Rumah Subsale adalah istilah yang sering digunakan dalam dunia hartanah. Istilah ini merujuk kepada proses penjualan rumah yang sebelum ini telah dibeli oleh orang lain, dan kemudian dijual semula oleh pemilik pertama atau yang biasa disebut sebagai “penjual subsale”.

Salah satu kelebihan membeli rumah subsale ialah harganya lebih berpatutan berbanding harga rumah baru.

Beli Rumah SUBSALE Yang Pernah Didiami Bukan Islam, Perlukah Disertu?

Namun, persoalannya perlukah kita melakukan proses sertu sebelum berpindah ke rumah masuk ke rumah yang sebelumnya didiami oleh orang bukan Islam.

Bila begini timbul persoalan perlukah rumah tersebut disertu kerana bimbang penyewa sebelum memelihara anjing walaupun tak pernah tahu atau nampak. Selain itu bagaimana pula cara untuk sertu yang betul untuk rumah ini?

Memetik penjelasan dari portal Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, ini perkara yang perlu dilakukan.

Fahami erti sertu

Sebelum menjawab isu ini dengan lebih lanjut, suka untuk diperjelaskan berkaitan pengertian sertu. Ia membawa maksud: menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali, menyamak. (Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat)

Cara untuk melakukan sertu, mengikut pendapat Mazhab Syafie ialah basuh pada tempat yang terkena najis mughallazah sebanyak tujuh kali, iaitu satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan 6 kali lagi dengan air mutlak (air suci pada dirinya dan dapat menyucikan orang lain). Jika didapati najis itu tetap ada ain (nampak), maka ia perlu dibasuh lagi dengan air mutlak sehingga hilang najis tersebut.

Jangan andaikan perkara yang tidak nampak

Berkenaan persoalan yang diajukan, ketidakpastian sama ada owner rumah non-muslim yang mendiami rumah tersebut membela anjing ataupun tidak, telah menimbulkan keraguan sama ada rumah tersebut bersih daripada najis mughallazah ataupun tidak?

Pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas ia bernajis. Kita tidak sepatutnya mengandaikan perkara yang tidak nampak. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah usul fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).

Rasulullah SAW pernah bersabda:

IKLAN

فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِيْنَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيْبَةٌ.

Maksudnya: “Kerana sesungguhnya kebenaran adalah ketenteraman dan dusta adalah keraguan.”
(Diriwayatkan oleh. ‘Abdur-Razaq dalam al-Mushannaf (no. 4984), Ahmad (I/200). Al-Tirmidzi (no. 2518), Al-Tabrani dalam al-Mu’jamul-Kabir (no. 2708, 2711). Al-Baghawi dalam Syarhus-Sunnah (no. 2032)).

Rasulullah SAW juga bersabda:

عَنْ أَبِي مُحَمَّدٍ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ سِبْطِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَرَيْحَانَتِهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: حَفِظْت مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: دَعْ مَا يُرِيبُك إلَى مَا لَا يُرِيبُك

رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَالنَّسَائِيُّ، وَقَالَ التِّرْمِذِيُّ: حَدِيْثٌ حَسَنٌ صَحِيْحٌ

Maksudnya: Dari Abu Muhammad al-Hasan bin ‘Ali bin Abi Thalib, cucu Rasulullah SAW dan kesayangannya RA, dia berkata: “Aku telah hafal dari Rasulullah SAW: ‘Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu’.”

(Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi dan al-Nasa’i.)

Oleh itu, tidak perlu disertu rumah tersebut kerana tiada bukti keseluruhan rumah itu terkena najis mughallazah. Islam tidak memberatkan atau menyulitkan masalah sehingga perlu berbuat demikian. Jika jelas terbukti tempat tertentu digunakan atau terkena najis mughallazah dan masih tidak dibersihkan dengan baik, maka di situ sahaja yang perlu disertu. Namun, jika mahu disertu juga keseluruhan, maka ia adalah harus.

IKLAN
Cara melakukan sertu

Amalan sertu perlu diberi perhatian serius oleh orang Islam kerana bab bersuci antara perkara penting yang dibincangkan dalam hukum fiqh. Allah berfirman:

قُلْ لا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, Iaitu binatang Yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah Al-An’am ayat 145)

Ulama’ al-Syafi’iyyah berpandangan bahawa wajib menggunakan tanah bersama air pada menyucikan najis anjing, khinzir dan apa yang lahir daripada keduanya. Mereka beristidlal (menetapkan sesuatu keputusan) pada menyatakan pendapat itu dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah”.

IKLAN

Riwayat Muslim (279)

Kedua: Mazhab Imam Ahmad menunjukkan bahawa boleh untuk menggunakan selain daripada tanah dalam proses sertu seperti menggunakan sabun dan selainnya. [Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/74).]

Ketiga: Manakala ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah berpendapat tidak wajib menggunakan tanah pada menyucikan hal itu (najis anjing atau khinzir). [Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (114/3)].

Kaedah membasuh rumah tersebut adalah seperti berikut:

  • Basuh tempat tersebut sebanyak (1) satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan 6 kali lagi dengan air mutlak.
  • Jirus air yang di campur tanah pada tempat yang mempunyai najis.

Kesimpulannya, berdasarkan persoalan yang diutarakan hukum sertu rumah yang bakal didiami adalah tidak wajib kerana tidak pasti akan kewujudan najis. Sekiranya wujud keyakinan, maka wajib untuk menyucikan najis tersebut. Namun, jika ingin disertu juga rumah tersebut, hukumnya adalah harus bagi menghilangkan was-was serta lebih tenteram dan yakin untuk menetap di dalam rumah tersebut.

Semoga bermanfaat.

Artikel ini diambil dan diolah dari Kashoorga.

Mesti Baca:Keutuhan Rumah Warisan 88 Tahun, Dipasak Guna Kayu Cengal & Merbau Tanpa Paku
Baca Lagi Di Sini:Bina Loteng Rumah Ukuran 21ft x 11ft, Cantik & Kemas Hasilnya Kos RM13,000
Artikel Menarik:Gaya Minimalist Scandinavian Jadi Pilihan Pemilik Pangsapuri Saiz Kecil 750Kps

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

 

Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI