Ads

IKEA dan XBOX Bawa Gaming Ke Ruang Tamu, YXSTABY Direka Untuk Gamer Dan Seisi Rumah

ikea

Dulu, ruang gaming sering dikaitkan dengan sebuah meja, kerusi besar, monitor berganda dan bilik khas yang penuh dengan kabel serta aksesori, namun realiti hari ini sedikit berbeza apabila aktiviti tersebut sudah menjadi sebahagian daripada rutin di rumah. Menyedari hakikat ini, IKEA Malaysia dan XBOX memperkenalkan YXSTABY, koleksi baharu merangkumi lapan perabot dan aksesori yang direka supaya pengalaman bermain lebih mudah disesuaikan dengan ruang kediaman sebenar.

Ia sekali gus meraikan pelbagai ragam pemain hari ini—daripada mereka yang bermain selepas kerja dan berkongsi konsol dengan adik-beradik, hinggalah kepada ibu bapa yang mungkin tidak faham apa yang berlaku di skrin tetapi tetap duduk bersama menikmati suasana.

IKEA dan XBOX Bawa Gaming Ke Ruang Tamu, YXSTABY Direka Untuk Gamer Dan Seisi Rumah

Koleksi tersebut mula ditawarkan pada 12 November 2026 di IKEA Damansara, Cheras, Tebrau dan Batu Kawan serta secara dalam talian, sebelum diperluaskan ke IKEA Kuching pada 27 November.

Gaming Kini Sebahagian Daripada Kehidupan Di Rumah

Salah satu idea utama di sebalik YXSTABY ialah gaming tidak semestinya memerlukan satu bilik khas.

Dalam banyak rumah, ruang tamu perlu memainkan pelbagai fungsi. Pada waktu siang ia mungkin menjadi ruang bekerja dari rumah, petangnya tempat keluarga menonton televisyen dan malam pula bertukar menjadi tempat bermain konsol bersama rakan.

Masalahnya, alat kawalan, kabel, fon kepala dan peranti lain mudah menyebabkan ruang kelihatan berselerak.

IKEA dan XBOX Bawa Gaming Ke Ruang Tamu, YXSTABY Direka Untuk Gamer Dan Seisi Rumah

Menurut IKEA Home Organisation Index 2026, hampir satu perlima rakyat Malaysia menganggap barangan elektronik serta kabel antara benda yang paling sukar dicarikan ruang simpanan sesuai. Pada masa sama, satu pertiga responden merasakan perbezaan keperluan penghuni rumah menjadikan proses mengatur ruang lebih mencabar.

Pengarah Peruncitan Negara IKEA Malaysia, Takeshi Murai berkata, “Sebagai pakar Kehidupan di Rumah, IKEA memahami bukan sahaja keperluan orang ramai, tetapi juga perkara yang membawa kegembiraan kepada mereka.

“Kini, permainan video sudah menjadi sebati dengan kehidupan seharian ramai orang, sama ada untuk bersantai, meluangkan masa bersama rakan dan keluarga, atau sekadar berseronok.

“Menerusi YXSTABY, kami mahu memberi ruang kepada aktiviti ini di rumah, dengan menyatukan fungsi, keselesaan dan reka bentuk ceria yang dekat di hati para pemain. Lagipun, kehidupan seharian yang lebih baik di rumah seharusnya turut menyeronokkan.”

Bila Controller Pun Perlukan ‘Rumah’ Sendiri

Jika ada satu perkara yang hampir semua gamer boleh faham, ia adalah masalah kabel berselirat dan controller yang entah diletakkan di mana selepas sesi bermain.

YXSTABY cuba menyelesaikan masalah itu dengan menjadikan storan sebahagian daripada reka bentuk perabot.

IKEA dan XBOX Bawa Gaming Ke Ruang Tamu, YXSTABY Direka Untuk Gamer Dan Seisi Rumah

Ads

“Kami percaya ruang menjadi bersepah apabila barangan tiada tempatnya. Justeru, koleksi ini memberi tempat tersendiri untuk alat kawalan permainan, kabel dan fon kepala menerusi perabot yang serasi dengan ruang tamu.

“Ini bermakna, pemain dan mereka yang tinggal bersama dapat menikmati ruang yang sama, baik untuk bermain seketika sebelum makan malam ataupun menghabiskan waktu malam bersama rakan-rakan,” kata Takeshi lagi.

IKEA dan XBOX Bawa Gaming Ke Ruang Tamu, YXSTABY Direka Untuk Gamer Dan Seisi Rumah

Setiap item YXSTABY dibangunkan bersama pereka IKEA, XBOX dan pakar gaming berdasarkan pemerhatian terhadap kediaman sebenar yang menjadikan permainan video sebahagian daripada rutin harian.

Meja TV Yang Boleh Bergerak Ikut Tempat Anda Main

Antara item paling menarik ialah meja TV beroda berharga RM399, yang menurut IKEA merupakan produk pertama seumpamanya dibangunkan oleh syarikat itu.

Konsepnya cukup praktikal. TV dan peralatan gaming tidak perlu kekal di satu sudut kerana keseluruhan unit boleh dialihkan mengikut keperluan.

Bahagian belakang turut menyediakan ruang penyimpanan untuk konsol dan peralatan lain. Turut diperkenalkan ialah meja sisi beroda berharga RM499 dengan pintu gelangsar serta ruang mengecas peranti.

IKEA dan XBOX Bawa Gaming Ke Ruang Tamu, YXSTABY Direka Untuk Gamer Dan Seisi Rumah

Untuk mereka yang lebih selesa dengan setup monitor tradisional, terdapat kaki monitor RM99 yang boleh menempatkan satu atau dua skrin pada kedudukan lebih tinggi sambil menyediakan ruang untuk telefon, fon kepala dan alat kawalan.

Sokongan komputer riba dengan ruang storan pada harga RM99 pula boleh digunakan untuk menyimpan aksesori dan kabel, sementara penutupnya boleh bertukar fungsi sebagai kaki laptop ketika bekerja dari rumah.

Ads

IKEA dan XBOX Bawa Gaming Ke Ruang Tamu, YXSTABY Direka Untuk Gamer Dan Seisi Rumah

Dalam erti kata lain, setup gaming tidak lagi perlu bersifat kekal. Hari ini ruang itu digunakan bermain. Esok mungkin menjadi meja kerja.

Rumah Dikongsi, Jadi Ruangnya Perlu Fleksibel

Takeshi berkata idea fleksibiliti itu penting kerana kehidupan di rumah jarang berputar pada aktiviti seorang individu sahaja.

“Setiap rumah dikongsi oleh penghuni dengan keperluan dan rutin yang berbeza, dan permainan video hanyalah salah satu daripadanya. Ada yang bermain selepas makan malam, manakala yang lain mungkin bekerja menggunakan komputer riba atau menonton televisyen bersama keluarga.

“Perabot dan kelengkapan rumah yang sesuai membolehkan ruang yang sama digunakan dengan selesa oleh semua, tanpa mengira saiz rumah. Itulah yang kami harapkan dapat dibawakan oleh YXSTABY kepada kediaman rakyat Malaysia,” tambah Takeshi.

IKEA dan XBOX Bawa Gaming Ke Ruang Tamu, YXSTABY Direka Untuk Gamer Dan Seisi Rumah

Pendekatan ini terasa cukup relevan terutama untuk apartmen atau rumah bandar yang mempunyai ruang terhad.

Daripada cuba membina “gaming room” khusus, mungkin pendekatan yang lebih realistik ialah menghasilkan ruang yang boleh berubah mengikut siapa yang menggunakannya.

Ada Bangku Berbentuk Thumbstick Dan Kusyen D-Pad

Walaupun aspek praktikal menjadi fokus utama, IKEA dan XBOX tetap memasukkan beberapa elemen yang jelas ditujukan kepada peminat gaming.

Antaranya bangku thumbstick berharga RM169, yang dihasilkan menggunakan fail reka bentuk 3D asal alat kawalan dan boleh dicondongkan mengikut pergerakan pengguna.

Anda mungkin berminat dengan

Ads

Turut ditawarkan ialah kusyen sofa berbentuk D-pad berharga RM59, selain kotak pameran bercermin RM99 untuk mempamerkan controller, figura kecil atau koleksi gaming.

IKEA dan XBOX Bawa Gaming Ke Ruang Tamu, YXSTABY Direka Untuk Gamer Dan Seisi Rumah

Bagi mereka yang lebih mengutamakan keselesaan, terdapat kerusi santai RM399 dengan ruang storan tersembunyi di bawah tempat duduk.

Dari sudut reka bentuk, koleksi tersebut mengekalkan identiti Scandinavia IKEA dengan penggunaan warna putih, hitam dan kuning air, manakala beberapa petak dan ruang penyimpanan menggunakan warna hijau sebagai elemen visual berkaitan dunia XBOX.

IKEA dan XBOX Bawa Gaming Ke Ruang Tamu, YXSTABY Direka Untuk Gamer Dan Seisi Rumah

Bukan Semua Gamer Mahu Bilik Yang Nampak Seperti Gaming Room

Mungkin perkara paling menarik mengenai kolaborasi ini ialah ia mencabar stereotaip bahawa ruang gaming perlu kelihatan seperti pusat e-sukan lengkap dengan RGB, kerusi lumba dan meja besar.

Ada pengguna yang mahukan setup sebegitu.

Tetapi ada juga yang mahu sebuah ruang tamu yang masih kelihatan seperti ruang tamu apabila konsol dimatikan.

Di sinilah YXSTABY cuba mencari titik tengah antara identiti seorang gamer dan keperluan orang lain yang berkongsi rumah yang sama.

Dengan harga bermula RM59, IKEA menyatakan koleksi tersebut dibangunkan berdasarkan falsafah Democratic Design, iaitu reka bentuk yang menggabungkan fungsi, keselesaan, estetika dan kemampuan untuk dinikmati lebih ramai pengguna.

YXSTABY boleh didapati mulai 12 November di IKEA Damansara, Cheras, Tebrau dan Batu Kawan serta IKEA.my, manakala IKEA Kuching akan menawarkan koleksi tersebut mulai 27 November.

Dan mungkin itulah gambaran gaming hari ini.

Ia tidak lagi semestinya aktiviti yang terasing di dalam bilik seorang diri. Kadangkala ia berlaku di tengah-tengah ruang tamu, dengan seorang sedang bermain, seorang lagi menonton dan yang lain sibuk melakukan hal sendiri.

Semua berada dalam ruang yang sama.

Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda. Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di

KLIK DI SEENI
Dapatkan tip dekorasi, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Dari Memori Ke Kanvas, ‘Fragments Of A Season’ Raikan Seni Kontemporari...

Seni bukan sekadar elemen yang mengisi ruang kosong pada dinding. Dalam sesebuah kediaman, karya seni mampu mencetuskan gelora emosi, menghidupkan suasana dan menjadi sebahagian...