Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang hisan dalam serta ilham melalui Pinterest, Michelle yang berasal dari Melaka juga turut mendapat idea dari kampung halamannya yang kaya dengan budaya dan sejarah. Konsep Moden Klasik menjadi pilihan kerana ianya amat dekat dengan diri pemilik dan sememangnya sudah menjadi idaman semenjak dulu lagi.
“Saya memilih konsep ini kerana ia tidak mudah ketinggalan zaman Rona biru navy ini pula dipilih kerana ia kelihatan sejuk serta selesa mata memandang”, ujar Michelle.
Ringkas tetapi tetap tampak elegan, inilah yang dapat disimpulkan tatkala penulis melangkah masuk ke ruang dapur bersaiz sederhana ini. Setiap perincian yang diterapkan telah dipilih sendiri oleh pemilik dan direalisasikan oleh pereka. Rona biru yang mendominasi ruang dapur ini telah di neutralkan oleh warna hitam dan putih dari jubin lantai. Kemasan marble quartz untuk permukaan kaunter juga telah memberi ruang ini keanggunan yang tersendiri apabila digabungkan dengan backsplash dari jenis jubin subway berwarna putih polos.
GAYA EKSKLUSIF DENGAN PALITAN EMAS
Kabinet dapur dari material nyatoh yang disaluti kemasan biru navy ini dipadankan bersama pemegang emas ‘matte’ yang ditempah khas dari China. Padanan dua elemen ini sekaligus telah menjadikan ruang dapur tampak lebih eksklusif dan menawan. Ciri keemasan ini juga dapat dilihat pada dua buah kerusi yang diletakkan di kaunter pulau berhadapan dapur memasak.
“Walaupun ada handle dan knob emas dijual di Malaysia, saya dapati tiada satu pun yang datang dengan kemasan ‘matte’. Oleh itu, saya telah meminta designer menempah pemegang kabinet dari China melalui atas talian dan dia berjaya dapatkannya.”
Michelle tidak kisah berkorban dan berbelanja lebih sedikit demi mendapatkan dapur yang ideal serta menepati citarasa peribadinya.
IMBASAN CAHAYA SEMULAJADI
Pelan lantai berbentuk ‘L’ di ruang ini membolehkan pemilik menggabungkan bersama dapur dengan ruang mencuci atau dobi. Ruang ini tampak lapang walaupun memanjang kerana penggunaan warna putih mampu memberikan ilusi ruang luas. Selain itu, pemilik bijak meletakkan skylight di sudut ini untuk memaksimakan penggunaan cahaya semulajadi.
Penataan seimbang dan tidak keterlaluan ini telah membuka satu dimensi baru dalam ruang kediaman ini. Pemilik dan pereka telah membuktikan yang kerjasama dan olahan bijak antara mereka berupaya menghasilkan sebuah ruang dapur anggun dengan rekabentuk yang timeless.
INFO KEDIAMAN
Nama Pemilik : Michelle Yeo
Nama Pereka : Wooot Carpenter
Jenis Kediaman : Teres Dua TIngkat
Keluasan Dapur : 320 kaki persegi
Konsep Dapur : Moden Klasik
Lokasi: Bukit Raja, Klang
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI