Pemilik rumah dalam penjara, dia boleh jual ke rumah? Pemilik rumah yang sedang menjalani hukuman penjara masih boleh menjual hartanah miliknya, selagi urusan tersebut memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang.
Pemilik Rumah Dalam Penjara, Dia Boleh Jual Ke Rumah?
Syarat utama bagi urusan jual beli ini adalah dokumen yang lengkap seperti geran tanah asal, salinan kad pengenalan pemilik, serta bukti persetujuan pemilik terhadap urusan jual beli tersebut. Walaupun individu itu sedang berada dalam penjara, hak milik hartanah masih sah dan tidak terlucut secara automatik.
Ads
Sekiranya pemilik tidak dapat hadir untuk menandatangani dokumen jual beli, beliau boleh melantik seorang wakil melalui surat kuasa wakil (power of attorney). Pelantikan ini perlu dilakukan mengikut prosedur undang-undang, dan biasanya melibatkan khidmat peguam serta pengesahan daripada pihak berkuasa penjara.
Bagi kes di mana pemilik telah meninggal dunia, proses penjualan hanya boleh dilakukan selepas memperoleh sijil kematian dan dokumen pengesahan pusaka yang sah. Waris perlu mendapatkan surat kuasa mentadbir atau surat kuasa pesaka kecil terlebih dahulu sebelum sebarang urusan jual beli dijalankan. Tambahan pula, semua waris yang berhak perlu memberikan persetujuan terhadap penjualan tersebut.
Kesimpulannya, penjualan hartanah tetap boleh dilakukan walaupun pemilik sedang dipenjarakan atau telah meninggal dunia, asalkan segala dokumen lengkap dan semua prosedur dipatuhi. Yang penting, urusan dilakukan secara sah, telus dan mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan.
Tip beli perabot untuk pasangan baru berkahwin. Bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, membeli perabot untuk menghias rumah bersama tentu satu pengalaman yang mengujakan.
Proses memilih perabot bersama bukan sekadar aktiviti membeli-belah, malah akan menjadi kenangan manis yang dikongsi berdua. Pada awal perkahwinan, semestinya pasangan mahu melakukan hampir semua perkara bersama-sama, termasuklah menghias rumah.
Namun, kerana masih berada di fasa awal membina kehidupan baru, tidak jarang berlaku kesilapan dalam memilih perabot. Sama ada dari segi fungsi, saiz, model atau warna, kadangkala apa yang dibeli pada awalnya akhirnya terasa tidak praktikal apabila masa berlalu.
Pengalaman ini mengajar kita bahawa citarasa dan keperluan dalam menata rumah akan berubah mengikut waktu. Justeru, berikut dikongsikan beberapa panduan “do & don’t” untuk pasangan yang ingin membeli perabot bagi rumah baru mereka.
Lokasi kediaman wajar dipertimbangkan sebelum membeli perabot, memandangkan kebanyakannya bersaiz besar. Jika tinggal di kawasan yang akses ke kedai perabot agak jauh, pembelian secara dalam talian boleh menjadi pilihan praktikal. Pesanan boleh dibuat terus melalui telefon pintar, tanpa perlu keluar rumah, malah pilihan juga lebih pelbagai.
Namun jika kedai perabot mudah diakses, membeli secara terus juga menyeronokkan. Selain dapat meneliti kualiti barangan dengan lebih dekat, ada kemungkinan anda mendapat tawaran harga yang lebih baik daripada pemilik kedai. Untuk memudahkan proses, pasangan boleh membuat tinjauan harga di laman web tertentu, menyenaraikan keperluan, dan kemudian terus ke kedai dengan senarai belian yang jelas.
Sama ada rumah milik sendiri, apartmen atau rumah sewa, saiz ruang sangat penting dalam menentukan pilihan perabot. Elakkan membeli perabot yang terlalu besar hingga menjadikan rumah sempit. Untuk apartmen, pastikan perabot mudah dibawa masuk. Pilihan terbaik ialah perabot jenis knockdown yang boleh dibuka pasang semula. Tetapi pastikan dibeli daripada penjual yang pakar supaya kualitinya baik dan mudah dipasang semula.
Kini, dekorasi rumah lebih terancang berbanding dahulu. Ramai yang memilih konsep tertentu seperti minimalis, moden, skandinavia, kontemporari, industri, rustic, atau vintage. Pilih konsep yang sesuai dengan citarasa pasangan. Misalnya konsep skandinavia yang popular, menampilkan perabot putih dipadankan dengan warna semula jadi, memberi suasana bersih, hangat dan elegan.
Menetapkan bajet adalah perkara paling utama. Buat senarai mengikut keutamaan—barang asas dahulu, selebihnya boleh ditambah mengikut kemampuan. Manfaatkan promosi untuk menjimatkan kos dan gunakan lebihan bajet bagi keperluan lain atau ditabung. Elakkan membeli secara terburu-buru kerana ia boleh menyebabkan penyesalan apabila menemui pilihan lebih baik selepas itu.
Bagi rumah yang terhad ruangnya, perabot multifungsi adalah pilihan terbaik. Contohnya sofa bed yang boleh dijadikan tempat tidur tambahan untuk tetamu. Perabot seperti ini membantu menjimatkan ruang sambil memberi lebih banyak kegunaan.
Jangan sia-siakan hadiah perkahwinan yang diterima. Gunakan sebaik mungkin untuk melengkapkan kediaman. Jika ada tetamu yang bertanya, nyatakan dengan jujur jenis hadiah yang diperlukan supaya pemberian itu lebih bermanfaat. Selain itu, perabot yang dimiliki sebelum berkahwin juga boleh digunakan semula. Ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah bentuk amalan lestari kerana memanjangkan tempoh guna barangan.
Pilih perabot berkonsep kompak supaya ruang lebih kemas dan tersusun. Contohnya katil dengan laci penyimpanan di bawah atau set meja makan yang boleh disusun rapi apabila tidak digunakan.
Jika tidak mempunyai warna kegemaran tertentu, sebaiknya pilih warna neutral seperti putih, kelabu atau kayu semula jadi kerana mudah dipadankan dengan pelbagai konsep dekorasi. Dalam masa yang sama, utamakan kualiti. Perabot yang baik bukan sahaja tahan lama, malah lebih selesa digunakan dan mudah dijaga.
Membeli perabot untuk rumah baru adalah pengalaman yang penuh keterujaan bagi pasangan baru berkahwin. Namun, perancangan yang teliti dari segi lokasi, saiz, konsep, bajet, serta fungsi akan membantu mengelakkan pembaziran.
Dengan memilih perabot yang praktikal, berkualiti dan sesuai konsep, rumah baru bukan sahaja selesa didiami, tetapi juga mencerminkan identiti dan keserasian pasangan.
MEKYUN Berjaya Capai Impian Beli RUMAH PERTAMA Sebelum Umur 30 Tahun! Tahniah buat pempengaruh media sosial Wee Yun Nee,28 atau lebih dikenali sebagai Mek Yun, berjaya mencapai impian membeli rumah pertamanya sebelum berumur 30 tahun.
Mek Yun sering mencuri perhatian dengan berkongsi pelbagai kandungan video yang positif dan memberi inspirasi ramai. Gadis yang fasih bertutur dalam dialek Kelantan, walaupun berbangsa Cina.
Dalam perkongsian terbarunya di Instagram, Mek Yun berkongsi berita gembira tersebut dan keterujaannya dalam merancang pelbagai idea untuk dekorasi rumah pertamanya nanti. Malah rumah tersebut kini dalam fasa renovasi.
