Pohon anggur mudah hidup di atas semua jenis medium tanaman di Malaysia kecuali tanah masin dan bergaram. Namun, tidak ramai mengetahui bahawa pohon anggur juga sesuai ditanam di dalam pasu. Penjagaan dan penyelenggaraan pohon anggur berpasu bukanlah sesuatu yang rumit, malah ia menjadi lebih mudah. Yang menjadi keutamaan terhadap produktiviti pohon anggur adalah pengamatan cahaya yang mencukupi. Ia penting untuk menggalakkan pertumbuhan bunga dan mempercepatkan buah anggur masak ranum. Untuk mula menanam pohon anggur di dalam bekas atau pasu ia memerlukan beberapa perkara iaitu:
- Pemilihan pasu
Perkara utama yang perlu dipertimbangkan dalam pemilihan bekas atau pasu untuk pohon anggur adalah saiznya. Pohon anggur memerlukan pasu yang berukuran minimum 600mm x 600mm untuk menyokong tumbesarannya sehingga cukup usia matang. Jika pasu yang digunakan kurang dari saiz yang dicadangkan. Ia akan menyebabkan pohon anggur tidak produktif kerana akarnya terlalu padat dan mengganggu tumbesaran pokok.
Elak menggunakan pasu berona gelap seperti hitam kerana rona tersebut mudah menyerap haba. Hal ini akan menyebabkan medium tanaman cepat kering dan boleh mengundang masalah terhadap pertumbuhan akar. Jenis bekas ideal untuk tanaman anggur berpasu sudah pastinya yang diperbuat daripada tanah liat ataupun kayu kerana terdapatnya rongga-rongga pernafasan yang berupaya membantu memperkasakan medium tanaman.
Namun, untuk menampung sebuah pasu tanah liat yang berukuran 600mm x 600mm yang dipenuhi dengan medium tanaman dan pohon anggur sudah tentu berat dan akan membebankan anda. Hal ini akan menyukarkan anda untuk melakukan perubahan terhadap dekorasi taman yang hendak dilakukan. Oleh itu, penggunaan pasu plastik berkualiti tinggi dengan ukuran minimum yang diperlukan sudah memadai untuk memiliki sebatang pohon anggur di taman anda.
- Penyediaan sistem sokongan
Untuk memudahkan kawalan pertumbuhan pohon anggur, anda perlu menyediakan struktur sokongan untuk batangnya menjalar. Untuk peringkat awal penanaman anak pokok, penggunaan batang pemancang daripada kayu atau buluh sudah memadai. Apabila kelihatan pohon anggur mula aktif membesar, penyediaan sebuah struktur khas seperti trellis atau pergola perlu disediakan.
Keperluan saiz dan bentuk binaan sokongan tiada had dan terpulang kepada kreativiti anda. Namun yang pastinya, binaan tersebut perlulah kukuh dan tahan lama untuk menampung beban pohon anggur terutamanya apabila pohon mula berbuah.
- Pemangkasan untuk latihan
Proses pemangkasan amat penting untuk tumbesaran pohon anggur. Selain itu ia mampu membentuk struktur rangka pohon anggur mengikut keperluan anda. Memangkas juga berupaya membantu pohon anggur untuk menghasilkan ranting yang baru. Dari ranting yang baru akan keluar bunga-bunga anggur yang akhirnya membentuk buah.
Anda juga digalakkan untuk membentuk dan mengikat batang pohon anggur yang menjalar pada struktur yang telah disediakan untuk mengekalkan bentuk yang di kehendaki. Namun ikatan tersebut tidak boleh terlalu ketat kerana ia akan mencekik pokok dan akan menyebabkan pohon mati. Sentiasa lakukan pemeriksaan bahagian yang telah dipangkas dan diikat supaya tiada masalah atau jangkitan penyakit yang boleh mengancam pohon anggur.
Pemangkasan boleh dilakukan apabila batang pohon anggur sudah cukup besar. Kebiasaannya waktu pemangkasan yang paling sesuai adalah apabila pohon angur mencapai usia 12 bulan. Cara-cara pemangkasan untuk menghasilkan buah yang berkualiti adalah:
- Buang ranting yang berukuran kurang daripada saiz batang pensil
- Buang ranting-ranting yang masih hijau, tunas muda atau pucuk muda
- Buang dan perkemaskan daun-daun yang kelihatan kekuningan dan mula mengering
- Buang ranting yang berpenyakit
- Sediakan satu catatan tarikh pemangkasan, buah boleh dituai setelah usianya mencapai 105 hari dari tarikh pemangkasan
- Penyiraman
Pohon anggur memerlukan air yang banyak untuk tahun pertama penanaman. Namun, pastikan penyiraman yang dilakukan tidak menyebabkan air pada permukaan tanah bertakung. Siraman hanya perlu dilakukan pada bahagian pangkal pohon anggur sahaja bukan keseluruhan pokok.
Pastikan penyiraman dilakukan apabila kelihatan tanah di sekitar pangkal pohon anggur mula mengering. Elakkan dari melakukan penyiraman ketika medium tanaman di pangkal pokok masih dalam keadaan lembap.
- Pembajaan pohon anggur
Pembajaan amat penting untuk semua pokok atau tumbuhan kerana ia mampu merangsang tumbesaran dengan lebih cepat. Untuk pohon anggur, keperluan pembajaan berbeza mengikut usia pokok tersebut. Pembajaan boleh dilakukan apabila usia tanaman mencecah dua minggu kerana pada ketika itu, pohon anggur sudah mula stabil dengan kondisi medium pemasuan yang disediakan.
Baja organik dari tinja kambing amat digalakkan kerana ia mengandungi nutrien lengkap keperluan pohon anggur dari awal usia penanamannya. Tanam baja satu kaki dari pangkal pokok kerana dikhuatiri jika baja ditabur terus berhampiran dengan pangkal pokok, ia akan mengancam akar pokok. Pembajaan perlu dilakukan secara berkala iaitu antara tujuh hingga sepuluh hari.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI