Jangan Terkejut Bila LHDN Hantar Surat Lepas Jual Rumah, Ini Sebab RPGT Boleh Buat Anda Kena Cukai!

Share

Bayangkan selepas berjaya menjual rumah dan mendapat keuntungan RM100,000, tiba-tiba sampai surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Isinya pula — cukai beribu-ribu ringgit! Ramai yang terkejut kerana tak tahu tentang cukai ini, sedangkan inilah yang dinamakan RPGT atau Cukai Keuntungan Harta Tanah.

Secara mudahnya, RPGT ialah cukai yang dikenakan ke atas keuntungan bersih apabila seseorang menjual hartanah. Contohnya, jika anda beli rumah pada harga RM300,000 dan menjualnya pada harga RM400,000, maka keuntungan RM100,000 itu dianggap sebagai pendapatan yang perlu dikenakan cukai oleh LHDN.

Apa Itu RPGT Dan Siapa Yang Perlu Bayar?

RPGT dikenakan kepada individu atau syarikat yang menjual hartanah di Malaysia dan memperoleh keuntungan daripada jualan tersebut. Cukai ini dilaksanakan di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, dan ia bertujuan memastikan setiap keuntungan daripada pelupusan aset hartanah dilaporkan secara sah.

Untuk individu warganegara Malaysia dan penduduk tetap, kadar RPGT berbeza mengikut tempoh pemilikan rumah:

  • Dalam 3 tahun pertama: 30%
  • Tahun ke-4: 20%
  • Tahun ke-5: 15%
  • Tahun ke-6 dan seterusnya: 0%

1. Pegang Rumah Lebih 5 Tahun

Untuk warganegara Malaysia, jika anda menjual rumah pada tahun ke-6 dan seterusnya, kadar RPGT yang dikenakan ialah 0%. Ini bermaksud anda tidak perlu bayar walau satu sen pun kepada LHDN. Jadi, jika tidak terdesak untuk menjual rumah, lebih baik tunggu tempoh lima tahun terlebih dahulu supaya dapat elak cukai sepenuhnya.

2. Gunakan ‘Kad Joker’ Pengecualian Sekali Seumur Hidup

Kerajaan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memohon pengecualian penuh RPGT sekali seumur hidup bagi penjualan rumah kediaman. Jika diluluskan, anda tidak perlu bayar cukai walaupun menjual rumah dalam tempoh kurang daripada lima tahun. Jadi, rancang masa terbaik untuk gunakan peluang ini agar tidak membazir hak pengecualian anda.

 

3. Simpan Semua Resit & Bukti Perbelanjaan

Jika terpaksa juga menjual sebelum cukup lima tahun, pastikan anda simpan semua resit berkaitan rumah tersebut. Ini termasuk:

  • Yuran guaman semasa beli dan jual rumah
  • Duti setem
  • Kos pengubahsuaian (yang ada resit rasmi)
  • Yuran ejen hartanah

Semua kos ini boleh ditolak daripada keuntungan kasar, menjadikan keuntungan bersih yang dikenakan cukai lebih kecil — sekaligus mengurangkan jumlah RPGT yang perlu dibayar. Ini salah satu strategi paling bijak untuk kurangkan beban cukai tanpa perlu menipu atau sembunyikan maklumat.

Tip Tambahan Untuk Elak Terkena RPGT Tinggi

Selain tiga cara utama di atas, anda juga boleh menilai pasaran hartanah sebelum menjual. Jika nilai rumah dijangka meningkat lebih tinggi pada masa akan datang, menunggu sedikit masa boleh memberi dua manfaat — harga jualan lebih baik dan kadar RPGT

mungkin sifar. Anda juga boleh berbincang dengan ejen hartanah atau penasihat cukai untuk strategi yang lebih tepat mengikut situasi anda.

Jadi, sebelum menjual rumah, buat perancangan kewangan dengan teliti. Jangan biarkan keuntungan anda ‘dirampas’ tanpa sedar oleh cukai yang sebenarnya boleh dielak jika tahu caranya.

Ingat, jual rumah bukan sekadar tentang harga pasaran, tapi juga tentang strategi bijak mengurus cukai RPGT!

Sumber: Muhazrol Muhamad

Artikel lain: Perunding Hartanah Kongsi, Rasa SUNYI Antara Sebab Orang Kaya Jual RUMAH BESAR!

 

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Norhasliza Mohd Shafi