Kebiasaan nya kita akan dengar tanaman yang dibuat bonsai adalah dari jenis pokok bunga kertas, limau, pine, siantan dan pelbagai lagi. Namun untuk memilih pokok kelapa sebagai bonsai kedengaran seperti sesuatu yang mustahil. Tetapi, di Indonesia tanaman ini menjadi kian tular. Cara penyediaan dan penyelenggaraan bonsai kelapa tidak lah seperti bonsai dari jenis tanaman yang berdaun banyak. Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah:

1. Pemilihan biji benih

Kebiasaannya, benih untuk kelapa bonsai dipilih dari jenis pokok yang rendang seperti kelapa gading dan pandan. Biji benih yang sesuai dibuat bonsai harus dari buah yang telah betul-betul matang dan diambil dari pokok. Kelapa yang telah jatuh ke tanah tidak sesuai dijadikan bonsai kerana dikhuatiri tempurung nya telah pecah di samping pembentukan anak pokok nya nanti kurang menarik.

2. Cara semai biji benih

Tunas akan tumbuh pada tampuk kelapa. Oleh itu, tentukan posisi tempurung dan tunas yang bakal di bentuk menjadi bonsai. Jika tempurung perlu berada di bahagian bawah pokok, posisikan tampuk kelapa menghadap atas. Manakala jika anda inginkan tempurung kelapa berada di sisi pokok seperti siput, ia harus dibaringkan.

Letakkan benih kelapa tadi di atas tanah yang mempunyai kelembapan tinggi. Dalam tempoh 1 hingga 2 minggu, tunas kelapa akan mula kelihatan

3. Tanam semula anak pokok

Setelah tunas kelapa mula kelihatan. Sabutnya harus dikupas dan tempurung nya perlu dibersihkan secara perlahan-lahan. Tapi, anda perlu pastikan tempurung tidak terluka. Harus berhati-hati ketika mengupas sabut agar tunasnya tidak luka. Seterusnya, letak anak pokok di dalam pasu yang berisi medium. Tak perlu ditanam, hanya letak sahaja.

 

 

4. Membentuk  bonsai

Apabila anak pokok telah mencapai ketinggian antara 15-20cm, kerja-kerja pembentukan bonsai perlu dilakukan. Ia bertujuan mengawal tumbesaran pokok agar sentiasa kelihatan mini.

Gunakan cutter atau pisau yang paling tajam dan nipis seperti pisau cukur untuk membuang pelepah kelapa yang paling luar. Lakukan secara berhati-hati untuk mengelak pelepah yang lain tercedera. Untuk lebih kemas, Anda digalakkan untuk meninggalkan 3 pelepah kelapa sahaja bagi setiap bonsai.

Disamping itu juga, anda perlu bersihkan bahagian bawah pelepah yang ditinggalkan. Buang bahagian yang kelihatan kehitaman atau bersabut kerana ia mampu menghentikan proses tumbesaran pelepah kelapa. Perlahan-lahan lenturkan pelepah. Jika perlu, ikat pelepah untuk memastikan ia terbentuk mengikut design yang telah ditetapkan

Tidak seperti tanaman bonsai lain, kelapa tidak memerlukan rutin penjagaan dan kemasan yang lama dan kerap. Hanya jika perlu sahaja.

5. Siraman dan pembajaan

Bonsai kelapa hanya perlu disiram 1 kali sehari di petang hari. Dalam tempoh seminggu sekali, berikan air siraman yang dicampur bersama garam. Garam adalah baja yang ideal untuk pokok kelapa.