Selain daripada pemakanan dan ruang yang selesa, ikan hiasan terutamanya koi perlukan penjagaan tambahan seperti sistem penapisan terbaik, diet tambahan, tanaman akuatik yang sesuai dan sumber oksigen secukupnya. Untuk mendapatkan kupasan mengenai hal ini, penulis menyuarakan permasalahan ini kepada Lesley Lou dari Aquatic Enterprise Co. yang telah lama berkecimpung dalam bidang penternakan ikan koi dan sistem kolam untuk memberikan nasihat berguna kepada anda yang sedang merancang membina kolam ikan.
- Apakah keperluan asas yang diperlukan oleh pembaca yang baru merancang untuk membina kolam ikan di taman?
Kepada pembaca yang sedang merancang untuk membina kolam ikan di taman, terdapat beberapa kelengkapan yang wajib dimiliki supaya sistem kolam ikan dapat berfungsi sebaiknya. Antara yang terdapat di pasaran adalah sistem penapisan ringkas dan mudah diselenggarakan. Penapis jenis ini menggunakan sistem mekanikal dan bio-filter yang mampu memerangkap kekotoran pada kadar aliran laju tetapi pada masa sama masih menggalakkan pertumbuhan bakteria yang baik untuk ekosistem kolam.
Sementara itu, aerator adalah keperluan kedua penting di dalam sebuah kolam ikan, terutamanya ikan koi. Aerator penting untuk mengekalkan kesihatan dan daya tahan ikan koi. Bergantung kepada saiz kolam, aerator boleh dibina menggunakan pam udara, venture aeration system ataupun pergerakan air secara alami seperti pancuran air.
- Apakah perkara yang perlu dipertimbangkan untuk mendapatkan ikan koi yang sihat dan aktif di dalam kolam ikan yang didirikan?
Untuk mendapatkan ikan yang sihat dan aktif, semasa mendirikan kolam ikan koi, perlu mempertimbangkan jumlah dan saiz ikan berdasarkan saiz kolam. Bagi spesies ikan koi yang mahal, unik dan jarang ditemui seperti Jumbo Koi adalah mengikut nisbah seekor bagi setiap 1 tan/1000 gelen air. Ini supaya ikan ini tidak perlukan persaingan dan dapat bergerak bebas.
Kolam yang terlalu cetek dan kecil boleh menyekat kebebasan ikan lalu menyebabkan tumbesarannya terencat. Kedalaman ideal untuk kolam ikan koi adalah sedalam 1-2 meter. Dengan kedalaman ini, suhu air di dalam kolam menjadi stabil dan tidak jauh berbeza pada waktu siang dan malam lalu memberikan keselesaan kepada ikan. Dengan itu, ikan dapat membesar dengan cepat dan sihat di dalam keadaan air yang stabil.
- Mengapakah kualiti air perlu dikawal di dalam kolam sedangkan ikan mampu hidup dengan baik berdasarkan kitaran biologinya?
Kualiti air di dalam ikan koi perlu dikawal dan merupakan faktor penting yang perlu dititikberatkan. Kecantikan dan kesihatan ikan sangat dipengaruhi oleh kualiti air di dalam kolam. Cara pengawalan kualiti air adalah melalui penetapan kandungan pH, ammonia dan nitrat yang secukupnya di dalam air kolam. Sukatan yang tepat boleh didapati pada deskripsi yang terdapat pada botol bahan ini. Kandungan nutrien ini akan mempengaruhi ciri-ciri fizikal ikan dan biologi proses yang berlaku.
- Apakah rawatan terbaik untuk ikan koi yang cedera dan dijangkiti penyakit?
Pencegahan selalunya adalah kaedah terbaik untuk mengekalkan kesihatan ikan koi. Kualiti air yang baik adalah langkah pencegahan untuk menghalang ikan daripada dijangkiti penyakit. Pemakanan sihat perlu berskala serta mengandungi protein yang betul serta mudah dihadamkan oleh ikan.
Selain daripada itu, pemilihan sistem penapisan yang tepat juga perlu supaya ia dapat menapis partikel yang tidak diperlukan di dalam air. Manakala ikan yang berpenyakit perlu diperiksa terlebih dahulu untuk mengenal pasti sama ada ia berpunca daripada dalaman atau persekitaran ikan.
Parasit atau bakteria adalah antara penyakit yang dijangkiti melalui persekitaran. Manakala daripada dalaman, penyakit boleh berpunca daripada sistem penghadaman atau bakteria yang menyerang sistem penghadaman ikan. Adalah dinasihatkan untuk berjumpa dengan pakar bagi mendapatkan rawatan yang tepat. Jika tidak, penyakit ini boleh berpindah kepada ikan lain lalu menyebabkan kerugian yang besar kepada anda.
5. Selain daripada keperluan asas yang dinyatakan tadi, apakah keperluan tambahan yang perlu diberikan perhatian dalam sistem kolam ikan koi?
Ikan koi yang sihat dan mempunyai warna yang cantik boleh diperoleh jika keperluan tambahan ini dipenuhi. Antaranya:
- Penjagaan dan kawanan
Keistimewaan koi adalah yang boleh hidup untuk jangka masa yang sangat panjang. Purata usia koi yang dijaga dengan baik adalah di antara 25-30 tahun. Ada antara spesies koi boleh hidup sehingga 200 ratus tahun. Ini mengesahkan bahawa koi bukanlah spesies haiwan yang sukar dijaga dan mudah mati. Sepertimana memelihara haiwan darat lain, ikan juga memerlukan sentuhan dan rakan sepermainan. Maka dengan itu, ikan koi perlu dibelai dan diletakkan bersama pasangan atau segerombolan ikan spesies sama.
- Diet sihat
Penampilan dan kesihatan koi bergantung sepenuhnya kepada gaya pemakanannya yang sihat. Disarankan makanan yang diberikan kepada ikan ini adalah mengandungi tidak lebih daripada 30 peratus kandungan protein. Oleh sebab nutrien di dalam makanan akan hilang selepas beberapa jangka masa, pembaca perlu elakkan memberi makanan yang telah tamat tempoh luput kepada ikan. Makanan yang mengandungi spirulina dan keratin pula baik untuk menyerlahkan warna ikan ini.
- Kaedah pemakanan
Ikan koi tidak boleh menyimpan lemak. Jadi ia akan berhenti makan setelah kenyang. Maka dengan itu, apabila terlebih memberi makan, makanan yang telah dimasukkan ke dalam kolam akan terbiar di permukaan lalu menyebabkan masalah alga dan air yang tidak berkualiti. Oleh itu, elakkan pemberian makanan sepanjang masa. Pemakanan berjadual atau berskala dapat mengelakkan perkara buruk ini berlaku.
- Tanaman air
Tanaman air dan koi umpama isi dan kuku tidak boleh dipisahkan. Tanaman menghasilkan oksigen dan teduh untuk kegunaan ikan. Oleh sebab ikan koi adalah omnivor, ia akan memakan akar tanaman ini. Oleh itu, amatlah digalakkan tanaman air disempadani dengan batu atau ditanam di dalam pasu. Selain daripada itu, melalui proses semula jadi koi juga dapat menonjolkan warnanya melalui memakan sesetengah spesies alga. Penggunaan produk pengurangan alga dapat mengawal populasi alga bagi tujuan pemakanan sahaja.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI