
Tahukah anda terdapat beberapa spesies tanaman luar yang boleh hidup dengan subur di dalam kediaman?. Ia bukan sahaja mencantikkan ruang dalaman malahan mampu membekalkan udara segar dan mendinginkan kediaman anda. Ada di antaranya mampu menghasilkan bunga sepanjang tahun jika diletakkan di dalam kediaman. Lima tanaman luar yang mampu hidup segar di dalam kediaman adalah:
Begonia: Begonia mempunyai beberapa varieti yang menghasilkan bunga dan daun berwarna. Secara khususnya, Begonia rex adalah antara tanaman outdoor yang sesuai diletakkan di dalam kediaman kerana warna, corak dan tekstur yang unik.
Caladium: Caladium memerlukan full shade jika diletakkan di luar. Manakala jika di jadikan tanaman indoor, Caladium memerlukan sedikit cahaya. Warna, corak dan saiznya yang pelbagai memberikan pilihan kepada hiasan dalaman.
Coleus: Coleus gemarkan cahaya matahari dan akan merimbun jika sentiasa di pangkas. Pencahayaan sederhana diperlukan apabila coleus diletakkan di dalam rumah.
Tradescantia: Tanaman ini biasa ditanam luar kediaman. Kebanyakannya lebih gemar cahaya penuh, namun ada di antaranya boleh hidup di dalam rumah. Sebagai contoh, Tradescantia tricolor
Semua jenis tanaman herba: Kebanyakan tanaman herba hidup dengan baik di luar kediaman. Tanam herba di dalam pasu dan letakkan ia di tepi jendela, tumbuhan ini masih dapat hidup subur dengan bekalan cahaya dari luar.
Akuaponik: Untuk Kehidupan Lebih Sihat

Kaedah pertanian moden yang menuai banyak faedah untuk diri sendiri dan persekitaran
Pelaksanaan PKP buat kali ketiga ini mungkin sedikit berbeza dengan waktu pelaksanaan yang pertama pada bulan Mac 2020 dimana kini, ramai dikalangan kita telah mampu menyesuaikan diri dengan norma baharu. Kita telah menguruskan gaya hidup untuk realiti yang kian berbeza sambil mempelajari kemahiran yang baru untuk mengisi masa lapang. Ramai diantara rakyat Malaysia telah membiasakan diri dengan bekerja di rumah, hanya ke pejabat ikut giliran atau apabila diperlukan. Ini membenarkan kita untuk meluangkan lebih masa di rumah untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang digemari seperti bersenam. Untuk yang mementingkan kesihatan pemakanan, mereka mengambil peluang ini untuk meningkatkan kemahiran memasak bagi menjamin kesihatan sambil menjimatkan kos kehidupan. Sepanjang tempoh PKP/PKPB, kita dapat melihat kemerosotan pengimportan sayur-sayuran segar akibat sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan di seluruh Malaysia. Sekatan ini menyebabkan kelewatan penerimaan sayur-sayuran segar oleh para peniaga runcit justeru mengemukakan persoalan tahap kesegaran sayur-sayuran yang kita peroleh untuk masakan harian.
Oleh sebab yang demikian dan juga kerana ramai yang makin mementingkan gaya hidup yang lestari dan lebih sihat, sebilangan rakyat Malaysia kini giat memulakan perkebunan akuaponik – suatu kaedah pertanian yang semakin popular di negara kita. Kaedah akuaponik telah berkembang menjadi sesuatu yang popular di kalangan rakyat tempatan kerana ia membolehkan kita menikmati sayur-sayuran yang segar hasil tanaman di halaman rumah sendiri!
Apa itu pertanian akuaponik dan bagaimana ia berfungsi?
Kadang-kadang dikelirukan dengan hidroponik, akuaponik adalah cara pertanian yang revolusioner dengan menggunakan sumber daya minimum untuk menghasilkan tanaman dan sayur-sayuran yang terbaik. Ia merupakan kaedah pertanian yang menggabungkan akuakultur menggunakan ikan dan hidroponik di mana hasilnya ditanam tanpa tanah. Ekosistem perkebunan tanpa tanah ini memberi tumpuan kepada pemberian makanan kepada ikan lalu membiarkan hasil buangan mereka memainkan peranan. Setelah ikan-ikan ini menghasilkan sisa-sisa mereka, sisa-sisa yang berkhasiat ini akan disaring dan diubah menjadi pemakanan tanaman yang kemudiannya disalurkan melalui saluran paip ke dalam biji-biji benih agar dapat tumbuh dengan sebaiknya.
Bagaimana cara memulakan pertanian akuaponik?
Keperluan utama yang harus ada untuk memulakan pertanian akuaponik adalah ikan, ruang untuk membina ladang anda, dan penapis air. Menurut Dr. Richard Ng, seorang petani akuaponik yang juga pengasas Farm2Fork – penyedia perkakasan akuaponik untuk beberapa ladang – keseimbangan ekologi memainkan peranan besar dalam kejayaan ladang akuaponik. Beberapa faktor yang menyumbang kepada perkembangan ladang termasuk nisbah ikan ke air, spesies ikan yang diternak (Dr. Richard mengesyorkan Tilapia untuk mereka yang baru bermula) dan suhu ladang.

“Terdapat begitu banyak faktor yang perlu dipertimbangkan kerana faktor-faktor ini perlu saling melengkapi dan seimbang untuk membuahkan hasil yang signifikan. Penapis air yang kita gunakan juga mampu mendatangkan perbezaan. Tanpa sistem penapisan yang betul, peredaran yang berlaku antara air, tanaman dan ikan tidak akan berfungsi dengan baik,” kata Dr Richard.
Setelah lima tahun berusaha untuk memperbaiki catatan prosesnya, Dr. Richard akhirnya menemui komponen yang tepat untuk memastikan ekosistem yang seimbang bagi memastikan hasil yang terbaik. Sebagai contoh, setelah melakukan beberapa kajian dan eksperimen, Dr. Richard mendapati bahawa ketika menggunakan sistem penapisan air Waterco Malaysia, ia dapat mempercepatkan proses tanpa mempengaruhi ekologi sistem dan ia juga tidak menyebabkan kerosakan iklim malah menjimatkan perbelanjaan secara keseluruhan. Waterco Malaysia, penyedia penyelesaian sehenti yang terkemuka untuk persekitaran air yang selamat dan sihat, juga merupakan satu-satunya syarikat penapisan yang dianugerahkan pensijilan Climate Certified dari Australia. Kini, Dr. Richard dan Waterco telah banyak bekerjasama untuk membantu industri akuaponik.

“Apa yang perlu diketahui adalah kepentingan penggunaan produk/peralatan yang mesra alam dan pada masa yang sama tidak menambahkan kos berlebihan. Idea utama pertanian akuaponik adalah manfaat persekitaran dan sosial bagi masyarakat. Kami berpegang pada etos itu untuk terus kekal mampan.”
Walaupun pelaburan keseluruhannya kelihatan besar pada awalnya, ada banyak sebab mengapa pulangan dari pelaburan ini bermanfaat bukan hanya untuk kesihatan tetapi juga untuk persekitaran kita.
1. Hasil tanaman yang dimakan membawa lebih banyak faedah kesihatan
Akuaponik merupakan kaedah pertanian tanpa tanah yang tidak menggunakan racun perosak atau baja kimia. Pertanian akuaponik bergantung pada ikan dan putaran ekosistem. Ini bermaksud racun perosak dan baja kimia tidak sesuai untuk kaedah pertanian ini kerana ia akan membahayakan ikan lalu mempengaruhi ekosistem secara negatif. Kaedah ini boleh dikatakan 100% selamat kerana ia hanya memanfaatkan sisa ikan yang dihasilkan daripada pemakanan berkualiti. Walaupun tidak
menggunakan bahan kimia, hasil tanaman akuaponik dapat tumbuh dengan cantik dalam masa 30 hari dari segi rupa, saiz dan citarasa. Sekiranya anda rasa anda tahu bagaimana rasa keenakan sayur-sayuran, anda pasti terkejut dengan kesegaran sayur-sayuran hasil akuaponik yang tidak tertanding!

