
Terlebih siraman atau over watering sebenarnya boleh menjadi salah satu punca tanaman berpasu kita layu atau pun mati akibat akarnya yang berpenyakit kerana terendam lama di dalam lembapan. Situasi ini menyebabkan kulat mula tumbuh dan akar mereput disebabkan oleh over watering. Jika anda mengalami situasi ini dan anda ragu-ragu akan kuantiti air yang ideal untuk tanaman, menyiram pokok menggunakan teknik ais kiub adalah salah satu alternatif yang boleh diguna pakai.
Tetapi awas, kaedah ini hanya sesuai untuk tanaman berpasu bersaiz kecil dan sederhana contohnya pokok orkid, tanaman gantung dan juga tanaman hiasan. Untuk pokok orkid kaedah ini sangat mujarab kerana orkid adalah tanaman yang sensitif dengan lembapan berlebihan kerana akarnya mudah rosak, maka teknik ini dilihat begitu berkesan kerana ia secara perlahan-lahan akan membebaskan air kepada pokok orkid.
Tanaman hiasan berpasu bersaiz kecil dan sederhana juga boleh menggunakan teknik ini. Ataupun anda mempunyai tanaman gantung yang sukar untuk disiram kerana susah dicapai maka ada baiknya anda hanya meletakkan kiub ais ke dalamnya. Lebih praktikal dan kemas tanpa percikan air berlebihan.
(GAMBAR) Ini Rahsia Orkid Di Laman Jadi Mabuk Bunga

Profile Laman
Pemilik: Hj Omar jais dan Hjh Siti Hajar Idris
Jenis Kediaman: Banglo 1 tingkat
Lokasi: Sungai Buloh
Keluasan: 1 Ekar
Konsep: Desa
Laman yang dikunjungi penulis pernah dikunjungi dan telah dipaparkan di majalah LAMAN Impiana pada 2010. Namun, setelah 7 tahun berlalu kami bertandang lagi untuk melihat perkembangan terkini laman pasang romantis Hj. Omar dan Hjh. Siti Hajar yang terletak di Sungai Buloh.
“Struktur yang terbina sejak 2010 masih kekal dan dalam keadaan baik tanpa sebarang pertambahan baru. Yang banyak brlakunya perubahan adalah di laman.” Ujar pemilik membuka bicara. Jika dahulu kunjungan LAMAN Impiana memperlihatkan rimbunan tanaman tropika yang menghijau, kali ini hanya 50% daripadanya kekal.
Selebihnya tanaman orkid pelbagai warna dan spesis mengambil alih menceriakan keseluruhan gaya landskap yang digarap sendiri oleh pemilik. Bila ditanyakan kenapa perlunya rombakkan sedemikian, ini yang dinyatakan oleh pemilik. “Sedangkan dalam rumah pun kita kerap merubah kedudukan perabot ganti langsir dan sebagainya untuk tampak lebih menarik dan tidak membosankan, Ini kan lagi laman yang menyambut kepulangan kita”. Jelas
Jelas, kini orkid menjadi identiti kepada kediaman ini. Dari depan pintu pagar hingga ke laluan masuk ke rumah orkid telah diperkenalkan pemilik kepada tetamu yang hadir. Rombakkan landskap yang dilakukan dengan dominasi orkid baru mencecah usia 2 tahun. “Orkid antara tanaman yang kita nampak sahaja mudah. Tapi sebenarnya penjagaanya perlu dilakukan secara harian untuk memastikan ia berbunga lebat. Jika tidak, tanaman ini jadi lokek bunga.” Tambah pemilik
Bagi pemilik seorang pesara tiada apa lagi yang ingin dilakukan di siang hari selain bermanja dengan orkidnya. Rutin penyelenggaraan yang dilakukan secara harian kebiasaan bermula di awal pagi sekembalinya dari solat subuh hingga menjelang tengah hari. Keutamaan orkid adalah pada siramanya. Tidak seperti tanaman yang lain, orkid akan tertekan jika airnya berlebihan. Oleh itu, siraman perlu di lakukan di awal pagi dan untuk kali kedua menjelang pukul 3 atau 4 petang.
Kenapa waktu ini dipilih untuk tujuan siraman? “ Siraman di awal pagi membolehkan pokok melakukan aktiviti aktifnya seperti fotosintesis dan penyerapan nutrien berjalan lancar. Manakala pukul 3 atau 4 petang pula bagi mengelak air siraman bertakung menjelang lewat petang. Jadi sebelum matahari melabuhkan tirainya, air siraman tadi dapat disejat. Jika tidak, akar orkid tidak tahan kepada air yang bertakung terutamanya dari air klorin.” Jawab pemilik.
Di satu sudut, pemilik menunjukkan sebuah telaga yang digalinya. Ini lah sumber air tanpa klorin yang digunakan untuk menyiram tanaman di laman terutamanya orkid. Ini lah rahsia utama pemilik yang tidak semua orang mampu perolehi. Selain itu dari segi teknikalnya diperhatikan, setiap orkid di tanam di dalam planterbox yang dibina dari batu bata dan bongkah batu yang dikumpulkan sendiri. Ini memudahkan pemilik untuk menyediakan sepadanan orkid agar nampak lebih kemas.
Musim panas adalah waktu yang paling mencabar buat peminat orkid. Bukan sekadar risiko tanaamn mudah layu, bunga yang tidak menjadi juga yang paling dirisaukan. Namun perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangat pemilik. Belaian dan terapi yang diberikan secara rutin mampu memberi pemulihan total kepada tanaman.
“Sinaran matahari turut memainkan peranan penting untuk penghasilan bunga orkid. Oleh sebab itu, beberapa batang pokok yang ditanaman di bawah naungan sukar berbunga walaupun menerima pembajaan dan penyelenggaraan yang sama. Untuk anak pokok yang baru disemai atau pun batas pokok yang baru di potong dan diperkemaskan, lapisan jaring pertanian dengan ketelusan cahaya 50% perlu diletakkan sehingga pokok stabil.” Terang pemilik yang memang pakar dalam tanaman orkid.
Dari segi pembajaan pula, tiada pengkhususan atau baja spesial yang digunakan pemilik. Hanya baja ringkas yang dibeli dari nurseri iaitu baja bunga dan baja penggalak tumbuhan. Pun begitu selesai memotong rumput di laman yang luas ini, pemilik akan mengumpulkan sisanya dan dijadikan sebagai sungkupan kepada batas orkid. “Sisa potongan rumput yang dijadikan sebagai sungkupan mampu mengekalkan kelembapan dan meningkatkan humus di dalam batas tanaman. Disamping itu juga, rumput yang mempunyai sifat cepat menyerap nutrien menjadi baja organik secara tidak langsung kepada orkid. Dengan kaedah ini juga saya mampu mengurangkan kadar pembakaran dan pembuangan sampah dari laman ini.
Melihat pasangan ini galak berkongsi cerita mengenai laman mereka, jelas menunjukkan masing-masing memainkan peranan berbeza namun penting dalam membina laman ini. Usia pencen bukan penghalang untuk pemilik berkebun dan melakukan tugasan berat. Malah itu yang menjamin kesihatan pasangan ini. Setiap inci ruang laman diperhalusi dan diperkemaskan untuk memastikan laman yang tersedia sedap mata memandang dan tidak mengundang ancaman lain terutamanya buat si cucu yang gemar melakukan aktiviti di laman.
Pokok Memanjat Ini Mampu Buatkan Kediaman Anda Tampil Lebih Cantik Dan Indah

Di Malaysia terdapat pelbagai pilihan tanaman memanjat yang mempunyai warna-warna terang dan cerah. Antaranya, Pyrostegia venusta yang juga dikenali sebagai Flame Vine atau Firecracker Vine yang berasal dari Brazil. Terang bunga tanaman ini yang berwarna jingga bergayutan di hujung sulur paut menjadikannya tarikan yang sangat kuat kepada pintu masuk kediaman anda. Bunga-bunga yang memanjang dan berkelompok begitu menonjol seumpama gubahan bunga pada pintu gerbang.
Seterusnya adalah tanaman memanjat Thunbergia laurifolia yang boleh didapati dengan kuntuman bunga berbentuk seperti trumpet. Tanaman ini sering kali menjadi pilihan untuk menghiasi struktur trellis, pergola dan gazebo kerana bunga-bunganya yang bersaiz besar dan ketara. Thunbergia mudah hidup di bawah sinaran matahari penuh ataupun separa teduh. Dengan bunga bersaiz hampir 5 inci berwarna biru, putih atau lavender pasti menggamit kedamaian bagi sesiapa yang melihatnya.
Manakala bagi penggemar tumbuhan eksotik, Passiflora incarnata pasti menjadi pilihan kerana bentuk bunganya yang unik. Pertumbuhannya yang agresif sesuai bagi anda yang ingin impak segera untuk kediaman. Warnanya yang terang dan jelas pula pasti membuatkan tetamu berasa teruja apabila dapat melihat sendiri keunikan tumbuhan ini.
Spesies Bougainvilla pula tumbuh sebagai tanaman memanjat tetapi ia juga boleh dibentuk menjadi renek. Kelopaknya boleh didapati pelbagai warna seperti merah terang, ungu, hot pink, jingga dan putih. Jika di negara empat musim Bougainvilla berbunga meriah pada musim salju, di Malaysia ia akan berkembang mekar apabila cuaca panas dan kering. Sama ada di tanam secara mendatar sebagai tanaman renek atau memanjat, perlu berhati-hati dengan duri panjang yang terdapat pada tanaman ini.
Allamanda cathartica begitu kaya dengan warna diraja sesuai bagi pemilik yang sukakan tanaman memanjat mudah dijaga. Alamanda tumbuh dengan baik dan menghasilkan bunga apabila mendapat cahaya matahari penuh. Ia tidak dapat berbunga dengan banyak ataupun kuantiti bunga akan berkurangan apabila berada di bawah redup. Oleh sebab pertumbuhan yang cepat, Alamanda sesuai dijadikan hiasan di tembok pagar kediaman.
Quisqualis indica pula tidak kurang hebatnya untuk dijadikan sebagai ‘penyambut tetamu’ di muka pintu. Tanaman menjalar malar segar dan mudah tumbuh serta boleh mencapai ketinggian melebihi 2 meter jika tidak dikawal. Gugusan lebat bunganya bukan sahaja menarik pandangan mata malahan kelebihannya yang memiliki aroma segar terutamanya pada waktu malam pasti meninggalkan memori indah saat kediaman anda dikunjungi.
Tristellateia australasie berbunga kuning ini juga antara tumbuhan menjalar malar segar. Ia berbunga sepanjang tahun menghasilkan bunga berbentuk bintang dalam gugusan panjang berjuntai. Dalam keadaan tanah kurang nutrien dan kering ia akan menggugurkan daun dan bunga juga akan berkurangan. Bentuk bunganya yang menarik dengan warna terang sesuai dijadikan hiasan di taman.
Bauhinia kockiana merupakan tumbuhan tropika semi deciduous yang memerlukan penyokong untuk menjalar. Di sebalik rimbunan daun yang lebat, bunga Bauhinia kockiana berbentuk jambangan yang melalui siri warna tertentu seperti merah jingga, kuning emas dan kuning cair sebelum ia gugur. Warna bunganya yang bersemarak bukan sahaja di abadikan pada trellis dan pergola, ia juga boleh diletakkan sebagai espalier pada dinding tembok pagar.
Antigenon leptosus merupakan tanaman memanjat yang sangat cepat membesar dan mempunyai foliage malah boleh tumbuh sehingga lebih dua meter. Ia menghasilkan bunga berbentuk hati sesuai disandarkan pada trellis, pergola dan arbor yang diteduhi dengan pelindung nipis. Bunga-bunga akan lebih berkembang jika berada di bawah cahaya sederhana.
Spesis Ipomoea pula tidak bertahan lama berbanding tanaman memanjat berbunga lain. Ia akan menjadi layu apabila matahari mulai menegak. Namun begitu, kelebihan yang terdapat pada Ipomoea adalah aroma wangi yang dihasilkan dan mengeluarkan bunga yang banyak pada satu masa. Ia sesuai sebagai melembutkan pagaran dan melingkari trellis yang dipasang di pintu utama.
Tidak sah jika kediaman Malaysia tidak disertai koleksi bunga ros nan indah. Spesies Ros bukan sahaja boleh ditanam secara horizontal di dalam pasu, ia juga boleh dibentuk sebagai tumbuhan memanjat menjadi gerbang menjalin tembok pagar dan pergola yang dibina. Ia mudah dijaga dengan melakukan pemangkasan selepas bunganya gugur untuk menggalakkan pengeluaran bunga seterusnya.
Wisteria floribunda merupakan tanaman memanjat berbunga ungu yang mempunyai dahan lembut melingkari sokongan seperti trellis atau pancang mengikut arah jam atau sebaliknya. Ia boleh menjalar di atas platfrom sehingga mencapai kelebaran 10 meter. Bunganya yang lebat menjadi sangat indah dinikmati di bawah arbor di ruang santai mahupun sebagai penyeri bahagian pintu masuk.
Garlic vine atau Cydista aequioctyalis ini pula lebih menonjol dengan kelompok bunga ungu kebiruan. Daunnya yang lebat dan tebal menghasilkan aroma bawang putih memerlukan sokongan yang sangat kuat apabila matang kerana daunnya yang sedikit lebar mudah merimbun lalu memenuhi ruang platform memanjat. Pemangkasan pada tunas pokok akan menggalakkan pertumbuhan daun.
Vallaris glabra begitu sinonim dengan masyarakat Melayu kerana harumannya yang sentiasa menjadi pilihan sebagai ramuan untuk membuat bunga rampai dan sebagai hiasan rambut anak-anak gadis dan wanita Melayu. Bunganya yang putih berseri melambangkan kesopanan dan sikap lemah lembut orang Melayu. Justeru pemilihan tanaman memanjat ini sebagai hiasan di perkarangan halaman adalah bersesuaian dengan sambutan pada Aidilfitri yang menampilkan keindahan budaya dan busana Melayu.
Clitorea ternatea atau Pokok Kacang Telang merupakan sejenis pokok kekacang mempunyai bunga berwarna ungu terang yang digunakan secara tradisional sebagai pewarna makanan seperti nasi kerabu. Warnanya yang terang dan semakin jarang ditemui memberikan peluang kepada ruang masuk di kediaman anda menjadi lebih menonjol berbanding penggunaan tanaman berbunga lain. Kombinasi keindahan semula jadi yang terhasil dan penyediaan makanan berasaskan bahan organik memberikan persepsi positif kepada tuan rumah.
Klik link ini untuk anda yang ingin mencuci mata barang dekor yang murah dan menarik https://invol.co/cloqny
9 Inspirasi Anjung Sesuai Buat Laman Kediaman Berkonsep Tropika

Ramai di antara kita yang mengidam mempunyai anjung di luar rumah supaya ia menjadi tempat duduk santai sambil menikmati hidangan menu petang atau pun berborak bersama ahli keluarga. Berada di anjung sambil menikmati suasana menghijau adalah sesuatu yang sangat menenangkan jiwa. LAMAN bawakan anda idea menarik reka bentuk anjung yang boleh dijadikan inspirasi.