
Apakah yang boleh kita pelajari daripada kebijaksanaan alam semula jadi, dan bagaimanakah reka bentuk bersama alam dapat membantu mencipta masa depan yang lebih baik untuk manusia serta planet ini?
Pertanyaan ini bakal diterokai menerusi pameran berskala besar berjudul ‘More than Human: Making With the Living World’ yang akan membuka tirainya di ArtScience Museum bermula 28 November 2026 hingga 16 Mei 2027.

Pameran sulung di peringkat Asia ini asalnya dibangunkan oleh Design Museum di London dengan kerjasama Future Observatory, manakala edisi Singapura telah diperluaskan menerusi 25 karya yang diurus bersama oleh ArtScience Museum serta disokong oleh DesignSingapore Council bagi mengetengahkan perspektif dan kearifan serantau dari Asia.
Misi Reka Bentuk Merentasi Spesies
Menurut pihak pengurusan, pameran ini menghimpunkan lebih 140 karya seni, projek, pemasangan immersif, dan pengalaman interaktif daripada hampir 55 artis, pereka, arkitek, penyelidik, serta komuniti.
“Di ArtScience Museum, kami meraikan sifat ingin tahu dan kreativiti manusia, dan terdapat begitu banyak elemen dalam dunia yang hidup untuk memberi inspirasi kepada kedua-duanya,” kata Angelita Teo, Naib Presiden Tarikan di Marina Bay Sands.
“Adalah penting bagi kami untuk membawakan perspektif kami sendiri ke pameran ini. Membina berdasarkan pameran asal Design Museum, kami telah membawa masuk suara dan pengetahuan dari Singapura dan Asia Tenggara, menghubungkan idea-ideasnya dengan cara kita memahami dan hidup berdampingan dengan alam semula jadi di bahagian dunia ini.”

Justin McGuirk, Pengarah Future Observatory pula menegaskan bahawa pameran ini merakamkan satu gerakan seni dan reka bentuk yang menumpukan kepada kemakmuran sistem semula jadi.
“Pameran More than Human menangkap gerakan seni dan reka bentuk yang sedang pesat membangun yang mendedikasikan diri untuk kemakmuran sistem semula jadi yang kita bergantung kepadanya,” kata Justin McGuirk, Pengarah Future Observatory.
“Amalan-amalan ini meneroka maksud menyembuhkan hubungan kita yang telah rosak dengan dunia yang hidup. Walaupun banyak kerja dalam pameran ini masih baru atau bersifat penerokaan, ia mewakili anjakan radikal dalam pandangan dunia ke arah manusia menggunakan reka bentuk bukan sahaja untuk keperluan mereka sendiri tetapi untuk menyokong spesies lain dan ekosistem mereka. More than Human adalah apa yang reka bentuk perlukan pada abad ke-21.”

Sementara itu, Dawn Lim selaku pengarah eksekutif Design Singapore Council turut berkongsi pandangan mengenai potensi perubahan perspektif menerusi reka bentuk.
“Reka bentuk mempunyai kuasa untuk mengubah bukan sahaja cara kita melihat dunia, tetapi cara kita hidup di dalamnya,” kata Dawn Lim, Pengarah Eksekutif Design Singapore Council.
“Kejayaan yang paling bermakna selalunya bermula dengan anjakan perspektif. More than Human mencabar kita untuk memikirkan semula hubungan kita dengan dunia semula jadi yang kita huni, untuk membentuk semula cara kita hidup berdampingan dengan spesies lain bagi mencipta masa depan di mana semua bentuk kehidupan boleh berkembang maju. Kami berbangga menyokong edisi Singapura yang diperluaskan ini, membawa perspektif Asia kepada soalan tentang siapa dan apa yang kita reka bentuk.”
Anda mungkin berminat dengan

Tarikan Utama Pameran
Pameran ini dibahagikan kepada tiga bahagian tematik, dengan reka bentuk pameran diilhamkan daripada bentuk maz, kepulauan, dan persekitaran hutan oleh firma Lekker Architects yang berasaskan di Singapura. Antara sorotan utama termasuklah:
-
Berl-Berl oleh Jakob Kudsk Steensen – Pemasangan audiovisual immersif berskala besar yang membawa pengunjung ke dalam ekosistem tanah lembap digital.
-
How to Carve a Sculpture oleh Aki Inomata – Mengubah kayu yang digigit oleh berang-berang (beaver) menjadi karya seni bagi mempertikaikan sama ada kreativiti itu hanya hak milik manusia.
-
Pollinator Pathmaker: Perceptual Field oleh Alexandra Daisy Ginsberg – Sebuah permaidani seluas lapan meter yang membayangkan taman direka khusus mengikut keperluan spesies pendebunga.

Edisi Singapura turut menampilkan perspektif Asia Tenggara melalui kolaborasi bersama institusi tempatan seperti National Parks Board (NParks), Makmal Ekologi Marin Eksperimen Universiti Nasional Singapura (NUS EMEL), serta Muzium Tamadun Asia (ACM) menerusi pameran seperti Bee Trail, Fish Houses, dan perangkap ikan tradisional.
Info Tiket & Maklumat Lanjut
Pameran More than Human: Making with the Living World berlangsung dari 28 November 2026 hingga 16 Mei 2027. Tiket boleh mula dibeli di semua kaunter tiket Marina Bay Sands serta secara dalam talian bermula 28 Oktober. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Marina Bay Sands.

