Rumah lelong sering menarik perhatian ramai apabila terlihat pada papan tanda di tiang-tiang lampu, tepi jalan, atau di rumah itu sendiri. Nampak murah, malah ada yang terletak di tengah-tengah bandar. Tapi jangan mudah terpengaruh dengan harga rumah lelong yang nampak menggiurkan tanpa memahami risikonya.
Sebelum anda mula bandingkan harga rumah baru dengan rumah lelong, penting untuk faham betul-betul konsep dan prosesnya. Salah langkah, anda boleh rugi besar.
Rumah Lelong: Tinjau dan Kaji Sebelum Beli
Menurut perkongsian Dr Ahmad Samhan, terdapat beberapa faktor dan perkara yang perlu diketahui sebelum membeli rumah lelong. Berikut adalah 6 perkara penting tentang rumah lelong yang wajib anda tahu.
1. Duit Deposit Lesap
Terdapat dua jenis lelongan rumah di Malaysia:
LACA (Loan Agreement Cum Assignment) – Lelongan yang diuruskan oleh bank bagi hartanah tanpa individual atau strata title.
Non-LACA – Lelongan yang diuruskan oleh Mahkamah Tinggi bagi hartanah yang mempunyai individual atau strata title.
Untuk rumah lelong jenis LACA, baki harga rumah perlu dijelaskan dalam tempoh 90 hari selepas bidaan berjaya. Manakala bagi non-LACA, tempohnya ialah 120 hari. Rumah lelong LACA memerlukan deposit 5%, sementara non-LACA 10%.
Oleh itu, pastikan anda mempunyai dana deposit dan melantik peguam berpengalaman dalam urusan rumah lelong. Ini kerana anda terikat dengan tempoh masa tertentu bagi memastikan pinjaman dikeluarkan oleh bank kepada pihak pelelong.
2. Beli Rumah Lelong Terlalu Mahal
Sebelum masuk proses bidaan (bidding), semak dulu nilai pasaran sebenar (market value) rumah lelong yang ingin dibeli. Jangan terburu-buru membida tanpa strategi. Kadangkala pembida menaikkan harga tanpa sedar hingga melebihi nilai pasaran.
Akhirnya, anda mungkin terbeli rumah lelong dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran, ditambah pula kos guaman, bil tertunggak, dan kos baik pulih — semuanya boleh menyebabkan kerugian besar.
Ads
3. Merisik Dulu Sebelum Meminang
Rumah lelong tidak dijual dengan vacant possession. Kadangkala penyewa asal masih menetap di situ. Secara undang-undang, anda perlu buktikan pemilikan sebelum boleh meminta mereka keluar.
Cara terbaik adalah berbincang dengan penyewa terlebih dahulu. Jika mereka memahami situasi, mereka mungkin akan keluar secara sukarela. Jika tidak, anda boleh menggunakan peguam untuk mengeluarkan notis atau mendapatkan perintah mahkamah.
Menariknya, jika anda memang merancang untuk menyewakan semula rumah lelong tersebut, perbincangan baik boleh membuka peluang untuk terus menyewakan kepada penyewa sedia ada dengan kadar sewa baharu.
4. Bil Tertunggak Rumah Lelong
Ramai terlepas pandang bil tertunggak seperti air, elektrik, cukai tanah, cukai taksiran, dan caj penyelenggaraan. Kadangkala bil ini boleh mencecah lebih RM10,000.
Elakkan terkejut selepas menang bidaan. Sebelum membeli, semak terlebih dahulu di pejabat utiliti atau pengurusan perumahan berkaitan bagi memastikan tiada bil tertunggak yang perlu anda tanggung.
5. Kos Baik Pulih (Repair)
Rumah lelong biasanya tidak dijaga dengan baik. Jadi, pastikan anda melawat rumah tersebut sebelum membeli. Perhatikan kerosakan besar seperti bumbung bocor, dinding retak, paip pecah, atau cat mengelupas.
Ads
Buat anggaran kos baik pulih terlebih dahulu. Kadang-kadang, kos repair boleh jadi lebih tinggi daripada deposit 10% yang anda keluarkan. Dengan perancangan awal, anda dapat menetapkan bajet bidaan dengan lebih bijak.
6. Kaveat Rumah Lelong
Kaveat ialah notis undang-undang untuk menghalang proses jual beli sesuatu hartanah. Sebagai contoh, jika rumah lelong dimiliki dua pemilik dan salah seorang meletakkan kaveat, maka rumah itu tidak boleh dijual sehingga isu tersebut diselesaikan.
Situasi lain ialah apabila salah seorang pemilik menggunakan rumah itu sebagai cagaran hutang dengan Ah Long, lalu kaveat diletakkan bagi menghalang proses jual beli. Inilah sebab mengapa anda perlu menyemak status kaveat rumah lelong sebelum membida.
Ramai pembeli terpaksa menanggung kerugian masa dan wang kerana tidak menyemak perkara ini dari awal.
Ads
Fahami Risiko Rumah Lelong Sebelum Beli
Memang benar, harga rumah lelong boleh jadi 30% hingga 40% lebih murah daripada pasaran. Namun, di sebalik tawaran menarik itu, terdapat pelbagai kos tersembunyi dan risiko yang perlu difahami.
Pastikan anda meninjau dan mengkaji rumah lelong dengan teliti sebelum membuat keputusan membeli. Dengan ilmu dan persediaan yang betul, rumah lelong boleh jadi pelaburan yang berbaloi — bukan beban kewangan.
IMPIANA: Jadi sebelum merancang untuk membeli rumah lelong, fahami betul-betul setiap proses. Jangan nanti niat nak untung, tapi akhirnya rugi pula.
Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, pasangan selebriti dan usahawan yang sering menjadi perhatian ramai bukan sahaja kerana bakat lakonan mereka, tetapi juga gaya hidup yang penuh inspirasi.
Rumah Milik WAWA ZAINAL & AERIL ZAFREL Berkonsep Modern English, Siap Ada Mini Surau!
Sebelum ini, kediaman mewah pasangan ini telah menarik perhatian netizen apabila mereka berkongsi gambar-gambar eksklusif rumah baharu mereka di media sosial. Apa yang lebih menarik, rumah mereka bukan sahaja tampak mewah dan elegan, tetapi juga mempunyai elemen spiritual dengan kehadiran mini surau yang diabadikan khas untuk ibadah. Jom kita lihat lebih dekat tentang rumah impian mereka ini!
Wawa Zainal dan Aeril Zafrel
kediaman tiga tingkat milik pasangan selebriti ini turut menggunakan khidmat perunding hiasan dalaman terkenal, Lentera Creative Home. Memang cantik, terus berubah ruang mahligai Wawa dan Aeril jadi mewah, eksklusif dan menyenangkan.
Bukan saja bijak memilih perabot terkini yang serba moden, gabungan warna dinding dan perhiasan di kediaman selebriti ini juga berjaya mencipta suasana tenang dan mendamaikan. Bertepatan dengan konsep Modern English yang diinginkan Wawa dan Aeril, Lentera Creative merealisasikan impian tersebut dan mencurah kreativiti dengan kewujudan fire place di sudut ruang tamu. Unik, tak ubah macam rumah orang Inggeris!
Bagi menyerlahkan lagi ruang ini, perhiasan bingkai gambar abstrak gabungan rona biru, putih dan keemasan dipadankan bersama pasu hitam keemasan yang turut diserikan dengan permaidani rona senada. Ia sekaligus berjaya menghidupkan suasana seimbang dalam setiap rekaan sudut kediaman.
Dalam menggarapkan kemewahan ruang privasi seisi keluarga, pasangan ini tidak lupa menyediakan satu ruang khas untuk bersolat atau mini surau. Walaupun ia hanya mampu menampung jumlah jemaah yang kecil, tapi ia menghimpunkan makna yang besar dalam sesebuah kediaman.
https://www.instagram.com/p/BrRqVDDHIJF/
Mengambil masa setahun untuk menyiapkan segala proses pengubahsuaian, mahligai mewah ini nyata hadiah termanis buat suami isteri ini setelah enam tahun melayari bahtera perkahwinan. Dikurniakan sepasang anak perempuan dan anak lelaki comel, Wawa dan Aeril adalah lambang potret keluarga bahagia. Malah, kehadiran cahaya mata perempuan terbaru mereka yang diberi nama Ayya Soffya pada Oktober tahun lalu pastinya menambahkan seri rumah tangga pasangan romantis ini.
Tidak hanya menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga bahkan mereka berdua juga cukup cemerlang dalam perniagaan kosmetik yang diusahakan. Sebelum ini Wawa dan Aeril pernah menjadi perhatian masyarakat apabila kedua-duanya saling menghadiahkan kereta mewah sebagai tanda penghargaan. Empayar Wawa Cosmetics dan madu ajaib mereka juga kian berkembang pesat serta mendapat tempat di hati pengguna. Alhamdulillah, tumpang bangga melihat kejayaan pasangan selebriti ini.
Citarasa setiap individu itu tidak sama serta berbeza dan mungkin ada di kalangan anda yang lebih gemar untuk memiliki kediaman jenis ‘high-rise’ sebagai pilihan.
Namun, sebelum anda membuat keputusan untuk memiliki kediaman di tingkat tinggi, anda wajib mengetahui kebaikan dan keburukannya serta mempertimbangkan beberapa perkara penting yang lain.
Kebaikan Rumah ‘High-Rise’
1.Kemudahan
Kediaman seperti kondominium dan apartmen kebiasaannya dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna, surau, kolam renang, gimnasium, gelanggang badminton, suana, taman permainan dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, kesemua kemudahan yang disediakan boleh diguna pakai bersama seluruh penduduk dalam satu bangunan yang sama.
2.Harga
Jika anda bandingkan kondominium mewah dengan rumah bawah, anda mungkin akan dapati harga kedua-duanya hampir serupa bergantung pada faktor seperti kemudahan, lokasi dan saiz.
Namun rumah ‘high-rise’ yang sememangnya diketahui umum jauh lebih murah berbanding ‘rumah landed’ dan boleh menjadi pelaburan yang bijak bagi pembeli rumah kali pertama.
3.Keselamatan
Di segi ketenangan hidup untuk anda dan orang tersayang, kediaman ‘high-rise’ biasanya dilengkapi ciri kawalan keselamatan yang kukuh seperti berpagar dan berpengawal
Jika anda memilih pemajuan yang lebih mewah, anda akan menikmati ciri tambahan seperti kunci pintar, kad kemasukan ke lif dan aras serta pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
4.Pulangan sewa beli
Antara sebab rumah ‘high-rise’ adalah satu pelaburan yang kukuh adalah oleh kerana permintaan terhadap rumah jenis ini sentiasa tinggi dalam kalangan penyewa berikutan lokasinya yang banyak terletak di kawasan bandar danberhampiran pelbagai kemudahan pengangkutan awam.
Biasanya tiada masalah mendapatkan penyewa terutama sekali di kawasan bandar yang ramai penduduk dan berhampiran dengan institusi pengajian tinggi.
Keburukan Rumah ‘High-Rise’
1.Kumpulan wang penjelas dan yuran penyelenggaraan
Kemudahan yang ada di kebanyakan pemajuan ‘high-rise’ itu nyata bukannya percuma.
Jadi, anda juga perlu menyediakan wang untuk penyelenggaraan jangka masa panjang di kawasan umum dan kos baik pulih bangunan yang diperlukan (kumpulan wang penjelas).
2.Berstatus Komersial
Sesetengah rumah jenis kondominium atau apartmen sebenarnya hartanah berstatus komersil. Ini bermakna kadar utilitinya lebih tinggi berbanding rumah yang berstatus kediaman.
Anda juga mungkin dikenakan cukai perkhidmatan (Sales and Services Tax – SST) untuk perkhidmatan yang disediakan oleh Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) bangunan anda.
3.Saiz Kediaman
Rumah kondominium dan apartmen biasanya lebih kecil berbanding ‘rumah landed’. Mereka yang ingin berkeluarga mungkin merasakan ruang yang ada sedikit terhad atau sempit.
Sesetengah pemajuan berkepadatan tinggi menempatkan banyak unit-unit kecil di dalam satu aras. Ini sudah pasti boleh membuatkan anda merasa lebih sempit.
4.Kekangan
Hidup di kediaman ‘high-rise’ biasanya ada kekangan, umpamanya peraturan ketat yang melarang anda memelihara binatang, ruang parkir yang terhad dan masalah kebisingan.
Sumber: PropertyGuru Website
Ingin lebih tahu pelbagai tips untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi IMPIANA. Klik di sini.
Bahagianya mempunyai rumah hujung minggu yang dikeliling permandangan bukit bukau semulajadi yang cukup indah. Saujana mata memandang, terpesona melihat panorama kehijauan yang cukup mendamaikan.
Baru-baru ini, pelakon dan pengacara Datin Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dynas,41 ada berkongsi cerita rumah hujung minggu milik keluarganya yang dinamakan Tapah Wanra Hill.
‘Wanra’ merupakan gabungan nama ibu dan ayah Dynas sendiri iaitu Datuk Wan Mokhtar Wan Mohamad dan Datin Rasiah Shaharuddin.
Rumah tersebut baru sahaja siap dibina di atas bukit dan terletak di Tapah, Perak. Menurut Dynas, rumah tersebut didirikan di atas tanah pusaka, mempunyai laman yang cukup luas dan permandangan yang sangat cantik berlatarbelakangkan bukit bukau.
Rumah Berkonsep ‘Industrial Rustic’
Menariknya rumah tersebut berkonsepkan ‘Industrial Rustic’ dengan material bata merah dan lepaan simen menjadi kemasan utama kediaman. Manakala dekorasi rumah dan bilik pula dihias dengan cukup ringkas namun selesa, serta perletakan barangan dan perabot asas sahaja.
Rumah hujung minggu ini mempunyai 4 buah bilik iaitu bilik ibu dan ayah di tingkat bawah, bilik anak-anak, bilik adik beradik lelaki dan bilik dynas sendiri. Di samping, rumah ini turut mempunyai kolam renang dan dapur terbuka.
Menurut Dynas lagi, Tapah Wanra Hill ini terletak di atas bukit dan perlu menaiki kereta pacuan 4 roda untuk sampai ke sana.
Tahniah Dynas dan keluarga. Cantik sungguh permandangan rumah ini bersesuaian dengan konsep kediaman yang menjadi pilihan.
Ketahui langkah penting dan rutin kebersihan rumah bagi pencegahan influenza. Lindungi keluarga anda dengan amalan harian mudah yang mencegah jangkitan virus di rumah!