Terletak di Bukit Gerja, Umbai Melaka, team LAMAN diperkenalkan oleh Jasni iaitu pemilik Homestay LimasTiga kepada Uncle Gan, iaitu pemilik kediaman yang bakal kami kunjungi ini. Mendengarkan cerita tentang taman ini sahaja sudah pun membuatkan penulis teruja. Bagai tidak sabar ingin menjamu mata menikmati taman ‘unik’ seperti yang digambarkan oleh Jasni.
Kedatangan kami tanpa di undang, disambut baik oleh Uncle Gan. Sebaik tiba di pintu masuk kediaman, mata penulis begitu tertarik pada reka bentuk pintu masuk kediaman ini. Sebuah pintu gerbang terpampang tulisan Garden D Art di atas sebuah perahu bagaikan memberi gambaran awal penulis bakal memasuki sebuah galeri seni yang nyatanya berbeza dengan yang lain. Paling unik apabila lot tanah uncle Gan ini bukanlah dikelilingi tembok pagar atau seumpamanya tetapi pemilik menanam tanaman renek Eugenia Oleana setinggi 10 kaki sebagai pagaran.
Kediaman yang dikelilingi tanah seluas 55,000 kaki persegi ini sememangnya begitu luas dan indah dengan pelbagai binaan dan ornamen oleh pemilik. Minatnya kepada laman boleh dilihat pada seni reka bentuk taman yang 100% dihasilkan sendiri olehnya. Pelbagai barangan antik dan lama tersimpan dengan baik dan diabadikan oleh pemilik di taman, kerana setiap satunya terpahat kenangan akan kisah pengalaman hidupnya sejak muda hingga kini.
Memulakan bicara pemilik menyatakan “Uncle sejak umur belasan tahun sudah bekerja sebagai pembalak di dalam hutan tebal. Pada masa itu memang tidak ada peralatan canggih seperti hari ini. Bayangkan kayu-kayu balak bersaiz gergasi perlu diangkat ke atas lori dan dalam masa yang sama terdapat pula pelbagai ancaman dari haiwan liar. Bermula sebagai pembalak itulah uncle mula terjumpa dengan kayu-kayu hutan berkualiti tinggi yang terbuang lalu dibawa balik ke rumah,” ungkapnya ramah.
Pekerjaannya pada ketika itu membawa pemilik ke serata tempat yang tidak mungkin terjangkau oleh kebanyakan orang. Dari situlah dirinya menemui pelbagai barangan unik yang kini menjadi hiasan laman kediamannya. Paling menarik perhatian penulis adalah sampan dan binaan gazebo yang menggunakan kayu teras asli seperti cengal dan medang. Semua struktur kekal taman dibina sendiri oleh pemilik menggunakan tulang empat keratnya. Walaupun mengambil masa yang agak lama tetapi hasilnya begitu menakjubkan dan paling penting memberi kepuasan pada minatnya.
“Selain bekerja di hutan, uncle juga bekerja menjual pokok hiasan landskap dan selalu mendapat tempahan dari orang ramai dan kenalan. Mana-mana lebihan pokok yang tidak diambil pelanggan, uncle tanam di rumah. Selain itu uncle juga peminat bonsai. Malah uncle banyak memasuki pertandingan seperti Pertandingan Bonsai Suiseki dan berjaya memenangi banyak anugerah. Semua yang dilakukan banyak didorong oleh faktor minat barulah kita rasa gembira dan sihat,”ungkap pemilik panjang lebar dan turut membuatkan kami teruja mendengar kisahnya.
Melihatkan halaman kediaman pemilik, hamparan tanah yang luas tidak dibiarkan mendatar sebaliknya mounding dibentuk agar halaman kelihatan lebih natural dengan rumput menghijau di sekelilingnya. Di samping itu, pokok-pokok cycas berusia 100 tahun lebih menjadi penyeri sudut dengan peletakan bongkah batu melengkapi latar pemandangan kediaman ini. Kemahiran pemilik dalam bertukang digunakan sebaiknya dengan menghasilkan pelbagai elemen dekorasi taman dengan begitu kreatif.
“Dengan usia yang sebegini uncle sudah tidak mampu untuk bekerja keras di hutan lagi. Masa yang terluang banyak dihabiskan dengan bertaman. Uncle juga baru saja menyiapkan sebuah homestay dua tingkat di dalam lot tanah ini. Pembinaannya mengambil masa tiga tahun menggunakan kayu cengal, balau dan meranti. Terasa rugi jika masa berlalu tanpa melakukan apa-apa, sebab itu uncle banyak isi masa dengan bertukang,” tambahnya lagi.
“Uncle juga minat mengumpul barangan lama. Ke mana sahaja uncle pergi andai terjumpa dengan tembikar, tempayan atau perabot lama, pasti sedaya upaya akan cuba mendapatkan barang tersebut. Ini kerana barang lama banyak meninggalkan nostalgia. secara tidak langsung kita akan mengimbas kembali zaman kita dilahirkan dan dibesarkan,” tambah uncle sambil memainkan lagu dari koleksi piring hitamnya.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI