Berkunjung ke sebuah kediaman pencinta cycas nun jauh ke utara, menemukan penulis dengan pemilik kediaman yang gemarkan sesuatu yang eksotik menjadi latar kediamannya.
Rumah teres lot tepi ini sememangnya terkenal di kalangan penduduk setempat kerana rupa bentuk landskapnya yang tampil berbeza di kejiranan tersebut. Mempunyai jiwa yang suka pada haiwan dan tumbuh-tumbuhan eksotik sejak dari kecil lagi, pemilik iaitu Mohd Anuar membawa penulis mengenali dengan lebih dekat akan minat dan kecintaannya pada spesies cycas.
“Kalau dilihat pada minat saya, sememangnya sesuatu yang eksotik menjadi perhatian saya sepanjang mula membina taman di kediaman ini sejak 12 tahun lalu. Jika dahulu orkid, fern dan pokok hutan menjadi keutamaan koleksi peribadi tetapi sejak Januari 2015 saya mula beralih arah kepada pokok cycas,” terang pemilik membuka bicara pertemuan kami.
Pemilik sememangnya berazam ingin mempunyai laman berkonsepkan cycas dan cycad yang jarang dimiliki oleh pemilik taman yang lain. Ia umpama satu kepuasan diri apabila berjaya mengumpulkan pelbagai spesies cycas dari serata dunia. Malah setakat ini kebanyakan cycas yang dimiliki ada dibeli di Thailand, China dan India.
Paling menarik perhatian penulis apabila minat dan kesungguhan pemilik direalisasikan sehingga menjadi kenyataan. Bermula dari zero, pemilik melakukan pencarian di laman web sehingga bertemu dengan supplier cycas ini. Dari situ bermulalah rutin mendapatkan pelbagai spesies cycas yang tidak terdapat di Malaysia. Memandangkan kos dan harga yang mahal, pemilik bermula dengan mendapatkan anak pokok bersaiz ibu jari sebelum menanam dan membelanya di dalam pasu.
“Kecantikan dan keistimewaan cycas ialah terletak pada ubi dan juga silara daunnya. Bilah-bilah daun yang menarik ini dan juga kepelbagaian warnanya menarik perhatian saya. Tidak ramai yang tahu cycas sebenarnya mempunyai daun berwarna merah, biru, kuning dan coklat tetapi ia sukar didapati. Biasanya yang paling popular adalah spesies berdaun hijau. Saya mempunyai koleksi cycas yang pelbagai warna ini yang kebiasaannya akan menyerlah apabila ia mencecah umur yang bersesuaian,” tambah pemilik lagi.
Pemilik juga memaklumkan kepada penulis, cycas ini begitu sukar untuk didapati di nurseri kecuali untuk spesies yang common seperti Cycas revoluta. Malah ramai juga sahabat-sahabat di alam maya yang membeli anak pokok dari pemilik. Bermula dengan minat untuk diri sendiri kini minat tersebut pemilik kembangkan menjadi perniagaan sampingan.
“Saya akui sebagai peminat cycas, saya juga pada mulanya begitu sukar untuk mendapatkan pelbagai spesies yang saya temui di internet, di nurseri-nurseri di seluruh Malaysia. Harganya yang mahal serta kesukaran mendapatkan benih tersebut membuatkan ia tidak menjadi spesies pilihan di nurseri. Sebab itu saya berusaha mencari pembekal cycas ini di Thailand dan berjaya memesannya. Pada mulanya saya hanya berkongsi gambar di grup Facebook, tidak sangka pula ramai sebenarnya peminat cycas ini dan mereka berminat membeli anak benih ini dari saya,” tambah pemilik lagi tentang hobi suka-sukanya yang turut mendapat sambutan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama.
Pemilik juga menyatakan selain daripada keunikan spesies cycas ini, salah satu ciri lain yang membuatkan dirinya terpaut adalah tumbuhan ini mudah jaga. Walaupun pertumbuhannya lambat dan mengambil masa berbelas tahun untuk membesar, penjagaannya tidak terlalu cerewet. Siraman pokok pula hanya dua kali seminggu kerana cycas sukakan medium tanah kering dan cuaca panas. Oleh itu pastikan lokasi tumbuhan tersebut mendapat cahaya matahari yang cukup.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI