Anda boleh memilih untuk menanam tanaman pagaran yang rendah atau yang tinggi bergantung kepada keperluan peribadi anda. Namun secara prinsipnya, tidak semua perkarangan kediaman kita perlu ditonton oleh jiran kerana ada kalanya kita dan mereka memerlukan sedikit privasi.

Terdapat pelbagai spesies pokok renek berbunga pelbagai ketinggian yang menarik sesuai untuk dijadikan pagaran. Namun, pemilihan warna, saiz dan bentuk bunga pokok renek adalah subjektif dan peribadi. Terpulang kepada cita rasa dan keinginan masing-masing. Berikut disenaraikan 10 spesies pokok renek berbunga yang sesuai dijadikan tanaman pagaran.

 

  1. Bougainvillea (Bunga Kertas)

Pokok bunga kertas atau bougainvillea mempunyai bunga berwarna-warni yang berkembang sepanjang tahun. Bunganya nipis kelihatan seperti kertas cukup mempesonakan, melambai seakan sehelai kertas tiap kali dihembus bayu. Ia boleh tumbuh sehingga 3 meter tinggi.

Bunga kertas sering kali digunakan sebagai tanaman pagaran. Struktur daunnya yang lebat dapat membentuk hadangan pandangan dari luar laman. Batang pokok bunga ini agak keras, berduri dan bercabang-cabang. Bukan sahaja kerana warna dan rupa bentuknya yang sungguh asyik mata memandang tetapi sifatnya cukup senang dijaga membuatkan bunga kertas begitu popular di segenap kawasan dari kota metropolis sehinggalah ke pedalaman desa.

Bunga kertas mudah untuk dibiakkan iaitu melalui keratan batang yang boleh disemai di dalam beg plastik ataupun pasu. Ia memerlukan cahaya matahari penuh. Elakkan persekitaran yang lembap. Pengudaraan persekitaran yang tidak baik akan menyebabkan penyakit yang disebabkan oleh kulat dan bakteria.

  1. Ixora (Siantan)

Ixora atau bunga Siantan, juga dikenali sebagai Jejarum. Nama Jejarum diberikan kerana rupa bunga berkenaan sebelum berkembang seakan jarum peniti.

Ixora adalah tumbuhan dalam keluarga Rubiaceae, mempunyai bunga kecil yang mekar segugus antara 2 hingga 9 sentimeter yang biasanya menjadi tanaman hiasan renek dan sederhana, amat sesuai dijadikan sebagai tanaman pagaran dan pemisah sempadan.

IKLAN

Tumbuhan ini biasanya boleh membesar sehingga tiga meter dan bunganya boleh didapati dalam pelbagai warna mengikut spesies pokok dari putih, merah, jingga hingga kekuningan.

  1. Hibiscus rosa sinensis (Bunga raya)

Bunga raya, Hibiscus rosa sinensis merupakan bunga kebangsaan kita. Justeru, menanam ratu tumbuhan tropika ini di halaman kediaman kita akan menyerlahkan sifat kebanggaan serta kecintaan kepada negara.

Bunga raya adalah sejenis spesies pokok renek berbunga sama ada merah, merah jambu, putih, kuning atau jingga, berbentuk rimbun menegak dan mempunyai tekstur sederhana kasar. Kebiasaannya, ketinggian pokok bunga raya ialah antara dua hingga tiga meter. Berikutan kecantikan dan keunikan bunganya, dikategorikan sebagai tumbuhan renek tahan lasak dan malar hijau, ia kerap dijadikan tanaman pagaran yang popular.

  1. Jasminum sambac (Melur)

Bunga Melur juga dikenali Bunga Melati atau nama saintifiknya Jasminum sambac terdiri dari pelbagai variasi. Spesies yang paling biasa ditemui adalah tiga jenis utama iaitu duke of tuscany, maid of orleane dan star jasmine.

IKLAN

Melur termasuk tanaman perdu yang batangnya berkayu. Warna bunganya putih dan berbentuk bintang dan berbau wangi. Spesies dengan ketinggian 1.5 meter ini mempunyai daun-daun kecil yang banyak dengan rimbunan bunga mengikut susunan kelopak-kelopak kecil.  Kerana keharuman bunganya dan mekar sepanjang tahun, spesies ini mendapat tempat istimewa dalam kebanyakan kaum di Malaysia. Ia menjadi elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan.

Tanah yang sesuai adalah dari jenis kompos dan mempunyai pengaliran yang baik. Tumbuhan ini membiak secara keratan batang yang matang atau kaedah tut. Pastikan airnya mencukupi untuk pertumbuhan akarnya. Ia juga memerlukan cahaya matahari yang secukupnya untuk tumbesaran dan berbunga.

  1. Gardenia augusta (Bunga Cina/Melur Cina)Bunga cina atau nama saintifiknya Gardenia augusta, dari famili Rubiaceae banyak ditanam sebagai tumbuhan hiasan atau sebagai pagar kerana daunnya yang rimbun dan mempunyai banyak cabang. Bunganya yang berwarna putih berbentuk seperti bunga mawar dan berbau harum. Warna putih akan berubah menjadi kekuningan selepas bunga mekar sepenuhnya.

Spesies ini boleh tumbuh di tempat sejuk atau panas dan ia merupakan tumbuhan yang senang dijaga. Pokok ini boleh mencapai ketinggian 1 hingga 2 meter. Ia membiak melalui keratan batang dan semaiannya boleh dilakukan dengan memilih ranting yang agak tua. Pastikan air mencukupi bagi menggalakkan pertumbuhan akar.

 

IKLAN
  1. Michelia pumila (Cempaka telur)

Cempaka telur atau nama saintifiknya Michelia Pumila. Tumbuhan ini mempunyai batang berkayu dan boleh membiak melalui biji benih dan keratan batang. Bunganya berbentuk bulat seperti telur dan mempunyai bau yang amat wangi terutamanya pada waktu malam. Ia boleh mencapai ketinggian antara 1 hingga 2 meter. Tumbuhan ini tidak boleh terlalu terdedah kepada cahaya matahari terus tetapi memerlukan cahaya yang cukup untuk membesar dan berbunga.

 

  1. Melastoma malabathricum (Senduduk)

Pokok senduduk atau nama saintifiknya Melastoma malabathricum merupakan pokok renek yang  biasa dijumpai di dalam belukar dan semak yang tidak terlalu tebal. Tinggi purata pokok senduduk ialah 1 meter. Namun ia boleh mencapai ketinggian hingga 3 meter. Batangnya berwarna kemerahan dan dilitupi oleh bulu-bulu halus. Sama seperti batang, daun dan buahnya juga dilitupi bulu ini. Bunganya cantik dan mempunyai lima kelopak dengan stamen berwarna kuning di tengah-tengahnya. Bunga senduduk yang paling biasa dijumpai berwarna ungu gelap hingga ke merah jambu dan putih.

Bijinya berwarna hitam dan mempunyai sedikit rasa pahit dan manis dan ia boleh dimakan. Apabila dimakan ia boleh meninggalkan warna hitam pada mulut dan dari sinilah senduduk mendapat nama botaninya melastoma yang bermaksud mulut hitam dalam bahasa Greek. Buahnya menjadi makanan kegemaran burung. Selain  ditanam untuk tujuan perubatan ia juga boleh menjadi tanaman pagaran yang baik.

  1. Gardenia jasminoides (Kembang cina)

Gardenia jasminoides atau pokok bunga kembang cina merupakan spesies renek berkayu yang mempunyai ketinggian 2 meter. Daunnya berwarna hijau, berbentuk bulat, ringkas dan terletak dalam susunan berhadapan. Bunganya pula berwarna putih dan berbau wangi. Manakala buahnya berwarna oren dan berbentuk oval dengan ukuran panjang 1.5 inci. Kerana keharuman, bunga ini mempunyai nilai komersil untuk dibuat minyak wangi.