“Impian Mekyun sebelum umur 30, akhirnya tercapai!! Mekyun beli rumah pertama Mekyun!! 😭🏡🔑
“Mekyun tak sabar nak share journey rumah baru ni dengan korang semua 🥹 Wheee I am so happy and proud of myself ❤️”
Dalam video yang dikongsikan, Mek Yun membeli kediaman jenis ‘high rise’, kondominium 3 bilik yang mempunyai permandangan yang cantik. Malah lokasi rumah tersebut juga berhampiran dengan rumah mak dan ayah Mek Yun sendiri.
“Antara sebab Mekyun pilih sini sebab dekat dengan rumah Mok dan Pok,”
Mek Yun juga baru sahaja menamatkan pengajian dengan cemerlang dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Fakulti Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut menitipkan pesanan buat wanita supaya mempunyai rumah dan aset sendiri, serta mulakan menyimpan dari awal.
“Dan ingat tau kepada semua perempuan di luar sana, jangan tunggu suami atau sesiapa pun untuk sediakan rumah untuk kita. Start saving dari sekarang. Pastikan kita ada rumah sendiri, ada aset sendiri supaya masa depan kita? Kita yang kawal 💪🏼,”
“Perempuan yang percaya dan berusaha untuk diri sendiri, dia boleh capai apa saja yang dia impikan. Okay? 😉, jelas Mekyun.
IMPIANA: Tahniah Mek Yun berjaya capai impian beli rumah pertama sendiri sebelum usia 30 tahun. Tak sabar nak lihat hasil dekorasi rumah baru Mek Yun nanti, mesti cantik. Semoga memberi inspirasi buat yang lain untuk memiliki rumah sendiri pada usia yang muda.
Tip pilih pokok hiasan dalam rumah supaya ruang lebih segar dan auto naik seri. Pokok hiasan dalam rumah bukan sekadar elemen dekorasi, malah mampu memberi kesegaran udara dan suasana tenang.
Dengan pilihan yang tepat, ia boleh menjadi titik fokus menarik di ruang tamu, bilik tidur atau ruang makan. Namun, tidak semua pokok sesuai hidup di dalam rumah kerana faktor pencahayaan, kelembapan dan penjagaan.
Sebelum membeli, kenal pasti jenis pokok yang sesuai dengan keadaan ruang kediaman anda. Rumah yang mempunyai pencahayaan semula jadi yang baik memberi lebih banyak pilihan, manakala ruang yang agak gelap memerlukan pokok yang tahan dalam keadaan cahaya rendah.
Jika rumah anda kurang cahaya matahari, pilih pokok seperti snake plant, peace lily, atau pothos. Spesies ini tidak memerlukan cahaya terang untuk terus hidup dan kekal cantik.
Untuk ruang kecil, pilih pokok berdaun rimbun tetapi saiz sederhana seperti calathea atau fittonia. Bagi ruang besar, pokok tinggi seperti fiddle leaf fig atau areca palm boleh menjadi ‘statement piece’.
Pokok seperti aloe vera, bamboo palm dan rubber plant terkenal sebagai penapis udara semula jadi, membantu mengurangkan habuk serta toksin dalam rumah.
Jika anda jarang berada di rumah, pilih pokok yang tahan lasak dan tidak perlu siraman kerap seperti succulent atau cactus. Elakkan pokok yang memerlukan kelembapan tinggi jika rumah berpendingin hawa.
Pokok berdaun besar memberi impak tropika, manakala pokok berdaun kecil dan berwarna boleh mencipta suasana ceria. Pilih pasu yang selari dengan konsep dekorasi agar ruang kelihatan lebih harmoni.
Tip tambahan: Pastikan pokok diletakkan di tempat yang tidak menghalang laluan dan tidak terkena hembusan terus pendingin hawa kerana ini boleh merosakkan daun.
Dengan sedikit perhatian dalam memilih jenis dan lokasi pokok hiasan, rumah anda bukan sahaja kelihatan cantik, tetapi juga lebih segar dan selesa untuk didiami.
Ketahui langkah penting dan rutin kebersihan rumah bagi pencegahan influenza. Lindungi keluarga anda dengan amalan harian mudah yang mencegah jangkitan virus di rumah!