Bentuk buahnya yang cantik dengan warna merah menyala sering menarik perhatian sesiapa sahaja untuk mendekati dan memakan buahnya. Secantik buahnya, goji berry sering dicari dan dijadikan sebahagian daripada pemakanan seharian kerana khasiatnya yang dipercayai mampu memanjangkan hayat dan memerangi kanser. Malah masyarakat di China telah mengamalkan goji berry sejak zaman berzaman dan telah terbukti akan manfaat buah ini.
Goji berry merupakan spesies tanaman yang baru dikenali dalam masyarakat kita. Namanya dipercayai diambil dari nama Cina “Qou Qi Zi”. Ia juga dikenali dengan pelbagai nama, seperti “The Chinese Wolfberry”, “The Matrimony Vine”, “The Chinese Boxthon”, “The Red Medlar” dan “The Duke of Argyll’s Tea tree”.
Goji berry mampu bertahan kepada cuaca sejuk sekitar -15°C dan panas melampau sehingga 40°C. Pokoknya akan tumbuh di antara 8-10 kaki tinggi dan 5 kaki lebar. Sebatang pokok Goji yang normal akan menghasilkan buah dalam lingkungan 1 kg pada usia dua tahun. Bunganya kecil berbentuk trumpet, berwarna ungu dan putih diikuti dengan buah-buah kecil berbentuk oval berwarna merah oren. Apabila tiba untuk dipetik, adalah lebih elok menggoncangkan pokoknya supaya buahnya gugur daripada memetik menggunakan tangan kerana dikhuatiri buahnya akan tercemar dan akan bertukar kepada warna hitam. “Goji berry” akan bertukar merah dengan cepat dan rasanya sedikit pahit sehinggalah ianya masak ranum. Bagi mendapatkan rasa yang manis, Goji berry perlu dibiarkan berada di pokoknya untuk beberapa minggu sebelum memetiknya.
Lazimnya Goji berry gemar tumbuh secara melilit dan merendang. Untuk menjimatkan ruang dan bagi memastikan proses menuai menjadi mudah, gabung dan ikat 3-5 dahan-dahan yang paling kuat di sekeliling kayu pancang (sebagai contoh 1 x 1 inci kayu).
Pokok ini gemar kepada sinaran matahari penuh atau pun separa teduh. Ia memerlukan tanah yang elok pengairannya tetapi akan lebih subur jika tanahnya sedikit berpasir. Namun, spesies ini tidak tahan kepada tanah yang bertakung air. Jarak penanaman di antara pokok adalah dalam 6-8 kaki. Anda dinasihatkan untuk tidak menggunakan agen penggalak atau baja semasa awal penanamannya kerana ia akan membakar akar-akar baru dan seterusnya memperlahankan pertumbuhan pokok. Anda juga dinasihatkan menggunakan baja bunga. Untuk itu, baja bunga ros amatlah sesuai. Siram pokok secukupnya untuk beberapa ketika selepas ditanam.
Goji berry juga sesuai ditanam di dalam pasu. Pastikan pasu tersebut cukup besar sekurang-kurangnya dengan diameter 18 inci dan mempunyai lubang pengairan. Pastikan juga pasu tersebut kalis air supaya ianya kekal berada di luar rumah di sepanjang tahun. Anda boleh menggunakan sebarang media tanah dalam pasu ini tetapi perlu diberi perhatian kepada penyiraman terutamanya pada musim panas.
Sejak awal kurun ke- 21 lagi, masyarakat mula menunjukkan minat kepada kemunculan dan nilai nutrisi yang terdapat pada spesies Goji berry ini. Mereka diklasifikasikan sebagai buah ajaib. Banyak manfaat dan kegunaan Goji berry yang telah membuka lembaran baru kepada kemunculan produk-produk pengguna.
Goji berry yang dipetik boleh digunakan sama seperti yang dibeli di pasaran. Buah-buahnya boleh digunakan begitu sahaja sebaik ianya dipetik, di bekukan atau dikeringkan. Untuk proses mengering Goji berry, taburkan buah-buah tersebut di atas helaian kertas atau tikar. Simpan di tempat sejuk dan kering tanpa cahaya yang terlalu terang sehingga ia mengering. Ia akan kekal dengan warna asal dan boleh digunakan sendirian atau dicampurkan dengan cecair untuk dijadikan resepi mengikut cita rasa pengguna. Goji berry juga boleh direbus sebagai teh herba, malah ia sering kali dicampurkan bersama bunga Chrysanthemum atau daun teh. Manakala pucuk-pucuk muda dan daunnya juga dituai secara komersil dan dijadikan sebagai sayur. Untuk proses sejuk beku, kebiasaannya ia disimpan secara mendatar di dalam peti sejuk sehingga ia membeku.
Antara kelebihan Goji berry dari aspek kesihatan bagi sesiapa yang mengambilnya sebagai makanan tambahan termasuklah keupayaannya menaikkan semangat dan memberi keceriaan pada wajah, padat dengan nutrisi penting, menolong mencegah penyakit mata, mempunyai keupayaan anti bakteria, mengandungi bahan anti leukemia dan dapat mempertingkatkan sistem imuniti badan.
Fakta Kebaikan Goji Berry Menghalang Kanser
- Kanser adalah penyakit yang paling digeruni pada zaman ini. Terdapat lebih 100 jenis kanser dan simptomnya berbeza-beza di antara satu sama lain
- Rawatan tradisional yang biasa dilakukan untuk menghapuskan sel kanser adalah seperti sinaran radiasi, kemoterapi dan melalui pembedahan
- Goji berry kaya dengan karotena iaitu beta-karotena dan xeaxanthin. Kandungan anti oksidanya yang tinggi adalah sangat efektif dalam menentang radikal bebas.
- Dalam satu kajian pada 1994 ke atas 79 orang pesakit kanser telah menunjukkan mereka menunjukkan tindak balas positif pada rawatan apabila mengambil goji berry dalam pemakanan.
- Germanium adalah salah satu kompaun dalam goji berry yang mengurangkan pertumbuhan tumor dan sebagai agen anti kanser.
- Dua kajian yang dilakukan pada 2010 menunjukkan polysaccharides yang ditemui dalam goji berry dapat menghentikan pertumbuhan kolon, sel kanser gastrik dan kanser prostat.
- Kanser payu dara antara salah satu kanser yang paling banyak menyerang wanita. Kandungan dalam buah ini mampu membunuh sel tersebut dari merebak.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI