Bajet yang besar belum tentu menjanjikan kesempurnaan kediaman yang di bina. Banyak lagi faktor yang perlu dititikberatkan sebelum kita benar-benar berpuas hati dengan hasil kerja yang dipersembahkan. Perkara ini terbukti benar dengan binaan sebuah rumah kecil tetapi cukup sempurna milik Puan Sharmiela Wahab dan keluarganya yang terletak di Telok Gadong, Klang ini.
Menurut pemilik, kediaman berkeluasan 1800 kaki persegi ini dilengkapi dengan 2 bilik dan sebuah bilik air ini dibina dengan kos RM40k sahaja! Ya, hal ini nampak mustahil tetapi jika bijak merancang, segalanya pasti boleh dicapai.
“Kalau nak tahu, kami beli sendiri bahan mentah seperti batu dan pasir tanpa mengupah kontraktor. Dan kebetulan rezeki kami suami isteri, buruh binaan yang diupah baru sampai dari negara seberang dan masih tiada kerja, jadi selama 2 bulan suami sendiri ulang alik hantar dan ambil pekerja sehingga rumah siap..”
Menurut Puan Sharmiela lagi, untuk tingkap dan pintu beliau hanya gunakan yang secondhand tetapi perlu pandai memilih mengikut konsep dan bajet yang ada. Tidak semua barangan secondhand tu tidak cantik atau tidak berkualiti, bahkan jika bernasib baik anda mungkin boleh dapatkan barang secondhand yang masih lagi kelihatan baru dengan kualiti yang bagus. Bukan sahaja dapat rumah yang cantik, anda juga dapat jimatkan banyak wang. Barulah boleh dikatakan bijak berbelanja.
Untuk bahagian rekaan dalaman pula, konsep pastel Scandinavian telah menjadi pilihan yang dilihat amat sesuai dengan personaliti tuan rumah yang lemah lembut dan ringkas. Dibawah ada beberapa gambar perkongsian yang boleh pembaca lihat dan dijadikan inspirasi. Selamat mendeko!
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
10 Tip Pilih Langsir Yang Wajib Anda Gunakan, Kalau Tak Nanti Rugi
Langsir adalah pelengkap hiasan rumah. Memanglah bukan perkara no.1 dalam carta membeli barangan hiasan dalaman rumah. Tapi, langsir tetap penting kasi ruang nampak elok. Salah beli, ruang jadi buruk. Siapa yang rugi? Mereka dan keluarga mereka….
Jom kita elak jangan kasi rugi bila beli langsir.
1. UKUR LABUH KE SENTENG.
Bila beli langsir, ukur betul-betul. Rekaan terbaik adalah labuhnya cukup-cukup di atas permukaan lantai. Jangan sampai menyapu lantai atau senteng . Elakkan juga memilih langsir cukup-cukup sampai frame tingkap macam mini skirt. Silap gaya orang cakap kita pakai langsir pinjam pulak.
2. PEMILIHAN WARNA TERANG – GELAP
Kalau rumah kecil, pilih warna yang senada dengan dinding. Tak pernah nak dramatik sangat sebab nanti ruang nampak sempit, pandangan mata pun nampak ‘semak’. Jika pakai warna warm newtral macam coklat,krim, light brown, jangan pilih warna cool newtral macam biru muda, kelabu samar atau turquoise muda. Itu sudah bercanggah. Hadirnya langsir untuk memberi ruang nampak harmoni dengan perabot.
3. RASA KETEBALAN TEKSTIL
Kita kena pastikan ruang kediaman kita cukup cahaya matahari atau tidak. Jika dah kena block dengan unit lain atau rumah lain,confirm rumah kita akan suram walaupun tengahari. Jadi langsir yang lebih nipis lebih sesuai. Paling tidak langsir renda. Ia, mampu benarkan cahaya matahari masuk. Cantik pun cantik. Ada yang murah lak tu…. Kalau pilih fabrik tebal, memang glamor. Tapi gelaplah rumah anda di siang hari. Nanti jiran ingat anti sosial pula. Langsir Black Out boleh digunakan tetapi untuk malam atau ketika kita tiada di rumah.
4. KENALI PENGGANTUNG LANGSIR
Jangan main hentam je beli. Bukan semua langsir sesuai untuk semua konsep. Jangan beli penggantung ala country tapi pakai untuk moden atau klasik. Jadi pastikan anda memilih penggantung yang betul malah detailing lipatan yang sesuai. Jika ragu-ragu, tanya pada pakar langsir. Bukan semua jahitan atas langsir sesuai untuk semua penggantung. Besi, kayu, hitam, emas, perak, polos, berkerawang, semua itu akan memberi impak kepada ruang anda. Jangan nampak aneh pula nanti bila langsir digantung ya! Duit habis, langsir buruk….aduh sakit hatikan…
5. SUAI PADAN CORAK
Wow! kita paling keliru bab yang ini. Ingat adakah kita ingin langsir menyerlah dari yang lain atau sebagai satu elemen menyokong konsep asal atau perabot yang ada? Pilih 1! Ini selalunya langsir, sofa, permaidani, kertas dinding semuanya mempunyai corak yang bold dan bertelagah di dalam satu ruang. Hasilnya…..yang mana satu nak kita lihat? Boleh juling dan stress dibuatnya! Jadi jika sofa atau kertas dindingnya sudah ada corak ‘over’, langsirnya biar polos aja atau corak yang lebih samar-samar. Begitu juga sebaliknya. Jadi ada keseimbangan.
6. PASTIKAN REKAAN BERPADANAN
Ukur tubuh pada badan sendiri, ukur langsir pada jendela sendiri! Sesuai atau tidak rekaan sarat umpama istana itu untuk hanya menghiasi jendela kediaman apartmen atau pangsapuri? Rekaan dramatik selalunya cantik untuk jendela besar dan tinggi sekitar 8 – 10 kaki. Andai rumahnya besar, perabot klasik nya dempak, ruangnya luas , silakan! Tetapi jika rumahnya kecil, ia nampak bantut dan berat. Pilih yang simple dan amali malah lebih murah. Masih ada jalan lain untuk nampak rumah kita cantik!
7. ILUSI LEBAR DAN PENDEK
Ini bukan ukuran badan. Tetapi ada rumah jendelanya sepasang di tengah dinding sekitar lebar 8′. Selalunya terdapat di kamar kedua unit apartmen atau kondo. Jangan biarkan ruang nampak biasa, kasi grand. Penuhkan dinding kecil itu dengan langsir polos dan bahagian jendela dihias lapisan sheer curtain atau bidai jika mahukan kelainan. Jadi teknik simple macam nilah yang boleh kasi ruang biasa nampak grand tanpa bercorak sarat. Murah tapi molek…..
8. SEDIAKAN PILIHAN KEDUA
Jangan rambang mata tengok kat kedai itu cantik beli. Ini cantik beli. Langsir tussel dulu pernah jadi trend beli sudahnya habis kucing main terlilit sana -sini. Mana yang suka nampak klasik mampan tu, boleh memilih pilihan kedua bagi menyelamatkan keadaan. Bidai roman boleh menjadi pengganti langsir klasik berswag, jurai bagai. Pilih corak klasik warna samar, atau yang bersulam mewah atau fabrik berkualiti dan automatik jendela nampak mahal sebab rekaannya bidai roman memang molek….
9. JANGAN GIGIH MENIRU
Lokasi dan gaya hidup keluarga kita berbeza. Jangan lekas terbeli jiwa hanya melihat rumah orang lain rekaan langsirnya begitu ‘wow’. Apatah lagi di dalam drama , iklan segala bagai. Tanya sama diri kita, rajinkah kita menggantung yang begitu berat dan berlapis-lapis? Adakah kita punya pembantu atau masa untuk membersihkan langsir berkain tebal itu? Adakah kita pun bajet untuk membeli atau menempah langsir mewah setiap 3 – 6 bulan? Jika semuanya…. ya, teruskan usaha anda. Namun jika tidak, ayuh kita cari alternatif yang lebih best untuk diri kita.
10. TERSEKAT PADA SATU ILHAM
Adakala kita ni degil atau kurang yakin. Apakah fabrik seumpama ini sesuai untuk kita? Cantik atau buruk rumah kita nanti? Pada kita corak itu jelah yang sesuai, atau fabrik itu jelah yang layak untuk kita. Jika anda mempunyai cita rasa moden klasik namun rumahnya tidaklah semegah kediaman agam, kita boleh mencuba memasang pelmet kecil dan disudahkan dengan fabrik polos rona pastel. Jangan kerana ia berkonsep mewah atau dramatik, kita perlu memilih warna seterang-terang lahar gunung berapi. Itu tidak benar . Less is more!
Bila dah beli langsir, kerja-kerja mencuci pun dah jadi satu hal. Silap cuci, langsir anda kelihatan lama dan buruk. Nak elak maslah ni, anda perlu lakukan 10 perkara ni.
Amal 10 Tip Ini Agar Langsir Sentiasa Nampak Baru Dan Tahan Lama [klik sini]
Atau anda boleh tengok Teknik Betul Membasuh Kain Langsir Di Dalam Mesin Basuh [klik sini]
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
(Gambar) Konsep Kontemporari Rustik Jadikan Kediaman Lebih ‘Style’ Dan Bercitarasa Tinggi
Selain daripada tema moden industri, moden dan skandinavia, terdapat satu lagi idea hiasan dalaman yang kini meningkat naik dan semakin digemari ramai. Ia adalah contemporary rustic.
Oleh itu, untuk entri kali ini, IMPIANA ingin menerangkan serba sedikit apa itu konsep dekorasi contemporary rustic dan bagaimana kita boleh aplikasikannya di dalam rumah.
Sebagai permulaan, Rustic berasal daripada perkataan rusty yang bermaksud berkarat atau sudah lusuh. Konteksnya banyak diguna pakai terhadap material besi apabila tidak dijaga dengan betul, akan berkarat dan tiada nilai. Manakala contemporary pula membawa makna terkini dan baharu. Ia juga sesuai untuk dikatakan bahawa tiada tetapan garis masa.
Dalam konteks rekaan serta hiasan dalaman, ia membawa makna kesan alam semulajadi, material yang tidak ditempa serta kekal seperti mana asal contohnya kayu, batu, logam dan sebagainya.
Aplikasi Rustic
Idea rustic bersifat lama atau old school, jadi berikannya nafas baharu. Anda padankannya dengan menghias dinding rumah melalui penggunaan kayu panel sebagai ganti warna cat. Tujuannya adalah untuk meningkatkan lagi elemen geometri kerana bentuk alur kayu mempunyai jaluran simetri yang amat menarik. Padankan ianya dengan pemilihan perabot berwarna kayu gelap seperti meja dan kerusi makan.
Selain itu, anda seharusnya memastikan setiap ruang dalam rumah tidak dipenuhi dengan pelbagai barang yang tidak sesuai sehingga menjadi semak. Hanya letakkan perabot dan perkakas yang perlu sahaja di rumah anda dan jika anda kekalkan ianya sebegini, maka rumah anda sudah lengkap dengan konsep rustic modern.
Berikut adalah kompilasi serta contoh idea untuk anda aplikasikan dalam rumah bagaimana rustic modern digunakan dalam setiap ruangan utama di kediaman anda.
Ruang Tamu
Dapur
Bilik Tidur
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Pelan Lantai Praktikal Sesuai Untuk Gaya Hidup Keluarga Moden
Pelan atau perancangan sesebuah kediaman yang seiring dengan gaya hidup mampu memberikan impak positif kepada penghuninya. Jalani kehidupan seharian dengan lebih selesa apabila tata rias kediaman yang menarik disuntik bersama praktikaliti pada setiap ruang di sanggar idaman anda.
Terletak di pinggir negeri Selangor, Kundang Estates merupakan salah satu perbandaran yang dibangunkan oleh Gamuda Land merangkumi kawasan berkeluasan 89 ekar. Dengan 573 unit kediaman, ia menawarkan sebuah pembangunan harmoni diilhamkan oleh gaya hidup keluarga moden.
“Anise” adalah rangkaian kediaman teres dua tingkat yang dilengkapi dengan 4 bilik tidur dan 3 bilik air. Datang dengan rekabentuk yang moden, kediaman berkeluasan 1733 kaki persegi ini tampil dengan jalan ceritanya sendiri. Pereka dalaman yang bertanggungjawab menata rias kediaman ini telah mengambil kira gaya hidup keluarga moden yang aktif tetapi pada masa yang sama, suka meluangkan masa bersama-sama.
Melalui pintu masuk utama kediaman, terlihat sebuah ruang dengan pelan terbuka, dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu ruang tamu, ruang makan dan juga dapur. Walaupun berada dalam satu lantai yang sama, setiap ruang tersebut telah di hias dengan menggambarkan persekitaran yang praktikal dan multi-fungsi dalam kediaman keluarga ini.
Di sini, susun atur perabot memainkan peranan penting dalam membahagikan setiap ruang. Contohnya, susunan sofa di ruang tamu membelakangi ruang makan menunjukkan dengan jelas bahawa ia merupakan dua ruang yang berbeza dengan penggunaan yang berbeza. Terdapat juga sebuah meja konsol diletakkan dibelakang sofa tersebut sekaligus menjadikannya sebuah sudut pelbagai guna yang memenuhi keperluan setiap ahli keluarga.
SATU PELAN, MULTI-FUNGSI
Ruang makan kediaman ini pula tampak sempurna dilengkapi sebuah set meja makan 6 kerusi berwarna hitam dengan deretan lampu gantung yang menyinari segenap ruang. Menariknya, di sini juga terletaknya rak buku yang dibina khas dengan pintu berupa papan hitam. Sesuai untuk digunakan anak-anak ketika sesi belajar mahupun untuk menyiapkan kerja sekolah. Ini bererti ruang makan ini bukan sahaja digunakan ketika waktu makan tetapi juga digunakan untuk sebagai ruang ulang kaji bagi si cilik.
Ruang makan dwi-fungsi ini terletak betul-betul di sebelah dapur bagi memudahkan pergerakan penghuninya selain dilengkapi dengan kaunter sarapan (breakfast counter) dua tempat duduk. Dari sudut ini, si ibu dapat memantau anak-anak dari jauh sambil menyediakan juadah buat keluarga tercinta.
PENGGUNAAN RUANG NEGATIF
Kebiasaanya, pemilik kediaman mungkin buntu dan tidak pasti bagaimana mahu menggunakan sepenuhnya ruang bawah tangga tanpa terlihat kosong dan hambar. Di kediaman ini, ruang tersebut telah mengalami transformasi penuh, menjadikannya sebagai sebuah sudut dengan fungsi yang tersendiri.
Sebuah bench atau kerusi panjang di bina bagi menambah kapasiti tempat duduk agar bisa digunakan ketika tuan rumah mengadakan majlis keramaian mahupun perjumpaan. Idea bijak ini juga telah digunapakai untuk sudut belakang pintu masuk utama kediaman ini.
Terdapat sebuah rak kasut bersama tempat duduk yang ditempah khas (custom made) bagi memudahkan para tetamu dan juga tuan rumah. Elemen seperti ini bukan sahaja membuatkan kediaman tampil menarik taetapi juga dapat memastikan setiap ruang sentiasa dalam keadaan yang kemas dan bersih. Sekaligus memudahkan tugas-tugas pembersihan untuk pemilik.
IDENTITI KAMAR TIDUR
Dari kebanyakan ruang yang terdapat di sesebuah rumah, bilik tidur merupakan ruang yang paling peribadi. Walaupun ia mungkin tidak akan terlihat langsung oleh tetamu anda, bilik tidur juga berhak untuk diberikan perhatian. Inilah yang digambarkan dalam kediaman ini apabila setiap kamar tidur dihias dengan memberi sepenuh perhatian pada setiap kemasan dan perincian.
Penggunaan rona neutral bertona gelap masih lagi dikekalkan di bilik tidur utama, sama seperti ruangan di tingkat bawah. “Mood” atau persekitaran berkonsepkan moden kontemporari ini dapat membangkitkan perasaan tenang dan nyaman ketika sedang berehat.
Lain pula halnya untuk bilik tidur anak perempuan dan lelaki kerana masing-masing mempunyai kegemaran dan kecenderungan yang tersendiri. Bersesuaian dengan usia yang sedang meningkat remaja, penggunaan warna pastel yang lembut dan tidak terlalu terang telah menjadi pilihan untuk bilik anak gadis. Manakala untuk adik lelaki pula, suasa lebih ceria dan bertenaga telah diterapkan dengan penggunaan kertas dinding bercorak serta beberapa percikan warna-warna terang seperti merah dan kuning.
+ INFO KEDIAMAN
Jenis Kediaman: Rumah teres dua tingkat
Konsep: Moden
Keluasan: 1733 kaki persegi
Spesifikasi: 4 bilik tidur, 3 bilik air
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI