Sudah banyak kita lihat idea pemasangan wainscoating di dalam dekorasi rumah. Ianya tidak terhad dalam apa jenis rumah, asalkan ianya menepati kesesuaian warna dan konsep kerana ada tema dekor yang tidak sesuai untuk dipadankan dengan wainscoating.
Oleh itu, IMPIANA ingin memberi pencerahan secara lebih mendalam bagaimana anda boleh tatarias dinding utama di rumah anda dengan wainscoating tetapi adalah lebih molek untuk kita ketahui serba sedikit apa itu wainscoating dari mana ianya datang dan mengapa teknik ini tidak lapuk ditelan zaman dan tidak lekang dek masa.
Sejarah ringkas
Secara amnya, wainscoating sudah lama digunakan dalam hiasan dalaman rumah sejak dari Kurun Ke 18 lagi. Ianya banyak diaplikasikan di negara Eropah seperti England, German, Perancis dan beberapa lagi negara di Eropah. Penataan seperti ini boleh didapati di istana pemerintah, rumah pentadbiran kerajaan dan sukar untuk ditemui di rumah golongan pertengahan pada masa itu. Pada hari ini, teknik panel dinding ini banyak digunakan di mana sahaja, tidak kira rumah mewah atau rumah golongan berpendapatan sederhana kerana konsepnya sentiasa hijau dan tidak nampak lapuk.
Lokasi strategik Wainscoat
Selalunya pemilik rumah dan pereka dalaman akan meletakkan panel dinding ini di dinding utama kediaman yang mana ianya berfungsi sebagai fokal point dan menaikkan seri ruang terutamanya di ruang tamu, laluan menuju ke bilik dan juga di bilik air (menggunakan jubin, bukan kayu).
Selain daripada mencantikkan dinding ianya juga turut berperanan sebagai pelindung kepada warna cat setelah anda menyusun sofa ataupun meja yang boleh merosakkan warna cat asal. Ini kerana selalunya wainscoat akan diletakkan separuh daripada ketinggian badan manusia iaitu dari bahagian pinggang ke bawah, tetapi ini tidak bermakna tiada pemasangan dibuat pada keseluruhan dinding cuma ianya jarang dilakukan.
Kesesuaian tema
Idea pemasangan wainscoating tidak berapa sesuai jika anda memilih tema kediaman scandinavia, ini kerana ianya menggunakan material serta perabot yang terhad dan menjimatkan penggunaan ruang. Tonanya pula lebih kepada warna yang menjemput kehadiran cahaya semulajadi secara maksima. Idea ini memerlukan anda untuk menambah beberapa hiasan di dinding seperti frame gambar untuk menaikkan serinya dan beberapa lagi aksesori tambahan dan Ya, konsep skandinavia kurang sesuai untuk wainscoating kerana skandinavia lebih bersifat minimalis.
Tetapi jika anda gemarkan konsep modern english, pemasangan wainscoating amat ideal, ini kerana dari sudut sejarahnya sudah menunjukkan walaupun tradisional, di zaman moden juga sesuai untuk dipadankan dengan dinding sama ada berona gelap atau terang. Cadangan kombinasi warna yang sesuai adalah hitam putih, biru putih, coklat gelap dan kuning terang.
Akhir sekali, walaupun teknik ini sudah lama digunakan, tetapi ianya tidak pernah lapuk atau obsolete kerana ia berupaya untuk membuatkan dinding yang rata dan biasa nampak lebih elegan berbanding yang asal dan polos, dan penulis yakin, 30 tahun akan datang pun ianya masih lagi sesuai untuk digunakan.
Berikut adalah beberapa cadangan idea pemasangan wainscoating yang anda boleh suaipadankan dengan hiasan di rumah anda, selamat mencuba!!
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI