
Bayaran ansuran kereta mahupun rumah, kedua-duanya melibatkan peruntukan wang yang besar hingga ribuan ringgit sebulan, dan bebanan komitmen ini ditanggung bertahun-tahun lamanya. Andai suatu hari nanti anda sudah tidak perlu lagi membayarnya, sudah pasti perasaan lega dan seronok bertandang.
Namun begitu, awas! Dalam kegembiraan kerana pinjaman bank telah langsai, ramai yang beranggapan rumah tersebut secara automatik menjadi hak milik penuh. Sebenarnya, terdapat prosedur penting di pejabat tanah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Menurut penjelasan daripada Peguam Faridah Begum Abdul Rahman, proses ini penting untuk memastikan status pemilikan hartanah anda betul-betul sempurna di sisi undang-undang.
7 Langkah Penting Selepas Habis Bayar Ansuran Rumah
Semasa anda mengambil pinjaman perumahan dahulu, rumah tersebut sebenarnya telah digadaikan kepada pihak bank. Oleh itu, apabila pinjaman sudah habis dibayar, ikuti langkah-langkah berikut untuk menebus semula hak milik anda:
-
Lantik Peguam: Upah peguam hartanah untuk menguruskan proses pelepasan gadaian (discharge of charge) di pejabat tanah.
-
Mohon Dokumen Bank: Peguam akan menulis surat secara rasmi bagi memohon dokumen-dokumen berkaitan daripada pihak bank.
-
Lengkapkan Borang: Peguam akan mengisi dokumen-dokumen yang diterima dan menghantarnya semula kepada pihak bank untuk disahkan.
-
Failkan Di Pejabat Tanah: Sebaik pihak bank memulangkan dokumen tersebut kepada peguam, mereka akan memfailkan borang pelepasan gadaian di Pejabat Tanah dan Galian di mana hartanah itu didaftarkan.
-
Tunggu Geran Baharu: Selepas proses pemfailan selesai, anda perlu menunggu tempoh pemprosesan geran baharu dikeluarkan oleh pihak pejabat tanah.
-
Semak Butiran Geran: Apabila geran baharu siap, ambil dan periksa butir-butir terperinci di dalamnya. Pastikan tiada ralat ejaan dan semak sama ada status gadaian bank telah ditarik balik sepenuhnya.
-
Terima Geran Rasmi: Geran hak milik penuh akan diserahkan kepada anda sebagai pemilik sah!
Walaupun proses ini nampak ringkas di atas kertas, ia boleh menjadi rumit bagi individu yang tidak mempunyai pengalaman menguruskan urusan guaman hartanah. Oleh itu, mendapatkan khidmat peguam yang berdaftar adalah langkah paling selamat dan teratur.

