Ramai antara kita mengimpikan rumah yang cantik, moden dan dihias dengan gaya mewah. Namun apabila kita sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil, keselamatan harus menjadi keutamaan utama dalam susun atur dan hiasan dalaman rumah. Inilah sebab mengapa gaya dekorasi minimalis kini menjadi pilihan bijak ramai ibu bapa moden.
Apa Itu Dekorasi Minimalis?
Dekorasi minimalis merujuk kepada gaya susun atur yang ringkas, kemas dan tidak sarat dengan perabot atau barang hiasan. Ia menekankan konsep “less is more”, iaitu menggunakan hanya barang yang benar-benar perlu dan menyusun ruang dengan praktikal.
Kenapa Dekorasi Minimalis Lebih Selamat?
Mengurangkan Risiko Kemalangan
Dengan lebih sedikit perabot dan barang hiasan, risiko anak-anak terlanggar, tersadung atau menarik barang berbahaya dapat dikurangkan. Contohnya, pasu besar, rak kaca terbuka atau meja berkaca tajam boleh menjadi ancaman besar kepada anak kecil yang aktif.
Ads
Mudah Untuk Pantau Anak
Rumah yang lapang dan tidak berselerak memudahkan ibu bapa melihat pergerakan anak. Ia juga mengelakkan tempat persembunyian untuk objek kecil atau tajam yang boleh dimasukkan ke mulut oleh anak-anak.
Lebih Mudah Dibersihkan
Ruang yang minimalis lebih mudah untuk dibersihkan dan diselenggara. Tiada celahan sempit antara perabot yang memerangkap habuk dan ini juga baik untuk kesihatan anak-anak yang mungkin alah pada debu.
Ads
Menggalakkan Anak Belajar Tertib & Kemas
Rumah yang ringkas dan tersusun mengajar anak-anak untuk hidup dengan sistematik. Mereka lebih mudah faham tentang menyimpan mainan selepas bermain dan menghargai ruang kemas.
Dekorasi rumah bukan sekadar untuk cantik di mata, tetapi juga perlu mesra pengguna, terutama pengguna kecil di rumah anda. Dekorasi minimalis bukan sahaja memberikan suasana rumah yang lebih lapang dan menenangkan, malah turut membantu meminimakan risiko kemalangan domestik.
Ads
Ingatlah, rumah yang selamat adalah rumah yang tenang.
Suatu ketika dahulu, flat kos rendah dibina untuk menyediakan tempat tinggal yang selamat dan mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah. Namun kini, ramai penghuni di beberapa kawasan flat berdepan realiti yang jauh berbeza,bumbung koridor dijadikan tapak pelupusan sampah haram.
Longgokan plastik, botol, sisa makanan, malah tilam lama memenuhi kawasan bumbung yang sepatutnya menjadi laluan kecemasan atau ruang terbuka. Apa yang sepatutnya menjadi tempat menjemur pakaian kini bertukar menjadi pemandangan menyakitkan mata dan menyesakkan hidung.
Masalah ini bukan sekadar menjijikkan, ia mengancam keselamatan dan kesihatan penghuni. Dari risiko penyakit berjangkit, pencemaran bau, hinggalah kepada bahaya kebakaran, semuanya berpunca daripada satu perkara: kebersihan yang diabaikan dan sikap lepas tangan.
Fenomena ini bukan kes terpencil. Di beberapa blok PPRT dan PPR, pemandangan bumbung atau koridor dipenuhi longgokan sampah bukan lagi asing. Penduduk di aras atas sering membuang sampah terus dari tingkap atau balkoni, menyebabkan sisa itu terperangkap di atas bumbung.
Bagi sesetengah penghuni, ia mungkin kelihatan remeh “buang sikit saja” atau “nanti orang sapu.” Namun sedikit demi sedikit, longgokan itu membesar hingga menggunung. Hujan yang turun membuatkan sisa reput, menghasilkan bau busuk yang menusuk hidung serta mengundang lalat, nyamuk dan tikus.
Lebih menyedihkan, ada antara penghuni yang sudah terbiasa dengan keadaan itu, seolah-olah ia perkara biasa yang tak lagi mengganggu. Di sinilah punca utama bermula kurangnya kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama.
Masalah ini berpunca daripada sikap ambil mudah. Ramai yang tidak memahami bahawa menjaga kebersihan bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi tanggungjawab sosial bersama. Tindakan membuang sampah terus dari tingkap atau balkoni bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malah membahayakan orang lain terutama anak-anak yang bermain di bawah atau warga emas yang lalu di kawasan tersebut.
Sikap “bukan aku punya hal” menjadikan kawasan kediaman seolah-olah tiada penghuni yang peduli. Bila seorang mula, yang lain akan ikut, lalu terbentuklah kitaran kebiasaan yang sukar diubah.
Di sesetengah flat kos rendah, tong sampah utama tidak mencukupi atau tidak dikutip secara berkala. Bila tong penuh, penduduk tiada pilihan lain selain membuang di tempat yang “mudah dicapai”. Masalah bertambah rumit bila lif rosak dan penduduk di aras atas terpaksa mengangkat beg sampah menuruni tangga setiap hari. Akibatnya, ada yang memilih jalan singkat, buang dari atas.
Kawasan pembuangan sampah yang jauh atau gelap pada waktu malam juga menimbulkan rasa tidak selamat. Namun apa pun alasannya, membuang sampah merata tetap bukan penyelesaian.
Sikap sambil lewa pihak pengurusan dan kurang tindakan tegas turut menyumbang kepada masalah ini. Tanpa pemantauan atau sistem kawalan, segelintir penduduk berasa bebas melakukan apa sahaja. Jika tiada tindakan daripada pihak berkuasa tempatan atau JMB (Joint Management Body), kesalahan ini akan terus berulang.
Sisa makanan dan plastik bertimbun menjadi lokasi ideal bagi pembiakan nyamuk Aedes dan tikus pembawa leptospirosis. Bau busuk pula menarik lipas dan lalat, menjadikan kawasan flat ibarat zon wabak kecil yang berbahaya.
Ramai tidak sedar bahawa longgokan sampah sangat mudah terbakar. Hanya sebatang puntung rokok atau litar pintas kecil di bumbung sudah cukup untuk mencetuskan tragedi. Dalam kawasan padat penduduk, api boleh merebak dalam beberapa minit sahaja.
Masalah kebersihan ini menjejaskan imej komuniti. Flat yang kotor bukan sekadar tidak selesa didiami, malah menurunkan nilai hartanah dan membuatkan kawasan itu dipandang rendah. Ia turut memberi kesan psikologi kepada penghuni, rasa malu, rendah diri dan hilang semangat terhadap rumah sendiri.
Perubahan mesti bermula dari kesedaran. Penduduk perlu diberi pendidikan berterusan tentang kepentingan kebersihan dan tanggungjawab bersama. Kempen kreatif seperti pertandingan blok terbersih atau mural komuniti boleh membina semangat sayang terhadap kawasan kediaman.
Pihak pengurusan perlu memastikan tong sampah mencukupi di setiap blok dan kutipan dilakukan secara berkala. Jika perlu, tambah tong di setiap aras bagi memudahkan penduduk membuang sampah tanpa alasan.
Pemasangan kamera litar tertutup di kawasan strategik seperti koridor atas atau laluan tangga boleh membantu memantau pelaku. Denda atau amaran rasmi perlu dikeluarkan supaya tindakan ini tidak dianggap ringan.
Program gotong-royong bukan sekadar aktiviti bersih-bersih, tetapi simbol semangat kejiranan. Bila penduduk sendiri membersihkan kawasan mereka, rasa memiliki dan prihatin akan mula tumbuh.
