
Di tengah hiruk-pikuk kota Setapak, tersergam sebuah kediaman baharu di Edgewood Residences @ SkySanctuary. Walaupun baru berusia beberapa bulan, ruang berkeluasan 1280 kaki persegi ini sudah berubah wajah menjadi sebuah kediaman berkonsep Modern Sanctuary, kediaman yang bukan sekadar tempat berteduh, malah menjadi destinasi menenangkan jiwa sebaik pintu rumah dibuka.
Cinta Pandang Pertama


Bagi pasangan Siti Hajar Mat Radzi & Mohd Ezri Norsyah Md Shah, jatuh cinta pada rumah ini hadir seiring konsep yang mereka pilih. “Kami mahukan rumah yang menyambut dengan ketenangan selepas seharian berhadapan dengan kesibukan kerja,” kata mereka.
Konsep Modern Sanctuary dipilih kerana gabungannya yang sempurna antara elemen moden dan semula jadi. Gabungan elemen kayu, hijau dedaun serta marble berkilau digarap indah, mencipta suasana yang minimalis tetapi tidak kosong. Setiap sudut terasa lapang, bernafas dan bebas daripada keserabutan.

Warna cat Jotun Mist 1376 yang neutral bagaikan kabus lembut menyelimuti ruang, memberi ilusi luas dan damai. Bila melangkah ke dalam, jiwa seolah disapa bisikan tenang: “Selamat pulang, inilah tempatmu untuk berehat.”
Sentuhan Pereka, Kena Dengan Citarasa Pemilik
Inspirasi dekorasi ini hadir daripada Instagram Eladeko, pereka hiasan dalaman yang diberi tanggungjawab penuh untuk menzahirkan impian. Hasilnya, seluruh kediaman, dari ruang tamu, ruang makan, dapur kering, hingga ke bilik tidur utama menjadi kanvas seni yang hidup.Proses transformasi hanya memakan masa empat minggu. Setiap inci dirancang rapi, memadukan estetika dan fungsi. Pereka memahami impian pemilik, rumah yang indah dilihat, selesa didiami dan praktikal digunakan.

Namun, tidak semua diserahkan. Untuk balkoni, pemilik memilih DIY sebagai ruang peribadi yang lebih dekat di hati.
Dapur kering diinspirasikan daripada konsep rumah Perancis yang elegan dan klasik, diterjemahkan dengan kemasan moden yang memukau. Seluruh kabinet dibina menggunakan material solid plywood yang tahan lama, dilengkapi kemasan spray paint dan rekaan shaker style pada pintu kabinet untuk memberi sentuhan halus tetapi mewah.

Ciri paling menonjol di ruang ini ialah arch shelf yang menjadi titik tumpu (wow factor), bukan sekadar cantik, tetapi praktikal sebagai ruang khas meletakkan mesin kopi, seolah-olah berada di sudut French café yang nyaman. Lampu gantung putih dengan rekaan futuristik menambahkan elemen moden, menjadikan ruang ini seimbang antara gaya klasik dan kontemporari.
Tabletop untuk island dan kabinet pula menggunakan quartz stone bercorak marmar yang bukan sahaja tampil mewah, tetapi juga tahan lasak untuk kegunaan harian. Tiga buah kerusi stool empuk berwarna coklat muda disusun di sudut island, memberi keselesaan optimum, sesuai untuk berbual panjang atau bersantai.

Lebih menarik, plug extension jenis WiFi turut dipasang di island untuk kemudahan mengecas peranti seperti telefon pintar, menjadikan ruang ini bukan sahaja cantik, tetapi juga sangat praktikal dan mesra pengguna.
Keutamaan Dalam Dekorasi

Dalam dekorasi, tidak semua perkara harus berlebih-lebihan. Bagi pemilik, ada tiga aspek utama yang menjadi panduan:
- Konsep dan cita rasa – rumah harus mencerminkan siapa pemiliknya.
- Bajet – kecantikan mesti hadir dalam kemampuan.
- Praktikaliti – perabot bukan hanya cantik, tetapi harus digunakan sebaiknya.
Hasilnya, rumah ini bukan sekadar ruang hiasan, tetapi benar-benar hidup bersama penghuninya.
Ruang Favorite

Setiap rumah punya ruang yang paling disukai. Bagi pasangan ini, dry kitchen dan bilik tidur utama menjadi pusat kebahagiaan. Dapur kering tampil moden dan lapang, manakala bilik tidur utama menjadi tempat pulang yang mendamaikan.
Namun, nilai sentimental terbesar hadir di galeri gambar keluarga. Setiap bingkai menjadi penanda memori, menjadikan rumah bukan sekadar struktur, tetapi sebuah kisah yang hidup.
Tidak semua perjalanan dekorasi berjalan tanpa cabaran. “Kesilapan terbesar adalah menganggap ID (Interior Designer) tidak akan terlepas pandang. Mereka juga manusia. Walaupun ada 3D design, komunikasi tetap penting,” jelas pemilik. Inilah pelajaran berharga, komunikasi adalah kunci agar hasil akhir benar-benar seiring impian.
Bagi yang mahu makeover dengan bajet terhad, pasangan ini berpesan:
- Pilih ID yang berpengalaman dan mempunyai rekod baik.
- Serahkan konsep dan bajet pada ID dengan jelas.
- Jangan takut untuk berbincang, kerana rumah ini milik anda, bukan semata-mata projek hiasan.
Rumah Sebagai Sanctuary

Modern Sanctuary ini membuktikan, sebuah kediaman tidak perlu luas untuk kelihatan mewah. Yang penting adalah keseimbangan antara fungsi, estetika dan jiwa pemilik.

Dari warna neutral yang lapang, tekstur kayu yang hangat, hingga dedaunan hijau yang menyegarkan, semuanya bersatu mencipta ruang yang benar-benar sanctuary.
Kerana akhirnya, rumah yang indah adalah rumah yang mampu merawat penat, memeluk jiwa, dan menenangkan hati penghuninya.
INFO PEMILIK
Nama Pemilik: Siti Hajar binti Mat Radzi & Mohd Ezri Norsyah bin Md Shah
Usia Kediaman: 6 bulan
Konsep Hiasan Dalaman: Modern Sanctuary
Lokasi: Edgewood Residences @ SkySanctuary, Setapak
Keluasan Kediaman: 1280 kaki persegi
Nama Pereka Hiasan Dalaman : Eladeko
Jenis Kediaman: Kondominium
Spesifikasi Ruang Kediaman:
Dapur Kering, Dapur Basah, 3 Bilik tidur, 1 Bilik Penyimpanan Kasut dan Barang , 2 Bilik Air, Balkoni, Ruang Tamu, Ruang Makan
Mesti Baca: Tampil ‘Bold & Vibrant’, Terjemahan Konsep ‘Mixed Culture’ Serlah Keunikan Dekorasi ‘House de Verde’
Baca Lagi Di Sini: Estetika ‘Detailing’ Ukiran Klasik Simple, Kediaman Semi D Inspirasi ‘French Minimalist’
Artikel Menarik: Perancangan Teliti Pemilik Realisasikan Kediaman Konsep Terbuka Inspirasi Modern Mediterranean
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di



