Proses membeli rumah tidak seharusnya menjadi perkara yang rumit dan menyusahkan. Dengan dokumen yang lengkap, perunding yang berpengalaman dan peguam yang cekap, segalanya boleh diproses dengan cepat dan lancar. Tapi terdapat banyak perkara lain yang perlu anda pertimbangkan sebelum hendak membeli rumah kerana ini merupakan salah satu pelaburan yang terbesar dalam hidup. Jika tersalah beli, menyesal tak sudah nanti. Buat pembaca yang sedang berkira-kira nak melabur pada sebuah rumah teres, ikuti panduan-panduan memilih rumah yang dapat memberi manfaat jangka panjang buat anda dan keluarga.

Nota penulis : Panduan membeli rumah teres ini ditulis oleh Tuan Azizul Azli Ahmad yang merupakan seorang pensyarah dan pakar dalam bidang hartanah. Artikel telah diolah untuk diterbitkan semula dalam laman digital IMPIANA dengan izin beliau.

IKLAN
IKLAN
IKLAN

  1. Kepentingan orientasi matahari. Sebaiknya, elakkan cahaya matahari petang dari mengadap bilik tidur utama kediaman kerana ia akan menyababkan suhu di dalam bilik panas di waktu malam.
  2. Datang melihat sendiri lokasi kediaman sekurang-kurangnya satu kali pada sebelah pagi dan satu kali pada sebelah petang.
  3. Pastikan cucur atap memanjang kehadapan rumah bagi menghalang silau cahaya dan tempias air hujan dari masuk ke dalam.
  4. Dapatkan kawasan perumahan yang dilengkapi tangki air besar sendiri dan bukan dari saluran utama. Jadi, bila ada masalah gangguan air, kawasan perumahan anda tidaklah terskesan sangat.
  5. Cari kediaman dengan ketinggian siling standard iaitu sekitar 10 kaki bagi memudahkan perletakan kipas siling. Disamping itu juga, ketinggian ini dapat memastikan aliran pengudaraan lancar.
  6. Sebaiknya kediaman perlu ada 3 bilik tidur, 2 bilik air dan sebuah bilik utiliti.
  7. Pintu utama yang tidak mengadap terus ke ruang dapur adalah satu kelebihan kerana ruang dapur merupkan kawasan buat para wanita. Untuk lebih selesa, dapur perlu berada pada bahagian belakang kediaman.
  8. Semak arah kiblat buat penganut agama Islam. Tidak manis pula nanti jika solat mengadap bilik air.
  9. Rekaan bumbung yang terbaik adalah apabila air hujan akan di depan dan di belakang rumah, bukan ditengah-tengah atau satu bahgian sahaja seperti bumbung rama-rama dan flat roof 
  10. Bumbung atau coping pada atas tingkap juga perlu bagi memastikan hujan dan silau tidak masuk ke rumah. Lebih panjang, lebih bagus.
  11. Batu bata merah adalah lebih baik berbanding batu bata simen sebagai bahan binaan kediaman. Bahan tersebut akan membuatkan rumah terasa lebih sejuk.
  12. Bumbung yang dibuat daripada clay tiles merupakan bahan penebat haba yang baik. Elakkan material metaldeck sebagai bumbung.
  13. Jika rumah mengadap matahari ataupun bumbung pendek dan tidak dapat menghalang daripada cahaya memasuki rumah, cuba gunakan screen louvers.
  14. Rumah corner lot lebih menguntungkan dan mempunyai high resale value. Jadi jika anda mempunyai bajet lebih, seeloknya dapatkan rumah jenis ini.
  15. Cari kawasan rumah yang berhampiran dengan padang dan jauh dari jalan utama selain mempunyai kawasan lapang buat anak-anak anak bermain.
  16. Jika boleh, elakkan membeli unit yang bersebelahan dengan pusat janakuasa TNB atau kawasan loji kumbahan (IWK)
  17. Kediaman yang exterior nya dicat dengan warna cerah bagi mengelakkan keadaan di dalam rumah panas kerana warna gelap akan menyerap haba.
  18. Point paling penting, pilihlah pemaju yang bertauliah dan berpengalaman membina rumah berkualiti dan tidak mempunyai sebarang rekod buruk.