Apa gunanya rumah sendiri bersih jika bumbung dan koridor dipenuhi sampah? Kebersihan bukan tanggungjawab satu pihak, ia bermula dengan kesedaran individu, disokong oleh komuniti dan diperkuat oleh pihak berkuasa. Masalah flat kos rendah yang kotor bukan isu kecil, ia menggambarkan budaya, disiplin dan kepedulian masyarakat terhadap tempat tinggal mereka.
Jika setiap penghuni mula peduli walau sedikit, perubahan besar akan berlaku. Flat kos rendah boleh jadi tempat tinggal yang selesa, bersih dan membanggakan. Syaratnya mudah, semua mesti mula dari diri sendiri.
Bagi pemilik kediaman yang sedang merancang untuk melakukan renovasi pada bahagian tandas, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian penting, supaya tidak menyesal di kemudian hari. Antaranya ialah sistem waterproofing bilik air atau kalis air pada lantai dan dinding bilik air.
Pastikan semua bilik air di rumah dipasang dengan sistem waterproofing ini, tak kiralah ia terletak di tingkat atas atau bawah. Waterproofing bilik air penting bukan sekadar nak halang lembapan masuk ke dalam bangunan, tapi juga nak pastikan lembapan keluar ikut laluan yang sepatutnya.
Dengan sistem yang betul, anda dapat mengelakkan masalah besar yang sering berlaku pada tandas seperti lantai bocor, air bertakung dan dinding berkulat. Selain itu, melakukan pengubahsuaian pada tandas atau bilik air di rumah memang memerlukan kos yang besar. Jadi buat sehabis baik dari awal proses renovasi daripada perlu membayar kos pembaikan yang boleh dielakkan nanti. Jimat duit!
Perkongsian daripada Lee Wai Wan ini boleh dijadikan panduan. Sistem kalis air (waterproofing) untuk tandas di tingkat bawah amat penting kerana ia melibatkan bahagian dinding dan juga lantai.
Tandas bawah yang tidak disapu dengan sistem kalis air akan menyebabkan air meresap masuk melalui konkrit atau simen yang telah retak. Ini boleh menyebabkan tanah atau pasir di bawah tandas dialirkan air serta menjadi kosong. Bila ruang bawah tanah kosong, bahagian atas tidak lagi dapat menampung berat bangunan — menyebabkan retak atau mendapan berlaku.
Masalah menjadi lebih kritikal jika pada masa sama berlaku kebocoran paip air. Jadi, waterproofing bilik air bawah amat penting untuk elakkan risiko ini.
Sekiranya tandas tidak disapu sebarang sistem kalis air, air yang meresap masuk melalui dinding tandas akan keluar ke dinding luar. Ia menyebabkan cat mengelupas, permukaan berkulat dan akhirnya memberi kesan kepada kesihatan penghuni rumah.
Tak kiralah berapa kali anda mengecat semula dinding luar, ia tetap rosak jika punca utama iaitu kelembapan dari tandas tidak diselesaikan.
Air bocor dari tandas yang tidak mempunyai sistem waterproofing bilik air boleh meresap ke struktur asas rumah. Ia mempercepatkan proses karat pada besi dalam konkrit, melemahkan struktur dan boleh membahayakan keselamatan penghuni.
Masalah ini dipanggil “concrete cancer”, dan jika dibiarkan terlalu lama, sebahagian rumah boleh runtuh.
Apabila air bocor dan meresap ke dalam tanah, tanah di bawah menjadi lembab dan mengembang. Kawasan lain yang kering pula mengecut. Ketidakseimbangan ini menyebabkan tanah menolak struktur bangunan ke atas di satu bahagian dan mendap di bahagian lain.
Lama-kelamaan, rumah kelihatan seolah-olah tergantung dan retak mula muncul di pelbagai bahagian dinding. Keadaan ini boleh dielakkan dengan hanya memastikan kerja waterproofing bilik air dilakukan dengan betul sejak awal.
Kerja kalis air (waterproofing) adalah amat penting dan perlu dilakukan dengan sebaiknya agar rumah anda selamat untuk didiami. Jangan pandang ringan, kerana sistem waterproofing bilik air yang betul dapat mengelakkan anda daripada membelanjakan wang yang lebih banyak untuk membaiki kerosakan akibat kerja sambil lewa atau tidak mempedulikannya.
Pastikan kontraktor anda menggunakan bahan kalis air berkualiti dan ikut prosedur pemasangan yang betul. Langkah kecil ini boleh menyelamatkan struktur rumah anda dalam jangka masa panjang!
Transformasi family hall kedua rumah teres setingkat ini benar-benar mencuri perhatian dengan rekaan moden minimalis yang menenangkan serta susun atur yang praktikal. Pemilik bijak memanfaatkan setiap inci ruang, menjadikannya kawasan santai untuk anak-anak berkumpul dan berehat tanpa menjejaskan gaya keseluruhan rumah.
Walaupun ruang family hall kedua ini tidak terlalu besar, konsep moden minimalis yang diterapkan menjadikannya tampak luas dan menenangkan. Pemilihan tona warna lembut seperti putih, krim dan kelabu muda memberi kesan bersih serta elegan. Sentuhan kehijauan daripada pokok hiasan pula menaikkan seri ruang dan menambah kesegaran semula jadi.
Bahagian siling direka dengan konsep drop ceiling dan dilengkapi kipas siling moden yang bukan sahaja menambah elemen kontemporari, tetapi juga memastikan pengudaraan kekal selesa. Sofa berbentuk L menjadi titik tumpuan utama ruang, sesuai untuk aktiviti keluarga seperti menonton televisyen atau bersantai bersama anak-anak.
Hiasan dinding seperti lukisan botani serta jam besar menyeimbangkan estetika ruang. Pemilik turut menggunakan langsir rona senada bagi memastikan cahaya semula jadi masuk dengan baik tanpa menjejaskan privasi keluarga. Gabungan pencahayaan lampu meja dan lampu dinding berona hangat pula menambah suasana tenang dan nyaman, menjadikannya lokasi ideal untuk anak-anak membaca atau menyiapkan kerja sekolah.
Transformasi family hall kedua rumah teres setingkat ini membuktikan bahawa ruang kecil juga mampu tampil menarik dan berfungsi dengan baik. Ia bukan sahaja indah dari segi visual, tetapi turut menepati keperluan keluarga moden masa kini. Ruang ini boleh dijadikan inspirasi untuk mereka yang ingin menambah satu lagi kawasan santai dalam kediaman.
Berikut dikongsikan renovasi ruang tamu teres setingkat. Pemilik kediaman mahukan keselesaan buat anak-anaknya.
Tona putih, krim, beige atau kelabu membantu mencipta ilusi ruang yang lebih besar dan tenang. Warna-warna neutral juga mudah dipadankan dengan konsep perabot moden mahupun klasik.
Sofa dengan ruang simpanan tersembunyi atau meja kopi dengan rak tambahan sangat sesuai untuk ruang yang terhad. Ia membantu memastikan suasana sentiasa kemas tanpa terlalu banyak barang berselerak.
Letakkan tanaman hiasan di sudut ruang bagi memberi kesan segar dan hidup. Gunakan langsir fabrik nipis supaya cahaya matahari dapat masuk dan menyerikan suasana santai dalam family hall kedua rumah teres setingkat anda.
Dengan sedikit perancangan dan pemilihan konsep yang betul, ruang kecil seperti ini mampu menjadi kawasan paling selesa dalam rumah anda.
Cara bersihkan tandas tanpa bahan kimia keras yang dikongsi Afiafifah ini turut mendedahkan teknik mop 4 kali sehari yang buat lantai rumah lebih berkilat, bersih dan tidak melekit.