Menghias bahagian hadapan dalam rumah amat penting. Ini kerana ia berfungsi sebagai penyambut tanpa sedar kepada tuan rumah juga tetamu yang datang bertandang. Hiasan yang amat sesuai dan bajet yang rendah adalah dengan meletakkan pokok hiasan hidup.

IMPIANA bantu anda bagaimana untuk mencari tumbuhan yang boleh hidup tanpa perlu sinaran matahari yang banyak.

Pokok Dracaena

Pohon ini amat sesuai untuk ditanam dalam rumah. Ia amat mudah untuk dijaga. Apa yang penting adalah siraman air untuk memastikan pokok ini hidup dengan subur. Ia juga mampu untuk bertahan lama tanpa cahaya matahari. Selain itu, ia dikenali sebagai pokok yang tumbuh secara renek dan tidak tinggi sepertimana pokok lain.

Pokok Lidah Jin/Lidah Ibu Mertua

Spesis lain selain pokok Dracaena adalah pokok Lidah Jin. Ia nampak sama tetapi jaluran daunnya berbeza satu sama lain. Pohon ini antara pokok hiasan dalaman yang popular di pasaran. Jaluran daunnya sentiasa memikat peminat hiasan rumah untuk diletakkan tidak kira di dalam atau luar rumah kerana ketahannya untuk hidup tanpa pengawasan rapi seperti sinaran cahaya UV yang mencukupi tetapi memerlukan siraman air yang cukup untuk mengekalkan kesegarannya.

Alocasia spp.

Daun pokok ini hampir sama dengan pokok daun keladi yang tumbuh mekar di negara kita, tetapi perbezaan ketara diantara kedua-dua pohon ini ialah warna daun. Daun keladi, daunnya keseluruhan berwarna hijau manakala pohon Alocasia amazonica mempunyai urat yang berwarna putih dan nampak cantik apabila dijadikan hiasan. Ia juga memerlukan siraman air yang banyak tetapi tidak memerlukan cahaya mentari untuknya kekal subur.

Pokok Duit/Epipremnum aureum

Pokok ini dikenali sebagai spesis yang tumbuh secara menjalar atau memanjat. Ia tidak sesuai diletakkan dalam pasu dan susun di atas lantai sebagaimana tumbuhan lain. Idea dekorasi untuk tumbuhan ini adaah dengan menggantung pasunya dan perlu dijaga pertumbuhan daun. Kalau tidak dipangkas secara berkala, ia akan membuatkan kawasan kediaman anda nampak semak dan serabut.

Pokok Peace Lily

Ia amat terkenal kepada amalan Fengshui kerana pokok ini terkenal dengan sifatnya yang melambangkan keseimbangan. Selalunya pohon ini amat mudah untuk ditemui di setiap front offices dan juga dihadapan rumah. Ia amat efektif dalam menyeimbangan segala tenaga yang berlegaran di sekitarnya. Penjagaannya juga amat mudah dan tidak membebankan penggunanya. Selain itu, ia juga hebat dalam menyegarkan udara di dalam kawasan yang tertutup.