Rata-rata pemilik rumah pasti pernah merasa terbeban dengan perbelanjaan bulanan. Nak beli barangan dapur, bayar kereta, sewa rumah serta bil-bil termasuklah bil elektrik yang juga merupakan asas kehidupan seharian yang memang kita tidak dapat elakkan. Tetapi jika kita tahu bagaimana caranya nak jimat elektrik, pasti ia dapat mengurangkan bil yang perlu ditanggung setiap bulan. Jadi jom ikuti tips yang IMPIANA sediakan ini, selamat mencuba!

MESIN BASUH

  • Salah satu cara jimatkan elektrik semasa menggunakan mesin basuh adalah dengan mengurangkan kekerapan membasuh. Kumpul dahulu pakaian sehingga muatan penuh dan basuh sekaligus.
  • Kurangkan penggunaan fungsi basuhan air panas kerana lebih banyak tenaga elektrik diperlukan untuk memanaskan air cucian tersebut. Lebih baik gunakan fungsi basuhan air biasa sahaja.
  • Digalakkan untuk mengasingkan pakaian yang ingin dibasuh mengikut berat. Contohnya, basuh t-shirt, kemeja dan pakaian dalam satu basuhan, manakala pakaian seperti denim, jaket dan linen dibasuh berasingan. Ini akan memudahkan proses basuhan dan mengurangkan beban kerja mesin basuh.
  • Kurangkan penggunaan mesin pengering pakaian. Lebih baik untuk jemur pakaian yang dibasuh berbanding menggunakan mesin pengering pakaian. Gunakan mesin pengering pakaian jika terdesak sahaja seperti ketika musim hujan.

 

 

SETERIKA

  • Penggunaan seterikan wap dilihat makin popular dikalangan pengguna domestik. Tahukah anda bahawa seterika jenis ini menggunakan lebih banyak tenaga kerana sistemnya perlu memanaskan air terlebih dahulu untuk menghasilkan wap air. Jadi, adalah lebih baik sekiranya anda hanya menggunakan seterika biasa atau seterika arang.
  • Lakukan aktiviti menyeterika pakaian dalam satu trip. Dengan cara ini, seterika tidak perlu dipanaskan berulang kali sekaligus mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

 

LAMPU

Menurut kajian, sebanyak 20% penggunaan tenaga elektrik dalam sesebuah kediaman adalah daripada penggunaan lampu.

  • Tutup kesemua lampu di ruang yang tidak digunakan.
  • Manfaatkan penggunaan cahaya semulajadi. Buka tingkap dan selak langsir supaya cahaya matahari dapat menerangi kediaman anda tanpa bantuan lampu.
  • Kurangkan bilangan lampu dalam kediaman anda. Sebuah bilik kecil hanya perlukan sebuah lampu sahaja untuk capai tahap kecerahan optimum, tidak perlu membazir pasang lampu yang tidak sesuai pada tempatnya.
  • Gunakan mentol lampu LED kerana lebih tahan lama, jimat tenaga dan mesra alam. Mentol lampu jenis LED juga boleh dibuka-tutup dengan kerap tanpa memberi kesan ke atas jangka hayatnya.

 

 

PETI SEJUK

Boleh dikatakan hampir semua kediaman pasti akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah peti sejuk yang digunakan dan ianya akan dipasang 24 jam sehari secara berterusan.

  • Kedudukan peti sejuk perlu strategik dan jauh daripada cahaya matahari ataupun peralatan sumber haba seperti cerek, periuk nasi dan dapur memasak. Pastikan juga peti sejuk diberikan ruang pengudaraan yang mencukupi; sebaik-baiknya jarakkan peti sejuk (10-30 cm) daripada dinding di bahagian belakang, tepi dan atas.
  • Beli peti sejuk yang mempunyai label penggunaan elektrik cekap star-rating yang baik, dan lebih baik lagi jika ada teknologi inverter. Inverter berfungsi untuk mengawal penggunaan motor peti sejuk secara automatik dan seterusnya akan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik untuk peti sejuk tersebut.
  • Kurangkan kekerapan buka-tutup pintu peti sejuk. Peti sejuk yang terlalu kerap dibuka akan menyebabkan udara sejuk kerap keluar dan meningkatkan suhu peti sejuk. Ini juga meningkatkan beban kerja peti sejuk tersebut.
  • Tetapkan suhu peti sejuk pada suhu yang optimum; suhu yang sesuai bagi ruang biasa adalah sekitar 2-8 ºC, manakala suhu ruang sejuk beku adalah sekitar -18 ºC
  • Jangan terlalu penuhkan peti. Pastikan ada ruang untuk aliran udara didalamnya. Tetapi, pada masa yang sama, jangan biarkan peti sejuk terlalu kosong pula. Jika tiada barang untuk disimpan dalam peti sejuk, letakkan sahaja beberapa bekas kosong. Ini akan mengurangkan aliran keluar udara sejuk.

 

PENDINGIN HAWA ATAU AIRCOND

  • Jauhi pendingin hawa daripada sumber haba seperti cahaya matahari.
  • Tetapkan suhu pada 24-26 ºC sahaja. Tahukah anda bahawa setiap penurunan 1 ºC yang ditetapkan pada pendingin hawa bersamaan peningkatan penggunaan elektrik sebanyak 10%. Maksudnya, semakin rendah suhu ditetapkan, semakin tinggi penggunaan elektrik.
  • Tutup pintu dan tingkap apabila pendingin hawa dipasang. Ini untuk mengelakkan udara sejuk keluar daripada ruang tersebut.
  • Tetapkan minimum sekali dalam setiap bulan untuk mencuci penapis pendingin hawa. Cuci juga kipas compressor di luar rumah.
  • Hadkan tempoh penggunaan pendingin hawa. Gunakan sahaja kipas sebagai pengganti.
  • Jangan lupa untuk tutup dahulu pendingin hawa sebelum keluar bagi mengelakkan pembaziran yang tidak wajar.