2. Mudah dijaga
Pertanian akuaponik sesuai untuk semua! Bukan seperti pertanian tradisional, tanaman akuaponik tidak memerlukan siraman air secara konsisten dan kerana ia tidak menggunakan tanah, anda tidak perlu mencabut rumpai. Bagi pertanian akuaponik, anda tidak perlu risaukan kekerapan siraman air atau keperluan tanah.
“Setelah beberapa kegagalan yang diharungi, saya telah dapat mengenal pasti bahawa kegagalan dalam pertanian jenis ini selalunya diakibatkan kurangnya pengetahuan tentang asas pertanian, seperti keluasan ladang dan jumlah ikan yang diperlukan. Semua ini memainkan peranan besar dalam mengembangkan ladang akuaponik yang berjaya dan mampan,” tegas Dr. Richard.
“Asalkan anda memahami sains di sebalik akuaponik, penjagaannya pasti tidak akan menjadi masalah.”

3. Menjimatkan ruang tanah
Salah satu daripada banyak masalah yang dihadapi dalam pertanian tradisional adalah keperluan tanah yang besar untuk mengusahakan tanaman. Walaupun Malaysia bernasib baik kerana mempunyai banyak tanah yang luas untuk pertanian, tidak semua lokasi sesuai dijadikan kebun lagi-lagilah dengan perubahan iklim yang berterusan. Kaedah pertanian akuaponik yang tidak memerlukan tanah membolehkan sesiapa sahaja memulakan usaha pertanian di halaman rumah mereka! Bagi mereka yang ingin mengkomersialkan hasil tanaman, ruang yang lebih besar akan diperlukan dan untuk tujuan ini, bangunan terbengkalai juga boleh digunakan. Ini bermaksud kita tidak perlu menubuhkan ruang yang khusus buat pertanian jenis ini kerana penggunaan ruang yang sedia ada sudah mencukupi!

4. Menyelamatkan perairan kita
Selain dapat memanfaatkan ruang yang ada, kebaikan akuaponik adalah ia satu kaedah pertanian yang menggunakan air yang sedikit namun tetap menghasilkan tanaman yang sama dengan pertanian tradisional yang memerlukan air berjumlah besar sepanjang hari. Bukan hanya itu, jika ladang pertanian tradisional terletak berhampiran sumber air (misalnya tasik), baja yang digunakan mungkin akan meresap ke sumber air yang berdekatan lalu mendatangkan kemudaratan akibat racun yang wujud dalam baja kimia tersebut. Bahan pencemar ini tidak hanya akan mempengaruhi sumber air bagi penduduk yang bergantung padanya untuk memasak dan mandi, ia juga boleh menjejaskan hidupan akuatik.
Akuaponik menggunakan 10% air berbanding dengan pertanian tradisional kerana nutrien air dikitar semula dalam proses gelung tertutup. Pembaziran tambahan tidak akan wujud kerana ekosistem ini bergantung pada kitaran air yang akan terus berulang. Dengan perubahan iklim yang dihadapi seluruh dunia, ianya amat penting untuk mengitar semula sumber yang diperlukan.

Ini hanyalah beberapa faedah utama pertanian akuaponik dimana ia boleh dijadikan penyelesaian kesihatan untuk memperoleh sayur-sayuran segar untuk dinikmati sekeluarga. Ia mudah untuk dikendalikan dan sememangnya mesra alam! Dengan PKP3.0 yang kini masih berterusan, anda boleh memulakan pertanian akuaponik sebagai salah satu projek baru yang anda boleh usahakan di rumah!
Kenali English Herbs; Daun Bay Perbaiki Aroma Rasa Makanan

