakan untuk antidepresi, antiviral, antiradang dan sumber vitamin C. Minyak mawar yang diekstrak dari kaedah penyulingan dan penguapan kelopaknya boleh dijadikan parfum. Mawar juga dapat digunakan dalam produk teh dan jeli. Kerana keharuman dan warnanya, bunga mawar secara tradisinya dikaitkan sebagai bunga cinta.
Jasminum sambac – Melur
Bunga melur atau nama saintifiknya Jasminum sambac merupakan spesies tanaman yang berbau sangat harum dan mekar sepanjang tahun. Bunganya berwarna putih dan mendapat tempat istimewa dalam kebanyakan kaum di Malaysia. Ia merupakan elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan kerana keharumannya.
Bunga melur senang dicantas dan dibentuk. Ia menjadi pilihan sebagai tanaman bonsai di kebanyakan kuil penganut Buddha. Merupakan tanaman hias yang banyak kegunaannya. Keistimewaannya adalah untuk membuat minyak wangi, produk kosmetik, farmasi dan bahan campuran untuk mengharumkan teh. Motif bunga melur juga sering diabadikan pada hasil kesenian dan pertukangan tangan seperti produk sulaman dan ukiran perak. Terkini, bunga melur dipaparkan pada duit siling 20 sen yang baru.
Polianthes tuberso – Harum sundal malam
Harum sundal malam atau nama saintifiknya Polanthes tuberso, sejenis pokok berumpun berasal dari Amerika Tengah, seakan-akan pokok spider lily atau bakung. Bunganya berbau wangi, tetapi aromaya akan berkurangan selepas dipetik dari tangkainya. Namun begitu baunya akan terus kekal walaupun setelah dipetik sehinggalah ianya kering dan layu. Dalam keadaan optimum, tumbuhan ini kekal hidup dan menghasilkan bunga untuk tempoh masa yang lama.
Tanaman ini berkhasiat menurunkan panas badan dan menghilangkan bengkak. Ia juga dipercayai boleh digunakan untuk pemulihan emosi dan memperkuat inspirasi artistik dalam diri seseorang kerana kemampuannya menstimulasi sisi kanan otak. Bau wanginya seharum melati boleh menenangkan hati orang di sekitarnya. Ia juga digunakan untuk mengubati masalah susah tidur, influenza dan reumatik. Masyarakat Jepun menggunakan bunga ini sebagai lambang cinta. Manakala di Thailand, bunga ini menjadi kesayangan para peminat bunga kerana sifatnya yang harum dan tidak mudah layu.
Gardenia jasminoides – Kembang cina
Gardenia jasminoides atau pokok bunga kembang cina merupakan spesies renek berkayu yang mempunyai ketinggian dua meter. Tetapi ada juga jenis pokoknya yang tumbuh sehingga 12 meter. Daunnya berwarna hijau, berbentuk bulat, ringkas dan terletak dalam susunan berhadapan. Bunganya pula berwarna putih dan berbau wangi. Manakala buahnya berwarna oren dan berbentuk oval dengan ukuran panjang 1.5 inci.
Kerana keharuman, bunga ini mempunyai nilai komersil untuk dibuat minyak wangi. Ia juga mengandungi zat minyak penting seperti linalol dan styrolyl. Selain ditanam sebagai tanaman hiasan, spesies tanaman ini juga bermanfaat untuk mengubat penyakit seperti diabetes mellitus, demam, atau jika mengalami kesukaran membuang air besar. Dalam masyarakat Cina, ia sering digunakan sebagai ubat perancang keluarga.
Murraya paniculata – Kemuning
Bunga kemuning atau nama saintifiknya Murraya paniculata merupakan spesies pokok yang tingginya di antara tiga hingga tujuh meter. Struktur batangnya pendek dan berdaun rimbun. Daunnya bertingkat, berbentuk bujur telur songsang, hujung pangkalnya runcing, berwarna hijau licin dan berkilat, berbatang keras, berakar dan tidak berduri. Ia berbunga sepanjang tahun dan menghasilkan bau yang sangat tajam terutamanya di waktu malam. Warna bunganya pada peringkat awal adalah kehijauan dan bertukar menjadi putih bersih setelah mekar penuh.
Kemuning bersifat pedas, pahit dan hangat dan mempunyai kandungan kimia yang tinggi. Dari sudut perubatan, ia dimanfaatkan sebagai ubat pemati rasa, penenang, penghilang radang, dan pelancar peredaran darah. Sekiranya daun dan bunganya digiling halus dan disapukan ke badan, ia akan membuatkan kulit seseorang wanita kelihatan lebih cantik, halus dan bersih. Kemuning menghasilkan aura yang mententeramkan. Justeru, ia sangat baik jika ditanam di halaman rumah sama ada dijadikan sebagai tanaman hiasan atau tanaman pagar. Kerana karakter kayunya yang berwarna kuning coklat, ia juga sesuai dibuat sarung keris.
Plumeria obtusa – Kemboja putih
Plumeria obtusa atau kemboja putih sangat cantik sekiranya dijadikan sebagai elemen taman. Pokok ini dianggap eksotik dengan bentuk batangnya yang sangat artistik dan dekoratif. Ia dapat hidup hingga puluhan tahun dan mencapai tinggi di antara 7-10 meter. Daunnya berwarna hijau dengan urat daun jelas kelihatan. Kemboja berbunga sepanjang tahun. Bahkan, pada bulan-bulan tertentu bunganya begitu banyak.
Selain cantik dipandang, kemboja juga menyimpan pelbagai manfaat. Getah putih yang terdapat di seluruh bahagian tanaman ini mengandung elemen yang dipercayai dapat mencegah pertumbuhan bakteria. Bunganya bermanfaat sebagai ubat untuk menurunkan panas badan, meredakan batuk dan melancarkan proses membuang air besar. Unsur yang terdapat di dalam kulit batangnya pula dapat menyembuhkan tumit yang pecah-pecah.
Mimusops elengi – Tanjung
Pokok bunga tanjung atau Mimusops elengi adalah sejenis spesies malar hijau. Pokoknya sederhana besar dan biasa ditemui di tepi-tepi jalan. Dengan struktur daun yang lebat dan rendang, ia dapat memberi teduhan daripada pancaran matahari. Dalam persekitaran yang baik, ia boleh tumbuh mencecah sehingga 18 meter tinggi. Ia berbunga sekitar April dan berbuah pada bulan Jun. Bunganya berwarna krim dan berbau wangi. Buahnya berbentuk bujur, berwarna hijau dan jingga setelah masak. Buahnya boleh dimakan dan mempunyai rasa sedikit manis serta dapat menjadi daya penarik kepada burung dan haiwan lain
Kerana aromanya, bunga tanjung biasa digunakan sebagai hiasan kepala dan kalung leher oleh masyarakat Melayu tradisional dan kaum India. Bunga tanjung boleh bertahan lama. Untuk mengembalikan keharumannya, bunga tanjung yang telah kering boleh direndamkan dalam minyak kelapa. Selain baunya, bunga tanjung juga digunakan untuk merawat penyakit ruam, menghilangkan bau nafas dan untuk mencuci luka.
Wrightia religiosa – Melati
Melati atau nama saintifiknya Wrigthia religiosa merupakan salah satu pokok yang cantik, mempesona dan berguna. Daunnya bulat, kecil dan berwarna hijau. Melati mengeluarkan bunga-bunga putih bersaiz kecil yang menghasilkan bau yang harum dan menarik. Ia berbunga untuk masa yang lama. Buahnya berbentuk seperti kacang panjang dan berkembang akan menggantikan bunga seterusnya. Ia cepat membesar, lasak dan dapat bertahan dalam cuaca yang keterlaluan.
Kebanyakan melati ditanam kerana kecantikan dan keharumannya. Melati melambangkan kesederhanaan yang dipaparkan melalui bunga kecil yang berkembang. Warnanya yang putih bersih serta tidak terlalu menonjol, melambangkan kesucian dan keelokan budi. Aroma harum yang lembut dan tidak terlalu tajam melambangkan kelembutan, nyaman dan tenang.
Bunga melati mempunyai pelbagai manfaat. Ia digunakan sebagai bunga tabur, bahan membuat minyak wangi, kosmetik, gubahan bunga, dan sebahagian daripada campuran teh. Tradisinya, ia dijadikan sebagai media perubatan. Akarnya digunakan untuk menyembuhkan penyakit kulit. Ia juga sering dijadikan pelengkap kepada pelbagai tradisi terutamanya dalam upacara perkahwinan. Melati senang dijaga dan hanya memerlukan pengawasan yang minimum. Ia dianggap suci oleh penganut Buddha dan sering dijadikan tanaman bonsai menghiasi kuil mereka.
Cestrum nocturnum – Jasmin
Cestrum nocturnum atau nama tempatannya Jasmin merupakan salah satu spesies tanaman malar hijau. Ia boleh tumbuh sehingga dua meter tinggi. Berdaun hijau pekat dengan bentuk orate dan berukuran 8-16 sm panjang dan 3-6 sm lebar. Bunganya berwarna putih kehijauan, berkembang dan mengeluarkan bau harum terutamanya di waktu malam. Baunya yang manis dan menyegarkan itu dapat dikekalkan sehingga fajar. Di waktu siang, bunganya akan menguncup, masih mengeluarkan bau tetapi dalam kuantiti yang sedikit.
Jasmin sesuai ditanam berhampiran dengan laluan masuk, tingkap atau pintu utama, di mana keharumannya dapat dirasai dan dihargai. Di India dan negara-negara di Asia Selatan, bunga jasmin digunakan secara meluas untuk parfum, kegunaan perubatan dan upacara keagamaan. Namun terdapat beberapa bahagiannya yang beracun.
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Rahsia POKOK CILI Berbunga & Berbuah Lebat, Letak Baja Air Rendaman KULIT PISANG

Isi Kandungan
TogglePokok cili antara pokok yang memerlukan penjagaan rapi. Selain daunnya mudah diserang serangga perosak, ia juga tak mudah berbunga dan berbuah lebat. Ada caranya untuk memastikan tanaman cili ini subur dan menghasilkan bunga serta buah yang banyak. Boleh cuba letak air rendaman kulit pisang pada tanaman cili.
Perkongsian daripada Tengku Fidah ini boleh dijadikan panduan;
Pokok cili hijau baru belajar berbuah banyak. Sebelum ni 10 15 biji je. Satu pokok sekarang 40+ biji lebih.Sekarang lagi meriah berbuah lebat si hijau ni.
Hasil tanam dari benih sahaja.
Mula aktif berbuah tak henti start suami letak baja dari air rendaman kulit Pisang.Segar.
Cilinya gemuk-gemuk dan pedas sungguh.
Hasil bulan lepas 20/9/2024 kali kedua kutip. Kutip buat makan, ehh lagi lebat berbunga.
Alhamdulillah nikmat Allah bagi merasa makan hasil suami tanam 💚
Cara Buat Air Rendaman Kulit Pisang
- Pisang yang kita dah makan, apa-apa pisang pun tak apa.
- Ambil kulit pisang, rendam dalam air.
- Rendam kulit pisang tak kisah berapa lama, boleh cuba peram 1 minggu dan guna untuk siram kat pokok. In Shaa Allah pokok sihat, berbuah lebat.
Selamat Mencuba, Semoga Bermanfaat!
Mesti Baca: Penangan MOL Pisang Buat Sendiri, Pokok Limau Kasturi Berbuah Lebat
Baca Lagi Di Sini: KOMPILASI TIP Buat Sendiri BAJA ORGANIK Mudah Guna Bahan Dapur
Artikel Menarik: TANAM POKOK PISANG Kaedah Terbalik Banyakkan Anak Pokok, Berbuah Lebih Rendah!
IMPIANA: Ada pokok cili dirumah boleh letak air rendaman kulit pisang ini sebagai baja, memang berkesan hasilnya pokok cili berbuah lebay dan subur.
Sumber: Tengku Fidah
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI