Kita selalu anggap sofa bed ni untuk rumah bujang. Atau kita anggap untuk bilik tidur atau perabot yang tak sesuai untuk diri kita. Jika anda mendiami kediaman agam atau banglo mungkin lah tak memerlukan. Bagaimana pula jika anda mendiami kediaman flat, apartmen atau kondo?
Dah gitu, kita berkongsi ruang dengan 3,4 orang adik beradik, kita pula suka tengok tv sampai terlelap di ruang tamu atau orang tua / sepupu kita suka lepak kat rumah dan adakala bermalam di rumah kita. Jadi bagaimana solusi kita untuk menyediakan tempa tidur buat mereka? Anda yang membantu, day bed.
Day bed memanglah direka untuk kita tidur time siang tetapi kini rekaannya sudah pelbagai. Kita boleh jadikan ia sebagai sofa utama bagi tempat duduk, tempat tidur jika perlu dan di sesetengah kediaman /kafe dijadikan tempat duduk utama ruang makan. Ia juga ada didatangkan dalam bentuk dwi bentuk iaitu ia boleh dibuka menjadi katil dan dilipat kembali menjadi sofa yang cantik. Jadi anda sudah jimat ruang dan wang di situ.
Malah ia juga boleh kita tempatkan di dalam bilik membaca, ruang keluarga, ruang tamu, dan ada juga rekaan ala kedesaan yang boleh ditempatkan pada pinggir pintu masuk. Jadi jangan pandang ringan pada kepentiingan day bed. Ia mungkin menjadi perabot pilihan mu.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Konsep Industrial, Ini Yang Anda Kena Tahu Tentang Simen Sebelum Guna
Konsep industrial, ini yang anda kena tahu tentang simen sebelum guna. Rupa dan konsep industri dalam reka bentuk dalaman telah lama wujud dan menjadi kegemaran dalam kalangan pemilik rumah dan pereka. Keadaan ini menjadikan permintaan terhadap bahan industri seperti konkrit yang biasanya digunakan di jalan masuk atau laluan utama serta pembinaan umum yang lain semakin meningkat.
Konkrit juga merupakan bahan versatile yang serba boleh kerana terdapat pelbagai cara penggunaan yang dapat kita lihat bukan sahaja untuk kemasan interior malahan juga untuk perabot seperti lampu atau side table.
Sememangnya bahan ini dapat membuatkan kediaman anda tampak lebih moden dan unik tetapi sebelum anda memilih untuk menggunakan konkrit, adalah lebih baik jika lakukan sedikit research tentang sifat serta fungsinya agar tidak tersilap langkah dan bagi mengelakkan pembaziran di masa akan datang.
Dengan mengambil tahu serba sedikit, ia akan membantu anda membuat keputusan untuk memastikan aplikasi yang anda mahu itu sesuai ataupun tidak.
Pemilik rumah mungkin suka untuk gunakan konkrit untuk bilik mandi, tetapi bahan ini tidak digalakkan untuk lantai kerana ia boleh menjadi licin apabila basah, ditambah pula jika lantai dipenuhi sabun. Hati- hati ya!
Perlu juga diingat, konkrit mempunyai permukaan yang berliang, jadi kemunculan garis-garis retak mungkin akan berlaku dari masa ke masa. Jika permukaan konkrit diletakkan berhampiran tingkap, haba yang dihantar melalui dinding akan menyebabkan permukaan retak dengan lebih cepat.
Apabila digunakan di dalam bilik mandi yang tidak mempunyai ventilasi yang baik, reaksi dengan bahan pencuci atau syampu juga mungkin akan menyebabkan kesan berbelak pada konkrit. Jika anda masih berminat untuk mempunyai permukaan konkrit di kawasan basah, maka anda perlu menerima hakikat bahawa rupa dan keadaan konkrit itu akan berubah seiring masa.
Tapi janganlah bersedih dan terus tidak minat dengan konkrit, kerana terdapat pelbagai cara kreatif lain yang dapat kita lihat dengan menggunakan bahan serba boleh ini. Berikut dikongsikan antara contoh-contoh konsep yang diinspirasikan daripada konkrit.
Ingin kongsi idea dekorasi rumah anda? Klik link ini untuk join telegram grup Geng Dekor Impiana: https://t.me/gengdekorimpiana
Ingin lebih tahu pelbagai tip untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram dan TikTok rasmi IMPIANA.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Pilih Langsir Ikut Kesesuaian Dinding, Elak Rugi Bila Dah Tempah Tapi Tak Sesuai
Pilih langsir ikut kesesuaian dinding, elak rugi bila dah tempah tapi tak sesuai. Adakalanya terlepas pandang dek rambangnya mata memilih itu dan ini untuk ruang kediaman. Maklum sahaja semua yang disajikan di premis hiasan kediaman, cantik-cantik belaka dan adakala kita terbuai dek rekaan atau corak kemasan lembut yang menawan sehingga terlupa situasi sebenarnya di kediaman kita.
Namun itu bukan satu masalah jika kita sendiri tahu apakah yang patut kita perolehi untuk dinding dan jendela. Berikut dikongsikan enam tip ringkas untuk menghias jendela yang sesuai dengan dinding rumah anda.
DINDING RENDAH
Kediaman anda berdinding rendah atau berjendela tinggi? Jika anda mendiami kediaman bersiling rendah, jangan gusar untuk menutup keseluruhan dinding kecil anda dengan langsir agar ruang nampak lebih luas dan tinggi.
Ilusi ini juga membantu anda menyerlahkan tata hias yang lebih kemas dan elegan sebagaimana acap kali anda lihat di hotel lima bintang. Jika siling kediaman anda rendah, cari corak jejalur dan susun lah secara vertikal (menegak) mahu pun horizontal (melintang). Garisan ini selalunya memberi ilusi pada mata dan menjadikan ruang tampil luas dari yang sebenar.
DINDING TINGGI
Adakala kita terlupa jendela kediaman kita bukan sebagaimana kediaman lain yang jauh lebih rendah. Selalunya jendela yang tinggi menyebabkan kain langsir menjadi senteng. Jangan malu segan untuk menambah fabrik di bawah mahu pun ¾ dari kaki fabrik langsir . Tambahkan 6 inci hingga 9 inci lebar kain tambahan dan jahit lah dengan kemas sambungannya agar membentuk garisan mewah di atas teks kain tersebut.
Manakala bagi dinding, jika anda bermain dengan kertas dinding, tidak salah jika memilih corak flora fauna yang samar atau ilusi pokok menjalar tinggi bagi kanak-kanak agar dinding yang agak tinggi ini nampak lebih menarik dan disempurnakan dengan hiasan yang ideal. Gantungan ala vertikal juga digalakkan.
DINDING ADALAH JENDELA
Bagaikan akuarium, kediaman urban kini dilitupi dengan cermin jarang baru pada hampir keseluruhan dinding. Ini adalah kerana kebanyakan kediaman kini mempunyai gaya urban dan banyak menggunakan cermin jarang.
Anda boleh menutup dengan bidai roman yang juga kemas dan didatangkan dalam pelbagai corak dan boleh juga dipadankan dengan kemasan lembut. Kelebihan bidai Perancis ini adalah corak dan warnanya boleh ditukar-tukar oleh tuannya. Anda juga boleh menggunakan bidai horizontal bagi menyukat cahaya yang tidak diperlukan dengan lebih berkesan.
PADANAN IDEAL
Pastikan anda melihat dinding kediaman sebelum bertindak memilih langsir yang serasi. Apakah jenis kemasannya dan apakah pula warnanya yang dipilih. Anda perlu peka dengan kesesuaian ruang juga. Misalnya ruang dipalitkan dengan rona tanah dengan konsep harmoni.
Pastikan anda tidak memilih rona yang bertentangan dengan skema warna yang mendominasi ruang agar pandangan fokus mata anda tidak bertelagah di dalam satu ruang. Sebaliknya pilihlah rangkaian warna tanah yang ideal buat ruang tersebut agar teradun sempurna.
Begitu juga jika ruang sudah sarat dengan hiasan dan corak dari kertas dinding. Tergamakkah kita mengenakan langsing bercorak sarat berwarna terang? Pilihan rona pastel yang lebih tenang dan melegakan pandangan di ruang tersebut.
Awas, pastikan jendela anda mampu memberi limpahan cahaya matahari dengan sempurna. Jika ruang tamu anda terkepung dengan bangunan atau tidak menghala ke arah matahari, pilihlah langsir renda yang bukan sahaja menarik malah tidak menghalang cahaya semula jadi secara total .
KESILAPAN LAZIM
Ramai di kalangan kita yang silap memilih rekaan langsir tanpa mengambil kira keserasian rekaan langsir dan konsep kediaman. Kita merasakan rekaan langsir tidak sama dengan konsep kediaman atau saiz kediaman. Namun antara yang lazim dilakukan adalah melangsiri pintu.
Misalnya:
*Memilih langsir swag di kediaman bersiling rendah dan sempit
*Memilih langsir berwarna kontra dengan dinding
*Memilih aras langsir yang agak senteng
*Memilih langsir ropol ala kedesaan dan dipadankan dengan gaya moden.
*Memilih kain bercorak sarat untuk langsir rekaan klasik berswag.
Ingin kongsi idea dekorasi rumah anda? Klik link ini untuk join telegram grup Geng Dekor Impiana: https://t.me/gengdekorimpiana
Ingin lebih tahu pelbagai tip untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram dan TikTok rasmi IMPIANA.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Susun Atur Kediaman Yang Disarankan Oleh Islam
Pada artikel lepas, IMPIANA telah bawakan ciri-ciri kediaman yang berteraskan syariat Islam. Jadi kali ini kita akan bincangkan tentang kedudukan rumah yang bersesuaian dengan ajaran Islam pula.
Sebelum membina rumah idaman, sudah tentu anda akan membuat perancangan yang rapi dan teliti kerana sebuah kediaman merupakan pelaburan jangka panjang dan boleh mempengaruhi kehidupan seharian dimasa hadapan. Jadi sebelum memulakan proses pembinaan atau pembelian, pertimbangkan posisi dan orientasi setiap ruang agar anda tidak menyesal dikemudian hari.
KEDUDUKAN RUMAH
Sememangnya tiada dalil atau hadith yang menyatakan arah mana sesebuah rumah harus didirikan tetapi sebagai seorang muslim, kediaman kita haruslah dapat memenuhi setiap keperluan penghuninya yang beragama Islam. Ini termasuklah keperluan melakukan ibadat solat fardhu mahupun solat sunat jadi sebaiknya rumah diletakkan pada posisi yang mengadap kiblat. Hal ini bertujuan untuk memudahkan penghuni dan tetamu beribadah tanpa perlu berasa ragu-ragu atau tercari-cari arah kiblat yang betul.
Selain arah kiblat, sebuah rumah yang memenuhi ciri islamik ialah rumah yang mengadap cahaya matahari dan arah mata angin. Selain mendapat pencahayaan semulajadi dan melancarkan peredaran udara kedalam rumah, hal ini juga dapat membantu menjimatkan tenaga dengan penggunaan yang lebih efisyen.
KEDUDUKAN BILIK TIDUR
Kamar tidur merupakan ruang privasi buat individu dan juga merupakan salah satu tempat yang penting di dalam sesebuah kediaman. Bilik tidur juga mempunyai aturan yang digalakkan menurut Islam. Contohnya, katil mestilah diletakkan dalam posisi dimana kepala akan mengadap kiblat dan kaki pada arah bertentangan. Hindari dari meletakkan katil dimana kaki akan mengadap ke arah kiblat ketika tidur sebagai tanda menghormati. Selain itu, kita juga digalakkam tidung mengiring ke kanan, mengikut sunnah Rasullullah SAW.
KEDUDUKAN BILIK AIR
Bilik air dalam rumah seorang muslim juga mempunyai aturan yang telah ditetapkan sebagai panduan memandangkan ruang ini dianggap kotor kerana tempat terkumpulnya najis. Jadi, bilik air atau tandas tidak elok dibina mengadap kiblat, mahupun membelakangi arah tersebut. Walaupun begitu, ia tidaklah menjadi satu dosa jika tandas yang telah sedia ada memang mengadap kiblat. Cuma, lebih baik jika dapat dielak.
KEDUDUKAN DAPUR
Dalam Islam, dapur adalah sebuah ruang yang amat penting untuk diberi perhatian kerana melalui dapurlah seorang muslim dan keluarganya menyediakan makanan dan berkumpul bersama untuk menikmati hidangan tersebut. Sebuah dapur yang dibina dengan aturan yang sistematik dan efisyen adalah dapur yang amat digalakkan dalam agama Islam. Perletakan ruang dapur juga perlu di titik beratkan agar tidak diletakkan pada bahagian yang boleh mendedahkan aurat penghuninya. Seeloknya pisahkan dapur dengan ruang utama yang lain dan letakkannya pada bahagian belakang kediaman.
KEDUDUKAN RUANG SOLAT
Walaupun tidak semua, tetapi kebanyakkan rumah muslim akan ada disediakan bilik atau ruang untuk melakukan ibadah yang khusus. Tidak kiralah saiznya besar atau kecil, ruang ini perlulah dibina mengadap kiblat, yakni pada posisis dimana ia memudahkan pemilik menunaikan solat sesuai dengan fungsi utama ruang ini. Sentiasa menitikberatkan kebersihan dan kesucian ruang ini kerana ia merupakan tempat untuk kita merasa lebih dekat dengan Tuhan.
KEDUDUKAN DALAM KEJIRANAN
Sesebuah rumah muslim dilarang menghalang atau menutupi sumber cahaya dan udara lancar yang diperlukan oleh jirannya. Kawasan perumahan yang baik seharusnya dibina dengan kedudukan teratur yang tidak akan menyulitkan pergerakan jiran disekitarnya. Kesimpulannya, rumah kita tidak sepatutnya mendatangkan sebarang mudarat atau keburukan buat mereka yang tinggal disekitarnya.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI