Pasti ramai tidak menduga terdapat spesies pokok hutan yang begitu unik kerana mempunya permukaan batang berwarna-warni seperti pelangi secara semula jadi . ia adalah Eucalyptus delgupta juga dikenali sebagi Rainbow eucalyptus, Mindanao gum atau Rainbow gum. Eucalyptus berasal daripada famili Myrtaceae dan ianya banyak ditemui di kawasan hutan hujan Mindanao, Filipina serta merupakan tanaman beriklim humid tropika. Dikategorikan sebagai pokok bersaiz besar, batangnya boleh tumbuh sehingga 6 kaki lebar dan 200 kaki tinggi.

 

Keunikan utama spesies Eucalptus delgupta ini terletak kepada kepelbagaian warna yang terdapat di bahagian kulit batangnya, menyerupai warna pelangi. Ia merupakan spesies pokok teduhan yang amat menarik malah bagaikan berada di sebuah dunia pari-pari apabila berada di dalam hutan dikelilinginya. Melihatkan pokoknya sahaja sudah menggamit hati ini untuk mendekati spesies unik yang jarang ditemui.

Sebenarnya spesies pokok ini mempunyai beberapa proses sepanjang tumbesarannya. Eucalyptus delgupta bertukar warna melalui penggantian kulit batangnya. Asalnya, kulit pokok ini licin, namun akan bertukar menjadi kasar dan mudah merekah semasa proses menggantikan kulit. Sebaik sahaja kulit luar di bahagian batangnya tertanggal, lapisan hijau muda akan kelihatan. Warna ini akan bertukar ke warna hijau pekat, biru, biru kundang, merah jambu, oren, merah, jingga dan kembali ke warna kelabu. Bila pusingan warna terakhir terjadi, kulitnya akan tertanggal sekali lagi dan proses pertukaran warna ini akan berulang dan berterusan. Proses lapisan kulitnya tertanggal pada masa yang berlainan dan di bahagian yang berlainan menjadikan ianya sentiasa diliputi oleh pelbagai warna pada setiap masa. Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa batang pokok itu seakan-akan disapu dengan ratusan sapuan berus cat yang menyerupai warna pelangi, seolah-olah sebuah lukisan hidup.

IKLAN

 

Di samping keunikan tersebut yang menjadikan spesies ini amat bernilai untuk dihargai, ianya mempunyai kegunaan lain seperti boleh diadaptasi dalam reka bentuk landskap dan sebagai agen pencegahan penyakit malaria. Selain daripada itu, ia juga biasa digunakan dalam industri penghasilan kertas. Namun yang uniknya ialah kertas yang dihasilkan hanya berwarna putih dan bukannya pelbagai warna seperti kulit batang pokok tersebut. Kayunya pula boleh dijadikan perabot dan kabinet. Anehnya, bila ditebang dan diolah ke bentuk tertentu, corak-corak terang yang kelihatan sebelum itu akan hilang. Tetapi kayunya masih menampakkan tanda-tanda kehadiran warna kelabu dan hijau.

IKLAN

Spesies ini gemar kepada cahaya matahari. Oleh itu, ia tidak sesuai ditanam di kawasan yang bermusim. Sebaliknya ia akan tumbuh subur di kawasan yang terdapat taburan hujan yang tinggi, melebihi 150mm sebulan. Atas alasan ini, ianya ditanam secara meluas di kawasan beriklim khatulistiwa. Namun begitu, Eucalyptus delgupta tidak mampu bertahan di kawasan yang kerap dilanda banjir dan amat sensitif kepada kebakaran. Ia juga boleh ditanam di negara-negara sejuk tetapi mempunyai toleransi yang rendah kepada salji.

IKLAN

 

Spesies ini merupakan salah satu spesies flora yang paling menakjubkan. Ia umpama magis alam yang tidak terlintas di fikiran manusia mampu wujud dan hidup dengan baik di atas muka bumi ini. Justeru hargai dan cintailah alam dan tumbuhan kerana sekali ia pupus kita tidak mungkin akan menemui penggantinya lagi.