Pokok Bay atau Laurus nobilis di dalam nama botani merupakan sejenis tumbuhan dari rumpunan keluarga avocado iaitu Lauraceae. Mempunyai banyak nama jolokan lain seperti Bay Laurel, Sweet Bay, Indian Bay, Sweet Laurel, Grecian Laurel, Roman Laurel, Nobel Laurel, Poet’s Laurel, Apollo’s Bay leaf dan Bay leaf, ia tumbuhan berbau harum, malar hijau, berdaun renek tetapi boleh membesar sehingga mencecah 60 cm.
Untuk tujuan bertaman, Pokok Bay akan dipotong sehingga 8 cm atau kurang. Memandangkan pokok ini mudah dipangkas dan dapat mencipta sebuah bentuk seni hortikultur yang menarik, ia akan dibentuk menjadi sebuah piramid malar hijau yang dapat mengindahkan sesebuah laman. Bentuk dan permukaan daun Bay agak kasar, lebat, bujur, berwarna hijau gelap berkilat serta lingkungan panjang daun ialah di antara dua sehingga empat sentimeter.
RAHSIA HEBAT UNTUK KULINARI
Pokok Bay menjadi anugerah yang bernilai dan mengkagumkan dek kerana fungsi yang dimiliki begitu luas dan banyak. Di dalam bidang kulinari misalnya, daun Bay telah menjadi salah satu rempah rahsia yang sempurna di dalam masakan dan digunakan secara komersial di peringkat antarabangsa. Penggunaan daun Bay dalam seni kulinari begitu mengujakan kerana tiada rempah dan rasa yang mampu menggantikan keunikan rasa yang terhasil dari daun Bay.
Meneliti secara saintifik elemen-elemen yang dimiliki di dalam helaian daun Bay ini, ia mengandungi estrogel dan ‘volatile compound’ yang memberikan ‘soothing element’ untuk menyeimbangkan rasa panas dan rasa rempah. Kandungan daun Bay ini yang memiliki keasidan dan kompenen herba di dalam sesuatu masakan, sangat membantu mengenakkan lagi rasa sup, rebusan, sos mahupun stok.
Ternyata gandingan daun Bay bersama bawang putih dan minyak zaitun memberikan impak trifecta di dalam rasa masakan yang menggunakan teknik ‘slow cooked’ seperti masakan kekacang dan daging ataupun masakan tumisan untuk udang dan ikan. Rahsia penggunaan daun Bay yang segar lebih menjadikan masakan tersebut bertambah enak berbanding menggunakan daun Bay yang telah dikeringkan.
MENJADI REMEDI 1001 PENYAKIT
Daun herba yang mempunyai bau tajam dan sedikit rasa pahit ini mengandungi pati esen dan Eucalyptol. Kandungan aktif ini mampu menghalau serangga dari memasuki ruang dapur. Lagi satu elemen aktif di dalam daun Bay ialah Polyphenol. Ia amat berguna sebagai remedi merawat beberapa jenis penyakit di antaranya ialah penyembuhan lebam atau luka badan. Kajian dari beberapa jurnal pada tahun 2006 dan 2011 menemui kehebatan daun Bay yang boleh menyembuhkan luka dalam masa 10 hari. Esktrak daun Bay yang ditemui mempunyai antimicrobial mampu menentang pathogens termasuklah Staphylococcus aureus, Streptococcus pyogenes, Aspergillus fumigatus dan Candida albicans.
Di dalam jurnal Clinical Biochemistry and Nutrition yang dibuat pada tahun 2009 telah mengesan seseorang yang menerima satu gram hingga tiga gram daun Bay setiap hari selama sebulan akan mendapati kandungan glukosa di dalam darah semakin menurun. Tidak hanya itu, penurunan kolestrol dan triglycerides turut terkesan. Memandangkan diabetes juga menjadi punca kepada penyakit serangan jantung, kajian telah dapat membuktikan daun Bay turut menghalang dari serangan penyakit tersebut. Tumbuhan ini juga melegakan seseorang dari batuk, bronchitis, selesema dan jangkitan dada. Ia juga terbukti berkesan menghilangkan sakit kepala, bengkak, rheumatic dan artritis. Disamping itu, seseorang yang mengalami demam panas atau demam selesema apabila diaplikasikan daun Bay kepadanya, ia dapat membuatkan pesakit berpeluh, demam semakin berkurangan serta cepat melegakan selesema. Tanaman ini begitu baik untuk tujuan meyembuhkan masalah pencernaan dan mengurangkan flatulence.
PROSES PENANAMAN DAN PENJAGAAN
Pokok Bay perlu ditanam di dalam tanah yang bersaliran baik dan mempunyai kandungan kompos yang mencukupi. Tanaman ini boleh hidup dengan subur di dalam kadar pH tanah di antara 4.5 hingga ke 8.3. Habitat penumbuhannya dapat diperlahankan apabila dibesarkan di dalam pasu. Oleh kerana itu, daun Bay mudah ditanam secara indoor atau dalam kawasan yang berbumbung.
Proses pembiakan pokok Bay boleh dilakukan dengan teknik keratan batang ataupun air layering. Air layering akan melukakan pokok tersebut dan dibungkus dengan lumut sphagnum. Akar pokok Bay yang terluka akan ditumbuhi dengan akar. Akar tersebut kemudiannya boleh dipotong dan ditanam.
Tanaman ini sebaik-baiknya di tanam sama kedalamannya ketika ia berada di pasu yang pertama ia ditempatkan. Mempunyai akar yang sangat pendek menjadikan tumbuhan ini memerlukan penyiraman yang kerap lebih-lebih lagi di saat musim kering.
Dari sudut pemangkasan, pokok Bay sebaik-baiknya selalu ditangkas untuk memastikan ianya dalam bentuk yang baik.
Pada kebiasaannya, pokok Bay bebas dari masalah serangga perosak. Istimewanya lagi, pokok Bay berperanan menghalang serangga perosak dari memusnahkan tanaman lain. Walaubagaimanapun, kehadiran rama-rama yang gemar membebaskan telur diantara dua helai daun Bay dan mengakibatkan daun tersebut terlekat dalam keadaan berkapas (cottony fluff) tentu menyakitkan ‘pandangan’. Namun yang demikian, permukaan tersebut boleh dihilangkan dengan cara menanggalkan secara lembut ‘cottony fluff’ itu dan buangkan larva atau telur rama-rama yang ada di bahagian daun tersebut.
Hormon Akar dan Booster Untuk Tanaman Dari Daun Ketapang

Kebiasaanya daun ketapang atau nama saintifiknya Terminalia catappa diguanakan untuk tujuan membungkus makanan seperti tempe, tapai dan sebagainya. Namun, ramai tak tahu daun ketapang mempunyai nutrien yang baik untuk tanaman. Bagi yang mengamalkan amalan kebun hijau, daun ketapang boleh menjadi hormon penggalak akar dan booster. Ia mudah disediakan dan tidak memerluakn bahan yang rumit.
Hormon pengakaran ini boleh digunakan untuk:
1. Mempercepatkan proses tut pokok tanaman
2. Mengakarkan keratan batang pokok ( Tin, Rose, Mulbery)
3. Memulihkan pokok yang dialihkan
4. Menyuburkan tanaman yang mengalami kerosakan akar
5. Menyuburkan Medium Tanaman.
Cara Membuat Hormon Pengakaran:
1. Kumpulkan daun pokok Ketapang yang gugur. Pilih daun yang kekuningan dan masih segar..
2. Sukatannya ialah 1 kilo daun + 10 liter air
3. Ramas dan koyakkan helaian daun ketapang.
4. Rendamkan dalam air biasa minimum semalaman.
5. Simpan air rendaman yang mengandungi hormon daun Ketapang tadi.
6. Sisa daun yang direndam elok di letakkan pada pangkal pokok atau dalam pasu. Biarkan ia menjadi reput

Cara penggunaan hormon:
Pokok> Boleh disiram setiap hari pada tanaman.
Keratan > Rendam keratan dalam air hormon semalaman sebelum ditanam.
Catatan:
Perlu diingatkan air daun ketapang bersifat acidic.
Penggunaan dalam jangka panjang bisa menyebabkan media menjadi masam (pH rendah).