
Siapa kata berkebun mesti belanjakan wang yang banyak, paling penting harus bijak mengguna sumber yang ada
- Ingin membina batas kekal atau planter box untuk tujuan bertanam?
Anda boleh menggunakan palet kayu terpakai sebagai asas dinding batas. Baringkan palet kayu tersebut dan isikan tanah memenuhi ruang kosong antara kayu dan gunakan ia sebagai batas untuk menyemai. Untuk membina batas tanaman yang lebih cantik, gunakan batuan seperti boulder stone, batu kelikir bersaiz besar atau batu bata untuk dijadikan sebagai dinding atau bingkai planter box. Susun ia mengikut saiz dan ketinggian batas tanaman yang hendak digunakan. Ketinggian minimum untuk membina planter box ialah 100mm.
- Perlu membaja halaman berumput dengan kos yang murah?
Tanam beberapa kelompok Trifolium spp di kawasan berumput di laman rumah. Klover merupakan sejenis rumpai hijau yang cantik dengan tekstur daunnya yang menarik. Ia dapat membantu untuk memperbaiki kandungan nitrogen di dalam tanah yang diperlukan oleh rumput. Dalam masa yang sama, tumbuhan ini akan membaja halaman berrumput anda secara berterusan tanpa perlu di selenggara. Namun anda perlu berhati-hati, jangan biarkan klover mendominasi kawasan berumput di laman rumah anda. Pangkas apabila ia kelihatan mula merimbun.
- Ingin menghasilkan bekas tanaman yang menarik?
Pelbagai perkakas di rumah boleh digunakan untuk dijadikan bekas tanaman yang menarik. Jangan buang jika ada sebarang perkakas dapur yang telah rosak dan tidak boleh digunakan seperti periuk, teko, cawan yang telah sompek dan sebagainya. Selain itu juga anda boleh menggunakan barang terpakai seperti kasut terpakai, tin dan botol sebagai pasu. Taman anda bertambah ceria dengan kehadiran bekas tanaman terpakai tersebut.
- Anda perlu bekas menyemai biji benih?
Kebisaannya ramai antara penggemar bertaman akan menggunakan polly bag atau plastik hitam untuk tujuan menyemai biji benih. Namun harga dan kesukaran untuk mendapatkan bahan tersebut membatasi aktiviti anda. Sebenarnya anda boleh menggunakan barang-barang yang lebih mesra alam yang terdapat di dalam rumah seperti kertas surat khabar, kulit telur, penggulung tisu, cawan kertas dan sebagainya untuk menggantikan plastik hitam tersebut
Tip WAJIB tahu Untuk Pastikan Tanaman Berpasu Sentiasa Subur

WTerdapat banyak variasi container garden seperti tanaman herba, bunga mahupun sayur-sayuran yang boleh diusahakan dengan jaya. Namun, anda haruslah mengetahui apakah do’s & don’ts dalam membentuk sebuah container garden yang beroleh hasilnya. Ini termasuklah aspek seperti jenis tanaman itu sendiri, tanah, air, lokasi dan pemilihan bekas tanaman yakni pasu. Pendek kata, ikuti panduan yang LAMAN sediakan ini untuk menghasilkan tanaman dalam pasu yang menjadi dan subur.
Jenis Tanaman
Pastikan tumbuhan yang anda pilih untuk container garden secocok atau blend antara satu sama lain. Aspek yang dititikberatkan di sini termasuklah keperluan dari segi pencahayaan, air dan tanah. Jika anda melakukan kombinasi tumbuhan yang berbeza keperluan ini, maka sukar untuk tumbuhan ini hidup secara harmoni. Misalnya, tumbuhan yang memerlukan cahaya matahari dengan banyak seperti pokok buluh hiasan (Phyllostachys aurea) boleh ditempatkan bersekali dengan kategori yang sama. Namun, bagi penjagaan yang mudah, menanam satu jenis tumbuhan dalam sebuah pasu adalah cadangan yang terbaik. Selepas itu barulah anda boleh bermain dengan saiz tumbuhan, tekstur, warna dan setting tertentu bagi mewujudkan sebuah container garden yang bukan sahaja berjaya, namun tampil harmoni dan menenangkan!
Tanah
Penggunaan jumlah yang sederhana daripada tanah di kawasan laman disyorkan bagi membentuk campuran tanah yang seimbang untuk container garden. Ambil bahagian tanah yang digali beberapa inci ke dalam tanah supaya anda memperoleh tanah yang bersih dan bebas daripada campuran bendasing seperti biji benih, serangga, sisa binaan dan sebagainya yang lazimnya terdapat di permukaan tanah.
Campuran tanah yang seimbang juga boleh diperoleh dengan campuran tanah laman, pasir dan peat moss. Jika anda ingin menanam sayuran untuk container garden, lebihkan penggunaan pasir dan kurangkan peat moss dalam campuran tanah tadi. Manakala, tumbuhan berbunga lazimnya memerlukan penyiraman yang lebih kerap. Oleh yang demikian, kondisi tanah yang lebih lembap diperlukan dengan memberikan ekstra tanah laman atau peat moss. Ia dapat mengekalkan kelembapan tanah dengan sempurna.
Jika anda ingin membeli campuran tanah yang telah siap, pilih beg tanah yang sederhana berat. Bukan terlalu berat kerana ia lazimnya hadir kompak dan memiliki isian yang padat. Manakala, beg tanah yang terlalu ringan juga tidak bagus untuk kondisi tanah container garden. Pilih antara keduanya.
Lokasi
Lokasi di mana anda menempatkan tanaman berpasu sangat penting kerana ia mempengaruhi pengamatan atau pancaran cahaya matahari, sama ada mencukupi atau sebaliknya. Iklim tropika yang menghasilkan cuaca panas sepanjang tahun bukan penentu tanaman anda mendapat cahaya yang sempurna. Sekiranya anda meletakkan di lokasi yang salah, maka tanaman tidak dapat tumbuh dengan baik. Oleh yang demikian, lakukan penilaian terhadap pancaran cahaya dengan meletakkan bekas tanaman di lokasi tertentu yang anda pilih. Lihat berapa banyak cahaya yang diperoleh dan berapa lama jangka masa bekalan cahaya matahari yang diperoleh. Lakukan selalu bagi memastikan yang terbaik untuk container garden anda. Sentiasa peka, bagi tumbuhan full sun haruslah mendapat bekalan cahaya matahari sekurang-kurangnya 6 jam sehari. Manakala, tumbuhan full shade memerlukan kurang tiga jam pancaran cahaya dalam masa sehari.
Istimewanya, kebaikan tanaman berpasu ini adalah anda boleh mengalihkan pasu jika anda dapati cahaya tidak mencukupi atau ingin meletakkan tanaman di tempat yang redup bagi mengelak pancaran secara terus. Oleh itu, anda harus mengetahui jenis tanaman pada container garden anda bagi mengelakkan situasi seperti melecur akibat pancaran cahaya berlebihan atau keguguran daun dan sebagainya.
Pemilihan Pasu
Sentiasa pastikan pasu anda memiliki lubang di dasar pasu bagi tujuan pengairan air yang baik. Anda juga boleh meletakkan satu hingga dua inci lapisan batu kerikil di dasar pasu bagi tujuan yang sama. Tahukah anda bahawa terdapat banyak pasu yang tiada lubang di dasarnya kerana ia lazimnya dijadikan pasu hiasan atau dekoratif. Ramai yang terlepas pandang kerana pasu dekoratif ini bukan bagi tujuan penanaman dan tidak praktikal dijadikan pasu bagi container garden anda bagi jangka masa yang panjang. Lubang pengairan ini adalah satu kemestian!
Tahukah anda bahawa pemilihan pasu mampu mempengaruhi perasaan dan membentuk mood anda sebagai pemilik? Pasu juga menggambarkan sesuatu nilai seperti classy, kreatif, moden, sofistikated, bergaya, mesra alam, primitif dan sebagainya. Jadikan pasu dengan fungsi tertentu seperti titik fokal di taman, pembahagi ruang, membentuk privasi, memberi accent kepada landskap dan banyak lagi.
Penyiraman
Periksa pasu atau bekas tanaman anda setiap hari bagi melihat keperluan air. Ini kerana jika tanaman anda kekurangan bekalan air, ia boleh membantutkan pertumbuhan container garden. Ia berbeza dengan tanaman yang tumbuh di permukaan tanah, akar bagi tanaman container garden tidak mampu menembusi ke dalam tanah bagi mencari sumber air. Di samping itu, pastikan adanya ruang satu hingga dua inci di permukaan atas bekas tanaman dengan tanah. Ini bagi memastikan apabila penyiraman dilakukan, air siraman tidak terkeluar daripada bekas tanaman dan akhirnya hanya permukaan atas tanah sahaja yang basah dan lembap.
Penyiraman perlu dilakukan sebelum tanaman menunjukkan tanda-tanda seperti layu, kekuningan dan tidak sihat. Terdapat sesetengah jenis tanaman yang dapat bertoleransi dengan keadaan tanah yang kering dan tidak memerlukan keadaan yang lembap berlebihan. Tumbuhan sukulen merupakan contoh kepada situasi ini dan berlawanan sifat dengan tumbuhan tropika. Oleh itu, pastikan anda memahami jenis tumbuhan yang anda tempatkan di container garden anda.
Penyiraman juga akan mengelakkan kadar garam yang tinggi berkumpul dalam tanah. Leaching (lebih air) akan membawa garam dalam tanah yang terhasil melalui pembajaan seterusnya mengelakkan akar terbantut.
(Gambar) Serius Bertaman Lepas Pembedahan Terapi Buat Wanita Ini Kembali Sihat Dan Ceria

Untuk kunjungan laman kali ini, kesempatan menjelajahi selatan tanah air menemukan team LAMAN degan pengasas grup Jom Tanam Pokok Bunga dan Decor2 Garden yang aktif di facebook. Jastan dan isterinya Yaya berkongsi minat dan cita rasa yang sama dalam mendekorasi keseluruhan rumah, di dalam mahupun di laman. Pasangan ini mempunyai alasan tersendiri untuk mereka mempunyai sebuah laman yang bertemakan English Country. Taman yang di tata rapi ini sebenarnya didedikasikan kepada isteri tercinta sebagai remedi penyembuh pengalaman pahitnya yang lalu.
Terpegun melihat kekemasan taman English Country, pasti ada cerita menarik yang boleh dikongsi oleh pasangan romantis ini bersama pembaca. Menyingkap kembali detik-detik awal membina taman, pemilik menjelaskan “Taman ini mula dibina ketika isteri saya baru selesai menjalani pembedahan penyakitnya. Saya tidak mahu isteri hanya duduk diam dan berada dalam kesakitan justeru aktiviti bertaman dilihat sebagai solusi pada waktu itu. Ternyata usaha saya menampakkan hasil apabila isteri mula kembali ceria dan sihat”.
Sumber inspirasi kami pada mulanya adalah daripada majalah-majalah landskap luar negara dan majalah LAMAN sendiri. Selain itu juga, saya kerap melayari laman web yang banyak berkongsi ilmu bertaman”. Sebelum mereka bentuk taman, pasangan ini telah melakukan beberapa kajian terutamanya dari segi penggunaan jenis tumbuhan dan konsep taman yang akan dipilih supaya segala hasrat yang tersirat dapat diterjemahkan dan direalisasikan untuk kepuasan bersama.
Menurut pemilik kebanyakan elemen yang digunakan di laman ini merupakan produk-produk dari barang terpakai. Ada antara barang-barang yang dimiliki merupakan pemberian sahabat dan saudara mara dan ada juga yang dibeli di kedai-kedai barang terpakai mahupun flea market. Bagi pemilik, setiap barangan terpakai yang dimiliki mempunyai kisahnya yang tersendiri serta tinggi nilai sentimentalnya. Justeru itu taman ini kelihatan hidup dan kaya dengan cerita dan sejarahnya tersendiri di setiap barang yang terdapat di laman ini. Kebanyakan barang terpakai yang diperoleh dijadikan sebagai bekas tanaman, pelbagai bentuk, warna dan saiz bekas menyerikan lagi outdoor living rumah teres end lot ini.
Menjawab dengan ramah dan mesra bila ditanyakan mengenai pemilihan hardscape yang terdapat di taman, pemilik menjelaskan “Saya lebih gemar mengumpul barang berasaskan metal kerana ia lebih kelihatan rustik terutama sekali apabila ia berkarat. Bagi saya lebih karat lebih unik di pandangan mata. Antara koleksi yang dimiliki termasuklah besen mandian pemberian rakan, pengukus, water can dan pelbagai lagi”.
Jika ada kelapangan, pemilik akan membina sendiri struktur-struktur kayu yang digunakan sebagai penyeri lamannya seperti papan tanda, pergola dan pelbagai lagi. Jarang sekali untuk pemilik membeli barang kelengkapan taman yang baru. Untuk mengundang si kelicap dan rakan merbahnya yang lain, pemilik telah membina sendiri bird bath dan bird house di satu sudut taman untuk memeriahkan lagi suasana laman. Jom kita jamu mata dengan taman hasil tangan pasangan suami isteri ini.
10 Pokok Ni Bukan Rumpai Biasa-Biasa Rupanya Penawar Penyakit

10 Pokok Yang Anda Sangka Rumpai Tapi Sebenarnya Penawar Sakit. Ramai yang tidak tahu rumpai ini adalah penawar sakit.
- Pokok dukung anak (Phyllanthus niruri)
Kegunaan:
- Melancarkan kencing
- merawat penyakit kencing berdarah
- merawat bisul di kelopak mata
- merawat penyakit hepatitis B
Cara-cara menggunakannya
- tumbuk segenggam daun bersama lima ulas bawang merah. Campurkan dengan sedikit santan dan perahan limau nipis kemudian di tapis untuk diminum pada waktu pagi. Lakukannya selam tiga hari berturut untuk melancarkan pembuangan air kecil.
- segenggam daun ditumbuk dan dicampurkan dengan lima ulas bawang merah, sedikit santan, air limau nipis, gula dan jintan manis. Ia sesuai untuk merawat masalah kencing berdarah
- untuk merawat bisul di mata, gunakan air rebusan pokok dukung anak dan disapu di atas bahagian bisul.
2. Sirih Cina (Peperomia pellucida)
Kegunaan:
- Meredakan batuk dan selesema
- Merawat jangkitan punci kencing
- Menurunkan tekanan darah
- Merawat penyakit kulit (gatal-gatal), bisul, jerawat dan kulit melecur
- Penawar bagi sakit sendi
- Merawat masalah perut dan cirit birit
Cara-cara menggunakannya
- Untuk di jadikan sebagai minuman, ambil sepohon pokok dan di kisar bersama air untuk di jadikan jus.
- Untuk tujuan penggunaan luaran, ambil segenggam pokok kemudian di tumbuk lumat dan di tampal pada bahagian yang sakit.
- Sawi Langit (Vernonia cinerea)
Kegunaan:
- Meredakan demam panas
- Melegakan batuk
- Merawat hepatitis
- Merawat bisul dan luka
- Merawat luka gigitan ular
Cara-cara menggunakannya
- Pokok di kisar bersama air dan di jadikan seperti jus untuk diminum. Kaedah ini sesuai untuk meredakan demam, merawat batuk dan hepatitis.
- Tumbuk pokok dengan sedikit air sehingga lumat dan diletakkan di bahagian yang terkena bisul dan luka gigitan ular.
- Puteri malu (Mimosa pudica L.)
Kegunaan:
- Melegakan radang saluran pernafasan
- Meredakan panas badan kanak-kanak
- Mengatasi masalah kecacingan
- Merawat radang kulit yang berpunca dari jangkitan virus
- Merawat luka
- Mengecutkan peranakan dan menghilangkan keputihan
- Merawat masalah insomnia (kesukaran untuk tidur)
- Meredakan batuk-batuk
- Meredakan sakit sendi
Cara-cara menggunakannya
- Pokok dilumatkan dan tampal pada kulit yang bermasalah
- Air rebusannya berupaya merawat radang pernafasan, kecacingan dan panas badan kanak-kanak
- Akarnya juga sesuai di jadikan sebagai salah satu bahan dalam pembuatan ubat periuk.
- Tutup Bumi / Tapak Lima (Elephantopus scaber )
Kegunaan:
- Merawat hepatitis
- Merawat penyakit beri-beri
- Mengatasi masalah perut kembung
Cara-cara menggunakannya
- 4-6 genggam direbus bersama daging untuk dijadikan air minuman selama 4-5 hari bagi merawat hepatitis.
- 1-2 genggam daun yang telah dikeringkan dilumatkan bersama 2-3 keping tauhu dan sedikit air untuk ditampal pada bahagian yang dijangkiti beri-beri
- Untuk mengatasi masalah perut kembung, ambil dua genggam pokok dan direbus untuk dijadikan minuman.
- Calincing (Oxalis corniculata L.)
Kegunaan:
- Merawat luka dan bisul
- Merawat luka gigitan serangga
- Menghentikan pendarahan pada luka
- Mengatasi masalah mulut berbau
- Merawat ulser mulut
Cara-cara menggunakannya
- Untuk dijadikan sebagai bahan sapuan, lumatkan beberapa keping daun bersama gula merah dan ditampalkan pada bisul dan luka
- Jika mengalami masalah ulser mulut dan mulut berbau, ambil beberapa helai daun dan dilumatkan kemudian campur dengan air untuk dijadikan bahan kumuhan
- Ambil beberapa helai daun dan dijadikan jus yang dicampur bersama madu. Ia berupaya menghentikan pendarahan.
- Kucing galak (Acalypha indica)
Kegunaan:
- Mengatasi masalah pencernaan
- Mengatasi masalah muntah darah, buasir dan kencing berdarah
- Merawat demam malaria
Cara-cara menggunakannya
- Pokok bersama akar dilumatkan dan dicampurkan bersama sedikit air untuk dijadikan sebagi air basuhan. Basuh bahagian yang sakit seperti buasir, kencing berdarah dan malaria.
- 30-60 gm pokok diperlukan untuk dijadikan sebagai air rebusan dan diminum bagi mengatasi masalah muntah berdarah dan gangguan pencernaan
- Pancut Kuda (Stachytarpheta jamaicensis)
Kegunaan:
- Mengatasi masalah keputihan
- Merawat hepatitis A
- Merawat bisul
- Merawat luka dan kulit bernanah
Cara-cara menggunakannya
- Untuk mengatasi masalah keputihan, rebus segenggam akar pancut kuda bersama empat cawan air. Biar ia merebus sehingga airnya tinggal separuh. Tapis dan sedia untuk diminum.
- Ambil empat batang bunganya dan direbus bersama empat cawan air. Rebus sehingga airnya tinggal separuh dan dicampurkan bersama gula batu. Ia sesuai diminum untuk mengubati hepatitis A.
- Pokoknya dilumatkan dan ditampal pada bahagian yang mengalami masalah kulit bernanah, luka dan bisul.
- Daun Kapal Terbang (Elephantopus odoratum)
Kegunaan:
- Merawat luka
- Mengatasi masalah kegatalan
- Membuang angin badan
Cara-cara menggunakannya
- Daun dilumatkan dan di tampal pada luka dan tempat yang gatal
- Untuk mereka yang baru lepas bersalin, daun tersebut dilumatkan bersama kapur sirih dan di tampal pada bahagian ari-ari untuk mengatasi masalah darah berketul.
- Ara Tanah (Euphorbia hirta)
Kegunaan:
- Melancarkan kencing
- Merawat radang paru-paru
- Merawat radang payudara
- Merawat penyakit gout
Cara-cara menggunakannya
- Rebus dua genggam pokok segar atau segenggam pokok kering untuk di munuim dua kali sehari. Ia membantu melancarkan aliran kencing
- Untuk merawat radang paru-paru, ambil segenggam pokok di lumatkan di dalam air untuk diminum
- Dua genggam pokok di stim bersama empat keping tahu kemudian dimakan. Ia membantu merawat radang payudara