Oprah Winfrey buka laluan persendirian, nafi tuduhan enggan bantu penduduk Hawaii ketika amaran tsunami. Pengacara dan usahawan terkenal, Oprah Winfrey tampil menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial kononnya beliau enggan membuka laluan peribadinya ketika penduduk Hawaii berpindah ke kawasan lebih tinggi susulan ancaman tsunami baru-baru ini.
Oprah Winfrey Buka Laluan Persendirian, Nafi Tuduhan Enggan Bantu Penduduk Hawaii Ketika Amaran Tsunami
Menurut kenyataan jurucakapnya kepada Newsweek, sebaik sahaja amaran tsunami diterima, pihak Winfrey terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) bagi memastikan laluan tersebut dapat digunakan oleh orang ramai.
“Sebarang dakwaan yang mengatakan sebaliknya adalah tidak benar,” katanya.
Sebelum itu, satu gempa bumi bawah laut berukuran 8.8 pada skala Richter telah melanda pesisir timur Rusia, menyebabkan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, China dan Filipina mengeluarkan amaran tsunami.
Ads
Hawaii antara kawasan yang terkesan dengan gelombang pertama tsunami yang dilaporkan mula melanda beberapa pulau termasuk Kepulauan Kuril dan Hokkaido di Jepun. Ketika ini, semua lapan pulau utama di Hawaii berada dalam status berjaga-jaga.
Winfrey, yang telah menetap di Hawaii selama lebih 15 tahun, memiliki ladang seluas lebih 2,000 ekar di Pulau Maui. Kawasan tersebut turut merangkumi jalan peribadi yang pernah dibuka kepada orang ramai dalam keadaan kecemasan seperti insiden kebakaran hutan pada tahun 2019 dan 2023.
Namun demikian, tular beberapa hantaran dalam media sosial yang mendakwa laluan tersebut tidak dibuka kepada penduduk tempatan ketika mereka berpindah untuk menyelamatkan diri daripada ancaman tsunami.
Jurucakap Winfrey sekali lagi tampil menepis dakwaan itu dan menjelaskan bahawa jalan tersebut kini telah dibuka dan dikawal oleh pihak berkuasa bagi memastikan pergerakan lancar dan selamat.
Ads
🚨 #NEW: Amid the massive 8.8 Pacific earthquake, Oprah Winfrey is REFUSING to open her private road in Hawaii.
Residents of Maui are struggling to get to higher ground.@Oprah: OPEN THE ROAD!
“Pihak berkuasa tempatan berada di lokasi dan sedang membantu melancarkan pergerakan kenderaan, dengan had 50 buah pada satu-satu masa demi keselamatan semua. Jalan itu akan terus dibuka selagi diperlukan,” jelasnya lagi.
Perkembangan ini sekali gus menepis spekulasi tidak berasas dan memperlihatkan komitmen Winfrey dalam membantu masyarakat setempat ketika waktu genting.
Lebih separuh petani Selangor berusia 50 tahun ke atas, MB seru anak muda sertai sektor pertanian. Kira-kira 60 hingga 75 peratus petani di Selangor kini terdiri daripada individu berumur 50 tahun ke atas, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan sektor pertanian jika golongan muda terus kurang berminat untuk menyertainya.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, situasi itu menandakan perlunya usaha segera untuk menjadikan bidang pertanian sebagai satu pilihan kerjaya yang menarik serta mampu menjana pendapatan lumayan kepada generasi muda.
“Kalau kita tengok data (bancian pertanian) hampir 60 hingga 75 peratus daripada petani adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
“Kita kena jadikan pertanian ini satu aktiviti yang ‘cool’ dan meyakinkan, sebab ia sebenarnya mendatangkan hasil yang baik,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 pada Selasa.
Tambah beliau, suatu ketika dahulu pernah wujud minat dalam kalangan anak muda termasuk mereka dari latar belakang kejuruteraan untuk berkecimpung dalam pertanian, namun fenomena itu tidak berpanjangan berikutan kurangnya tarikan dan insentif dalam bidang berkenaan.
Bagi mengatasi isu tersebut, Amirudin menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan memperkenalkan beberapa dasar serta inisiatif menerusi Belanjawan Selangor dan juga pelan pembangunan negeri yang akan datang, dengan harapan dapat menggalakkan lebih ramai belia menyertai sektor ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin turut menyentuh mengenai prestasi ladang kelapa sawit di Selangor yang masih cemerlang dari segi pengeluaran hasil biarpun negeri itu tidak memiliki kawasan ladang yang luas seperti Sabah.
Beliau memetik Ladang Pulau Carey milik Sime Darby Plantation sebagai contoh kejayaan apabila ia mencatatkan antara pulangan kelapa sawit tertinggi di negara ini.
“Cuma kita sekarang terikat dengan ketetapan antarabangsa yang tidak membenarkan pembukaan ladang baru hanya penanaman semula (replanting) sahaja yang dibenarkan.
“Tetapi dari sudut hasil, kita tetap catat peningkatan kerana ada pengurusan ladang yang baik dan mengikut amalan pertanian mampan,” ujarnya.
Katanya lagi, pengusaha ladang kini juga semakin cenderung ke arah penggunaan kaedah yang lebih lestari, termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia dan menggantikannya dengan pendekatan mesra alam demi mematuhi piawaian antarabangsa.
“Daripada semasa ke semasa, mereka sedang memperbaiki pengurusan ladang bagi mengelakkan penggunaan racun dan baja seperti baja urea secara berlebihan.
“Pengurusan ini dibuat untuk pastikan hasilnya tinggi tetapi masih lagi mampan dan mesra alam,” katanya lagi.
Jimat elektrik guna solar berbanding buat kubah mahal. Ramai yang memasang impian untuk menghias rumah ibadat atau surau dengan kubah yang besar dan mewah. Namun, tahukah kita bahawa membina kubah bukan sahaja menelan kos yang tinggi, bahkan boleh meningkatkan penggunaan elektrik secara tidak langsung?
Jika tidak dikaji secara teliti, kita bukan sahaja membazir duit sumbangan, malah menanggung bil elektrik yang melambung setiap bulan. Sebuah kubah boleh menelan kos ratusan ribu ringgit, apatah lagi jika ia menggunakan bahan logam berkilat, struktur besi tahan karat, dan sistem pencahayaan khas.
Malangnya, ada masjid atau surau yang memasang lampu dalam kubah dan membiarkannya menyala 24 jam, kononnya untuk nampak indah di waktu malam. Hakikatnya, ia menyumbang kepada pembaziran tenaga yang besar.
Lebih menyedihkan, ada tempat yang terpaksa mengurangkan aktiviti kemasyarakatan kerana bil elektrik terlalu tinggi. Maka, di sinilah pentingnya keutamaan, lebih baik wang digunakan untuk faedah jemaah seperti penyelenggaraan penghawa dingin, pemasangan kipas industri, atau program ilmu yang lebih memberi manfaat.
Ramai arkitek Islamik moden mengesyorkan rekaan masjid tanpa kubah atau dengan bentuk siling tinggi yang ringkas. Ini bukan sahaja menjimatkan kos pembinaan, malah menggalakkan pengudaraan semula jadi. Bumbung tinggi dan bukaan udara yang luas boleh menyejukkan ruang tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada penghawa dingin atau kipas elektrik.
Antara cara lain untuk berjimat elektrik ialah menggunakan pencahayaan LED, sistem tenaga solar dan suis automatik yang memadam lampu selepas waktu tertentu. Wang sumbangan juga boleh dimanfaatkan untuk sistem PA yang berkualiti, karpet tebal yang selesa atau menyediakan kemudahan mesra OKU, lebih memberi kesan langsung kepada jemaah.
1. Dalam binaan masjid, kubah bukannya menjadi rukun dalam sesebuah rekabentuk masjid.
2. Bila kecoh kutipan dana hingga RM500k untuk bina kubah sahaja. Maka izinkan saya beri pandangan sebagai penulis buku Masjid Budaya dan Senibina.
3. Sejarah pembinaan kubah bukannya berasal dari zaman kerajaan Islam, ia ada sejak zaman Byzantine dan Early Christian lagi. Gereja geraja awal memang berkubah.
4. Zaman kegemilangan Islam barulah kubah ini popular, itupun jika kita rujuk Hagia Sophia juga asalnya dari sebuah gereja yang kemudiannya menjadi masjid.
5. Islam bukannya agama simbol, Islam lebih mulia dan besar dari itu. Maka mengagungkan kubah sebagai syarat wajib sebuah masjid adalah kurang baik.
6. Jika kita rasakan masjid tanpa kubah tidak lengkap ‘imannya’ apakah masjid masjid di China dan Afrika yang dibina tanpa kubah kurang pahalanya jika solat di sana.
7. Senibina terbentuk dari hasil faktor iklim dan budaya setempat. Masjid Kg Laut, Kelantan, Kg Hulu, Melaka dan Masjid Agung Demak telah beri teladan senibina yang baik buat Alam Melayu oleh tukang terdahulu.
8. Bila kita mula pandai merantau sikit, balik haji, faktor kolonisasi British. Kita mula melihat apa yang ada di Jazirah Arab dan India sebagai rujukan masjid buat kita.
Masjid wajib ada kubah baru tambah keimanan didada.
9. Rekabentuk kubah sangat tidak ekonomi pada iklim khatulistiwa seperti kita. Tanya mana mana Ajk masjid dan surau berkubah. Waktu hujan mesti ada tempat yang bocor. Air gagal ‘dilarikan’ dengan baik untuk keluar dari bangunan.
10. Masjid daerah di Batu Gajah yang indah, waktu hujan jawatan kuasa terpaksa sediakan baldi baldi warna warni untuk letakkan ditengah laman sembahyang sebab banyak kebocoran berlaku.
11. Ustaz ini tidak harus disalahkan, yang harus disalahkan adalah AJK dan pengamal senibina yang taksub sangat dengan bentuk kubah sebagai simbol agama.
Pengamal senibina harus didik masyarakat tentang keburukan berkubah dalam iklim negara kita hingga tidak ekonomikal
12. Selama 2 tahun tinggal di bandung mengkaji senibina masjid di Jawa, hampir semua masjid modern disana tidak dihadirkan dengan kubah tetapi sangat jimat tenaga, mudah selenggara dan jimat kos binaan.
13. Masjid seharusnya menjadi pusat komuniti masyarakat bukan hanya dibina berdasarkan simbol simbol kubah yang besar dan akhirnya ditutup dari aktiviti masyarakt sebab mahal membuatnya.
14. Membuat kutipan dana awam hingga setengah juta hanya untuk bina kubah sangatlah tidak manusiawi. Setelah siap nanti, kos menjaga kubah setengah juta ini juga bukan alang alang duit sebenarnya.
15. Falsafah kubah dahulu untuk mendapatkan ruang legar yang luas, agar saf tidak putus jika dibina. Hari ini dengan teknologi binaan yang hebat, tanpa kubah kita tetap akan dapat ruang solat yang luas malah lebih luas. Hanya jemaah sahaja malas nak datang masjid sekarang.
Teknologi sound sistem yang kita ada adalah lebih baik dari eko yang ingin dihasilkan oleh kubah zaman ini.
16. Jika kita kata kubah ini ikut zaman nabi. Tidak, zaman nabi masjid dibina dengan sangat sederhana untuk aktiviti masyarakat bukan sebagai simbol pemerintahan beragama.
Sudah masanya pengamal senibina, pendidikan, jawatankuasa masjid masuk satu era baru dalam pemikiran pembinaan masjid.
Masjid zaman ini harus mesra alam, jimat tenaga, tempat perlindungan, pusat bencana banjir, sustainable, tempat main kanak kanak, pusat pendidikan online, wifi terpantas dan bukannya hanya habiskan duit bina kubah yang mahalnya setengah juta, bocor bila hujan sebelum buka puasa.
Teladani apa yang dilakukan oleh Ustaz Mohammad Yaakub Yusra dalam membina MADAD untuk kesejahteraan ummat.
Kesimpulannya membina masjid dan surau bukan sekadar simbol fizikal keindahan Islam, tetapi tanggungjawab amanah kepada masyarakat. Elakkan pembaziran pada perkara yang kurang penting.
Pilih binaan yang menjimatkan dan praktikal. Lebih baik jimat elektrik daripada buat kubah mahal, kerana setiap sen yang diselamatkan boleh diguna untuk manfaat ummah yang lebih besar.
Sumber: Azizul Azli Ahmad, Penulis Masjid Budaya dan Senibina, Pengajar Sejarah Senibina Islam, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, UiTM Seri Iskandar
Ekonomi tidak memberasangkan, Musang King RM20 sekilogram pun kurang sambutan. Walaupun harga durian Musang King masih kekal serendah RM20 sekilogram sejak lima tahun lalu, namun musim jualan tahun ini dilihat kurang meriah berbanding musim-musim sebelumnya.
Menurut seorang peniaga, Ahmad Maher Safian, 30, yang juga imam sebuah masjid di Kota Bharu, harga rendah itu ditawarkan bagi memastikan semua golongan masyarakat berpeluang menikmati keenakan durian yang terkenal dengan gelaran ‘raja buah’ atau buah ‘kayangan’ itu.
“Memang harga masih sama seperti sebelum ini, tetapi sambutan agak suram kali ini. Saya percaya keadaan ekonomi yang tidak menentu menjadi salah satu penyebabnya,” katanya ketika ditemui di lokasi jualan berdekatan Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.
Beliau turut memaklumkan, faktor cuaca yang tidak menentu termasuk hujan lebat dan ribut juga memberi kesan terhadap hasil durian musim ini.
Ahmad Maher menjelaskan, musim Musang King kali ini dijangka lebih singkat iaitu sekitar tiga minggu sahaja.
Beliau turut memberitahu, durian dari negara jiran yang memasuki pasaran lebih awal berbanding hasil tempatan turut memberi persaingan terutama kerana harganya lebih murah.
Namun, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana durian import dipercayai mempunyai kandungan bahan kimia yang lebih tinggi berbanding durian tempatan.
Menurutnya lagi, bekalan durian yang dijual adalah hasil dari kebun keluarganya sendiri dan walaupun hasil musim ini terjejas, mereka masih mampu mengeluarkan kira-kira tiga hingga empat tan durian setiap minggu sepanjang musim kali ini.
Ketahui langkah penting dan rutin kebersihan rumah bagi pencegahan influenza. Lindungi keluarga anda dengan amalan harian mudah yang mencegah jangkitan virus di rumah!