Gas memasak seperti LPG (liquefied petroleum gas) adalah satu keperluan utama dalam kebanyakan rumah. Tapi ramai tak sedar, ia juga boleh menjadi sangat merbahaya bila berlaku kebocoran. Satu percikan api kecil pun boleh menyebabkan letupan besar yang meragut nyawa dan memusnahkan harta benda.
Tanda-Tanda Gas Bocor
Bau kuat seperti telur busuk -Bau ini sebenarnya ditambah pada gas LPG untuk mudah dikesan.
Bunyi desiran gas – Biasanya dari hos atau kepala silinder.
Tumbuhan berhampiran layu secara tiba-tiba – Jika berlaku kebocoran luar rumah.
Kepala terasa pening atau loya – Jika anda terhidu gas dalam tempoh lama.
Apa Perlu Buat Jika Syak Ada Kebocoran?
– JANGAN buka sebarang suis elektrik atau hidupkan api.
– Buka semua tingkap dan pintu untuk pengudaraan segera.
– Tutup kepala gas jika mampu berbuat dengan selamat.
– Keluar dari rumah dan hubungi bomba.
Ads
Cara Cegah Kebocoran Gas
– Guna kepala gas dan hos berkualiti & ikut standard SIRIM.
– Jangan guna kepala gas lama atau berkarat.
– Periksa hos sekurang-kurangnya 6 bulan sekali.
Ads
– Jangan simpan silinder gas berhampiran tempat panas atau berapi.
– Elak dari biarkan dapur gas menyala tanpa pengawasan.
Kes gas bocor bukan isu kecil. Ia tak beri amaran banyak kali. Sedikit cuai, padahnya boleh jadi nyawa melayang. Jadikan keselamatan sebagai keutamaan di dapur. Bila ada tanda gas bocor, bertindak segera. Lebih baik panik sekejap, daripada menyesal seumur hidup.
Dulu tiap kali keluar rumah, saya akan patah balik tiga kali semata-mata nak semak pintu dah kunci ke belum. Itu luahan Puan Aisyah, ibu kepada tiga anak kecil yang tinggal di apartmen tinggi di kota. Selepas satu kejadian cubaan pecah masuk jiran sebelah, dia mula ambil langkah serius dan itulah titik mula dia memasang smart door lock.
Smart door lock bukan hanya soal nampak moden. Ia adalah penyelesaian kepada masalah harian, kunci tertinggal, kunci hilang, anak balik rumah tak dapat masuk atau bibik terkunci di luar. Dengan sistem seperti cap jari, nombor PIN, kad akses atau kawalan dari telefon, segalanya jadi lebih mudah dan selamat.
Bagi Encik Hazri, ayah kepada remaja yang sering pulang lewat dari tuisyen, smart lock memberi kawalan tanpa perlu menyekat kebebasan anak-anak.
“Saya boleh tahu jam berapa anak buka pintu. Kalau ada yang tak kena, saya dapat notifikasi terus. Dalam dunia sekarang, benda macam ni buat saya rasa lebih tenang.”
– Auto-lock: Tak perlu risau kalau terlupa kunci.
Kawalan jauh melalui app: Boleh buka pintu walau kita tak ada di rumah. contohnya saudara datang mengejut.
– Rekod aktiviti: Tahu siapa keluar masuk dan bila.
– Reka bentuk moden: Sesuai dengan pintu rumah urban moden.
Realitinya, smart door lock juga ada kelemahan. Kalau bateri habis, sistem rosak atau telefon tiada bateri, pengguna perlu ada ‘backup plan’ seperti power bank atau akses manual.
Tapi berbanding risikonya, manfaat jangka panjang lebih besar terutamanya dari segi keselamatan, ketenangan dan gaya hidup yang efisien.
Dalam dunia yang makin tak menentu, smart door lock bukan lagi barang mewah, ia dah jadi keperluan praktikal untuk ramai orang. Bagi sesetengah keluarga, ia mungkin jadi penghalang insiden tak diingini. Bagi warga emas, ia boleh jadi alat bantu hidup berdikari.
Dan bagi ramai yang pernah melalui rasa cemas, bimbang, atau trauma keselamatan, smart lock mungkin bukan sekadar gajet.Tapi satu langkah bijak melindungi ruang yang paling peribadi dalam hidup: rumah sendiri.
Langsir atau bidai? Mana satu lebih praktikal? Memilih antara langsir atau bidai sering menjadi dilema pemilik rumah kerana kedua-duanya mempunyai fungsi utama yang sama iaitu mengawal cahaya, memberikan privasi dan melengkapkan gaya dekorasi ruang.
Namun, perbezaan dari segi bahan, penjagaan serta kesesuaian ruang membuatkan kita perlu meneliti dengan lebih mendalam sebelum membuat pilihan. Langsir sudah sinonim dengan rumah di Malaysia kerana ia mudah disuaipadankan dengan pelbagai gaya dekorasi.
Dari fabrik nipis sheer hinggalah ke kain tebal blackout, langsir mampu mencipta suasana berbeza dalam satu ruang. Ia juga memberi sentuhan elegan dan mewah, terutama di ruang tamu atau bilik tidur. Namun, langsir memerlukan penjagaan rapi kerana mudah berhabuk dan perlu dibasuh secara berkala.
Sebaliknya, bidai lebih ringkas, moden dan praktikal. Ia sesuai untuk kediaman bersaiz kompak atau gaya minimalis kerana tidak memakan ruang. Bidai seperti roller blind, roman blind atau wooden blind memberikan kawalan cahaya yang lebih tepat, malah ada jenis yang tahan lembapan sesuai dipasang di dapur atau bilik air. Dari segi penyelenggaraan, bidai lebih mudah dibersihkan dengan hanya dilap berbanding langsir yang perlu ditanggalkan.
Ruang tamu – Gabungan sheer curtain (langsir nipis) bersama roman blind sesuai untuk menapis cahaya matahari, sambil mengekalkan suasana elegan dan kemas.
Bilik tidur – Padankan langsir blackout dengan roller blind. Bidai berfungsi sebagai kawalan cahaya siang, manakala langsir tebal memberi privasi maksimum dan suasana nyaman ketika malam.
Dapur – Gunakan wooden blind atau roller blind yang tahan lembapan. Jika mahukan sentuhan lembut, boleh tambah sheer curtain ringkas yang tidak terlalu panjang.
Bilik mandi – Bidai PVC atau aluminium lebih sesuai kerana tahan air dan mudah dibersihkan, menggantikan langsir yang mudah berkulat dalam keadaan lembap.
Kesimpulannya, pilihan antara langsir atau bidai bergantung kepada gaya hidup, saiz ruang dan tahap penyelenggaraan yang sanggup anda lakukan. Jika mahukan suasana elegan dan hangat, langsir tetap menjadi pilihan.
Namun, untuk ruang moden yang ringkas dan praktikal, bidai adalah jawapannya. Gabungan kedua-duanya juga boleh dipertimbangkan bagi memberikan fungsi dan estetika yang seimbang di rumah anda.
👉 Tip Impiana: Kalau mahukan dekorasi rumah lebih fleksibel, gabungan langsir dan bidai adalah pilihan terbaik. Ia bukan sahaja praktikal, malah meningkatkan nilai estetika ruang.
Bata tanah VS bata simen/press: Mana satu lebih baik untuk buat rumah. Apabila merancang membina rumah, ramai orang lebih menumpukan pada reka bentuk luaran atau susun atur dalaman semata-mata. Namun, asas utama yang perlu diberi perhatian ialah bahan binaan, khususnya jenis bata yang digunakan.
Pemilihan bata bukan sahaja mempengaruhi kos pembinaan, malah turut menentukan keselesaan, ketahanan, dan keselamatan rumah dalam jangka panjang. Antara jenis bata yang sering digunakan di Malaysia ialah bata tanah (bata tanah liat bakar) dan bata simen/press (bata konkrit). Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri yang perlu difahami.
Secara asasnya, bata tanah diperbuat daripada tanah liat yang dibakar pada suhu tinggi. Manakala bata simen atau press pula dihasilkan daripada campuran simen, pasir dan air yang ditekan dalam acuan sehingga terbentuk bata keras. Proses pembuatan yang berbeza ini menyebabkan kedua-dua jenis bata memberi kesan berlainan terhadap ciri-ciri rumah, sama ada dari segi haba, kekuatan, kos, mahupun kualiti kerja pembinaan.
Bata tanah terkenal dengan keupayaan menebat haba. Struktur semula jadinya membolehkan ia menahan bahang daripada masuk ke dalam rumah. Bagi rumah yang menggunakan bata tanah, suhu dalaman biasanya lebih sejuk pada siang hari dan tidak terlalu panas pada malam hari. Kelebihan ini boleh menjimatkan penggunaan elektrik kerana pemilik rumah tidak perlu bergantung sepenuhnya pada kipas atau pendingin hawa.
Selain itu, bata tanah juga lebih selamat dari sudut kebakaran. Bata jenis ini telah diuji dan kebanyakannya mampu menahan rintangan api sehingga dua jam, bergantung kepada ketebalan dan kualiti bata.
Dalam keadaan tertentu, masa tambahan ini cukup penting untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda. Dari sudut estetika pula, bata tanah memberi rupa klasik dan semula jadi yang sesuai untuk rumah bercirikan tradisional moden.
Sementara itu, bata simen atau press lebih digemari kerana harganya jauh lebih murah dan mudah didapati di kebanyakan kedai hardware. Ia lebih praktikal bagi pemilik rumah yang ingin mengawal bajet pembinaan.
Dari aspek kerja pembinaan, bata simen mempunyai permukaan yang lebih rata dan lekatan yang lebih baik terhadap simen plaster. Hal ini mempercepatkan proses menyiapkan dinding, menjimatkan penggunaan simen, dan tidak memerlukan kemahiran tukang yang terlalu tinggi.
Selain itu, bata simen juga ringan berbanding bata tanah, menyebabkan ia lebih mudah diangkat dan dipasang. Faktor ini membantu mempercepatkan projek pembinaan, khususnya jika melibatkan jumlah dinding yang banyak. Tidak hairanlah, kebanyakan kontraktor lebih selesa menggunakan bata press untuk projek perumahan yang besar.
Walau bagaimanapun, kelemahan ketara bata tanah ialah harganya lebih tinggi. Tidak semua kedai hardware menyimpan stok bata tanah kerana permintaannya semakin berkurangan. Dari sudut teknikal pula, kerja plaster pada bata tanah agak mencabar kerana simen sukar melekat. Ini menyebabkan penggunaan simen menjadi lebih banyak, sekali gus meningkatkan kos pembinaan. Hanya tukang yang berpengalaman mampu menghasilkan kerja yang kemas menggunakan bata tanah.
Untuk bata simen/press pula, masalah utama ialah ia menyerap haba dengan sangat tinggi. Rumah yang dibina dengan bata jenis ini lebih mudah panas di waktu siang dan menyimpan bahang sehingga malam. Akibatnya, ruangan dalaman rumah menjadi tidak selesa dan penghuni terpaksa bergantung pada kipas atau pendingin hawa hampir sepanjang masa. Ini sudah tentu memberi kesan pada bil elektrik.
Tambahan pula, kualiti bata simen tidak seragam. Disebabkan terdapat banyak kilang kecil menghasilkan bata press tanpa kawalan ketat, wujud risiko bata tidak berkualiti yang mudah pecah dan rapuh. Jika tidak berhati-hati memilih pembekal, pemilik rumah mungkin berdepan kos tambahan untuk penyelenggaraan dalam tempoh beberapa tahun sahaja selepas rumah siap.
Secara keseluruhannya, pilihan antara bata tanah dan bata simen/press sangat bergantung pada keutamaan anda sebagai pemilik rumah. Jika anda mengutamakan keselesaan jangka panjang, penjimatan tenaga elektrik dan ketahanan api, bata tanah lebih sesuai walaupun kosnya lebih tinggi.
Jika faktor bajet dan kemudahan mendapatkan bahan adalah yang utama, bata simen/press mungkin lebih praktikal. Apa pun pilihan anda, pastikan membeli daripada pembekal yang dipercayai dan gunakan khidmat tukang berpengalaman supaya binaan rumah lebih kukuh, tahan lama serta memberi keselesaan yang diidamkan.
Membeli rumah subsale perlukan ketelitian yang tinggi. Jangan terpedaya dengan cat baru, pastikan anda memeriksa 10 perkara kritikal ini sebelum menurunkan tanda tangan pembelian.