Buah-buahan dan sayuran mengandungi bahan nutrien yang sangat tinggi dan menjadi salah satu makanan asasi manusia. Oleh sebab mengandungi 1001 nutrien yang baik untuk kesihatan, ia adalah antara bahan semula jadi yang mudah rosak. Jadi bagi mengekalkan kondisi ini adalah melalui kaedah pengawetan menggunakan bahan kimia. Bahan ini terutamanya diletakkan pada buah-buahan dan sayuran segar import bagi mengekalkan rupa dan kesegarannya.

Selain daripada itu, bahan kimia dipercayai digunakan pada tanaman sayuran dan buah-buahan untuk mempercepatkan proses ia matang dan menggalakkan penambahan saiz supaya kualiti kekal selama ia dijual. Biarpun bahan ini dimasukkan dalam kuantiti kecil, penggunaan yang kerap barangkali boleh menyebabkan masalah kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.

Racun serangga pula boleh meninggalkan kesan buruk kepada sistem saraf. Sesetengah racun serangga boleh menyebabkan penyakit kanser, jangkitan buah pinggang dan hati. Sebagai pengguna, kita tidak dapat mengawal penggunaan bahan ini namun boleh mengurangkannya melalui beberapa kaedah. Untuk mengelakkan daripada mendapat penyakit yang disebutkan, selain daripada menanam sendiri anda juga boleh mengamalkan langkah-langkah ini semasa pengambilan sayuran dan buah-buahan:

  1. Pilih sayuran buah-buahan yang tidak mempunyai bintik, celaan atau rupa yang tidak normal seperti daun kerinting, lebam dan sebagainya.
  2. Cuci buah-buahan dan sayuran menggunakan air mengalir sebelum masak dan makan.
  3. Beli makanan semula jadi ini daripada pembekal yang telah dikenali.
  4. Kupas buah-buahan sebelum makan dan sayuran sebelum masak dapat mengurangkan pendedahan kepada racun serangga.
  5. Elakkan membeli sayuran dan buah-buahan siap dipotong yang dijual di pasar terbuka
  6. Buangkan sayur dan buah-buahan yang telah ditumbuhi kulat
  7. Untuk mengurangkan bahaya racun serangga, buang bahagian luar sayuran terutamanya salad dan kubis.
  8. Jangan basuh makanan ini menggunakan sabun keran ia akan meresap masuk ke dalam melalui liang-liang seni.
  9. Basuh tangan anda menggunakan sabun dan air yang mengalir, peralatan dapur bersih serta pisau tahan karat.