Dengar macam mustahil tetapi percaya atau tidak, yang anda boleh memberi wajah baru pada kediaman tanpa perlu membayar apa apa pun! YA.
Anda hanya memerlukan sedikit kreativiti, imaginasi dan kerajinan untuk melakukannya. Tidak perlu rasa terbeban memikirkan ruang tamu yang kelihatan hambar dan bilik tidur yang tidak lagi menarik kerana hanya dengan sedikit perubahan, ruangan tersebut akan dengan serta merta berubah menjadi seperti sebuah ruangan yang baru.

Mari ikuti tip-tip ini untuk upgrade rumah yang lama menjadi baru tanpa perlu mengeluarkan sebarang belanja.

Perbaharui Susun Atur Ruang Tamu
Pertama sekali, cuba tanya pada diri anda, “Adakah ruang tamu saya ini berfungsi sepenuhnya dengan baik?”. Mungkin produktiviti ruang tamu yang biasanya kita guna hanyalah 40%. Jadi apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan fungsi selebihnya? Majoriti ruang tamu boleh diperbaiki dengan hanya menggerakkan perabot.

Tukarkan ruang tamu anda menjadi lebih mesra pengguna; bukan saja untuk menonton TV tetapi juga mempunyai suasana yang menggalakkan perbualan. Jika anda masih tidak tahu, kerusi tidak semestinya perlu dirapatkan ke dinding. Jadi anda boleh alihkan sofa dan kerusi-kerusi lain agar lebih dekat antara satu sama lain bagi mewujudkan kenyamanan.

Wujudkan Dinding Galeri
Daripada anda gantungkan gambar-gambar kenangan peribadi merata diseluruh rumah, lebih elok jika anda kumpulkan semua gambar berharga tersebut dan gantungkannya pada satu dinding yang juga boleh dijadikan sebagai focal point sesebuah ruang. Bergantung pada berapa ukuran dinding, anda boleh susun bingkai gambar mengikut kesesuaian tetapi pastikan anda tidak menggantung terlalu banyak bingkai bersaiz kecil kerana ia akan membuatkan dinding nampak semak dan sibuk.

Waktu Untuk Spring-Cleaning !
Melainkan barangan tersebut ;
a) masih berguna
b) mempunyai nilai sentimental
Selain itu, buangkan saja. Proses decluttering ini akan membuatkan anda rasa lebih baik dan ruang akan terasa lebih nyaman dan ‘ringan’. Rumah anda bukan stor jadi apa apa objek yang tidak lagi memberi kemudahan dalam kehidupan seharian anda pelu dihapuskan atau dibawa keluar dari rumah.

Ubah Kedudukan Katil
Sedar atau tidak, mungkin anda telah letakkan katil pada dinding yang salah. Jangan khuatir, inilah masa yang sesuai untuk anda fikirkan susun atur yang baru untuk ruang paling intim dalam rumah anda.
Dengan pengecualian tertentu, katil seharusnya diletakkan di dinding yang paling ‘panjang’ di dalam bilik. Jika anda letakkan katil di dinding yang lebih pendek, ia akan memberi banyak ruang mati di kaki katil dan menjadikan bilik anda kelihatan lebih kecil dari saiz sebenar.

‘Hidupkan’ Pasu Yang Kosong
Perkara yang paling mudah anda boleh buat untuk mendapatkan nafas baru buat sesebuah ruang. Dengan sedikit tumbuh-tumbuhan hijau di rumah anda boleh membawa kesegaran taman masuk kedalam. Anda tidak perlu membeli pun, cukup saja dengan dedaun hijau yang anda boleh jumpa diluar rumah.

Komen anda